Wednesday, January 6, 2010

Di Malaysia: Allah, tuhan siapa?

Umno bagaikan mendapat kekuatan baru. Isu penggunaan kalimah "Allah" oleh sebuah penerbitan Keristian membolehkan Umno bertindak sebagai juara mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam. Bukan sahaja mahkamah, Umno mungkin akan menggunakan kementerian tertentu dan institusi raja-raja Melayu untuk mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap parti itu yang kian luntur.

Penggunaan kalimah "Allah" terlalu amat asing kepada orang Keristian di Malaysia. Konsep ketuhanan Keristian juga amat berbeza dengan Islam walaupun Islam dan Keristian dari rumpun agama samawi yang sama. Keinginan yang mendesak penerbitan mingguan Keristian tersebut untuk menggunakan kalimat "Allah" boleh menimbulkan kecurigaan kepada penganut Islam yang peka walaupun dalam Islam sendiri penggunakan kalimat "Allah" tidak pernah ditegah untuk orang bukan Islam. Hakikatnya, Allah adalah Tuhan semua manusia termasuk tuhan bagi mereka yang bukan Islam.

Gejala murtad dan gerakan keristianisasi di kalangan orang Melayu beragama Islam sudah terlalu heboh dan mendesak. Orang Melayu sudah cukup sabar dan amat bertoleransi dalam perkara ini. Kerajaan sendiri tidak memandang berat isu berkenaan menyebabkan penganut Keristian bagaikan mendapat lampu hijau untuk menyebarkan agama mereka kepada penganut Islam. Maka apakah kesungguhan pertubuhan Keristian tersebut berusaha menggunakan kalimat "Allah" juga sebagahagian daripada program kristianisasi di Malaysia khususnya kepada orang Islam? Seeloknya bagi menjamin keamanan dan hubungan baik antara agama, isu-isu seperti ini perlu ditangani secara lebih berhemat.

Isu penggunaan kalimah "Allah" oleh penerbitan mingguan itu juga menunjukkan kelemahan kerajaan dalam menjaga hak orang Melayu dan agama Islam. Kerajaan sebenarnya gagal menjaga aqidah dan kepercayaan orang Islam sehingga segolongan penganut Islam tidak diyakini dapat mempertahankan aqidah mereka daripada anasir luar. Pemantapan aqidah dan pemurnian ajaran Islam amat diyakini dapat menahan penganutnya daripada gejala murtad. Persoalannya, Umno yang menjadi tulang belakang pemerintahan di Malaysia sendiri dipersoalkan kemurnian aqidah dan anutannya dalam kehidupan bersyariat. Umno sendiri tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar dan membuka seluas-luasnya kegiatan mungkar yang dilarang oleh Islam diamalkan di Malaysia hatta di kalangan orang Islam sendiri.

Para pemimpin Umno bercakap dalam berbagai rupa dengan pelbagai lidah kepada pelbagai khalayak. Konsep 1 Malysia Najib mula diterjemahkan secara realiti oleh penerbitan mingguan Keristian berkenaan, maka bagaimana kita akan memahami konsep 1 Malaysia Najib jika dalam konsep ketuhanan "Allah " yang diterima oleh Islam menyebabkan rakyat Malaysia mula menjadi keliru. Mereka yang bodoh akan bertindak menurut nafsu bukan dengan kenyataan akal budi yang luhur. Pelikkah jika semua rakyat Malaysia hanya mempunyai "Allah" yang satu kerana sememangnya orang Islam yakin bahawa "Allah" tuhan sekalian alam?

Sesungguhnya sampai bila-bila orang yang tidak faham Islam akan keliru dan bertindak kerana arahan nafsu. Kerananya mereka bertindak bukan kerana tuntutan agama tetapi kerana agenda peribadi. Maka apakah dengan menggunakan kalimat "Allah" oleh penerbitan mingguan tersebut, orang kenal Islam tidak lagi mampu membezakan masjid dengan gereja?

No comments: