Wednesday, February 17, 2010

Maulidur Rasul sunnah siapa?

Umno/BN bukan sahaja jahat juga jahil. Kerja-kerja jahat, tidak menafikan "sekelumit jasa Umno/BN", menyebabkan penderitaan berpanjangan rakyat di negara yang kaya dengan pelbagai khazanah alam, anugerah Allah.

Keupayaan Umno/BN memerintah Malaysia sejak merdeka membolehkan parti itu menguasai dan mengeksploitasi pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi meneruskan hayat politik mereka. Seseorang tidak perlu menjadi bijak untuk menelusuri setiap kejahatan Umno/BN, terutama tindakannya memperalatkan institusi kehakiman, anggota keselamatan, media dan sebagainya, yang semua berfokus mempertahankan kuasa dan merompak khazanah negara.

Paling menyedihkan ialah kesanggupan Umno/BN menabur "fitnah" dan menyebarkan kegelisahan di kalangan rakyat, terutama di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Unit "media perdana" melemparkan jauh-jauh sebarang bentuk etika dan tanggungjawab sosial untuk menabur "fitnah" dan mempertahankan ketuanan Umno/BN.

Serangan terhadap Selangor, Kedah, Kelantan , Pulau Pinang , tidak akan berakhir, walaupun kesan jahatnya "terpaksa" ditanggung oleh semua rakyat sebagaimana yang telah mereka lakukan di Perak. Segala institusi termasuk keselamatan, kehakiman dan raja berpelembagaan "dinodai" dan "diperalatkan semaunya" untuk menafikan pilihan rakyat yang sah. Mereka telah lakukan dengan jayanya di Perak.

Terkini ialah fitnah dan pembohongan yang direncanakan ke atas KM Pulau Pinang . Kerja jahat dan jahil media mengeksploitasi isu perkauman untuk membangkitkan kebencian dan kegelisahan rakyat. KM Pulau Pinang dikatakan membatalkan perarakan Maulidur Rasul peringkat Negeri Pulau Pinang kerana beliau seorang China dan Dap. Aibnya, setelah mengabaikan kepentingan Melayu Pulau Pinang dan menghina Islam, Umno/BN cuba menambat hati rakyat dengan bertindak sebagai juara, juara yang meminggirkan Melayu dan Islam sejak lebih setengah abad memerintah Malaysia dan Pulau Pinang. Apakah kemunduran Melayu Islam di Pulau Pinang kerana berada setahun lebih di bawah Lim Guan Eng?

Kerja jahat Umno/BN mendedahkan kejahilan mereka. Jika benar, apalah erti perarakan Maulidur Rasul kepada Melayu dan Islam. Sudah berpuluh tahun Umno menyambut perayaan Maluidur Rasul, namun Islam makin jauh daripada sanubari orang Melayu. Akhlak generasi terkini terlalu asing dengan akhlak Rasulullah. Umno/BN mesti bertanggung jawab dan mengakui bahawa keruntuhan akhlak golongan muda kerana salah urus mereka. Apa yang Islam dapat dengan perarakan yang "bukan sunnah" dan tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah sendiri. Jahil dan jahatnya Umno, memaksa doktrin yang bukan ajaran Islam sebagai suatu sunnah. Sunnah siapa sebenarnya perarakan Maulidur Rasul itu?

Kenapa Umno/BN tidak menyerang Kelantan dibawah pimpinan Nik Aziz yang Pas dan Islamik serta tidak berminat dengan perarakan Maulidur Rasul. Umno/BN sebenarnya "kelemasan" dan akan mencapai apa sahaja untuk menyelamatkan diri daripada terus tenggelam. Makanya tindakan mengeksploitasi "isu-isu" menampakkan mereka kian ngawur dan bodoh. Umno/BN sesat kerana mereka ada ulama tetapi memperalatkan ulama sebagaimana mereka lakukan terhadap institusi kehakiman, raja berpelembagaan dan semuanya. Kalau boleh Umno/BN suka mengawal segalanya termasuk mengatur dan menguruskan "Tuhannya" sendiri.

Monday, February 8, 2010

Melayu

Siakap, sinohong, gelama, ikan duri,
Bercakap bohong boleh jadi menteri.
Modifikasi pantun tersebut terhasil daripada kreativiti insan seni. Pantun yang dalam masyarakat Melayu lama merupakan media terpenting untuk menyatakan idea, pengajaran, sindiran, perasaan hati, humor, nasihat dan segalanya. Makanya ramai yang mahir berpantun dan mereka yang ahli selalu mendapat tempat dalam masyarakat. Biarkanlah, tidak ramai yang merindui sejarah silam budaya orang Melayu yang indah dan terlalu berbudi itu.
Malayu sudah tidak ampuh berhadapan dengan serangan budaya luar. Mencari Melayu yang bercirikan kemelayuannya tidak mungkin ketemu walaupun pada diri Ibrahim Ali, wakil rakyat yang dapat diibaratkan "kacang lupakan kulit " bergegar dan berdegar-degar disetiap medan untuk menyatakan semangat kemelayuannya. Itu Ibrahim Ali yang sanggup melompat ke Pulau Pinang untuk memperjuangkan hak Melayu yang kian dibunuh oleh orang Melayu sendiri dan pembunuhnya ialah Umno.
Saya teringatkan pantun tersebut bila membaca kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharum yang melontarkan sasaran kementeriannya untuk tidak mengimport beras menjelang tahun 2015 nanti. Seperti juga bekas PM terhebat, Tun Mahathir dengan slogan Malaysia Boleh dan Malaysia maju menjelang 2020, atau Bekas Menteri Besar Kedah Syed Razak dengan slogan Kedah Maju menjelang menjelang 2010, semua merupakan cakap bohong orang yang menjadi menteri. Meloyakan dan terasa nak muntah.
Para menteri pembohong itu mudah melepaskan helah bahawa sasaran mereka tidak menjadi realiti kerana terpaksa berundur dari kerusi kementerian mereka. Kalaupun dibiarkan mereka lena dikerusi kementerian mereka sehingga ajal menjemput, mereka belum tentu berjaya kerana mereka bukan daripada bangsa membela rakyat. Tempoh berkuasa dikerusi masing-masing digunakan untuk mengaut habuan perut, mengumpul kekayaan untuk bergenerasi anak cucu cicit mereka. Amanah yang diberikan oleh rakyat merupakan peluang mereka untuk menjadi kaya raya dan merompak sebanyak mungkin harta negara. Itulah Melayu yang sepadan dengan pantun yang juga berubah sifat kemelayuannya, santun dan berbudi tinggi.
Para Melayu yang telah diberi amanah lebih setengah abad sejak 1957, bukan sahaja sifat kemelayuan mereka telah luntur malah meraka akan mengadai segala-galanya kerana malu dan rasa rendah diri mereka kerana dilahirkan sebagai Melayu. Maka mereka akan bercakap dengan sejuta lidah mempertahankan segala nilai kemelayuan yang mereka racun dengan nilai hendonisme yang diwarisi dari barat lagi kufur itu. Di atas puing-puing keruntuhan nilai bangsanya itu para pemimpin yang dayus ini cakap berdegar-degar mempertahankan kemelayuannya. Memalukan.
Busuk hati pemimpin Melayu ini amat ketara. Bukankah rakyat Kelantan dan rakyat Terengganu di bawah kerajan Pas bukan Melayu maka hak royalti mereka di nafikan. Bukankah mereka membunuh keselesaan Melayu di negeri berkenaan untuk menentukan pemerintahan yang mereka suka.
Jahat perangai pemimpin Melayu menyebabkan mereka sanggup menafikan kemenangan pemimpin Melayu yang bukan dari puak mereka di Perak. Melayu inilah yang memperkudakan mahkamah kerana kuasa dan politik sempit mereka.
Perangai hodoh pemimpin Melayu menyebabkan mereka sentiasa mencari helah untuk memburukkan ketua Pembangkang dengan pelbagai tuduhan yang hina dan menjijikkan. Kurang Melayukah ketua Pembangkang sehingga beliau perlu menerima penghinaan sebegitu rupa. Bukankah Melayu yang Islam akan sedaya upaya mendiamkan aib saudara mereka dan bukan menghebahkan dengan tujuan menjatuhkan dan memalukan saudara mereka.
Jelek pemimpin Melayu menyebabkan mereka tidak dapat mengenal Ustaz Azizan Abdul Razak di Kedah dan Khalid Ibrahim MB selangor sebagai Melayu dan perlu diberi sokongan dan bukan diratib siang malam untuk melihat kehancuran mereka. Perangai Melayukah itu yang mereka pertontonkan. Maka sepatutnya mereka malu menjadi Melayu lantaran kejatahan yang disadari yang bersarang di sudut hati mereka.
Pemimpin Melayu jugalah yang datang dari Sarawak dan Sabah, bercakap memperlekehkan Kedah, Kelantan, Pulau Pinang malah Selangor, negeri dibawah Pakatan Rakyat sebagai tidak maju seolah-olah mereka bukan dari negeri berkenaan yang sememangnya terkebelakang kerana diskriminasi pemimpin Melayu Umno. Pemimpin Melayu yang memugar hasil Sarawak dan Sabah dan membiarkan negeri itu mundur semaunya.
Kesimpulannya, Melayu Umno yang menolak ugama dan budaya mereka sendiri perlu ditolak. Melayu ini bercakap lain dengan kursus BTNnya dan mempromosi slogan 1 Malaysia yang tidak difahamai dan dicerna sebaiknya walaupun oleh Najib sendiri.

Saturday, January 30, 2010

Tengku Razaleigh @ Kuli

Pemimpin Umno disemua peringkat nyata bukan terdiri cerdik. Tun Mahathir telah mengeluarkan kenyataan tersebut ketika mengulas rasuah @ politik wang dalam parti itu. Beliau juga berpendapat bahawa Umno mereput sehingga ke ususnya. Namun kita kurang pasti, apakah kabinet pimpinan Najib adalah kabinet sekelompok manusia "bodoh" yang mendapat mandat secara tidak cerdik untuk memimpin sebuah negara , Malaysia.

Apapun kita boleh mempercayai mereka sebagai "tidak bodoh" jika diteliti "trend" politik Tun Mahathir yang akan menolak setiap peribadi yang cerdik dan berkarisma daripada kabinet beliau secara licik dan penuh tipu muslihat selama 22 tahun memerintah. Tertinggal dalam Umno ialah para pengampu, penjilat dan sanggup mengorbankan apa sahaja hatta bangsa dan agama. "Kebodohan" pemimpin Umno terkadang begitu sukar dipercayai malah sikap mereka terlalu "anih" untuk dipadankan dengan manusia normal.

Kes tuntuan royalti minyak dan gas di Kelantan cukup jelas. Tanya seluruh rakyat Kelantan kecuali beberapa kerat pemimpin Umno Kelantan, mereka pasti berkeyakinan bahawa khazanah yang dilombong oleh Petronas dalam kawasan perairan Kelantan milik mutlak negeri Kelantan, seperti juga milik Sabah, Sarawak dan Terengganu ketika petroleum dilombong di negeri itu.

Ramai yang tidak mampu menjangkau pemikiran Mustapa Muhamad dan Awang Adek Hussin, yang begitu keliru untuk bersama Menteri Besar Kelantan menuntut hak royalti daripada Petronas sedangkan Tun Salleh Abas dan Tengku Razaleigh Hamzah yang merangka Akta Pembangunan Petroleum 1974 mengesahkan hak dan tuntutan Kelantan.

Rakyat sepatutnya merasa sedih kerana membiarkan Umno begitu lama memerintah. Pertikaian isu royalti yang dituntut oleh Kelantan bukan perkara baru. Petroleum yang digali di perairan Kelantan - Terengganu bermula sejak 1984, ketika Kelantan diperintah oleh Umno. Cerdiknya pemimpin Umno, mereka gagal megesan hasil negeri dipunggah lebih 25 tahun dan kini Tok Guru MB Kelantan berjaya membuka mata rakyat Kelantan untuk mendapatkan hak mereka. Pemimpin Umno Kelantan seperti Mustapa Muhamad dan Awang Adek masih gagal menentukan hak dan tanggungjawab. Mereka inilah yang beria-ia untuk menjatuhkan Tok Guru Nik Abd Aziz dan kepimpinan Pas Kelantan yang berusaha mengembalikan hak rakyat Kelantan.

"Kecelakan" kes royalti bukan sahaja di Kelantan yang diperintah oleh Pas, malah turut terjadi di Terengganu. Kebodohan pemimpin Umno ketika Pas memerintah Terengganu seketika (1999 hingga 2004), menyebabkan Terengganu dinafikan hak royalti sehingga hari ini walaupun Menteri Besarnya Datuk Ahmad Said bertindak cerdik untuk mengembalikan semula hak royalti "kekantung" perbendaharaan negeri Terengganu. Datuk Ahmad Said bukan MB yang disukai ramai terutama oleh para juak Idris Jusoh, kerana itu beliau berfikiran lebih rasional?

Hari ini ketika Tengku Razaleigh Hamzah berada di pentas Pas bersama rakyat Kelantan menuntut royalti, di mana Tun Mahathir sebagai negarawan terbilang? Tun Mahathir yang kritis, kenapa berat mulut untuk bersuara demi rakyat Kelantan. Apakah isu royalti tidak dapat menyentuh minat beliau kerana beliau pernah mencelarukan istilah royalti dengan wang ihsan di Terengganu. Beliau juga tidak mempu memberi jawapan kepada istilahnya ketika menunaikan hak Sarawak dan Sabah. Maka apakah beliau akan terus mencaturkan dan mencorakkan urusan negara dan tega melihat negara kehilangan segalanya.

Hari ini, rakyat Kelantan melihat Tengku Razaleigh di atas landasan yang tepat. Barangkali banyak dosa dan jasa beliau kepada rakyat Malaysia terutama orang Kelantan, namun disenja usia beliau bertindak sebagai negarawan ulung. Sejarahnya tidak secemerlang Tun Mahathir, tapi penampilan beliau jika menjadi Perdana Menteri Malaysia akan menjadi lebih baik daripada Tun Mahathir yang licik dan pendendam. Tun Mahathir yang banyak merosakkan kemurnian yang asaskan oleh para pejuang terdahulu .

Pilihan raya umum ke 13 nanti rakyat perlu membuat pertimbangan semula. Mengharpakn Umno sebagai pejuang dan pembela bangsa Melayu dan agama Islam adalah karut. Umno yang bercakap dengan sejuta lidah dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Dan yang amat membimbangkan ialah imej pemimpin negara yang sanggup memperjudikan nasib seluruh rakyatnya sendiri kerana kuasa dan harta. Apa jenis pemimpin yang sanggup merompak harta dan hak rakyat kalau bukan dari kelompok Umno .

Terima kasih Tengku.

Wednesday, January 27, 2010

Pasir

Banyak perkara misteri di sebalik tembok kepimpinan negara. Sumpah menjaga rahsia negara tersimpul dan terbungkus kemas dalam lipatan pengetahuan pemimpin yang silih berganti. Maklumlah yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti. Lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, sudah 6 Perdana Menteri menerajui Malaysia. Ada antara mereka membawa rahsia negara kepusara mereka. 2 bekas PM masih hidup bersama kita dan Tun Abdullah seperti selalu, beliau tidak gemar bercakap. Beliau meninggalkan Putrajaya dengan 1001 rahsia yang tersimpan kukuh dalam lipatan sanubarinya.

Berbeza dengan Tun Mahathir yang mengetahui dan menyimpan terlalu banyak rahsia negara terkadang gagal mengawal emosi ketika melihat kepincangan pentadbiran dan pengurusan negara. Sesekali beliau yang tersasul pasti memberi impak kepada pemimpin terkini, Najib.

Peristiwa penyeludupan pasir yang kini menjadi agenda utama SPRM menyerang Kerajaan Pakatan di Selangor bukan perkara baru. Sebelumnya Tun Mahathir ada menyebut lebih 500 buah lori pasir menyeberag Selat Teberau setiap hari. Maklumat daripada kawannya mengatakan ianya 700 buah. Biar berapapun Tun Mahathir seakan mempercayainya.

Biarkanlah kerana ianya bukan cerita baru. Mungkin TPM, Muhyidin Yasin tahu hakikat sebenarnya di sebalik kes penghantaran pasir tersebut. Atau Syed Hamid yang telah meninggalkan kabinet sejak zaman Tun Mahathir juga ada rahsianya sendiri.

Persoalannya, apakah pemungahan pasir ke luar Malaysia fenomena baru dan tidak pernah berlaku di zaman Tun Mahathir. Kalau berlaku kenapa rakyat tidak mengetahui sebarang tindakan untuk menghalangnya. Barangkali kecekapan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, telah menjadikan Malaysia cukup mewah untuk memperdagangkan hasil buminya. Pemunggahan pasir tidak berlaku dizamannya. Apapun rakyat gagal diyakinikan dengan warisan terkini tiada kaitan langsung dengan zaman silam Tun Mahathir yang gemilang.

Apakah Najib juga akan gagal menyelamatkan Malaysia daripada warisan yang merosakkan itu setelah Tun Abdullah gagal melaksanakannya dengan baik?

Rakyat juga gagal diyakinkan bahawa Tun Mahathir benar-benar naif untuk memahami kecelaruan masa kini adalah kerana kegagalan para pemimpin selepasnya memisahkan diri daripada kejelekan yang terbina sekian lama di bawah pemerintahan Tun Mahathir. Begitu juga rakyat tidak mungkin yakin beliau tidak faham erti royalti dan wang ihsan yang suatu ketika membelit pemerintahan Pas di Terengganu dan kini mula menular ke Kelantan. Banyak sangat untuk membilang kecelauran masa kini dan menghubungkannya dengan Tun Mahathir.

Kenyataan yang patut kita renungi ialah sudah tinggal berapa kerat pemimpin Umno seperti Tengku Razaleigh Hamzah masih tinggal dalam parti yang kian reput itu. Jika sudah tidak terlalu ramai apalagi yang dapat diharapkan dari parti itu. Ucapkanlah selamat tinggal kepada UMNO.

Monday, January 25, 2010

Terima kasih cikgu.

Guru Pembiak Budaya Saman. Berita muka depan Kosmo 25 Januari 2010 berkenaan sepasang guru suami isteri bertindak mengemukakan tuntutan saman bernilai RM 1.5 juta terhadap 2 orang Guru Besar dan seorang pegawai Jabatan Pendidikan Kedah benar-benar mencemar maruah dan reputasi para pendidik. Tindakan saman menyaman merupakan perkara biasa dan menghubungkan tindakan guru berkenaan sebagai pembiak budaya saman adalah keterlaluan dan kurang ajar. Terasa pihak Kosmo tidak pernah mendapat khidmat sekelumit kebaikan daripada mereka yang bernama guru atau ada dendam mereka terhadap guru. Jahatnya guru hinggakan hasrat mempertahankan hak perlu dipandang serong oleh masyarakat. Dan itu kehendak sebenar daripada olahan pemberitaan tersebut.

Pemberitaan yang bodoh oleh media massa banyak meninggalkan kesan kepada masyarakat. Imej guru yang sentiasa mendapat penghargaan dalam masyarakat menjadi kian luntur disebabkan pengolahan sudut pandangan yang kian menyerong terhadap guru. Media yang ghairah melaporkan sudut pandang yang negatif berkenaan para pendidik kian terjerat dengan persepsi buruk masyarakat kepada pendidik sedangkan mereka tidak mampu keluar dari lingkungan pengaruh institusi berkenaan. Bodohnya mereka menyerahkan nasib dan masa depan generasi kepada pendidik yang mereka curigai. Kalau bukan apa usaha mereka untuk memertabatkan profesion tersebut?

Ungkapan lapuk berkenaan pengorbanan guru tersimpan dalam catatan lama atau sesekali dilontarkan sebagai penyedap bicara kepada golongan yang banyak bekorban untuk pembangunan masyarakat. Sesungguhnya penilaian , penghargaan dan penghormatan masyarakat kian seorang. Penyangak, penipu, pembunuh, perasuah mendapat tempat dan sanjungan kerana keupayaan mereka memiliki kuasa dan menaburkan benda . Media berdaya upaya menjauhkan masyarakat daripada ilmuan dan menonjolkan orang yang bodoh dan rosak akhlak sebagai idola. Para pengiat seni murahan yang hampir relai keuntuhan akhlak diperlihatkan sebagai orang yang perlu dicontohi dan bukannya budaya ilmu yang diterapkan oleh para sarjana, ilmuan dan guru.

Anihnya, bila masyarakat hampir punah, kedai-kedai buku menjadi lengang dan para ilmuan tidak dihormati, media sekali lagi meletakkan kesalahan dipundak guru. Guru yang salah. Pendidikkan yang tidak berkesan. Komitmen guru yang meragukan. Akhlak para pelajar menjadi rosak. Persoalannya apa pula tanggungjawab media untuk membetulkan keadaan? Cukupkah dengan mengutuk dan memandang rendah kepada para pendidik dan dalam masa yang sama meneruskan kegiatan mencari laba daripada daki dunia dengan kegiatan yang tidak berakhlak dan beretika?

Hodoh sangatkah seorang guru mempertahankan hak dan kehormatannya di mahkamah. Berapa ramai pula guru yang menjeruk hati dan perasaan mereka bila berhadapan dengan perangai ketua mereka di sekolah, pegawai-pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah, pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri atau daripada pihak Kementerian Pelajaran sendiri. Dalam keadaan politik rakus UMNO menguasai pentadbiran, bukankah ramai guru yang teraniaya dan dinafikan pelbagai hak dan kemudahan. Kebajikan mereka dinoda. Apakah media sangup menelusuri setiap jerih seorang guru berhadapan dengan penjenayah bangsa, agama dan tanah air daripada kalangan orang politik yang berkuasa.

Media adalah penjilat dan mengulum setiap najis dan kekotoran para pemimpin yang hilang sera terhadap nurani bangsa. Maka pemberitaan media sentiasa terarah kepada menghancurkan tamaduan sebuah bangsa.

TERIMA KASIH GURU.

Wednesday, January 6, 2010

Di Malaysia: Allah, tuhan siapa?

Umno bagaikan mendapat kekuatan baru. Isu penggunaan kalimah "Allah" oleh sebuah penerbitan Keristian membolehkan Umno bertindak sebagai juara mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam. Bukan sahaja mahkamah, Umno mungkin akan menggunakan kementerian tertentu dan institusi raja-raja Melayu untuk mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap parti itu yang kian luntur.

Penggunaan kalimah "Allah" terlalu amat asing kepada orang Keristian di Malaysia. Konsep ketuhanan Keristian juga amat berbeza dengan Islam walaupun Islam dan Keristian dari rumpun agama samawi yang sama. Keinginan yang mendesak penerbitan mingguan Keristian tersebut untuk menggunakan kalimat "Allah" boleh menimbulkan kecurigaan kepada penganut Islam yang peka walaupun dalam Islam sendiri penggunakan kalimat "Allah" tidak pernah ditegah untuk orang bukan Islam. Hakikatnya, Allah adalah Tuhan semua manusia termasuk tuhan bagi mereka yang bukan Islam.

Gejala murtad dan gerakan keristianisasi di kalangan orang Melayu beragama Islam sudah terlalu heboh dan mendesak. Orang Melayu sudah cukup sabar dan amat bertoleransi dalam perkara ini. Kerajaan sendiri tidak memandang berat isu berkenaan menyebabkan penganut Keristian bagaikan mendapat lampu hijau untuk menyebarkan agama mereka kepada penganut Islam. Maka apakah kesungguhan pertubuhan Keristian tersebut berusaha menggunakan kalimat "Allah" juga sebagahagian daripada program kristianisasi di Malaysia khususnya kepada orang Islam? Seeloknya bagi menjamin keamanan dan hubungan baik antara agama, isu-isu seperti ini perlu ditangani secara lebih berhemat.

Isu penggunaan kalimah "Allah" oleh penerbitan mingguan itu juga menunjukkan kelemahan kerajaan dalam menjaga hak orang Melayu dan agama Islam. Kerajaan sebenarnya gagal menjaga aqidah dan kepercayaan orang Islam sehingga segolongan penganut Islam tidak diyakini dapat mempertahankan aqidah mereka daripada anasir luar. Pemantapan aqidah dan pemurnian ajaran Islam amat diyakini dapat menahan penganutnya daripada gejala murtad. Persoalannya, Umno yang menjadi tulang belakang pemerintahan di Malaysia sendiri dipersoalkan kemurnian aqidah dan anutannya dalam kehidupan bersyariat. Umno sendiri tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar dan membuka seluas-luasnya kegiatan mungkar yang dilarang oleh Islam diamalkan di Malaysia hatta di kalangan orang Islam sendiri.

Para pemimpin Umno bercakap dalam berbagai rupa dengan pelbagai lidah kepada pelbagai khalayak. Konsep 1 Malysia Najib mula diterjemahkan secara realiti oleh penerbitan mingguan Keristian berkenaan, maka bagaimana kita akan memahami konsep 1 Malaysia Najib jika dalam konsep ketuhanan "Allah " yang diterima oleh Islam menyebabkan rakyat Malaysia mula menjadi keliru. Mereka yang bodoh akan bertindak menurut nafsu bukan dengan kenyataan akal budi yang luhur. Pelikkah jika semua rakyat Malaysia hanya mempunyai "Allah" yang satu kerana sememangnya orang Islam yakin bahawa "Allah" tuhan sekalian alam?

Sesungguhnya sampai bila-bila orang yang tidak faham Islam akan keliru dan bertindak kerana arahan nafsu. Kerananya mereka bertindak bukan kerana tuntutan agama tetapi kerana agenda peribadi. Maka apakah dengan menggunakan kalimat "Allah" oleh penerbitan mingguan tersebut, orang kenal Islam tidak lagi mampu membezakan masjid dengan gereja?

Tuesday, January 5, 2010

Gomo Sen Kite (GST)

Najib sebagai PM Malaysia dengan selogan 1 Malaysia dan rakyat didahulukan. Ramai termasuk Tun Mahathir yang tidak faham konsep 1 Malaysia Najib, namun konsep mendahulukan rakyat yang diuar-uarkan oleh Najib lebih mengelirukan.

Menelusuri fikiran orang yang dekat Najib juga gagal mengurai kekusutan apa lagi untuk mendapat kefahaman. Mungkin ekonomi Malaysia begitu komplek untuk difahami oleh rakyat biasa dan huraian Menteri juga terlalu ilmiah untuk dimengerti oleh rakyat seperti kita.

Banyak persoalan yang rakyat memerlukan jawapan dan gagal diberi penjelasan yang baik oleh Najib dan kabinetnya.

1) Ekonomi Malaysia kian gawat di bawah Najib walaupun pakej rangsangan ekonomi sejumlah RM 67 billion telah dilaksanakan. Wang rangsangan sejumlah RM 67 billion banyak dan ke dalam kantung siapa wang itu mengalir. Rakyat tidak banyak mengetahui arah aliran pakej ransangan tersebut kerana kewangan mereka tidak berubah kecuali harga barangan kian meningkat. Terbaru kerajaan mengumumkan kenaikan harga gula dan pelbagai barangan termasuk minyak mungkin akan meningkat.

2) Rakyat semakin tidak faham dalam menghadapi kenaikan harga barangan pengguna, kerajaan akan menentukan jawapannya iaitu, kenaikan tersebut tidak akan membebankan rakyat. Kerajaan sudah tidak mampu menanggung subsidi kepada rakyat dan lain-lain. Pokoknya, rakyat boleh akur dengan alasan kerajaan dan Umno/BN menang setiap kali pilihan raya. Hebat dan rakyat makin tidak faham. Kita tidak mampu faham, apa sebenarnya yang membebankan rakyat Malaysia kini dan selamanya.

3) Rakyat juga tidak akan faham bila Menteri Kewangan 2, Dato Seri Husni Hanadzalah menyatakan bahawa GST juga tidak akan membebankan rakyat. Rakyat akan lebih-lebih tidak faham bila beliau menyatakan bahawa GST sebenarnya:

a) Golongan paling tidak berada dapat menjimatkan RM 14,52 setahun. Hebatnya GST (orang Terengganu kata "Gomo Sen Kite").

b) Golongan berpendapatan tinggi pula dapat menjimatkan RM 346.72. Banyak tu, tapi bagaimana ya?

c) Para pengeksport Malaysia dapat menyelamatkan cukai bernilai RM 1.4 billion di bawah sistem "perkadaran sifar" -zero-rated. Pengksport dapat menjimatkan cukai dan bagaimana kerajaan mendapatkan RM 1.4 billion cukai pengeksp0rt yang hilang dibawah sistem berkenaan? Bagaimana ye?

d) Sejumlah RM 4 billion dapat dijimatkan oleh keseluruhan perniagaan dalam negeri. Semua pihak dapat meningkatkan penjimatan termasuklah rakyat yang membayar cukai GST.

e) Kerajaan misalnya dapat meningkatkan terimaan RM 1 billion daripada Rm 12 billion yang dikutip dibawah sistem lama.

f) Sektor perniagaan pula akan mengurangkan sumbangan cukai kepada kerajaan sebanyak RM 5.4 billion.

Bagaimana ye kerajaan dapat mengutip RM 13 billion (RM 1 billion + RM 12 billion yang dikutip oleh kerajaan melalui sistem lama.

Rakyat gagal memahami bagaimana kerajaan akan mendapatkan RM 6.4 billion dan RM 5.4 billion cukai golongan perniagaan yang tidak dikutip.

Angka-angka tersebut aku anggap terma ekonomi yang hanya mampu difaham oleh puak kapitalis yang sentiasa mementingkan keuntungan walaupun terpaksa menggunakan perbagai terma yang mengelirukan pengguna. Hakikatnya, Malaysia negara kapitalis yang didominasi oleh pemimpin yang tamak. Maka bagaimana rakyat boleh faham sedangkan Tun Mahathir tidak mampu faham konsep 1 Malaysia Najib atau kekelirun beliau terhadap pembaziran di zamannya.