Tuesday, March 31, 2009

Erti sembahyang dan tazkirah di Masjid Simpang, Taiping.

Peristiwa Nizar Jamaluddin MB Perak yang dipilih oleh rakyat dan Dr Zambry Ab Kadir MB Perak tajaan Najib Tun Razak bersembahyang di Masjid Simpang, Taiping, Perak sepatutunya bukan isu politik. Bertuah Masjid Simpang kerana menerima dua MB yang masih berkuasa dalam satu masa bersembahyang maghrib di sana. Kalaupun boleh dijadikan isu, kenapa Nizar yang menjadi imam dan bukan Dr Zambry? Siapa yang lebih patut dan lebih layak? Namun penyiaran berita yang tidak penting oleh media yang jelas cuba mempolitikkannya telah mendedahkan pelbagai kekuatan, kelemahan semua yang terlibat.

1) Pihak media yang tidak beretika cuba memburukkan Nizar dan menafikan peranan beliau sebagai ketua kerajaan negeri Perak walaupun statusnya sebagai MB Perak belum diputuskan oleh Mahkamah. Nizar apabila mencabar pemecatannya di mahkamah bermaksud beliau berkeyakinan bahawa haknya sebagai MB Peraka masih berlaku. Siapa media untuk menafikan hak Nizar dan melayan beliau sebagai bukan MB Perak.

2) Berdasarkan keyakinan tersebut Nizar berhak menjadi imam sembahyang maghrib apabila beliau diminta oleh imam Masjid Simpang, saudara Norhisyam Hashim. Tindakkan Imam Norhisyam juga membawa maksud rakyat masih berkeyakinan bahawa Nizar masih MB Perak yang sah dan diterima rakyat. Sebagai Imam masjid, saudara Norhisyam juga sudah terbiasa dengan MB Perak daripada Pakatan Rakyat yang akan bertindak sebagai imam jika berada di mana-mana masjid di seluruh Perak. Jika Norhisyam tidak memberi kepada Dr Zambry, itu sebagai suatu yang patut kerana bukan kelaziman MB Perak dari Umno suka menjadi imam sembahyang walaupun tidak dinafikan mereka juga berkebolehan. Imam Norhisyam bijak dalam membuat keputusan.

3) Nizar barangkali mendapat kelebihan sebagai calon parlimen bagi PRK Bukit gantang, tapi isi tazkirah 20 minit yang mengajak umat Islam bersatu di atas tali Allah untuk mengelakkan perpecahan adalah mutlak kerana ianya daripada Allah. Nizar menyeru mereka berdasarkan firman Allah, Tuhan Nizar dan Tuhan Dr Zambry. Dr Zambry yang sentiasa ceria tidak sepatutunya bermuram jika Nizar memperkatakan sesuatu yang menjadi keyakinan bersama. Beliau sepatutunya belapang dada dan berbangga dengan persamaan itu.

4) Hakikat Nizar tidak mengganggu program Dr Zambry dan Umno di masjid berkenaan itu adalah sah kerana sebagai imam saudara Norhisyam boleh memberi peluang kepada Dr Zambry dan Umno untuk meneruskan programnya selapas sembahyang Isyak. Di kampung-kampung biasa sangat program penduduk yang melibatkan orang masjid berlaku pertembungan, maka imam masjid biasanya dapat menyelesaikan dengan baik. Dr Zambry amat biasa dengan suasana ini jika biasa dengan masyarakat kampung.

5) Umno selalu menghalang persoalan politik dibawa ke masjid tetapi tidak bagi Pas. Konsep politik suku, agama suku yang dipegang oleh Umno akan menimbulkan persoalan bolehkah mereka untuk menggunakan masjid untuk bertahlil dan solat hajat. Untuk apa tahlil dan solat hajat berkenaan terutama di musim PRK Bukit Gantang. Fahaman politik Pas yang syumul dan tidak ada konsep pengasingan segala urusan hidup daripada agama dan masjid maka tindakan Nizar menjadi imam sembahyang Maghrib dan memberi tazkirah selamat 20 minit bukan politik tapi diyakini sebagai ibadat. Apa pula hak Dr Zambry dan Umno untuk menghalang Nizar beribadat di masjid Simpang. Kalau Dr Zambry merasakan tindakan Nizar bersembahyang dan memberi tazkirah sebagai menyalahgunakan masjid untuk tujuan politik, itu fahamannya dan idealogi Umno tetapi tidak bagi Nizar dan Pas.

Maka jika persoalan yang begitu kecil dan paling asas dalam kehidupan Umno melihat dari aspek yang keliru dan songsang, maka bagaimana rakyat boleh yakin kelayakan Dr Zambry sebagai MB Perak yang sah. Bagaimana Umno boleh begitu keliru dalam semua urusan? Serakah sangatkah Umno sehingga urusan ibadat dan keagamaan ingin dikawal, sedangkan sepatutnya segala urusan dan tindakan partinya di kawal oleh peraturan agama?

Umno selalunya jarang mengambil pelajaran kecuali menghalalkan segala cara untuk tujuan politiknya.

Monday, March 30, 2009

Tun Mahathir Bapa Perpaduan Umno.

Tun Mahathir seorang negarawan ulung. Tidak ramai yang dapat mempertikai karisma dan kewibawaannya membawa Malaysia pada kedudukan tersendiri pada peringkat antarabangsa. Sebagai rakyat Malaysia, ramai yang berbangga dengan keupayaan beliau.

Kecenderungan Tun untuk campur tangan dalam perkembangan politik Malaysia setelah menyerahkan teraju kepada PM Abdullah sepatutnya menjernihkan keadaan dan perlu diberi keutamaan. Tetapi sebgaimana pernah diucapkan oleh seorang Menteri Besar, politik Umno adalah seperti politik "beruk" yang berkumpul pada pohon yang berbuah. Tun Mahathir bukan lagi pokok rendang yang lebat berbuah.

Keadaan ini menyababkan idealisma beliau tercabar. Kritikan demi kritikan terhadap kepimpinan Umno menyababkan rakyat mula mempertikaikan prinsip beliau sebagai seorang negarawan ulung. Adakalanya beliau kelihatan seperti Quran buruk, nak baca tak boleh, nak buang rasa berdosa, dibaiarkan berhabuk di atas para.

Apakah beliau menyerahkan kepimpinan kepada pengganti yang tidak reti mengenang jasa dan pandai menilai intan atau kaca. Maka jadilah Tun selepas pengundurannya seperti cacing kepanasan, melihat salah urus yang kian menyakitkan. Kemuncaknya beliau bertindak keluar daripada Umno. Budak tingkat 4 dijadikan seteru yang nyata, dan beliau serang habis-habisan. Paling akhir ialah setelah kemenangan budak itu mengalahkan anaknya sendiri sebagai Ketua Pemuda Umno.

Tun bertindak tidak hadir ke majlis perasmian Persidangan Agong Umno yang baru selesai kerana kecewa para perwakilan telah memilih ketua mereka seorang yang telah didapati bersalah menggunakan wang dan sogokan dalam usaha untuk dipilih sebagai ketua pemuda. Kita amat menghargai prinsip dan tindakan beliau. Seorang negarawan ulung sewajarnya memberi contoh yang terbaik dalam apa jua tindakan. Barangkali kerana itulah proses membilang 790 undi untuk memilih ketua pemuda mengambil masa lebih daripada 6 jam. Tun sepatutunya tidak merasa hairan kerana kalau kita masih ingat usaha membilang undi semasa Tun dicabar oleh Tengku Razaleigh dulu mengambil masa yang lebih lama. Sepatutunya setelah belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris tahap kecerdasan orang Melayu makin meningkat.

Walau bagaimanapun Tun Mahathir masih menjadi sanjungan dan diterima oleh barisan kepimpinan Umno yang sedang nazak dengan penuh harapan. Kemunculan Tun pada majlis penggulungan ucapan perhimpunan Agong Umno diterima sebagai tanda rahmat dan berkat yang dapat menyatukan barisan kepimpinan Umno yang baru dipilih. Sayangnya Ketua Pemuda Umno yang baru masih belum dapat diterima secara terbuka. Kekalahan 2 lagi calon yang bertanding menyemarakkan tanggapan semua pihak bahawa rasuah sudah menjadi nadi dan hayat Umno. Kita tidak tahu apakah ukuran dan penilaian yang dibuat oleh Tun untuk memulaukan satu rasuah politik dan menerima yang lain. Adakah lebih 900 aduan kepada lembaga Disiplin Umno tertumpu kepada pemuda dan khususnya terhadap KJ? Kalau tidak kenapa beliau boleh menolak satu majlis Umno dan menerima majlis Umno yang lain?

Barangkali Tun sudah menjadi amat keliru atau sudah mula lupa atau akan cuba mengadai prinsip dan ketegasannya? Tun diyakini akan kembali kepangkuan Umno pada ketika parti itu terlalu sarat dengan rasuah politik. Tun sendiri dalam kenyataannya menegaskan bahawa barisan kepimpinan Umno ada yang tidak menyenangkan hati kerana aterlalu banyak wang yang ditabur. Paling kita keliru ialah kesanggupan untuk menunjukkan sokongan kepada Najib sebagai PM yang akan menggantikan PM Abdullah sedangkan Najib terlalu cemar dan aib dengan pelbagai skandal dan rasuah politik.

Apakah pula lebihnya Najib jika moralnya lebih kurang sama dengan Anwar Ibrahim yang telah beliau singkirkan. Bezanya Najib belum dibicarakan oleh mahkamah maka beliau tidak bersalah dan tidak perlu merasa bersalah. Bagaimana rakyat akan memberi tanggapan yang terbaik terhadap Najib tetapi membuat penilaian lain terhadap Anwar walaupun rakyat dapat menyaksikan pelbagai kekeliruan dalam proses pendakwaan dan pembicaraana terhadap Anwar? Apakah Tun cuba mempertahankan Najib walaupun tidak lebih baik daripada Anwar kerana dendam Tun terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat itu tidak mungkin terpadam?

Kalau maklumat tidak tepat maka Najib akan segera menjadi Perdana Menteri Malaysia. Najib yang dipertikaikan oleh lebih separuh rakyat Malaysia. Najib yang dipertikaikan kewibawaan dan moralnya oleh semua bangsa di Malaysia. Najib ini yang diharap oleh Tun untuk membawa Malaysia keluar daripada masalah yang sedang dihadapi; masalah dalaman Umno sebagai parti pemerintah, masalah hubungan kaum yang kian meruncing dan masalah global yang kian mencengkam penduduk sejagat. Barangkali tuahnya seorang bekas perdana Menteri yang akan dapat menyuntik semangat perpaduan di kalangan ahli Umno dan rakyat Malaysia.

Tun barangkali bekas Perdana Menteri Malaysia pertama yang meninggalkan bersama perjuangan Umno kerana Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia pertama mati sebagai seorang Perdana Menteri.

Friday, March 27, 2009

Berubah dan rebah.

Umno parti yang menerajui barisan politik pemerintah akan sentiasa menjadi tumpuan terutama pada usia senjanya. Perhimpunan Agong Umno kali ini banyak mencipta beberapa kejutan dan keajaiban. Antaranya;

1) Najib menjadi Presiden Umno dalam paling paling bermasalah bukan sahaja masalah peribadi dan pelbagai skendal, tapi parti yang diwarisinya itu berada dalam paling bermasalah. Najib sendiri meyakini bahawa Umno akan rebah jika tidak mahu berubah. Maka apakah perubahan yang bakal dibawa oleh Najib dan barisan kepimpinannya yang dipertikai integritinya.

2) KJ yang menang sebagai Ketua Pemuda Umno dipertikaikan terang-terangan kerana penglibatgannya dengan politik wang. Tun Mahathir memboikot perasmian Perhimpunan Agong Umno kerana sayap pemuda Umno itu secara langsung dan terbuka merestui rasuah.

3) Perdana Menteri Abdullah mempertahankan kemenangan menantunya kerana kerja kuat, bermakna beliau akan memastikan pengaruhnya kekal menodminasi politik negara. Abdullah mungkin tidak akan melepaskan jawatannya untuk waktu yang agak lama walaupun tidak menjadi Presiden Umno, sekurang-kurangnya bulan Ogos nanti?

4) Kemenangan dan kekalahan calon bertanding adat pertandingan tapi tidak dalam Umno. Puak yang menang akan memastikan dominasi kuasa dan akan bertindak menyingkirkan sesiapa yang dikenal pasti sebagai bukan kelompok. Kelompok yang tidak menang belum pasti akan menutamakan keuntuhan Umno. Umno akan terdedah kepada masalah perpecahan dan konflik dalaman yang kian parah.

5) Dalam tempoh terdekat Umno akan diuji di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, maka Umno akan berhadapan dengan Pakatan Rakyat di ketiga-tiga kawasan Pilihan raya kecil itu dalam keadaan luka masih berdarah, luka dan kesakitan kerana bergomol sama sendiri di perhimpunan Agong yang baru berlalu. 7 April 2009 mungkin tarikh yang paling tidak menarik dalam sejarah pilihan raya yang pernah disertai oleh Umno.

6) Umno masih gagal mendapat simpati rakyat dengan pelbagai helah politik untuk mendapatkan dan mengekalkan kuasa. Kegelojohan Najib di Perak, dan pelbagai onar Umno dan Barisan Nasional di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah akan sentiasa dikenang oleh rakyat sebagai politik yang mengutamakan kepentingan kuasa dan memperkosa kepentingan dan nasib rakyat.

7) Segala isu yang ditawarkan oleh Umno dan Barisan Nasional untuk memburukkan Pakatan Rakyat seperti isu ketuanan Melayu dan kesetiaan kepada raja menjadi tidak hambar dan tidak bermaya kerana kegagalan Umno menangani isu PPSMI, kegagalan menghapuskan rasuah, rasuah politik, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai masalah dalaman Umno. Umno terjerat dengan masalah yang diciptanya sendiri.

Menyoroti ucapan kosong para perwakilan dalam perhimpunan agongnya, kita amat faham bahawa Umno sudah muflis isu dan idealismanya. Kalaupun hebat, belum pasti Najib dan staf kepimpinan barunya berjaya memulihkan Umno. Umno pasti berubah dan rebah.

Thursday, March 26, 2009

Malu eh...,

Dikatakan bahawqa iman itu lebih daripada 60 cabangan, dan sifat malu sebahagian daripada iman. Orang yang kurang malu, kurang sempurna imannya.

Malu dalam konteks Islam apabila seseorang itu melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ajarannya dari aspek aqidah, syariat dan akhlaknya. Jarang yang merasa malu membawa aqidah yang salah kerana ianya suatu keyakinan dan seseorang merasa betul dengan yang diyakininya walaupun tidak selaras dengan kehendak Islam. Ukuran ketepatan aqidah ialah Quran dan hadith.

Syariat Islam yang bertujuan mengatur urusan kehidupan yang sempurna dunia dan akhirat. Golongan yang berakhlak mulia akan merasa malu jika gagal melaksanakan syariat, ibadah dan berakhlak secara yang digariskan oleh ajaran agamanya, Islam. Kerananya ada yang berpura-pura baik di hadapan orang yang diseganinya kerana sifat malu masih menebal terhadap peribadi berkenaan. Ramai yang menyembunyikan kejelekan dan maksiat yang dilakukan kerana sifat malunya, dan mungkin kerana itu ia masih mempunyai ciri orang beriman.

Bagaimana pula dengan golongan yang berbangga dengan perbuatan maksiat yang dilakukan atau melakukannya secara terang-terangan? Tidak merasa malukah mereka dengan perlakuan jelek, lucah dan segala yang di luar batas akhlak Islam? Kalau tidak kepada manusia, mereka seharusnya malu kepada Allah. Sesungguhnya tidak. Tidak pemalu mereka, malah berbangga melakukan maksiat.

Bagaimana pula jika mereka masih berupaya menonjolkan diri sebagai pemimpin. Mereka adalah orang Islam dan sering menonjolkan diri sebgai pembela agama dan bangsa tetapi dilihat semakin tipis sifat malu dan berbangga dengan akhlak yang hodoh serta dipertontonkan kepada khalayak.

Jika pemimpin itu seorang lelaki, masih boleh berdiri dengan gagah dan sanggup bersemuka dengan rakyat walaupun isterinya berpelukan dengan jantan lain dihadapan khalayak. Tidak dayuskah sifat berkenaan dan tidak ada tanda malu mereka dengan perlakuan berkenaan. Tidak malukah jika menjadi bini orang tapi masih ada hati menjadi pemimpin walaupun menduakan lakinya sehingga umum merasa geli melihat gambar mereka berpelukan, tersengeh, berbangga dan tidak reti malu.

Bagaimana pula yang tidak amanah dan terlibat dengan politik wang (baca rasuah)? Harta negara di sapu. Berusaha membeli undi dan mendapat mandat melalui rasuah. Tidak malukah mereka terhadap rakyat yang akan dipimpinnya dan kepada Allah juga?

Tidak patut malukah jika yang menjadi pemimpin itu terlibat dengan penyalahgunaan wang negara. Jika berbillion wang negara digunakan untuk komisen beli kapal selam ke, kapal terbang ke, kapal laut ke, atau apa-apa jenis kapal maka jika pemimpin berkenan tidak malu maka apa sebenarnya jenis pemimpin itu sebenarnya.

Apalagi dosa besar jika tidak membunuh atau menuduh seseorang melakukan pembunuhan. Ada pemimpin yang tidak peka, malah "pekak" dengan segala tuduhan membunuh yang dilemparkan kepada mereka dengan bersahaja dan tidak merasa malu dan harus bertanggungjawab membersihkan namanya. Nak kata sabar tidak layak, maka apa jenisnya manusia yang tidak tahu malu dan masih bercakap berkenaan nilai, moral, etika dan segala jenis kebaikan dihadapan khalayak.

Malas untuk mengungkit segala kejelekan-kejelekan yang sepatutnya boleh menyebabkan mereka malu untuk menunjukkan muka di hadpan rakyat. Lebih 900 tuduhan rasuah dan pengakuan bahawa parti yang memimpin negara sememangnya rasuah, hari ini mereka tidak malu bercakap tentang moral dan perjuangan untuk rakyat. Betul-betul tak tahu malu mereka.

Apapun mereka patutnya disedarkan supaya sebagai pemimpin mereka mesti bersifat pemalu. Dikatakan bahawa Rasulullah seorang insan yang paling pemalu. Maka rakyat hendaklah malu mempunyai pemimpin seperti mereka. Jika rakyat malu mempunyai pemimpin yang tidak pemalu, rakyat sewajarnya memilih mereka yang pemalu dan berakhlak mulia. Jangan malu-malu untuk membuang pemimpin yang tidak pemalu.

Tuesday, March 24, 2009

Umno...? Belum nyanyuk?

Hadharah hendaklah bersandarkan agama dan bergantung kepadanya, bukan agama bersandarkan hadharah dan bergantung kepadanya.

Al Quran menghuraikan secara terperinci dengan menyatakan jenis penyelewengan yang menjadi punca kemusnahan sesuatu kaum yang maju, dan hadharah yang dibangunkan itu tidak mampu mempertahankan dan menyelamatkan mereka. Di antaranya:-

1) KEZALIMAN

Kezaliman mengikut takrif Islam ialah: Apabila meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya. Manhaj Illahi dalam membicarakan perkara ibadah, syariah, akhlak dan nizam, mengatakan apabila beribadah kepada yang lain daripada Allah, menentang undang-undang Allah, membelakangi petunjuk yang dibawa oleh rasul Allah, maka hilanglah sifat kemanusiaan dan lahirlah sifat kebinatangan yang bertindak sewenang-wenang mengikut hawa nafsu terhadap rakyat jelata dan lain-lain.
( Abdul Hadi Awang : Hadharah Islamiah bukan Islam Hadhari)

Apakah sandaran sebenar kepimpinan Umno/Be End dalam mengurus dan mentadbir negara setelah mandat dan amanah mereka kuasai?

Umno/Be End telah, sedang dan akan sentiasa memperalatkan segala-galanya untuk mengekalkan kuasa. Mereka cuba menutup sumber maklumat dari akar umbi kejahatan dan kejelekkan kepimpinan mereka daripada tersebar kepada khalayak. Mereka menyekat pengeluaran Harakah dan Suara Keadilan, maka mereka telah memperkosa mandat demokarasi dan kebebasan bersuara melalui akta yang tidak bertamadun demi kuasa yang belum pasti di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Semasa PRK Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Harakah dan suara Keadilan dilihat mempunyai saham dominan untuk memenangkan Pakatan Rakyat, maka peranan itu perlu disekat. Mungkin satu percaturan yang betul, tetapi dalam keadaan sekarang Umno akan melakukan apa sahaja untuk menyambung hayatnya. Mereka gagal mengambil kira sentimen kebencian rakyat kepada Umno dalam merancang dan bertindak. Lenyapkah prasangka rakyat terhadap Umno melalui pergantungan itu? Adakah akan segera dilupakan oleh rakyat segala kejahatan pemimpin Umno dan mereka bersegera memaafkan dan menyokong parti itu dalam PRK 7 April nanti?

Dikhuatiri Umno makin hilang pertimbangan lantaran sentuhannya yang kian kecundang. Senarai kegagalan yang kian bertambah dalam mengembalikan keyakinan rakyat, gagal memadam ego Umno untuk terus berbangga dengan sejarah silamnya. Dan bukankah Umno sedang mengatur langkah keperkuburannya? Sama-sama kita tunggu.

Saturday, March 21, 2009

Masih adakah harapan?

Tun Mahathir masih menaruh harapan supaya Najib menjadi PM mengganti Abdullah tetapi dengan persoalan, apakah Najib dapat memulihkan Umno sehingga kuat semula?

Beliau juga mengesahkan bahawa pemimpin dan ahli Umno semuanya mengutamakan kepentingan diri dan Umno parti perasuah. Bolehkan Umno menjadi kuat jika parti itu dipimpin oleh perasuah?

Sejak zaman Tun Mahathir lagi Umno cuba membendung rasuah dalam politik tapi tidak berjaya. Kini Lembaga Disiplin dan Tribunal yang ditugaskan untuk mengatasi rasuah dalam Umno telah mula dipertikaikan kewibawaannya bila ada perasuah dihukum, ada yang diberi amaran dan ada yang dipejamkan mata. Siapa yang dapat menyekat kesangsian rakyat dan kecenderungan rakyat untuk mempercayai adanya permainan antara calonTimbalan Presiden dengan Pengerusi Lembaga Disiplin dan Najib sendiri?

Najib, walau siapapun yang dipilih menganggotai kabinetnya, kabinetnya adalah terdiri daripada para perasuah. Abdullah tidak perlu merencana pilihan Najib untuk melengkapkan keanggotaan kabinet perasuah kerana Najib sendiri bertempek dengan pelbagai tuduhan salah laku rasuah.

Jika Tun masih mengharapkan Umno membela Melayu, sesungguhnya ramai Melayu mengutuk Umno kerana menghancurkan Melayu. Melayu mula mengharapkan Umno dihancurkan untuk memertabatkan bangsa Melayu.

Sememangnya Umno makin menebal dengan penyakit mementingkan diri sendiri, maka bagaiman Tun Mahathir mengharapkan kebaikan untuk rakyat daripada pemimpin yang rakus dan sentiasa mencari peluang? Masih adakah harapan untuk Umno sembuh daripada penyakitnya?

Friday, March 20, 2009

Dominasi kuasa kian mutlak

Najib kian hampir kepuncak kuasa. Abdullah Badawi akan menyerahkan tampuk kuasa menjelang April nanti. Penerahan yang akan menambahkan kuasa Najib dan keupayaannya untuk memperjudikan nasib negara.


Paling jelas ialah kegagalan Najib menjelaskan tindakan beliau memperalatkan pelbagai institusi bagi melangsungkan kerjaya politiknya. Kegagalan Ali Rustam bertanding Timbalan Presiden jika benar kerana tidak disenangi oleh Najib, negara akan menghadap sukar di bawah beliau.


Najib sedang membina immunitinya tersendiri. Penggantungan Gobind Singh Deo AP Puchong selama setahun kerana meminta penjelasan Najib berkaitan isu pembunuhan Altantuya adalah sikap sebenar Najib. Najib akan berkuasa dan bersedia untuk memperalatkan kuasanya demi kekuasaan.


Ahli Umno berharap satu perubahan setelah PM Abdullah dianggap sebagai penghalang perubahan. Apakah perubahan yang diingini oleh ahli Umno dibawah kepimpinan Najib. Kita belum menyaksikan kehebatan Najib selain keupayaannya mengumpul pelbagai tanda tanya dalam kerjaya politiknya.


Jika sekiranya Najib tidak malu dengan segala tuduhan dan tohmahan terhadap beliau, rakyat sepatutnya malu orang yang akan menjadi pemimpin mereka sanggup bertindak secara tidak bertamadun untuk menutup segala tuduhan dan tohmahan terhadapnya dan bukannya dengan penjelasan yang munasabah. Bagaimana Najib boleh mengharapkan rakyat boleh mempercayai dan meyakini kejujurannya.


Kita kian keliru dengan kekeliruan ahli Umno menilai, menaruh harapan dan memberi amanah kepada seseorang sebagai pemimpin. Sesungguhnya ahli Umno sudah terlalu sesat dalam rimba rasuah politik dan menjadi buta untuk menilai kebaikan.