Wednesday, May 16, 2012

Kecelaruan fokus pemimpin negara.

Tun Mahathir menyifatkan tindakan peserta Bersih 3.0 sebagai samseng dan polis telah menjalankan tanggungjawab dengan baik. Lojik mudah beliau ialah polis perlu mengawal keadaan dan perlu bertindak, pastinya tindakan polis adalah wajar dan bertepatan. Polis tidak perlu tunggu dan dibelasah oleh samseng peserta bersih. Beliau bersetuju tindakan polis Malaysia adalah lembut berbanding kaedah kawalan anggota keselamatan setengah negara yang  terkadang mereka membunuh peserta perhimpunan sebagaimana bersih 3.0 baru lalu.

Pastinya Tun Mahathir tidak berada ditapak himpunan bersih dan segala maklumat lisan, bertulis atau bergambar adalah dari sebelah pihak. Maka adalah tepat jika Mahathir berpandangan demikian kecuali sememangnya pandangan beliau itu dengan niat  memburukkan situasi Bersih 3.0. Tindakan Mahathir terhadap Anwar misalnya, belum tentu kerana kesalahan Anwar sebagaimana difitnahnya tetapi atas niat yang beliau dan Allah sahaja yang tahu. Begitu juga terhadap himpunan Bersih 3.0, Mahathir tentu mengeluarkan kenyataan dan atas niatnya.

Menteri Besar Kelantan mewajibkan orang Pas menyertai Bersih 3.0 juga dengan niat dan pandangannya terhadap himpunan tersebut. Sekurang-kurangnya keyakinan Nik Aziz amat jelas sebagai ditulis dalam blognya,  "... Berarak berakar di Kuala Lumpur, akar ini pula bermula sebagai aktiviti keduniaan. Namun setiap aktiviti di dunia, Islam mengajarnya, pasti pengakhirannya di akhirat. Oleh sebab itu, tingkah lalu manusia perlu selari dengan prinsip agamanya  yag membolehkannya sampai ke syorga. Sama sekali ia tidak boleh selari dengan kehidupan yang menjurus ke neraka." Nik Aziz sandarkan segala aktiviti dunia kepada dosa dan pahala walaupun ianya sekadar janji dan harapan.

Peserta Bersih 3.0 yang hadir kerana diwajibkan oleh Nik Aziz amat sadar dan di pesan dengan nilai akhlak sewajar, Duduk Dan Bantah. Kerana niat barangkali Mahathir mudah menerima pelbagai gambaran daripada penentang Bersih 3.0 dan menolak selainnya. Niat dan pandangan Mahathir ini juga menyebabkan segala teori keganasan Bersih 3.0 adalah tidak benar kecuali yang datang daripada Umno dan polis. Malah beliau gagal menunjukkan penyesalan tindakan ganas dan  biadab beliau terhadap pembunuhan kejam di Memali oleh anggota keselamatan. Hingga hari ini Mahathir tidak mewajarkan tindakan beliau kecuali tuduhan melulu, bersifat samseng dan sombong. Nyata Mahathir tidak sandarkan kenyataannya kecuali kepada kesombongan dan samseng pihak penguasa.

Kalau Mahathir sedar masa beliau untuk membetul keadaan kian suntuk, beliau tidak perlu sibuk membantu Umno memusnahkan negara. Tuduhan Mahathir bahawa rasuah dalam Umno terlalu parah ketika merajuk dengan kepimpinan Abdullah Badawi, maka bagaimana beliau boleh aman dengan rasuah yang melampau dizaman Najib. Kita amat bimbang bahawa sejarah 22 tahun Mahathir sebagai Perdana Menteri akan terpahat sebagai sejarah paling durjana dalam negara dan kerakusan Umno dan elit mereka menzalimi khazanah negara akan membawa kemusnahan total.

Maka rakyat yang bimbang menganjurkan Bersih 3.0 supaya kecelaruan SPR dan kecelaruan fokus pemimpin negara yang dikembiri sifat amanah mereka boleh diperbetulkan. Saya tidak suka menyalahkan tindakan ganas polis atau kedegilan peserta Bersih 3.0 kerana segalanya bermula di sini: Umno sudah tidak releven.




Tuesday, May 8, 2012

Bersih itu Haram

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan kenyataan HARAM menyertai himpunan Bersih 3. Sarjana yang menganggotai Majlis Fatwa Kebangsaan mengambil kesepakatan bahawa himpunan yang disertai lebih 300 ribu orang itu haram. Menteri Besar Kelantan yang mewajibkan oanggota Pas menyertai bersih telah menganjurkan anggota partinya membuat kemungkaran, mewajibkan anggotanya melakukan sesuatu yang haram. Ulama-ulama dalam Pas dan Keadilan (jika ada) menikus berkenaan pengharaman oleh majlis fatwa berkenaan. Hanya TGNAZ merasakan anggota Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia melihat persoalan Bersih 3.0 dengan sebelah mata dan menggunakan cermin mata yang kabur. Nurl Izzah Anwar mengemukakan 6 persoalan kepada majlis fatwa berkenaan untuk diperhalusi buat dikeluarkan kenyataan.

Autoriti Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia sesungguhnya tidak perlu dipertikaikan dari sudut perkhidmatan sebagai satu badan yang bertanggungjawab bagi pihak kerajaan Barisan Nasional /Umno untuk meleraikan sebarang kekusutan permasalahan umat Islam di Malaysia. Timbalan Presiden Pas, Haji Mohamad Sabu selalu sinis ketika membuat komen terjadap majlis fatwa berkenaan. Begitu juga dengan anggota pembangkang, yang merasakan majlis itu merupakan terompah kayu Umno untuk ke jamban. Jadinya fatwa yang dikeluarkan oleh majlis yang begitu berautoriti kelihatan hilang wibawa. Dalam kes perdana Menteri menghadiri majlis perayaan agama Hindu atau bertafakur di Tugu Peringatan Negara, menampakkan "air liur" majlis fatwa tidak masin. Fatwa-fatwa yang dikemukakan jarang diikuti hatta oleh pemimpin kerajaan sehndiri.

Bukan tujuan tulisan ini untuk mempertikaikan autoriti Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia untuk terus mengemukakan fatwa. Malah kerana keyakinan kita terhadap majlis itu maka kita berharap pengharaman Bersih 3 dan lain-lain himpunan yang dirasakan oleh Umno sebagai haram diperkukuhkan dengan fatwa-fatwa terhadap isu berkaitan.

1) Apakah fatwa majlis terhadap SPR yang dipertikaikan ketelusan, keadilan dan penyalahgunaan amanah yang diberi kepada mereka dalam melaksanakan pilihan raya Malaysia yang betul-betul bersih. Dakwaan dan penemuan penyelewengan yang nyata dilakukan oleh SPR tidak pernah diselesaikan dan tuntutan Bersih tidak pernah diberi perhatian. Dimana pendirian majlis fatwa dalam isu ini kerana ianya bukan desakan pihak parti yang memerintah.

2) Kerajaan Malaysia dengan sebab penipuan licik SPR membolehkan kerajaan dipimpin oleh pemimpin yang korup, rasuah, mengutamakan fitnah, meninggalkan hukum Allah dan mengutamakan kepentingan parti pemerintah walau bercanggah dengan agama, maka apakah kerajaan berkenaan bukan kerajaan haram, dan petut dikelurkan fatwa berkenaan haramnya kerajaan sedemikian.

3) Apakah pula fatwa terhadap Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri yang mengetahui akan segala bentukan penyelewengan oleh kerajaan dan SPR tetapi gagal mengeluarkan fatwa terhadapnya. Begitu juga majlis perlu berfatwa terhadap kelengahan badan berautori itu dalam mengemukakan fatwa-fatwa (banyak sangat fatwa terutama apabila diminta oleh Umno) sehingga menimbulkan suasana gelisah dikalangan umat Islam. Jangan sampai umat Islam lebih mempertikaikan kewibawaan dan menolak fatwa oleh majlis.

Banyak yang majlis fatwa perlu membuat fatwa tetapi biarlah fatwa itu mampu menampakkan majlis tidak memihak. Seperti badan kehakiman,SPRM, SPR, Peguam Negara, atau  Polis Diraja Malaysia yang kian tersasar, maka jangan pula Majlis Fatwa Kebangsaan bersama dalam kelompak itu. Kita tidak pernah mempertikaikan ilmu ahlis majlis tetapi sebagai individu, anggota majlis mempunyai kecenderungan bukan dari ilmu.