Tuesday, March 31, 2009

Erti sembahyang dan tazkirah di Masjid Simpang, Taiping.

Peristiwa Nizar Jamaluddin MB Perak yang dipilih oleh rakyat dan Dr Zambry Ab Kadir MB Perak tajaan Najib Tun Razak bersembahyang di Masjid Simpang, Taiping, Perak sepatutunya bukan isu politik. Bertuah Masjid Simpang kerana menerima dua MB yang masih berkuasa dalam satu masa bersembahyang maghrib di sana. Kalaupun boleh dijadikan isu, kenapa Nizar yang menjadi imam dan bukan Dr Zambry? Siapa yang lebih patut dan lebih layak? Namun penyiaran berita yang tidak penting oleh media yang jelas cuba mempolitikkannya telah mendedahkan pelbagai kekuatan, kelemahan semua yang terlibat.

1) Pihak media yang tidak beretika cuba memburukkan Nizar dan menafikan peranan beliau sebagai ketua kerajaan negeri Perak walaupun statusnya sebagai MB Perak belum diputuskan oleh Mahkamah. Nizar apabila mencabar pemecatannya di mahkamah bermaksud beliau berkeyakinan bahawa haknya sebagai MB Peraka masih berlaku. Siapa media untuk menafikan hak Nizar dan melayan beliau sebagai bukan MB Perak.

2) Berdasarkan keyakinan tersebut Nizar berhak menjadi imam sembahyang maghrib apabila beliau diminta oleh imam Masjid Simpang, saudara Norhisyam Hashim. Tindakkan Imam Norhisyam juga membawa maksud rakyat masih berkeyakinan bahawa Nizar masih MB Perak yang sah dan diterima rakyat. Sebagai Imam masjid, saudara Norhisyam juga sudah terbiasa dengan MB Perak daripada Pakatan Rakyat yang akan bertindak sebagai imam jika berada di mana-mana masjid di seluruh Perak. Jika Norhisyam tidak memberi kepada Dr Zambry, itu sebagai suatu yang patut kerana bukan kelaziman MB Perak dari Umno suka menjadi imam sembahyang walaupun tidak dinafikan mereka juga berkebolehan. Imam Norhisyam bijak dalam membuat keputusan.

3) Nizar barangkali mendapat kelebihan sebagai calon parlimen bagi PRK Bukit gantang, tapi isi tazkirah 20 minit yang mengajak umat Islam bersatu di atas tali Allah untuk mengelakkan perpecahan adalah mutlak kerana ianya daripada Allah. Nizar menyeru mereka berdasarkan firman Allah, Tuhan Nizar dan Tuhan Dr Zambry. Dr Zambry yang sentiasa ceria tidak sepatutunya bermuram jika Nizar memperkatakan sesuatu yang menjadi keyakinan bersama. Beliau sepatutunya belapang dada dan berbangga dengan persamaan itu.

4) Hakikat Nizar tidak mengganggu program Dr Zambry dan Umno di masjid berkenaan itu adalah sah kerana sebagai imam saudara Norhisyam boleh memberi peluang kepada Dr Zambry dan Umno untuk meneruskan programnya selapas sembahyang Isyak. Di kampung-kampung biasa sangat program penduduk yang melibatkan orang masjid berlaku pertembungan, maka imam masjid biasanya dapat menyelesaikan dengan baik. Dr Zambry amat biasa dengan suasana ini jika biasa dengan masyarakat kampung.

5) Umno selalu menghalang persoalan politik dibawa ke masjid tetapi tidak bagi Pas. Konsep politik suku, agama suku yang dipegang oleh Umno akan menimbulkan persoalan bolehkah mereka untuk menggunakan masjid untuk bertahlil dan solat hajat. Untuk apa tahlil dan solat hajat berkenaan terutama di musim PRK Bukit Gantang. Fahaman politik Pas yang syumul dan tidak ada konsep pengasingan segala urusan hidup daripada agama dan masjid maka tindakan Nizar menjadi imam sembahyang Maghrib dan memberi tazkirah selamat 20 minit bukan politik tapi diyakini sebagai ibadat. Apa pula hak Dr Zambry dan Umno untuk menghalang Nizar beribadat di masjid Simpang. Kalau Dr Zambry merasakan tindakan Nizar bersembahyang dan memberi tazkirah sebagai menyalahgunakan masjid untuk tujuan politik, itu fahamannya dan idealogi Umno tetapi tidak bagi Nizar dan Pas.

Maka jika persoalan yang begitu kecil dan paling asas dalam kehidupan Umno melihat dari aspek yang keliru dan songsang, maka bagaimana rakyat boleh yakin kelayakan Dr Zambry sebagai MB Perak yang sah. Bagaimana Umno boleh begitu keliru dalam semua urusan? Serakah sangatkah Umno sehingga urusan ibadat dan keagamaan ingin dikawal, sedangkan sepatutnya segala urusan dan tindakan partinya di kawal oleh peraturan agama?

Umno selalunya jarang mengambil pelajaran kecuali menghalalkan segala cara untuk tujuan politiknya.

Monday, March 30, 2009

Tun Mahathir Bapa Perpaduan Umno.

Tun Mahathir seorang negarawan ulung. Tidak ramai yang dapat mempertikai karisma dan kewibawaannya membawa Malaysia pada kedudukan tersendiri pada peringkat antarabangsa. Sebagai rakyat Malaysia, ramai yang berbangga dengan keupayaan beliau.

Kecenderungan Tun untuk campur tangan dalam perkembangan politik Malaysia setelah menyerahkan teraju kepada PM Abdullah sepatutnya menjernihkan keadaan dan perlu diberi keutamaan. Tetapi sebgaimana pernah diucapkan oleh seorang Menteri Besar, politik Umno adalah seperti politik "beruk" yang berkumpul pada pohon yang berbuah. Tun Mahathir bukan lagi pokok rendang yang lebat berbuah.

Keadaan ini menyababkan idealisma beliau tercabar. Kritikan demi kritikan terhadap kepimpinan Umno menyababkan rakyat mula mempertikaikan prinsip beliau sebagai seorang negarawan ulung. Adakalanya beliau kelihatan seperti Quran buruk, nak baca tak boleh, nak buang rasa berdosa, dibaiarkan berhabuk di atas para.

Apakah beliau menyerahkan kepimpinan kepada pengganti yang tidak reti mengenang jasa dan pandai menilai intan atau kaca. Maka jadilah Tun selepas pengundurannya seperti cacing kepanasan, melihat salah urus yang kian menyakitkan. Kemuncaknya beliau bertindak keluar daripada Umno. Budak tingkat 4 dijadikan seteru yang nyata, dan beliau serang habis-habisan. Paling akhir ialah setelah kemenangan budak itu mengalahkan anaknya sendiri sebagai Ketua Pemuda Umno.

Tun bertindak tidak hadir ke majlis perasmian Persidangan Agong Umno yang baru selesai kerana kecewa para perwakilan telah memilih ketua mereka seorang yang telah didapati bersalah menggunakan wang dan sogokan dalam usaha untuk dipilih sebagai ketua pemuda. Kita amat menghargai prinsip dan tindakan beliau. Seorang negarawan ulung sewajarnya memberi contoh yang terbaik dalam apa jua tindakan. Barangkali kerana itulah proses membilang 790 undi untuk memilih ketua pemuda mengambil masa lebih daripada 6 jam. Tun sepatutunya tidak merasa hairan kerana kalau kita masih ingat usaha membilang undi semasa Tun dicabar oleh Tengku Razaleigh dulu mengambil masa yang lebih lama. Sepatutunya setelah belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris tahap kecerdasan orang Melayu makin meningkat.

Walau bagaimanapun Tun Mahathir masih menjadi sanjungan dan diterima oleh barisan kepimpinan Umno yang sedang nazak dengan penuh harapan. Kemunculan Tun pada majlis penggulungan ucapan perhimpunan Agong Umno diterima sebagai tanda rahmat dan berkat yang dapat menyatukan barisan kepimpinan Umno yang baru dipilih. Sayangnya Ketua Pemuda Umno yang baru masih belum dapat diterima secara terbuka. Kekalahan 2 lagi calon yang bertanding menyemarakkan tanggapan semua pihak bahawa rasuah sudah menjadi nadi dan hayat Umno. Kita tidak tahu apakah ukuran dan penilaian yang dibuat oleh Tun untuk memulaukan satu rasuah politik dan menerima yang lain. Adakah lebih 900 aduan kepada lembaga Disiplin Umno tertumpu kepada pemuda dan khususnya terhadap KJ? Kalau tidak kenapa beliau boleh menolak satu majlis Umno dan menerima majlis Umno yang lain?

Barangkali Tun sudah menjadi amat keliru atau sudah mula lupa atau akan cuba mengadai prinsip dan ketegasannya? Tun diyakini akan kembali kepangkuan Umno pada ketika parti itu terlalu sarat dengan rasuah politik. Tun sendiri dalam kenyataannya menegaskan bahawa barisan kepimpinan Umno ada yang tidak menyenangkan hati kerana aterlalu banyak wang yang ditabur. Paling kita keliru ialah kesanggupan untuk menunjukkan sokongan kepada Najib sebagai PM yang akan menggantikan PM Abdullah sedangkan Najib terlalu cemar dan aib dengan pelbagai skandal dan rasuah politik.

Apakah pula lebihnya Najib jika moralnya lebih kurang sama dengan Anwar Ibrahim yang telah beliau singkirkan. Bezanya Najib belum dibicarakan oleh mahkamah maka beliau tidak bersalah dan tidak perlu merasa bersalah. Bagaimana rakyat akan memberi tanggapan yang terbaik terhadap Najib tetapi membuat penilaian lain terhadap Anwar walaupun rakyat dapat menyaksikan pelbagai kekeliruan dalam proses pendakwaan dan pembicaraana terhadap Anwar? Apakah Tun cuba mempertahankan Najib walaupun tidak lebih baik daripada Anwar kerana dendam Tun terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat itu tidak mungkin terpadam?

Kalau maklumat tidak tepat maka Najib akan segera menjadi Perdana Menteri Malaysia. Najib yang dipertikaikan oleh lebih separuh rakyat Malaysia. Najib yang dipertikaikan kewibawaan dan moralnya oleh semua bangsa di Malaysia. Najib ini yang diharap oleh Tun untuk membawa Malaysia keluar daripada masalah yang sedang dihadapi; masalah dalaman Umno sebagai parti pemerintah, masalah hubungan kaum yang kian meruncing dan masalah global yang kian mencengkam penduduk sejagat. Barangkali tuahnya seorang bekas perdana Menteri yang akan dapat menyuntik semangat perpaduan di kalangan ahli Umno dan rakyat Malaysia.

Tun barangkali bekas Perdana Menteri Malaysia pertama yang meninggalkan bersama perjuangan Umno kerana Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia pertama mati sebagai seorang Perdana Menteri.

Friday, March 27, 2009

Berubah dan rebah.

Umno parti yang menerajui barisan politik pemerintah akan sentiasa menjadi tumpuan terutama pada usia senjanya. Perhimpunan Agong Umno kali ini banyak mencipta beberapa kejutan dan keajaiban. Antaranya;

1) Najib menjadi Presiden Umno dalam paling paling bermasalah bukan sahaja masalah peribadi dan pelbagai skendal, tapi parti yang diwarisinya itu berada dalam paling bermasalah. Najib sendiri meyakini bahawa Umno akan rebah jika tidak mahu berubah. Maka apakah perubahan yang bakal dibawa oleh Najib dan barisan kepimpinannya yang dipertikai integritinya.

2) KJ yang menang sebagai Ketua Pemuda Umno dipertikaikan terang-terangan kerana penglibatgannya dengan politik wang. Tun Mahathir memboikot perasmian Perhimpunan Agong Umno kerana sayap pemuda Umno itu secara langsung dan terbuka merestui rasuah.

3) Perdana Menteri Abdullah mempertahankan kemenangan menantunya kerana kerja kuat, bermakna beliau akan memastikan pengaruhnya kekal menodminasi politik negara. Abdullah mungkin tidak akan melepaskan jawatannya untuk waktu yang agak lama walaupun tidak menjadi Presiden Umno, sekurang-kurangnya bulan Ogos nanti?

4) Kemenangan dan kekalahan calon bertanding adat pertandingan tapi tidak dalam Umno. Puak yang menang akan memastikan dominasi kuasa dan akan bertindak menyingkirkan sesiapa yang dikenal pasti sebagai bukan kelompok. Kelompok yang tidak menang belum pasti akan menutamakan keuntuhan Umno. Umno akan terdedah kepada masalah perpecahan dan konflik dalaman yang kian parah.

5) Dalam tempoh terdekat Umno akan diuji di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, maka Umno akan berhadapan dengan Pakatan Rakyat di ketiga-tiga kawasan Pilihan raya kecil itu dalam keadaan luka masih berdarah, luka dan kesakitan kerana bergomol sama sendiri di perhimpunan Agong yang baru berlalu. 7 April 2009 mungkin tarikh yang paling tidak menarik dalam sejarah pilihan raya yang pernah disertai oleh Umno.

6) Umno masih gagal mendapat simpati rakyat dengan pelbagai helah politik untuk mendapatkan dan mengekalkan kuasa. Kegelojohan Najib di Perak, dan pelbagai onar Umno dan Barisan Nasional di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah akan sentiasa dikenang oleh rakyat sebagai politik yang mengutamakan kepentingan kuasa dan memperkosa kepentingan dan nasib rakyat.

7) Segala isu yang ditawarkan oleh Umno dan Barisan Nasional untuk memburukkan Pakatan Rakyat seperti isu ketuanan Melayu dan kesetiaan kepada raja menjadi tidak hambar dan tidak bermaya kerana kegagalan Umno menangani isu PPSMI, kegagalan menghapuskan rasuah, rasuah politik, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai masalah dalaman Umno. Umno terjerat dengan masalah yang diciptanya sendiri.

Menyoroti ucapan kosong para perwakilan dalam perhimpunan agongnya, kita amat faham bahawa Umno sudah muflis isu dan idealismanya. Kalaupun hebat, belum pasti Najib dan staf kepimpinan barunya berjaya memulihkan Umno. Umno pasti berubah dan rebah.

Thursday, March 26, 2009

Malu eh...,

Dikatakan bahawqa iman itu lebih daripada 60 cabangan, dan sifat malu sebahagian daripada iman. Orang yang kurang malu, kurang sempurna imannya.

Malu dalam konteks Islam apabila seseorang itu melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ajarannya dari aspek aqidah, syariat dan akhlaknya. Jarang yang merasa malu membawa aqidah yang salah kerana ianya suatu keyakinan dan seseorang merasa betul dengan yang diyakininya walaupun tidak selaras dengan kehendak Islam. Ukuran ketepatan aqidah ialah Quran dan hadith.

Syariat Islam yang bertujuan mengatur urusan kehidupan yang sempurna dunia dan akhirat. Golongan yang berakhlak mulia akan merasa malu jika gagal melaksanakan syariat, ibadah dan berakhlak secara yang digariskan oleh ajaran agamanya, Islam. Kerananya ada yang berpura-pura baik di hadapan orang yang diseganinya kerana sifat malu masih menebal terhadap peribadi berkenaan. Ramai yang menyembunyikan kejelekan dan maksiat yang dilakukan kerana sifat malunya, dan mungkin kerana itu ia masih mempunyai ciri orang beriman.

Bagaimana pula dengan golongan yang berbangga dengan perbuatan maksiat yang dilakukan atau melakukannya secara terang-terangan? Tidak merasa malukah mereka dengan perlakuan jelek, lucah dan segala yang di luar batas akhlak Islam? Kalau tidak kepada manusia, mereka seharusnya malu kepada Allah. Sesungguhnya tidak. Tidak pemalu mereka, malah berbangga melakukan maksiat.

Bagaimana pula jika mereka masih berupaya menonjolkan diri sebagai pemimpin. Mereka adalah orang Islam dan sering menonjolkan diri sebgai pembela agama dan bangsa tetapi dilihat semakin tipis sifat malu dan berbangga dengan akhlak yang hodoh serta dipertontonkan kepada khalayak.

Jika pemimpin itu seorang lelaki, masih boleh berdiri dengan gagah dan sanggup bersemuka dengan rakyat walaupun isterinya berpelukan dengan jantan lain dihadapan khalayak. Tidak dayuskah sifat berkenaan dan tidak ada tanda malu mereka dengan perlakuan berkenaan. Tidak malukah jika menjadi bini orang tapi masih ada hati menjadi pemimpin walaupun menduakan lakinya sehingga umum merasa geli melihat gambar mereka berpelukan, tersengeh, berbangga dan tidak reti malu.

Bagaimana pula yang tidak amanah dan terlibat dengan politik wang (baca rasuah)? Harta negara di sapu. Berusaha membeli undi dan mendapat mandat melalui rasuah. Tidak malukah mereka terhadap rakyat yang akan dipimpinnya dan kepada Allah juga?

Tidak patut malukah jika yang menjadi pemimpin itu terlibat dengan penyalahgunaan wang negara. Jika berbillion wang negara digunakan untuk komisen beli kapal selam ke, kapal terbang ke, kapal laut ke, atau apa-apa jenis kapal maka jika pemimpin berkenan tidak malu maka apa sebenarnya jenis pemimpin itu sebenarnya.

Apalagi dosa besar jika tidak membunuh atau menuduh seseorang melakukan pembunuhan. Ada pemimpin yang tidak peka, malah "pekak" dengan segala tuduhan membunuh yang dilemparkan kepada mereka dengan bersahaja dan tidak merasa malu dan harus bertanggungjawab membersihkan namanya. Nak kata sabar tidak layak, maka apa jenisnya manusia yang tidak tahu malu dan masih bercakap berkenaan nilai, moral, etika dan segala jenis kebaikan dihadapan khalayak.

Malas untuk mengungkit segala kejelekan-kejelekan yang sepatutnya boleh menyebabkan mereka malu untuk menunjukkan muka di hadpan rakyat. Lebih 900 tuduhan rasuah dan pengakuan bahawa parti yang memimpin negara sememangnya rasuah, hari ini mereka tidak malu bercakap tentang moral dan perjuangan untuk rakyat. Betul-betul tak tahu malu mereka.

Apapun mereka patutnya disedarkan supaya sebagai pemimpin mereka mesti bersifat pemalu. Dikatakan bahawa Rasulullah seorang insan yang paling pemalu. Maka rakyat hendaklah malu mempunyai pemimpin seperti mereka. Jika rakyat malu mempunyai pemimpin yang tidak pemalu, rakyat sewajarnya memilih mereka yang pemalu dan berakhlak mulia. Jangan malu-malu untuk membuang pemimpin yang tidak pemalu.

Tuesday, March 24, 2009

Umno...? Belum nyanyuk?

Hadharah hendaklah bersandarkan agama dan bergantung kepadanya, bukan agama bersandarkan hadharah dan bergantung kepadanya.

Al Quran menghuraikan secara terperinci dengan menyatakan jenis penyelewengan yang menjadi punca kemusnahan sesuatu kaum yang maju, dan hadharah yang dibangunkan itu tidak mampu mempertahankan dan menyelamatkan mereka. Di antaranya:-

1) KEZALIMAN

Kezaliman mengikut takrif Islam ialah: Apabila meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya. Manhaj Illahi dalam membicarakan perkara ibadah, syariah, akhlak dan nizam, mengatakan apabila beribadah kepada yang lain daripada Allah, menentang undang-undang Allah, membelakangi petunjuk yang dibawa oleh rasul Allah, maka hilanglah sifat kemanusiaan dan lahirlah sifat kebinatangan yang bertindak sewenang-wenang mengikut hawa nafsu terhadap rakyat jelata dan lain-lain.
( Abdul Hadi Awang : Hadharah Islamiah bukan Islam Hadhari)

Apakah sandaran sebenar kepimpinan Umno/Be End dalam mengurus dan mentadbir negara setelah mandat dan amanah mereka kuasai?

Umno/Be End telah, sedang dan akan sentiasa memperalatkan segala-galanya untuk mengekalkan kuasa. Mereka cuba menutup sumber maklumat dari akar umbi kejahatan dan kejelekkan kepimpinan mereka daripada tersebar kepada khalayak. Mereka menyekat pengeluaran Harakah dan Suara Keadilan, maka mereka telah memperkosa mandat demokarasi dan kebebasan bersuara melalui akta yang tidak bertamadun demi kuasa yang belum pasti di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Semasa PRK Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Harakah dan suara Keadilan dilihat mempunyai saham dominan untuk memenangkan Pakatan Rakyat, maka peranan itu perlu disekat. Mungkin satu percaturan yang betul, tetapi dalam keadaan sekarang Umno akan melakukan apa sahaja untuk menyambung hayatnya. Mereka gagal mengambil kira sentimen kebencian rakyat kepada Umno dalam merancang dan bertindak. Lenyapkah prasangka rakyat terhadap Umno melalui pergantungan itu? Adakah akan segera dilupakan oleh rakyat segala kejahatan pemimpin Umno dan mereka bersegera memaafkan dan menyokong parti itu dalam PRK 7 April nanti?

Dikhuatiri Umno makin hilang pertimbangan lantaran sentuhannya yang kian kecundang. Senarai kegagalan yang kian bertambah dalam mengembalikan keyakinan rakyat, gagal memadam ego Umno untuk terus berbangga dengan sejarah silamnya. Dan bukankah Umno sedang mengatur langkah keperkuburannya? Sama-sama kita tunggu.

Saturday, March 21, 2009

Masih adakah harapan?

Tun Mahathir masih menaruh harapan supaya Najib menjadi PM mengganti Abdullah tetapi dengan persoalan, apakah Najib dapat memulihkan Umno sehingga kuat semula?

Beliau juga mengesahkan bahawa pemimpin dan ahli Umno semuanya mengutamakan kepentingan diri dan Umno parti perasuah. Bolehkan Umno menjadi kuat jika parti itu dipimpin oleh perasuah?

Sejak zaman Tun Mahathir lagi Umno cuba membendung rasuah dalam politik tapi tidak berjaya. Kini Lembaga Disiplin dan Tribunal yang ditugaskan untuk mengatasi rasuah dalam Umno telah mula dipertikaikan kewibawaannya bila ada perasuah dihukum, ada yang diberi amaran dan ada yang dipejamkan mata. Siapa yang dapat menyekat kesangsian rakyat dan kecenderungan rakyat untuk mempercayai adanya permainan antara calonTimbalan Presiden dengan Pengerusi Lembaga Disiplin dan Najib sendiri?

Najib, walau siapapun yang dipilih menganggotai kabinetnya, kabinetnya adalah terdiri daripada para perasuah. Abdullah tidak perlu merencana pilihan Najib untuk melengkapkan keanggotaan kabinet perasuah kerana Najib sendiri bertempek dengan pelbagai tuduhan salah laku rasuah.

Jika Tun masih mengharapkan Umno membela Melayu, sesungguhnya ramai Melayu mengutuk Umno kerana menghancurkan Melayu. Melayu mula mengharapkan Umno dihancurkan untuk memertabatkan bangsa Melayu.

Sememangnya Umno makin menebal dengan penyakit mementingkan diri sendiri, maka bagaiman Tun Mahathir mengharapkan kebaikan untuk rakyat daripada pemimpin yang rakus dan sentiasa mencari peluang? Masih adakah harapan untuk Umno sembuh daripada penyakitnya?

Friday, March 20, 2009

Dominasi kuasa kian mutlak

Najib kian hampir kepuncak kuasa. Abdullah Badawi akan menyerahkan tampuk kuasa menjelang April nanti. Penerahan yang akan menambahkan kuasa Najib dan keupayaannya untuk memperjudikan nasib negara.


Paling jelas ialah kegagalan Najib menjelaskan tindakan beliau memperalatkan pelbagai institusi bagi melangsungkan kerjaya politiknya. Kegagalan Ali Rustam bertanding Timbalan Presiden jika benar kerana tidak disenangi oleh Najib, negara akan menghadap sukar di bawah beliau.


Najib sedang membina immunitinya tersendiri. Penggantungan Gobind Singh Deo AP Puchong selama setahun kerana meminta penjelasan Najib berkaitan isu pembunuhan Altantuya adalah sikap sebenar Najib. Najib akan berkuasa dan bersedia untuk memperalatkan kuasanya demi kekuasaan.


Ahli Umno berharap satu perubahan setelah PM Abdullah dianggap sebagai penghalang perubahan. Apakah perubahan yang diingini oleh ahli Umno dibawah kepimpinan Najib. Kita belum menyaksikan kehebatan Najib selain keupayaannya mengumpul pelbagai tanda tanya dalam kerjaya politiknya.


Jika sekiranya Najib tidak malu dengan segala tuduhan dan tohmahan terhadap beliau, rakyat sepatutnya malu orang yang akan menjadi pemimpin mereka sanggup bertindak secara tidak bertamadun untuk menutup segala tuduhan dan tohmahan terhadapnya dan bukannya dengan penjelasan yang munasabah. Bagaimana Najib boleh mengharapkan rakyat boleh mempercayai dan meyakini kejujurannya.


Kita kian keliru dengan kekeliruan ahli Umno menilai, menaruh harapan dan memberi amanah kepada seseorang sebagai pemimpin. Sesungguhnya ahli Umno sudah terlalu sesat dalam rimba rasuah politik dan menjadi buta untuk menilai kebaikan.

Thursday, March 19, 2009

KAMI ANAK MALAYSIA !0

Tan Sri Muhyiddin Yasin menyifatkan tindakan Datuk Zaid Ibrahim meminta Istana Negara supaya tidak melantik Najib Tun Razak mengganti Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri sebgai tindakan tidak bertanggungjawab dan berniat jahat. Muhyiddin yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden bersama Muhammad Muhd Taib barangkali menyatakan perasaannya yang sebenar terhadap Najib, mempercayai dan mengharapkan Najib menjadi PM selepas Abdullah. Kekuatan dan kelebihan jelas akan berpihak kepada Muhyiddin setelah Ali Rustam dinafikan haknya untuk bertanding dan Muhammad Muhd Taib masih belum benar-benar menyinar setelah dibawa kembali oleh Abdullah ke dalam kabinetnya. Keyakinan ini membolehkan beliau berangan untuk diberi kepercayaan sebagai Timbalan PM jika peralihan kuasa berjalan lancar.
Tidak ramai yang berani meramalkan hasrat perwakilan Umno yang sinonim dengan budaya rasuah politik sama ada akan memilih Muhyiddin atau Muhammad Muhd Taib, tetapi perkembangan terakhir jelas menunjukkan rasuah politik dalam Umno makin menjadi-jadi. Rakyat yang menjadi pengamat perkembangan politik Malaysia akan menjadi keliru setelah beberapa keputusan disiplin terhadap beberapa calon yang akan bertanding. Maka apa salahnya jika rakyat akan beranggapan, jika Najib dicabar sebagai presiden , maka belum tentu beliau tidak akan menggunakan rasuah politik.
Tindakan Muhyiddin mempertahankan Najib sebenarnya perbuatan menangguk di air yang keruh dan menjadi gunting dalam lipatan. Adakah gerak hatinya akan terus mempertahankan Najib walaupun imej Najib yang begitu tercemar. Salahkah jika seorang rakyat yang jelak dengan perangai dan perlakuan seorang pemimpin yang sering menimbulkan kekeliruan dan tanda tanya untuk menyatakan hasrat hatinya. Malah Zaid Ibrahim lebih jujur dalam berpolitik dan ada prinsip.
Dalam sistem politik seperti di Malaysia, rakyat terpaksa akur dan menerima pemilihan parti yang menguasai kerajaan iaitu Umno untuk memilih Perdana Menteri walaupun calon itu tidak disukai rakyat. Dengan kata lain, kesilapan Umno memilih pemimpin mereka terpaksa ditanggung oleh seluruh rakyat Malaysia. Kesilapan Umno paling ketara ialah kegagalan mereka membersihkan parti itu daripada rasuah politik di semua peringkat. Jika calon PM yang dipilih oleh Umno itu terlalu comot maka tidak menjadi aib bagai pihak Istana Negara untuk meminta mereka mencadangkan calon lain.
Jadi cadangan Zaid Ibrahim bukan bertujuan mencampuri urusan dalaman Umno tapi tindakan bertanggungjawab seorang rakyat Malaysia untuk melihat negaranya dipimpin dengan baik oleh orang yang baik dan dianggap baik. Sewajarnya gesaan ini datang dari seluruh rakyat Malaysia dan PM Abdullah sendiri boleh bertindakl secara lebih bertanggungjawab untuk menagguh peralihan kuasa kepada Najib sebagaimana dirancang.
" APA YANG AKAN NAJIB BUAT SETELAH BERKUASA "
" BELIAU YANG SERING MENYALAHGUNAKAN KUASA "
" APAKAH RAKYAT AKAN MENJADI MANGSA "
" DI NEGARA BERDAULAT LAGI MERDEKA "

Tuesday, March 17, 2009

Umno akan memilih Timbalan Presiden beberapa hari lagi. Pertandingan tiga penjuru melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib pastinya memberi akan memberi jawapan kepada iklim politik negara, apakah ia akan berubah atau trend kepimpinan Umno diteruskan. Apa kata mereka.


" Persepsi masyarakat terhadap kita buruk, maacam-macam lagi. Gejala rasuah politik adalah sesuatu yang harus dijauhi kerana salah di sisi agama. Sebagai seorang Islam, kita harus tahu apakah amalan itu disukai atau dibenci agama. Kita harus berpegang kepada Prtinsip" - (Muhyiddin Yasin).



1) Muhyiddin mengakui trend politik dan menjadi barah dalam Umno.


2) Beliau

Friday, March 13, 2009

Sayang anak tangankan, sayang Umno tinggalkan.

Semua keputusan Peperiksaan Awam bagi tahun 2008 telah diumumkan. Jika warta kerajaan merupakan sumber yang sah dan menepati kanyataan sebenar, semua keputusan peperiksaan awam boleh menyebabkan para guru terkejut beruk. Semua diluar jangka, dan berbaur keanihan. Keputusaan mata pelajaran PPSMI meningkat dan masih releven. Maka dasar kerajaan mempertahankan PPSMI adalah benar. Himpunan 100,000 rakyat mendesak PPSMI dimansukhkan tidak ada asas.
Walau bagaimanapun banyak kenyataan anih dikeluarkan oleh kerajaan. Terbaru setelah keputusan STPM diumumkan, kita baru mendapat tahun bahawa pelajar luar bandar lebih berjaya dan dapat menerima PPSMI berbanding pelajar bandar. Lebih ramai pelajar luar bandar menjawab matapelajaran PPSMI dalam bahasa Inggeris berbanding pelajar bandar. Hujah penentang bahawa PPSMI menyababkan pelajar luar bandar menjadi korban adalah tidak benar.
Pastinya warta kerajaan itu dibaca oleh ibu bapa dan para guru, yang mengajar atau memeriksa kertas jawapan pelajar dalam mata pelajar berkenaan. Maka apa pula pendapat, rata-rata guru mengeluh dengan prestasi pelajar. Lebih malang lagi, tidak ramai guru yang akur mengajar sepenuhnya mata pelajaran berkenaan dalam bahasa Inggeris. Tidak ramai pula guru yang menggalakkan pelajar mereka menjawab soalan peperiksaan dalam bahasa Inggeris kerana bimbang prestasi sekolah akan jatuh. Maka apakah maksudnya warta kerajaan mengeluarkan perangkaan yang pelik-pelik itu? Sama anihnya dengan keputusan mata pelajaran PPSMI yang meningkat saban tahun.
Situasai lebih pelik bila mengenangkan kerasnya hati Menteri Pelajaran untuk menerima hakikat bahawa PPSMI adalah dasar paling tolol dalam sejarah pendidikan Malaysia. Maka sekeras itu jugakah Hishamuddin untuk berhadapan dengan kebangkitan rakyat. Nyatalah bahawa Umno dan para pemimpinnya sentiasa gagal memahami kehendak rakyat dalam berfikir dan bertindak.
Pakat tinggalkan Umno untu kesejahteran dunia akhirat.

Monday, March 9, 2009

Perjuangankah itu?

Sasterawan Negara Pak Samad Said yang menyertai tunjuk perasaan membantah perlaksanaan PPSMI terkena tembakan gas pemedih mata. Pak Samad dapat merasa peritnya perjuangan menegakkan dan mempertahankan maruah bangsa Malayu yang bahasanya yang kian dipinggirkan oleh pemimpin dari kalangan bangsanya sendiri. Perjuangan menyedarkan mereka yang kian hilang jati dirinya. Sehingga kini, pelbagai usaha dilakukan termasuk pelbagai rundingan, namun apa alasan yang menyebabkan kerajaan terus berdolak dalik untuk meneruskan dasar yang nyata keliru itu.
Keperitan dan kepedihan itulah perjuangan, dan Pak Samad dapat menikmatinya. Tanpa semua itu bukanlah satu perjuangan. Setakat kepedihan dan keperitan kerana gas pemedih mata, adalah perkara biasa kepada penyokong parti pembangkang. Banyak peristiwa, pemerintah memperalatkan polis untuk menghalang rakyat mendapat maklumat daripada pemimpin mereka. Mereka bukan penunjuk perasaan tetapi sekadar mendengar ceramah.
Umno/BN sebenarnya tidak pernah berjuang untuk apa pun. Umno/BN hanya mendapat hadiah kemerdekaan separuh masak daripada British kerana sanggup menerima syarat yang ditetapkan oleh penjajah itu. Mereka berbangga dan mengistiharkan ianya sebagai satu perjuangan yang tidak mengorbankan setitik darahpun. Hakikatnya, mana pernah ujud perjuangandalam sanubari Umno/BN.
Kebaculan Umno/BN ini diwarnakan dengan pelbagai warna orang berjuang. Paling malangnya, rakyat dipaksa menelan segala-galanya sebagai fakta yang tidak ada pilihan, Umno/BN telah berjuang menghalau penjajah Britisah keluar dari Tanah Melayu, yang kemudiannya Malaysia. Semua rakyat sudah menerima terma perjuangan Umno/BN sebagai kehebatan para pejuang anak watan Malaysia.
Kesilapan Umno ialah mereka menyangka rakyat sudah betul-betul buta erti perjuangan. Para ulama yang berjuang menyedarkan masyarakat daripada terus tenggelam dalam lubuk kejahilan, atau sesiapa yang insaf erti sesuatu kekhilafan lalu cuba membentulkannya adalah bukan pejuang jika menentang Umno/BN. Mereka adalah pengganas, penjenayah, pelampau, malah mungkin dicop sebagai buta budaya. Semua itu bukan budaya kita, maka apa sebenarnya budaya kita itu mengikut ukuran Umno?
Umno juga masih tidak dapat menyelami hati nurani rakyat yang benci pentafsiran yang rakus dan menyeleweng yang dicanangkan. Umno masih sewenang-wenangnya menggunakan ISA, institusi kehakiman, Suruhanjaya Pilihan raya, SPRM, gas pemedih mata, ugutan, diskriminasi, polis, malah isntitusi raja berpelembagaan sebagai kamus untuk mentafsirkan perjuangan. Paling malangnya bila para badut yang memimpin Umno/BN terjerita-jerit memperagakan perjuangan mereka untuk rakyat, negara dan agama.
Model perjuangan songsang itu adalah jalan pintas memenuhi kepentingan peribadi. Hari ini mereka terlena dalam keselesaan perjuangan songsang itu sehingga tidak menyadari bantahan terhadap perlasanaan PPSMI sudah berjalan lebih daripada 6 tahun seawal program itu cuba diperkenalkan. Mereka dengan agenda perjuangan songsang ini juga akan membawa keruntuhan dan kehancuran . Perjuangan songsang ini jugalah yang menyebabkan rakyat sentiasa berdepan dengan pelbagai kekeliruan.
Umno dan para pemimpinnya perlu diberi pengertian erti perjuangan yang sebenar. Jika Pak Samad kena gas pemediah mata sebagai rintangan dalam perjuangan maka sesungguhnya berapa ramai lagi yang menderita dipenjara, ditahan tanpa bicara, dipisahkan dengan orang tersayang, dicerca, ditukar tempat kerja malah ada yang dibunuh kerana perjuangan. Kalau ingin juga Umno kepada sebuah perjuangan, perjuangan kamu adalah untuk kepentingan antara pusat dengan 2 lutut.
MARILAH KITA BERJUANG MERUNTUHKAN POLITIK SEMPIT UMNO.

Thursday, March 5, 2009

Sentuhan terakhir PM Abdullah.

Banyak kali penegasan dibuat oleh PM Abdullah bahawa beliau akan meneruskan hasratnya untuk berundur. Najib sudah pasti akan menjadi penggantinya. Berita yang boleh diyakini tetapi harapan supaya PM Abdullah tidak melepaskannya kepada Najib tetap berbunga.
Berita perlantikan bekas MP Besut, Dr Abdullah Mat Zain sebagai penasihat agama PM Abdullah disaat beliau akan melepaskan jawatan kemungkinan boleh merencatkan tempo Najib menuju Putrajaya. Perlantikan itu menimbulkan pelbagai persoalan, antaranya ialah:-
1) PM Abdullah akan memastikan Islam Hadharinya akan diteruskan oleh Najib dan Abdullah Mat Zain dikira pakar Islam Hadhari yang boleh diharapkan.
2) Kalau Tun Mahathir meninggalkan jambatan bengkok, maka sebagai cucu ulama PM Abdullah akan meninggalkan Islam Hadhari untuk melahirkan modal insan yang akan menjadi sumber manusia untuk meneruskan hayat Umno/BN. Najib dengan masalah yang kian membelit karismanya diyakini tidak akan mempunyai masa untuk meneruskan Islam Hadhari.
3) PM Abdullah mungkin juga ingin mendapat nasihat bagaimana Islam Hadhari yang banyak dipertikaikan oleh pelbagai pihak dapat dijernihkan dan diterima sebagai Islam yang tulin. Mungkin PM Abdullah sudah tidak yakin dengan para penasihatnya sehingga Islam Hadhari masih tidak dapat diterima oleh umat Islam di Malaysia. Adakah disaat akhir pemerintahannya PM Abdullah akan menafikan kebenaran Islam Hadhari atas nasihat Dr Abdullah Mat Zain. Apakah dengan nasihat daripad penasihat yang baru dilantinya, Abdullah akan kembali menerima Islam secara syumul sebagaimana pernah diperjuangkan oleh arwah datuknya dulu?
Walau apapun kita akan menunggi bentuk dan wajah sebenar Islam Najib apabila menjadi PM Malaysia nanti. Adakah Islam yang lebih libral akan dijadikan model? Barangkali penasihat agama PM Abdullah akan dapat membimbing Najib supaya memahami bahawa haram bagi setiap orang Islam beramal dengan apa bentuk amalan ibadat yang bukan dari ajaran Islam.

Wednesday, March 4, 2009

Siapa pemimpin kita?

" Mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan menyuruh berbuat kebaikan dan melarang perbuatan yang mungkar, dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan" (Al Hajj:41)
Adakah anda yakin para pemimpin Malaysia terdiri daripada mereka yang menunaikan sembahyang dan menghayati dan mengamalkan falsafah amalan yang menjadi tiang agama itu? Kalau para pemimpin Malaysia terdiri daripada mereka yang bersembahyang, kita pasti menemui:-
1) Pemimpin yang ikhlas kerana hakikat sembahyang itu tidak akan diterima jika tidak ada keikhlasan. Jika bersembahyang pastinya sembahyang itu tidak ada roh dan pemimpin yang tidak ikhlas dalam sembahyang pasti tidak ikhlas dalam memimpin dan mentadbir negara.
2) Pemimpin yang bersih kerana tidak bersembahyang mereka yang kotor lahir dan batin. Pemimpin yang bergelumang dengan kekotoran daki dunia dan nifak pastinya bukan pemimpin yang bersembahyang. Pastinya jiwa pemimpin yang kotor tidak berupaya melahirkan rakyat yang bersih rohani dan amalannya.
3) Pemimpin yang tidak makan makanan yang haram. Pemimpin yang bersembahyang terlatih jiwa dan raga untuk mengenal halal dan haram serta batas sempadan setiap perkara.
4) Pemimpin yang sanggup berkorban dan menahan diri daripada menikmati keseronokan nafsu walaupun yang halal.Pemipin yang berlumba mengumpul harta benda tanpa mengira halal haram adalah mereka yang tidak bersembahyang.
5) Pemimpin yang amanah kerana menunai sembahyang merupakan ciri mereka yang amanah dalam kehidupannya. Pemipin yang menodai amanah dan menjadikan amanah sebagai peluang adalah pemimpin yang tidak bersembahyang.
6) Pemimpin yang cerdik dan mementingkan ilmu pengetahuan kerana orang yang bersembahyang ialah golongan yang berilmu dan mencintai ilmu. Orang yang tidak bersembahyang mementingkan perut dan alat kelamin semata-mata.
Maka adakah anda percaya golongan yang dapat menterjemahkan hakikat sembahyang itu kedalam kehidupan seharian akan cenderung melakukan kejahatan. Hari ini mereka yang memimpin yang terdiri orang Islam tetapi penuh dengan tipudaya dan muslihat demi kuasa dan pengaruh maka mereka bukan orang yang bersembahyang.
Ayuh kembali kepada fitrah kejadian kita dengan Islam. Wassallam.

Tuesday, March 3, 2009

Moga Najib bukan PM Malaysia.


Penyokong Umno/BN memnjadi terlalu gembira bila Najib berjaya merampas Perak daripada Pakatan Rakyat. Kemungkinan antara penyokong merasakan Najib dewa penyelamat yang akan membawa Perak keluar dari kegelapan dan kemunduran di bawah Pakatan Rakyat. Mereka bersorak kegembiraan dan merasakan hampir setahun di bawah pemerintahan Nizar, kemajuan Perak telah undur kebelakang 10 atau 20 tahun. Untuk memberi kesempatan kepada Nizar menamatkan tempoh sehingga pilihan raya umum akan datang, rakyat sudah tidak yakin.

Perak sudah jatuh kepangkuan Umno/BN semula . Tidak ada alasan kerajaan Perak di bawah Zambry melengahkan masa untuk berbakti kepada rakyat. Masa tiga tahun mendatang, Perak boleh menjadi negeri termaju atau sememangnya mereka tidak sabar dan terlalu gila untuk berkuasa.
Keadaan di Perak hari ini boleh menyebabkan kita tidak yakin niat Najib merampas Perak kerana rakyat. Najib menyepi diri bagaikan seorang penjenayah ketika rakyat bertempik mencari keadilan. Suara dan jerit pekik rakyat seperti suara-suara yang mencari keadilan untuk Altantuya, tidak pernah sampai ke telinga Najib.
Namun kita masih melihat tangan Najib yang masih hanyir dengan darah merenca makar di Peak. Setiap kepincangan pihak yang diperalatkan oleh Najib dengan mudah dikesan oleh rakyat. Cuma masa yang menghalang rakyat untuk terus bertindak menghukum Najib. Biarkan masa membuka ruang untuk Najib menambahkan koleksi sial dalam khazanah hidupnya.
Barangkali Najib boleh berbangga dengan pencapaiannya tetapi rakyat tidak memerlukan sebarang kehebatan kecuali kehidupan yang aman damai. Hari ini kedamaian dan keharmonian itu sedang diperjudikan oleh Najib terutama di kala dunia sedang dilanda krisis dan kegawatan. Sebagai menteri kewangan dan bakal Perdana Menteri, Najib amat tidak sopan membaca hati nurani rakyat. Semoga Allah menunjukkan orang yang lebih baik dan layak untuk memimpin Malaysia.

Sunday, March 1, 2009

Selamatkan Malaysia.

Mungkin kerana terlalu lama berkuasa, Umno/BN telah selesa dengan penyalahgunaan kuasa. Ada keptusan dan dasar yang dibuat secara tergesa-gesa dan membelakangkan kepentingan rakyat. Agensi kerajaan nampaknya begitu terkongkong dengan arahan politik.
Pemimpin yang menerima amanah segera mengintai peluang untuk mengumpulkan harta kekayaan. Tempoh berkhidmat sebagai wakil rakyat akan digunakan sebaik mungkin untuk tujuan tersebut. Banyak projek yang dirancang jelas membelakangkan kepentingan rakyat. Malah ada pemimpin yang sanggup mengorbankan harta benda rakyat atas nama pembangunan. Tanah rakyat yang diteroka berpuluh tahun terpaksa dikorbankan. Rakyat terpaksa berputih mata.
Ada wakil rakyat telah menjadi musuh penduduk setempat. Kunjungan rakyat untuk mengemukan masalah diangap sebagai penentangan terhadap rancangan pembangunan yang dibawa kepada rakyat. Hakikatnya, rakyat terpaksa mengorbankan harta yang diusahakan berpuluh tahun tanpa sebarang habuan dan pampasan. Harta itu jugalah yang mereka cuba pertahankan dengan mengundi Umno setiap kali pilihan raya dengan harapan ianya akan menjadi milik mereka yang sah.
Mungkin ada yang beranggapan perkara ini fitnah, tapi sebenarnya terdapat seorang Exco di negeri Darul Iman yang membuat laporan polis bila sekumpulan penyokongnya sendiri berkunjung ke rumah beliau untuk berbincang masalah pengambilan tanah untuk projek pembangunan yang di rancang. Isu tempatan, ia tidak akan melampaui beberapa bibir dan akan segera padam. Pemimpin tidak perlu bimbang, pilihan raya nanti rakyat akan termakan janji dan menaruh harapan yang serupa. Masih ramai lagikah rakyat yang percaya dan menaruh harapan?
Tidak semua rakyat mudah dijinakkan dengan janji dan pujukkan. Kesedaran rakyat akan memaksa pemimpin Umno gelisah antara keinginan yang tidak terbatas dengan kebangkitan dan penentangan rakyat. Umno/BN terpaksa guna apa sahaja untuk mempertahankan hayatnya. Penyakit ini sudah menular dan menyeluruh, tidak mudah anda mencari anggotanya yang bebas daripada wabak berbahaya ini.
Umno/BN kian tenat. Najib yang akan menjadi PM Mac nanti adalah bakal Perdana Menteri terburuk dalam sejarah Malaysia. Langkah-langkah awalnya ke Putrajaya penuh dengan onar dan kemungkaran. Demi untuk menyelamatkan Malaysia, PM Abdullah Ahmad Badawi tidak akan menyerahkan jawatan itu kepada Najib, soalnya kalau tidak Najib, siapa? Sesungguhnya Umno/BN dan saf kepimpinannya sudah tidak releven dalam politik Malaysia.