Tuesday, October 19, 2010

Mahathir di senja merah

Mahathir benar-benar berada dalam usia senja. Usia yang terlalu lelah untuk sesuatu kepastian yang belum pasti. Usia yang berbaki dan paling berharga dalam hidup untuk mengarap bekal kedestinasi abadi. Mahathir juga hidup maka ia yang bukan tuhan pasti akan mati. Kematian yang mengesahkan segala kekeliruan.

Mahathir masih lagi keliru dengan keegoannya ketika bercakap di hadapan perwakilan antarabangsa bahawa keputusan beliau mengheret Anwar Ibrahim ke mahkamah atas tuduhan liwat kira-kira 10 tahun lalu merupakan satu tindakan yang tepat. Keputusan yang dikatakan dilakukan secara berhati-hati iaitu bersandarkan kepada fakta serta bukti.

Tidak ada yang dapat menukarkan pemikiran dan keegoan Mahathir kecuali "kematian". Kelelahan diusia senja bukan menyebabkan beliau berfikir untuk kembali kepangkuan Tuhan, menyandarkan segala bukti dan fakta berlandaskan hukum Allah. Masyarakat dunia dan segala bantahan perundagan terhadap kecelaruan mahkamah Malaysia yang membuat keputusan songsang terhadap Anwar Ibrahim semuanya tidak tepat kecuali kekuasaan yang menjadi milik mutlak Mahathir di bumi Malaysia. Ketepatan ialah kejahatan Mahathir untuk mmastikan Anwar bukan penggantinya seperti beliau yang sebelumnya menolak Musa dan Ghafar Baba. Di dunia keputusan beliau adalah tepat termasuklah keputusannya memecat Tun Salleh Abas, membunuh Umno, menghina Islam, mengorbankan bangsa dan bahasa Melayu, menyuburkan rasuah, politik wang, dasar swasta yang mengorbankan hak awam untuk kepentingan puak dan kroni dan segalanya.

Anwar mungkin meliwat dan peliwat. 4 orang saksi yang tidak fasik dan melihat kejelekan Anwar dengan mata lendir dan membuat pengakuan di mahkamah yang adil akan memudahkan orang Islam untuk menerimanya. Sayangnya hak Anwar untuk mendapatkan keadilah di mahkamah syariah dinafikan. Siapakah yang menafikannya?

Rakyat yang menjadi pengamat tidak perlu dan tidak boleh diyakinkan bahawa kejangalan mahkamah terhadap kes melibatkan Anwar adalah sesuatu yang benar dan tidak boleh dipertikaikan.

Barangkali Mahathir merasa hujahnya terlalu cerdik apabila merasionalkan tindakan jahatnya terhadap Anwar dan mengesahkan konspirasi terbaru terhadap Anwar oleh Najib. Najib yang menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan wajah yang terlalu hodoh dan pelbagai tuduhan yang memalukan rakyat dan negara Malaysia. Mahathir masih boleh berbangga dengan Najib dan kembali kepangkuan Umno setelah merajuk di zaman Abdullah Badawi. Itulah wajah sebenar Mahathir Mohammad.

Penerusan dasar jahat Mahathir begitu ketara dan nampak begitu bodoh di zaman Najib. Esok jika mahkamah membuat keputusan bahawa Anwar bersalah meliwat Saiful seorang pelajar "kurang cerdik" (tidak lulus) yang dengan mudah berjumpa Najib (TPM ketika itu) untuk urusan pemberian biasiswa, maka apa hak Mahathir untuk memaksa khalayak untuk tidak beranggapan bahawa keputusan itu adalah kejahatan yang sengaja dirancang ke atas Anwar? Pelajar yang kurang cerdik itu mengakui beliau diliwat oleh Anwar. dan setelah bertemu Najib datang ke kediaman Anwar dengan ceria. Pelajar yang kurang cerdik itu juga mudah membuat konteks dengan Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang pernah mengakui bahawa terdapat campur tangan pihak ketiga yang menghalang beliau bertugas dengan cekap sebagai Ketua Polis Negara.

Mahathir setelah 10 tahun kejahatan ke atas Anwar beliau masih berasa bersalah. Hari ini beliau memujuk dirinya dan tanpa segan mewajarkan tindakan keliru dan jahatnya ke atas Anwar. Mahathir mengesahkan kesalahan Anwar dalam kes yang masih dibicarakan di mahkamah. Jika Mahathir tidak keliru di usia senja beliau akan sedikit berpatang daripada mengeluarkan kenyataan jahat dan kurang cerdik, " ... memang kita akui seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah sehingga dia disabitkan bersalah oleh mahkamah, tetapi dalam kes terbaru Anwar, jelas ia sama seperti kes yang terdahulu..."

Maka Mahathir mengesahkan bahawa Anwar benar-benar bersalah kerana mahkamah pada suatu ketika dengan segala kepincangan telah memutuskan Anwar bersalah. Mahathir ingin meraih simpati umum bahawa tindakan beliau terhadap Anwar adalah betul dan beliau bisa melepaskan diri daripada berjumpa Anwar di mahkamah Tuhannya nanti.

Kita amat berharap Mahathir akan insaf diusia senjanya. Jika beliau sakit kita masih berharap beliu sembuh untuk membuat persediaan menemui Tuhannya. Najib masih muda dan Rosmah telah bertindak melebih budak tingkat 4. Jika Mahathir boleh akur dengan kegilaan "wanita pertama" Malaysia itu, maka biarlah Najib menguruskan kes Anwar kerana beliau benar-benar berkepentingan dan bukan lagi Mahathir.

Sunday, October 3, 2010

Melayu Islam.

Saya Melayu dan tidak menyebabkan saya terlalu taksub untuk berbangga menjadi Melayu. Saya syukur kerana bukan lahir sebagai orang asli Papua New Gunie. Menjadi seorang Melayu dan menyadari sejarah kegemilanan yang pernah capai oleh Melayu tidak memungkinkan pandangan "etnosentrisme" saya menjadi keliru dengan kehebatan pelbagai bangsa di dunia. Apa salahnya jika saya mahu hebat dan bijak sebagai bangsa Yahudi atau rajin seperti orang China, atau tampan seperti bintang Bollywood dan dimuliakan oleh Allah dengan kenabian akhir zaman seperti bangsa Arab. Saya tidak dapat memikirkan untuk menjadi orang Penan yang sentiasa tertindas dibelukarnya sendiri oleh pemerintahnya sendiri.

Kehebatan dan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada bangsa bukan "dikotomi" untuk memisahkan kecintaan kebanggaan menjadi Melayu dan menyampah dengan pelbagai sifat "hodoh" bangsa Melayu. Saya belum sanggup menyerahkan Malaysia untuk dipimpin oleh Lee Kuan Yew bekas Perdana Menteri Singapura walaupun beliau diyakini dapat memajukan dan menjadikan Malaysia lebih baik daripada pemimpin Melayu Umno yang memimpin negara sejak merdeka.

Saya amat bersyukur dan berbangga mejadi Melayu yang Islam maka kerananya saya menjadi lebih rasional daripada Mufti Perak yang terperangkap dalam jebak kejumudan pemikiran nasionalis Melayu Umno. Kerananya Islam juga saya menjadi tersentuh dengan kalam Allah dalam surah al Hujurat ayat ke 13 yang bermaksud:-

" Wahai orang beriman, sesungguhnya Kami mencipta kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha mengetahui dan Maha teliti "

Kenapa saya tidak berbangga menjadi Islam yang begitu murni dan mulia, mengajar saya erti kebaikan, kelebihan, keistimewaan daripada pelbagai bangsa hatta daripada hamba berbangsa Habsyi (Ethiopia) berkulit hitam yang menjadi tukang azan Rasulullah. Maka saya menjadi lebih mudah memahami erti sebenar Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak berbangga menjadi Melayu daripada "kekeliruan" seorang mufti untuk mempertahankan kejahilan Umno. Saya Melayu yang sentiasa menanti seorang Islam daripada bangsa Lee Kuan Yew untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sunday, August 22, 2010

Doa buat Lim Guan Eng.

Doa kepada pemerintah, raja atau sultan bukan rukun khutbah. Baginda Rasulullah tidak pernah menunjukkan bahawa mendoakan kepada pemerintah itu suatu kerukunan untuk suatu khutbah Jumaat yang sah. Begitu juga semasa sahabat yang empat,mereka mendoakan untuk orang mukmin sebagai rukun khutbah tetapi tidak mendoakan pemerintah secara khusus kerana pemerintah adalah ketua negara dan mereka Islam lagi mukmin.



Zaman Umaiyah, Abbasiyah dan seterusnya sehingga ke hari ini, doa kepada pmerintah dimasukkan berserta untuk kaum Muslimin. Dalam konteks negeri-negeri di Malaysia, Sultan yang memerintah disebut secara khusus dalam doa khutbah yang kedua bersama doa untuk kaum Muslimin. Ada yang menyebut secara umum tanpa menyebut nama-nama sultan yang berkenaan, namun umumnya yang mengerti bahasa Arab mengetahui bahawa ianya untuk sultan yang memerintah.



Begitu pula dengan isu doa dalam khutbah yang cuba dimanipulasikan oleh Umno untuk membangkitkan kebencian Melayu Islam terhadap pemerintah Dap/Pakatan Rakyat di Pulau Pinang khususnya Lim Guan Eng. Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim menafikan dan kita tidak mengesahkan bahawa penafian Anwar sebagai betul. Biarkanlah kerana Anwar orang politik tetapi beliau dikira lebih faham Islam daripada kebanyakan pemimpin Umno/BN dan mungkin lebih faham daripada Jamil Khir sendiri.



Isunya bukan salah atau betul mendoakan Lim Guan Eng supaya dijinakkan hatinya terhadap Islam atau mendoakan beliau istiqamah untuk memerintah Pulau Pinagn seadil Umar Abdul Aziz dalam khutbah Jumaat. Orang Islam tidak perlu menunggu fatwa mufti untuk mengatakan bahawa khutbah jumaat itu sah.Lagipun, Islam tidak mengajar supaya umatnya busuk hati seperti yang dimainkan oleh Umno/BN demi mencapai hasrat politiknya untuk terus berkuasa. Umno dengan dasar sekularnya adalah tidak lebih baik daripada yang dibuat oleh Lim Guan Eng sekarang di Pulau Pinang. Ketua Menteri Pulau Pinang itu sekurang-kurangnya menerima dasar Islam yang dibawa oleh Pas sebagai dasar negara jika ditakdirkan Pakatan Rakyat memerintah. Umno dan komponennya dalam BN sejak dulu, kini dan selamanya bersama dasar menolak hukum Allah. Maka adalah tidak salah mendoakan Guan Eng sama seperti mendoakan orang Umno/BN dalam khutbah semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk beramal dengan Islam sepenuhnya.

Peranan media dokongan Umno menjijikkan. Najib sendiri menyuruh khutbah itu disiasat dan jika perlu ambil tindakan. Haprak Umno mula membuat laporan polis, polis yang tidak cukup masa untuk menjaga keselamatan rakyat kerana terpaksa ikut kehendak Umno yang kian meracau. Kesultanan Melayu sekali lagi dipolitikkan oleh Umno untuk mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap parti itu. 'Memualkan' . Umno itulah yang dengan angkuhnya menghapuskan kuasa raja-raja Melayu dan kini dengan sifat munafiknya memperkosa media untuk 'mengampu' raja.

Peliknya Umno tidak percaya kepada mufti dalam soal ini sebagaimana lazim dalam soal agama mufti adalah penasihat kepada tuanku. Apakah Umno bimbang jika jawapannya adalah sperti yang dikemukakan oleh bekas mufti Perlis yang kontraversi itu? Kenapa Harussani Zakaria mufti Perak tidak dirujuk terlebih dahulu pandangannya? Bukankah mufti itu perlu terlebih dahulu dirujuk dan bukannya laporan polis. Polis tentu tidak lebih reti daripada mufti Perak itu dalam soal agama.

Apapun rakyat benar-benar muak dengan Umno/BN. Jikapun parti itu mampu menang dalam pilihan raya akan datang, ianya kerana kejayaan merasuah rakyat. Jika hari ini kewangan negara terlalu teruk, itu adalah lambang kejahatan pemimpin yang memperjudikan nasib negara kerana tamakkan kuasa.

SELAMATKAN MALAYSIA, HAPUSKAN UMNO/BN.

Thursday, August 19, 2010

Perlembagaan Pakatan Rakyat?

Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mendedahkan kewujudan "perlembagaan baru", perlembagaan alternatif yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan Islam di Malaysia. Hak yang sedia dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang sedia ada.

Mufti Perak yang dihormati banyak pihak itu, walau bagaimanapun tidak bersedia untuk mendedahkan pihak yang bertanggung jawab mewujudkan "perlembagaan baru" itu. Tentunya pendedahan mufti yang tidak mungkin "berbohong" itu menyentuh kecaknaan banyak pihak dan boleh diterjemahkan dari pelbagai sudut pandangan.

1) Pendedahan Harussani memungkinkan Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim AP bebasyang menang melalui Pakatan Rakyat mendapat alasan baru kenapa beliau menjadi anggota bebas dan meninggalkan Pakatan Rakyat. Zahrain mengesahkan isu perlembagaan baru adalah benar dan cetusan idea Pakatan Rakyat.

Kesian, beliau tidak mencapai tahap "kejantanan" untuk mendedahkan idea besar "perlembagaan baru" sehingga Mufti Perak yang tidak mungkin berbohong itu. Apakah alasan Zahrain untuk tidak mendedahkan persoalan "perlembagaan baru" yang diketahuinya menyisihkan hak orang Melayu dan agama Islam?

Jika sedari awal pendedahan dibuat oleh Zahrain, khalayak tidak terlalu syak bahawa beliau mengkhianati Pakatan Rakyat kerana kepentingan peribadi, keluarga dan kroni. Tahap perjuangannya tentu melonjak dan orang pasti setuju bahawa Pakatan Rakyat telah mengkhianati orang Melayu dan agama Islam. Sekurangnya beliau mendapat kekuatan untuk mewajarkan tindakan khianatnya. Atau jika ada yang beranggapan beliau bohong, pembohongannya itu nampak lebih cerdik.

2) Dasar Umno/BN tidak pernah berubah, dasar menipu rakyat. Umno/BN dengan penuh sadar mencipta "perlembagaan baru" untuk mengembalikan sokongan orang Melayu dan Islam yang jelas amat mengecewakan dalam pilihan raya umum lalu. Jika betul wujud "perlembagaan baru" dan sah dari Pakatan Rakyat, kenapa hanya isu hak istimewa orang Melayu dan agama Islam ditonjolkan. Bukankah terlalu banyak tuntutan golongan ultra Pas dan Dap yang mungkin menjadi perkara penting dalam "perlembagaan baru" itu.

Umno/BN menggunakan media untuk mengambarkan nasib malang bangsa Melayu dan Islam tanpa Umno/BN. Strategi baru hendaklah dicipta, elit Umno,Mca dan Mic perlu dipertahankan dan terpenting ialah "kejahatan" Umno/BN selama memerintah perlu ditutup rapat. Rakyat tidak perlu tahu dan tidak seharusnya tahu. Umno perlu terus berkuasa. Maka apakah perlu pemerintah korup yang menerajui Malaysia masih perlu dipertahankan?

3) Harussani mufti dikira seorang tokoh natural yang paling dihormati dan dipercayai. Pemilihan Harussani untuk mendedahkan isu "perlembagaan baru" menerjah pelbagai aspek pandangan yang antaranya:

Pertama:- Tidak ada tokoh yang paling mendapat kepercayaan untuk mendedahkan isu "perlembagaan baru" kecuali Harussani. Beliau dikira seorang mufti paling berwibawa, bukan orang politik dan rakyat melihat beliau sebagai tidak mempunyai apa-apa kepentingan kecuali menjamin kelangsungan hak orang Melayu dan Islam di Malaysia. Beliau dengan sengaja dipilih untuk mendedahkan "perlembagaan baru". Harussani sendiri belum tentu sadar diberi kepercayaan untuk mendedahkan isu "perlembagaan baru" berkenaan dan bukan Zahrain walaupun beliau lebih dahulu menyadari kewujudannya.

Kedua:- Persepsi umum kepada mufti kian celaru dan keliru. Harussani berkata bahawa tidak mungkin beliau berbohong kerana beliau mufti dan siapa kata beliau bohong? Cuma sebagai manusia beliau diselimuti pelbagai kelemahan dan tidak menyadari kelemahanya atau mungkinkah beliau diperalatkan? Siapa yang mudah percaya akan terperangkap dengan kejahatan Umno/BN. Umno/BN yang akan memperalatkan segala agensi kerajaan malah swasta untuk mempertahankan tindakan kejam dan jahatnya. Lihat sahaja kes Tun Salleh Abas, Anwar Ibrahim,Eric Chia, PKNZ, Kapal Selam malah kes Altantuya? Adakah anda boleh mempercayai Umno jika kepentingan mereka tercabar?

Paling penting, Najib sendiri merupakan "pakar" yang mendapat restu Tun Mahathir maka tentu beliau sedang menyusunnya dengan bantuan pakar "luar" untuk terus memperkosa khazanah negra.

"SELAMTKAN MALAYSIA'

Tuesday, July 27, 2010

Perpaduan Melayu versi Umno

Perpaduan Umno-Pas ialah keghairahan sepihak yang anih. Umno melalui media massa arus perdana yang memihak berusaha menjadi jaguh perpaduan Melayu Islam. Umno cuba menyentuh nurani orang Melayu supaya bersatu demi ketuanan politik Melayu dan Islam. Untuk menjadikan Melayu lebih ghairah, Umno mengambarkan perpecahan itu akan membawa kepada kehancuran bangsa Melayu dan Islam di Malaysia. Tanpa segan, Umno seakan menafikan hak kaum lain untuk bersama menentukan hala tuju Malaysia yang lebih makmur berbanding lebih 50 tahun lebih dibawah pentadbiran Umno/Perikatan/ Barisan Nasional.

Sesungguhnya pelbagai keanihan keinginan sepihak Umno untuk bersatu dengan Pas, parti yang menjadi alternatif untuk orang Melayu dan Islam dalam pilihan raya umum lalu. Jika rakyat Sarawak dan Sabah bersama Pakatan rakyat, Umno/BN adalah parti pemerintah yang tewas dalam pilihan raya itu. Pas juga telah diterima oleh orang bukan Islam melalui persefahaman bersama Pakatan Rakyat.

Persoalannya, apakah bukan suatu keadaan yang anih perpaduan yang dicadangkan oleh Umno itu jika;-

1) Setiap masa Umno/BN menyerang orang Melayu dalam Pakatan Rakyat khususnya orang Pas dan penyokong Keadilan. Pemimpin Pas dan Keadilan yang Melayu dan Islam digambarkan sebagai pengkhianat, tidak berkelayakan memerintah, berkepentingan diri dan tidak berwibawa.

2) Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada pemimpin Melayu terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhinat, agen kuasa asing khususnya Yahudi dan Kristian Barat. Anwar juga digambarkan sebagai pemimpin yang gila kuasa dan gila seks luar tabie. Anwar dimalukan diluar kewaran manusia yang normal.

3) Usaha yang berterusan Umno untuk menjatuhkan imej pemimpin Melayu di negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat. Semua pemimpin Pakatan rakyat terutama dari Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan menjadi sasaran jahat Umno . Rakyat tidak mudah melupakan kejahatan pemimpin Umno Kelantan khususnya Awang Adek Hussin dan Mustafa Muhamad untuk memalukan Nik Abdul Aziz .

4) Umno dalam sebarang kesempatan akan cuba menjatuhkan reputasi kepimpinan Melayu Islam seperti isu pasir dan air di Selangor, isu penternakan babi di Kedah, isu lesen arak di Kelantan , isu penindasan terhadap Melayu oleh DAP di Pulau Pinang dan kemuncaknya rampasan kuasa di Perak melalui perkosaan terhadap institusi undang-undang dan Istana . Umno tidak rasa malu menjatuh Menteri besar Perak yang Melayu dan Islam kerana kuasa seperti tidak malu untuk menyeru kepada perpaduan Melayu sedangkan pada masa yang sama mereka berusaha memecahkan perpaduan Melayu.

5) Umno akan memperkudakan para pengkhianat dari MP dan ADUN bebas yang diberi mandat oleh rakyat melalui Pakatan Rakyat untuk menabur fitnah kepada kepimpinan Pakatan Rakyat. Individu seperti Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin, Zaharin dan lain-lain digambarkan sebagai insan yang kudus dan dianiaya oleh Pakatan Rakyat.

6) Paling anih ialah pemimpin Melayu Islam dari Pas ditidak boleh bertemu disebarang kesempatan dengan tokoh Umno atau mufti jika tidak akan dicop sebagai berusaha bergabung dengan Umno. Kasihan Hassan Ali kerana bertemu dengan mufti dari Perak maka percakapan dengan mufti itu dianggap sebgai berusaha untuk menyatukan Pas dengan Umno. Motifnya amat senang, Umno cuba menabur bibit kecurigaan angtara anggota Pakatan Rakyat.Maka rakyat akan lebih gembira jika Najib berjumpa Haji Hadi secara rasmi untuk itu berbincang perpaduan Melayu Islam di antara Pas-Umno.

7) Anih juga ialah sikap para mufti yang selalu bisu dan buta dengan sebarang kejelekan Umno, tiba-tiba menjadi peka dan bimbang dengan keruntuhan politik Melayu walaupun mereka kurang peka dengan keruntuhan moral dan gejala sosial yang amat kritikal dikalangan orang Melayu Islam.

8) Jika jujur Umno untuk berpadu dengan Pas demi kuasa orang Melayu, apa salahnya mereka menyertai Pas kerana ternyata parti itu lebih Islamik dan sudah diterima oleh orang bukan Islam. Biar masa depan orang Melayu dan Islam dibela melalui acuan Pas bersama Pakatan Rakyat setelah ternyata ianya gagal diurus dengan baik oleh Umno.


Kita akan terus melihat tawaran kotor perpaduan Melayu/Islam tajaan Umno. Jika pilihan raya umum akan datang masih memberi kepercayaan kepada Umno/BN, perkara yang lebih anih akan terus berlaku. Umno sedang berusaha ke arah itu. Pendatang tanpa izin akan mendapat peluang mengundi untuk memberi mandat kepada Umno/BN untuk terus berkuasa. Duit dari kantong petronas atau Felda akan terus dipergunakan untuk mengekalkan kuasa politik Melayu Umno. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa bermaharajalela. Umno akan mempertahankan undi pos sampai kiamat. Rakyat akan terus tertindas dengan kuasa beli yang makin merosot. Apapun, Umno tidak pernah berubah dan rakyat bagaikan tidak mampu untuk mengubahkannya . Jika Mahathir kecewa dengan nilai politik orang Melayu maka beliaulah yang memulakannya sehingga menjadi tabiat buruk orang Melayu. Orang Melayu yang miskin, mudah dibeli untuk mendapatkan mandat kuasa dan Umno masih ada sumber untuk itu kerana Malaysia negara yang kaya raya.

Saturday, July 24, 2010

Islam teras politik Melayu.

Bangsa Arab tidak pernah terkenal dengan kebangsaannya. Bangsa itu diperbudakkan oleh fahaman wathaniah dan tidak pernah terkenal kecuali dengan gelaran jahiliahnya. Kejelekan kebangsaan Arab jahiliah menyebabkan Allah menyifatkan bangsa itu berada ditepi jurang neraka dan diselamatkanNya dengan Islam melalui junjungan Besar Nabi Muhammad.

Begitu juga ketika bangsa itu mula menjauhi Islam dan kembali kepada faham nasionalisma Arab yang tercela meyebabkan mereka terhina. Bangsa Arab yang pernah menguasai dua pertiga dunia dengan Islam menjadi begitu hina kerana kebangsaan Arab yang sempit dan tercela. Kebangsaan Arab yang mereka banggakan tidak mampu menghadapi Yahudi dan Kristian. Kebangsaan Arab menyebabkan mereka kembali menjadi hina.

Hari ini Umno berusaha mempersatukan Melayu dengan kebangsaannya. Pas dan Umno dikatakan akan menjadi kuat jika bersatu, dan wadah penyatuannya adalah Melayu. Melayu yang menjadi teras kuasa politik sejak Tanah Melayu/Malaysia mencapai kemerdekaan. Penyatuan yang ditaja dan diinginkan oleh Pas iaitu Islam dirasakan tidak sesuai dengan masyarakat majmuk Malaysia lalu perlu ditolak. Para mufti juga merasakan kedua parti politik Melayu yang dominan itu perlu bersatu, maka apakah mereka juga di atas dasar nasionalisma Melayunya?

50 tahun lebih Melayu berkuasa dengan dasar kebangsaannya, Melayu itu hampir hilang kuasa dalam pilihan raya Umum yang lalu. Kegagalan Melayu Umno untuk menjadikan bangsa itu bermaruah menyebabkan mereka menyalahkan golongan Melayu/Pas yang menyeru kepada Islam. Melayu yang yakin dengan kesempurnaan Islam bukan sahaja untuk Melayu Islam malah juga untuk yang bukan Islam. Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam; Melayu Islam, bukan Islam dan seluruh alam.

Maka kegilaan Umno perlu disekat jika Melayu dan rakyat Malaysia ingin menyelamatkan negara ini. Pas yang membawa Islam dan menyeru penyatuan dibawah panji Islam perlu disokong bukan sahaja oleh Melayu Umno malah semua bangsa dan agama di Malaysia. Islam terlalu adil dan kehidupan mereka akan terjamin sebagaimana dibuktikan oleh sejarah pemerintahan Islam yang terlalu agung untuk semua bangsa dan agama sesuai dengan peranannya sebagai "rahmatan lil alami". Dasar assabiyah Melayu Umno perlu ditolak dan bersatu mengangkat syariat Islam.

Sunday, July 18, 2010

Mufti

Mufti Kerajaan Negeri Prak, Tan Sri Harussani Zakaria bukan orang politik. Mungkin beliau faham politik dan mempunyai kefahaman politik kepertian khususnya dalam konteks politik Malaysia, tapi beliau seorang yang terlalu jujur untuk memahami realiti politik orang Melayu di Malaysia.

Sebagai mufti paling senior di Malaysia, beliau pernah diharap dapat menyatakan hak Melayu dan Islam kepada golongan umarak yang didominasi golongan nasionalis Melayu yang berkuasa sejak merdeka. Kerja-kerja menaikkan imej Melayu Islam sepatutnya menjadi lebih mudah kerana dominasi politik memungkinkan para pemimpin Melayu mengeksploitasi kuasa untuk bangsa dan agama mereka.

Setelah lebih 50 tahun mengkhianati amanah, membuli saingan politik mereka, para pengkhianat itu diserang katakutan yang teramat sangat. Takut kehilangan kuasa dan takut kejahatan mereka terdedah. Kecintaan mereka kepada dunia dan habuan perut menyebabkan mereka mencari modal - perpaduan bangsa Melayu dan ketuanan Melayu.

Mereka golongan pengkhianat yang tidak pernah jujur dalam berfikir dan bertindak. Menyeru perpaduan diatas nama bangsa Melayu dan agama Islam sedangkan secara berterusan mereka menghina, mengkhianati saingan politik Melayu (Pas dan Keadilan) sedangkan mereka juga beragama Islam. Mereka mendera dan membuli negeri-negeri yang dikuasai oleh saingan politik mereka sedangkan diperintah oleh orang Melayu beragama Islam. Kalau mereka membuli Pulau Pinang, tidak ramai memahami kejelekan mereka kerana DAP dan Lim Guan Eng adalah bukan Melayu dan tidak Islam. Bagaimana mereka boleh menafikan hak royalti gas diperairan Kelantan sebagimana mereka pernah menafikan hak royalti petroleum yang disahkan melalui perjanjian di Terengganu ketika perintah oleh semua orang Melayu dan Islam.

Kekecewaan mereka menguasai majoriti selesa di parlimen menyebabkan pemimpin Umno/Melayu meroyan. Mereka terpaksa kembali kepada asal pejuangan nasinalisma Melayu dan "make up" Islam. Mereka terpaksa mencari Pas, parti dominasi Melayu berteraskan Islam yang dahulu pernah menyelamatkan maruah Umno/Perikatan lalu tertubuhnya Barisan Nasional. Pas yang diatas nama Melayu dan Islam berkerjasama dengan Umno untuk kemudiannya ditendang dan dihina. Bukan kah Pas itu Melayu dan Islam?

Tan Sri Harussani bukan buta politik tetapi terpaksa "mengadai" prinsip kerana bertuankan orang Melayu Umno beragama Islam. Kasihan, beliau terpasa menalan ludah pahit kerana kerenah pemimpin Umno yang galak bertuhankan nafsu dan benda menyebabkan para mufti terpaksa menjadi bisu dan buta dengan segala kemungkaran. Judi, arak, persundalan , gejala murtad dikalangan beli Melayu Islam dan segala macam maksiat terpaksa didiamkan oleh para mufti termasuk Tan Sri Harussani sendiri.

Malang sekali nasib orang Melayu kerana para pemimpin mereka terpaksa mengadai maruah untuk terus berkuasa. Pemimpin yang terpaksa akur dengan tuntutan pelbagai kaum dan mengorbankan hak orang Melayu dan agama Islam. Pemimpin komponen dari MIC, MCA dan Gerakan dengan pelbagai tuntutan sedangkan mereka adalah berada dalam kelompok yang sama dengan pemimpin Umno - berjuang untuk kepentingan diri dan kroni terdekat. Hasilnya pemimpin MIC , MCA dan Gerakan ditolak oleh kaum masing-masing dalam pilihan raya ke 12 lalu. Umno sudah tidak mempercayai MCA,MIC dan Gerakan. Umno sudah tidak boleh terlalu angkuh untuk bertenggek dibawah payung Barisan Nasional yang mula tempang.

Najib adalah warisan kepimpinan Umno sebagai PM ke enam. Orang Melayu gagal meneka dengan tepat kerja Najib untuk orang Melayu dan Islam selain selogan-selogan dan pendekatan bodohnya memuji diri sendiri. Selogan 1 Malaysia dan rakyat di dahulukan tidak menampakkan Umno/BN di bawahnya akan berjuang untuk orang Melayu, Islam dan lain-lain bangsa.

Kita tidak mahu menjadi terlalu celupar untuk mengatakan Tan Sri Harussani diperalatkan oleh Umno untuk memujuk hati orang Melayu Islam untuk terus bersama Najib. Hakikatnya Umno akan menggunakan apa sahaja untuk terus berkuasa. Di Terengganu, wang ihsan merupakan rasuah politik untuk merampas negeri itu daripada Pas, yang dipimpin oleh ulama Islam berbangsa Melayu. Menamakan pelbagai bentuk bantuan diringi ugutan dan paksaan bagi memastikan rakyat terus menyokong kerja jahat Umno. Jujurkah Umno terhadap bangsa Melayu dan agama Islam dengan pelbagai tekanan terhadap pemimpin Pas, penyokong dan pendokongnya?

Umno akan meneruskan dasar jahatnya di Kelantan, satu-satunya negeri yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Menafikan hak royalti untuk Kelantan dan menggantikan dengan wang ihsan adalah kerja zalim Umno terhadap bangsa Melayu yang beragama Islam. Apakah Sabah dan Sarawak lebih Melayu dan lebih Islamnya daripada Kelantan sehingga pembayaran royalti untuk kedua negeri tersebut diteruskan?

Keutamaan politik jahat pemimpin Umno amat ketara terutama tindakan mencerca kepimpinan Tok Guru Nik Aziz dan kepimpinan Pas/Melayu/Islam. Lebih jahat dari kerja Najib membuat penyelaran subsidi untuk menaikkan harga petroleum, gas dan gula. Atau sejahat menggunakan harta felda sebagai harga pusaka mak bapak mereka sehingga tabungnya menjadi hampir kontang. Anihnya, ada lagi pemimpin Umno yang bahlol untuk tidak mengerti kerja-kerja jahat pemimpin yang mereka beri amanah untuk mentadbir dan mengurus harta rakyat.

Tan Sri Harussani amat dialu-alukan sebarang usaha beliau untuk menyatukan Melayu dan Islam. Namun Tan Sri Harussani lebih faham perasaan kaum lain dengan kegusaran Umno berkaitan kemungkinan kehilangan ketuanan Melayu. Maka sesungguhnya jika kegusaran itu lahir dari lubuk keimanan tentu para mufti akan lebih dahulu menegur onar yang disengajakan oleh pemimpin Melayu/Islam/Umno. Mungkin judinya, sistem kehakimannya, rasuah politiknya, gejala murtadnya, pengabaian hukum Islamnya, penafian bantuan terhadap Melayu yang memberi saingan politik terhadap Umnonya, keruntuhan moral pemimpin Umno dan sebagainya.

Akhirnya segala rakyat akan cukup berbangga dengan mufti yang menjdi penasihat kepada pemimpin kerana nasihat mereka berpandukan agama. Malangnya banyak tokoh agama Melayu yang menjadi teromah kayu sebagai titian pemimpin Umno/Melayu melepaskan isi perutnya setelah kekenyangan.