Friday, November 23, 2012

Doa

Allah menyuruh umat Islam berdoa. Doa merupakan senjata orang Islam. Doa merupakan tanda kelemahan dan ketidakupayaan seorang hamba kecuali apa yang diberi oleh Tuhannya. Alah tidak suka kepada mereka yang tidak berdoa kerana sifat angkuh dan sombong makhlukNya itu. Solat yang difardhukan oleh Allah lima kali sehari semalam itu juga merupakan himpunan doa yang  diprogram khusus oleh Allah supaya hambaNya sentiasa mengingatiNya. Maka apa salahnya doa jika hajat setiap manusia itu mempunyai kepelbagaian. Misalnya Abu Jahal juga berdoa untuk menghancurkan Islam begitu juga Nabi berdoa supaya golongan kufar dihancurkan dan orang Mukmin mendapat kemenangan ke atas orang kafir.

Adik Nik Abdul Aziz MB Kelantan merupakan orang Pas. Apa masalah Nik Razi berdoa pada muktamar parti itu di Kota Bharu baru-baru ini supaya Allah menghancurkan Umno. Kita tidak tahu ada orang Umno yang mendoakan kehancuran Pas, tetapi jika mengukur tahap kebencian orang Umno terhadap Pas, mereka amat gembira jika Pas itu hancur buat selama-lamanya sebagaimana mereka ingin kekal dalam Umno, dulu, kini dan selamanya. Kita juga tidak pernah mendengar ada sebarang report polis dibuat oleh orang Pas kerana kebencian orang Umno terhadap mereka, tapi kita tahu ada report polis telah dibuat oleh penyokong Umno kerana Nik Razi (orang Pas) mendoakan kehancuran mereka.

Nik Razi diminta memimpin solat hajat untuk meminta kemenangan yang erti sebenarnya meminta Allah memenangkan Pas dan menghancurkan Umno. Seperti juga orang Umno yang mengadakan majlias baca Yasin, solat hajat untuk kemenangan mereka dan menghancurkan(?) Pas. Kita tidak yakin majlis yang seumpama itu dibuat oleh orang Umno supaya Allah memenangkan Pas atau sekurang-kurangnya meminta Allah memberi petunjuk kepada orang Pas. Umno yang tidak berjuang di atas dasar Islam tidak begitu komited untuk mengikut sunnah Allah dalam seluruh aktiviti kehidupan mereka kecuali dalam konteks ibadat khususiah. Titik perbezaan antara dua kelompok Melayu Islam, Pas dan Umno ialah kerana perbezaan tangapan dan pemahaman terhadap Islam. Tidak terlalu pelik jika dalam berdoapun mereka bertelingkah. Cuma Umno mempunyai ruang untuk mempromosi tangapan mereka yang dikira salah dalam memahami Islam oleh orang Pas. Umno juga mempunyai kuasa dan senang memanipulasi segala jabatan yang ada urusan dengan agama atau kedudukan Raja-raja Melayu itu sendiri. Banyak sangat Umno menunjukkan sifat kurang sopan bila bertelingkah dengan orang Pas, yang juga Melayu lagi Islam sebagaimana mereka meminta kesopan daripada Nik Razi supaya mendoakan mereka supaya mendapat petunjuk Allah.

Sesungguhnya Allah akan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki dan menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya. Sesiapa yang memilih sesat, mereka tidak akan mendapat petunjuk sebagaiman Abu Jahal yang tidak mendapat petunjuk dan makbul doa Nabi  dan sebaliknya Umar mendapat barkat doa Nabi itu. Umno tidak halangan untuk memilih petunjuk Allah dan tidak culas mentafsirkan Quran dan Sunnah Nabi Allah mengikut kehendak nafsu dan kepentingan kehidupan yang sekejap didunia.

Dalam konteks doa Nik Razi, orang Pas adalah orang Melayu Islam yang tertindas. Lebih 55 tahun hak orang Pas, hak Melayu dan hak Islam mereka dinafikan oleh Umno. Mereka didiskriminasi kerana pentafsiran dan pemahaman terhadap ajaran agama Islam yang mereka yakini. Apa salahnya seketika mereka mengadu kepada Allah terhadap Umno yang sering menzalimi dan menindas mereka sebagaimana Nabi Musa mendoakan kehancuran Firaun. Orang Umno tidak pernah mengetahui doa orang Pas yang sejak puluhan tahun, bermunajat kepada Allah supaya diberi petunjuk dan kefahaman mereka sepertimana dikehendaki oleh Islam sebenar. Orang Umno dan pemimpin mereka sebaliknya galak dengan amanah Allah dalam bentuk kuasa dan pemerintahan untuk menindas Melayu dan Islam. Mungkin mereka, orang Pas tidak sesabar nabi Nuh atau nabi -nabi yang lain, masa 50 tahun lebih adalah jangka masa yang panjang untuk melihat dan membiarkan kesesatan saudara mereka dalam Umno. Maka adalah wajar sekali jika Umno dihancurkan dan orang-orang yang berada dalam Umno akan mempunyai ruang lain untuk lebih memahami Islam. Sesungguhnya mereka tidak mampu memahami Islam selagi bersama Umno. Begitu juga Umno lebih tidak mampu memberi kefahaman tentang Islam kepada sahabat mereka yang bukan Islam. Selagi Umno tidak hancur selagi itu khurafat yang ditanam oleh Umno bahawa hanya parti itu yang mampu menjaga Melayu dan Islam. Kekeliruan rakyat bukan Islam terhadap Islam juga akan sentiasa berterusan jika negara ini berterusan dipimpin oleh Umno.

Nik Razi pada pandangan Pas dan Islam yang dianutinyanya yakin bahawa mereka tidak keliru dalam berdoa. Mereka hafal akan kaedah, adat dan tujuan sesuatu doa. Mereka juga menjaga adab-adab berdoa supaya doa mereka dimakbul sebagaimana mereka yakin doa mereka tidak akan dimakbul jika gagal menjaga adab-adab berkenaan. Antara adab-adabnya ialah menjaga ketaatan dan ketahuhan dalam beragama, membuat segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Nik Razi dikira oleh orang Pas paling layak memimpin doa berkenaan kerana akhlak beliau dan tahap ketaqwaan. Sekurang-kurangnya Nik Razi telah berjaya membuat penampilan sehingga kelompok muktamar parti itu di Putik memberi amanah kepada beliau untuk memimpin solat hajat dan berdoa. Orang pas dengan penuh keyakinan doa beliau insya Allah akan makbul. Jikalah Umno yakin dengan Islam dan pendekatan Islam yang dipegangnya, tentu mereka tidak gelisah dengan doa Nik Razi kerana mereka yakin doa tersebut tidak akan makbul kerana tidak mencukupi syaratnya kecualilah mereka berpendirian sebaliknya. Apakah Umno was-was dengan pegangan Islam yang ditafsir, dipegang dan diamalkan sekarang betul?. Doa kita pula ialah supaya Allah sentiasa memberi petunjuk dan kefahaman Islam hakiki semoga Islam berkuasa dan bukan dikuasai, hukum Allah dan syariat agamaNya dilaksanakan dan bukan dihina. Insya Allah. Amin.