Monday, April 20, 2009

Najib yang dekat dihati rakyat.

Najib pemimpin Umno/BN yang dekat dihati rakyat. Majoriti 26,464 dalam Pilihan Raya Umum ke 12 adalah bukti beliau diterima oleh rakyat khususnya di Pekan. Berbanding Pilihan Raya Umum ke 10 pada 1999, Najib yang dikatakan terselamat dengan undi pos hanya menang dengan majoriti 241.

Najib yang menjadi Perdana Menteri ke 6 pastinya berusaha memenangi hati rakyat bukan sahaja di Pekan tetapi di seluruh Malaysia. Pendekatan mesra rakyat telah dan sedang ditunjukkan. Barangkali semua pendekatan yang pernah dibuat oleh Tun Razak, bapaknya dulu sedang dikaji dan cuba diterapkan dalam pentadibrannya. Tun Razak sememangnya dekat dengan rakyat dan pemergiannya ditangisi oleh kawan dan lawan.

Sememangnya Najib ke Putrajaya bersama imej yang buruk, tuduhan terlibat dengan kes bunuh model Mongolia. Najib yakin rakyat Malaysia boleh berbangga dengan Perdana Menteri mereka yang mesra rakyat walaupun rekod lampaunya terlalu suram.

Kini Najib terpaksa memadam angka majoriti kekalahan Umno/BN dalam beberapa pilihan raya kecil setelah setahun Pilihan Raya Umum yang lepas. Kecuali di Batang Ai, Umno/BN kalah dengan majoriti yang lebih besar. Maka apakah sifir matematik PPSMI yang dipertahankan oleh Najib mampu membuktikan penerimaan rakyat terhadap kepimpinannya setelah beliau menang dengan majoriti yang besar di Pekan. Ataukah semua calon yang ditonjolkan dalam setiap pilihan raya kecil itu di tolak oleh rakyat dan bukannya kepimpinan Najib? Andainya benar, Umno/ BN menghadapi masalah untuk mendapat pemimpin yang berwibawa dan dekat dengan rakyat. Pemerintahan Umno/BN lebih 50 tahun telah membina jurang yang ketara antara rakyat dengan pemimpin. Pemimpin Umno/BN berada dalam kelas tersendiri dan sukar diterima oleh rakyat kecuali Najib dan mereka yang menang dalam Pilihan Raya Umno ke 12 lalu.

Apapun, Najib akan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat. PR kecil Dun Penanti, Pulau Pinang yang dikosongkan oleh Muhammad Fairus bakal dipulau oleh Umno/BN kerana membazir wang rakyat. Rakyat pastinya terpegun dengan komitmen Najib, sedangkan sebelumnya mereka didedahkan dengan pemborosan pentadbiran Umno/BN. Rakyat akan menanti dengan yakin, Najib mampu bertahan dengan prinsip mesra rakyat dalam pengurusan pentadbirannya walaupun mungkin menerima desakan kuat daripada para pelahap yang masih dominan dalam kabinetnya.

Kita akan menunggu sikap Najib terhadap Jambatan Bengkok. Kita juga mengharapkan rakyat sudah cukup bijak membaca langkah awal setiap pemimpin. Kita boleh yakin bahawa Bukit Tinggi sudah berubah tapi jangan mudah percaya perangai yang buruk seseorang mudah diubah.

Sunday, April 19, 2009

Dr Zambry dan 6 Exconya vs V. Sivakumar.

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.
Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?
Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.
Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.
Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.
Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:
Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.
Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.
lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah
Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.
Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.
Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut.
Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:
1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.
2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.
3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.
4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.
5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.
6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.
7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.
8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.
Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan.
Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.
Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.
Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.
Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak.
Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.
Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.
Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker.
Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.
Sumber:Harakahdaily.com
Oleh : Mohamed Hanifa Maidin
Nota: Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan hak Asasi Manusia PAS Pusat
Dikirim dalam Isu Rakyat

Wednesday, April 15, 2009

Ketakutan atau "Psiko"

Ketakutan dan kehilangan keyakinan adalah sindrom penyakit "psiko" pemimpin Umno Terengganu. Bekas MB Idris Jusoh menunduh MB Ahmad Said takut kepada bayang sendiri. Tuduhan kemungkinan adanya undi tidak percaya terhadap kepimpinan Ahmad Said di Terengganu kononnya mendorong beliau dan konconya menyebarkan SMS yang berupa ugutan yang melibatkan ancaman nyawa. Peliknya SMS tersebut hanya diterima oleh 3 orang daripada 10 orang yang gagal hadir ke sidang Dun pada hari kedua tersebut.

Maklumat terkini menunjukkan bahawa kewujudan SMS itu bukan bermula dari Pejabat Menteri Besar. Timbalan Perdana Menteri yang baru tidak mahu masalah itu diperbesarkan, kononnya akan memberi imej yang negatif kepada rakyat Terengganu yang menyokong BN dalam pilihan raya umum lalu.

Maka bolehlah dikatakan bahawa masalah di Terengganu disebabkan sindrom penyakit "psiko" yang melanda Umno di semua peringkat.

1) Najib sebagai perdana Menteri baru, takut tidak mendapat sokongan daripada semua rakyat terutama dengan imej lampau yang cemar dan gagasan satu Malaysia yang diperkenalkannya.

2) Apakah cetusan idea undi tidak percaya merupakan ujian terhadap kewibawaan Najib atau manipulasi keadaan untuk memantapkan kem dan cengkamannya ke atas semua firkah Umno di seluruh negara.

3) Idris Jusoh mendapat keyakinan setelah berjaya menduduki Majlis Tertinggi takut hilang wibawa untuk terus membiarkan Ahmad Said mendominasi puak dalam Umno Terengganu.

4) 10 Adun Umno/BN yang enggan menghadiri sidang Dun pada hari kedua yang lepas berada dalam situasi cemas dan penuh ketakutan untuk menyatakan pendirian, menyokong Menteri Besar Ahmad Said atau memperjudikan nasib dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada Menteri Besar tersebut.

5) Isu SMS adalah skrip bodoh untuk menutup ketakutan yang mereka (pemimpin Umno Terengganu) hadapi.

6) Lebih menakutkan ialah andainya MB Ahmad Said bertindak nekad membubar Dun Terengganu, menyebabkan mereka takut tidak terpilih atau ditolak oleh rakyat melalui kertas undi.

7) Hari ini mereka melangkah masuk semula ke dalam dewan persidangan sebagai "lelaki bacul" dikencing bini, apakah tujuan sebenar keengganan mereka menghadiri sidang walaupun mereka dihantar oleh rakyat ke situ.

Apakah keuntungan yang rakyat boleh terima daripada tindakan kurang cerdik mereka.

Tuesday, April 14, 2009

Koleksi Perdana

Menteri Besar Kelantan Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat meembuat ulasan berkenaan kepimpinan Umno di bawah Najib sebagai kereta sama( kereta buruk dan bermasalah) dengan pemandu yang baru. Bijak sangatkah pemandu baru( Najib) dengan kondisi kereta yang serba teruk dan sarat pula dengan penumpang untuk selamat sampai ke destinasi?

Tanpa menoleh masa silam, permulaan Najib sebagai peneraju mengundang tanda tanya. Kepada ahli Umno yang jujur, sentuhan awal Najib diiringi dengan doa dan harapan, tetapi lakaran yang dibuat belum tentu mampu membawa Malaysia keluar dari kandang masalah yang sedang dihadapi.

1) Jika pembentukan kabinet dijadikan ukuran, tokoh-tokoh yang diketengahkan belum tentu bersih daripada sampah sarap yang mencemarkan imej Umno. Sandaran pemilihan anggota kabinet tidak mampu membebaskan Umno daripada kepentingan puak/kelompok. Penyingkiran dan pengekalan daripada puak tertentu akan memastikan pertelagahan yang sedia ada akan berkekalan.

2) Umno masih tebal dengan kaedah pembenaran dan penafian seolah-olah rakyat tidak mampu berfikir. Mungkin juga parti itu beranggapan, rakyat akan terima apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Terlalu banyak kenyataan kerajaan yang memperbodohkan rakyat.

3) Kerajaan menafikan konsep "Satu Malaysia" sebagai pengesahan konsep "Malaysian Malaysia" yang diperjuangkan oleh DAP. Umno perlu mencari kekuatan lain untuk memenangi kaum China dan India dan bukan dengan memperjudikan konsep dan teras perjuangan Umno iaitu nasionalisma Melayu.

4) Umno tidak pernah rasa terkilan di atas setiap kehilangan jati diri bangsa dan bahasa Melayu. Mungkinkah pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga merupakan petanda awal penjelmaan "Satu Malaysia" dan membiarkan 'meritokrasi' bersaing secara bebas dalam setiap bidang untuk semua rakyat Malaysia.

5) Bayangan tekanan daripada luar gagal dipadamkan daripada kabinet Najib. Jika Tingkat 4 menjadi duri dalam daging dalam kabinet Tun Abdullah, maka apakah Tun Mahathir atau pihak lain akan menentukan keputusan Najib.

6) Umno masih belum berubah, dasar masih sama. Ketuanan Melayu merupakan slogan kosong dan parti itu sentiasa bermuka-muka untuk mendapat sokongan daripada orang Melayu dan bukan Melayu. Hakikat bahawa dasar ini sudah begitu difahamai oleh rakyat pelbagai kaum tidak diberi perhatian oleh Umno. Bagaimana mereka perlu pertahankan dasar lapuk itu sedangkan sokongan yang diterima parti itu kian mengecil.

Banyak ramalan dan pengamatan yang dibuat tetapi sokongan yang mula goyah daripada komponen utama BN, menyebabkan Najib belum tentu dapat tidur lena. Banyak cabaran yang bakal ditempuhi. Kegagalan pertama Najib diperingkat antarabangsa bukan di Sidang Kemuncak ASEAN KE 14, tapi akhbar dan media gagal menyiarkan ucapan tahniah dan penghargaan daripada pemimpin luar negara terhadap Perdana Menteri baru Malaysia.

Tuesday, April 7, 2009

Islam untuk semua.

" Wahai manusia sembahlah Tuhan yang telah mencipta kamu dan mereka yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa" ( al-Baqarah ayat 21)
" Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam" ( Maksud al- Hadith)
Mufti Kerajaan negeri Perak Datuk Harussani Zakaria mempersoalkan hak Nga Kor Ming kerana membaca ayat al Quran dari Surah al A'raf. Teguran beliau tentunya tidak sama dengan teguran Datuk Rezal Marican atau Osman Jailu. Teguran mereka bermotif politik dan tidak perlu diberi perhatian oleh mereka yang cakna dengan kesucian Islam. Apabila teguran itu daripada Datuk Harussani, kita menjadi bimbang kerana tidak menegah/menghalang Kor Meng membaca ayat-ayat Quran boleh mencacatkan keislaman kita.
Sebagai seorang ulama, Datuk Harussani perlu memberi penjelasan berserta nas kenapa Nga Kor Ming atau sesiapa yang bukan Islam tidak boleh membaca, mempelajari atau menyentuh al Quran. Sekurang-kurangnya beliau perlu menjawab beberapa persoalan asas berkaitan isu tersebut, antaranya ialah:-
1) Adakah dalam al Quran itu mana-mana ayat yang melarang orang kafir membaca/mempelajari al Quran.
2) Adakah hadith yang melarang perkara yang sama atau para sahabat Rasulullah yang melarangnya.
3) Bagaimana cara terbaik untuk memperkenalkan ajaran Islam kepada bukan Islam dari kalangan cerdik pandai jika tidak boleh membenarkan mereka membaca dan mengkaji kandungan al Quran.
4) Siapa yang dapat menentukan dan menyekat hidayah jika Allah menghendaki seseorang itu mendapat hidayahNya.
5) Siapakah yang dapat menentukan seseorang itu menemui Allah dalam keadaan beriman atau sebaliknya dan siapakah mereka yang mendapatkannya.
6) Mengapa Nga Kor Ming tidak berhak mendapat atau berusaha mendapatkan hidayah dan petunjuk Allah.
7) Adakah ayat yang khusus menyatakan bahawa al Quran itu untuk orang Melayu Umno orang lain tidak berhak untuk beramal dengannya.
8) Tidak cukupkah orang yang jahil menguasai dan menghina Islam dengan beriman dengan sebahagian isi al Quran dan menolak sebahagian yang lain sehingga para ulama perlu bersama berkongsi fahaman sempit yang begitu lama menjerut Islam.
9) Hebat sangatkah perkembangan Islam semasa pemerintahan kerajaan sekarang sehingga sebarang pendapat yang bertentangan dengan pemikiran jumud perasuah, penjenayah yang mendominasi parti pemerintah adalah fatwa dan mesti harus diikuti.
Kewibawaan Datuk mufti Kerajaan Negeri Perak pada pandangan rakyat seluruh negara tidak pernah dipertikaikan. Jangan hendaknya kehendak dan kerakusan mereka yang jahil memaksa rakyat memandang serong kepada beliau. Kami akan sentiasa mengharapkan pandangan yang baik daripada tuan.

Monday, April 6, 2009

Kepulangan .

Hebatnya seorang yang bernama Mahathir bin Mohamad. Perdana Menteri Malaysia keempat yang masih bernafsu mencampuri urusan pentadbiran politik negara. Setelah keluar dari Umno secara mengejut Mei 2008, beliau mengharapkan tuah penerimaannya semula oleh Tun Abdul Razak tahun 1970-an setelah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman akan berulang di zaman Najib.
Permohonannya untuk kembali kepangkuan Umno akan diambil tindakan segera dan beliau akan kembali kepangkuan Umno kerana diterima oleh Najin, anak Tun Razak.

Keyakinan Tun Mahathir terhadap Najib menyebabkan beliau melompat ke Bukit Gantang dan kemudiannya ke Bukit Selambau. Sekiranya masa kempen masih berbaki tidak mustahil beliau ke Batang Ai. Itulah Mahathir sehingga Zahid Hamidi kagum dengan jumlah kehadiran yang ramai ke tapak ceramah/kempen Mahathir. Mengikutnya, orang ramai hadir tanpa dikerah, diangkut dan tidak pula diberi makan. Tentunya kehadiran itu suatu pengorbanan atau mungkin satu kesyukuran kerana kembalinya Tun Mahathir ke pangkuan Umno. Tentunya dengan penuh harapan, wibawa Mahathir akan cepat mengembalikan keyakianan rakyat kepada Umno.

Mahathir telah secara sinis cuba membasuh dosanya dengan menghina dan menyalahkan Anwar. Seperti Abdullah, Anwar yang selangkah akan menjadi orang paling berkuasa, dianggap sebagai orang tidak mengenang budi. Mengikut Mahathir, Anwar cuba menendang tangga yang disediakan untuknya setelah sampai ke atas. Maka Anwar perlu dikorbankan dan telahpun dikorbankan.

Mahathir telah memilih Abdullah tetapi beliau sentiasa dalam kesedihan kerana beliau tidak bijak memilih pengganti. Ketelitian beliau yang terpaksa memecat 3 orang timbalannya tidak menjamin pilihan yang tepat. Beliau terpaksa memilih Abdullah dan sentiasa mendedahkan kelemahan pemimpin Umno yang dikira paling bersih itu. Umno telah kalah teruk dalam pilihan raya Umum ke 12 lalu, maka Mahathir bertambah yakin dengan pengaruhnya dalam politik Malaysia. Abdullah juga sebenarnya telah dikorban Mahathir. Tekanannya jugalah yang menyebabkan peralihan kuasa kepada Najib segera berlaku.

Mahathir telah menyatakan sokongannya semula kepada Umno. Kredibiliti Najib sebagai Perdana Menteri yang pernah dipersoalkan oleh Mahathir sendiri hilang sekelip mata. Najib dan Umno telah bersih daripada segala masalah. Rasuah politik dalam Umno cuma tinggal di amalkan oleh KJ semata-mata, lain-lain tokoh adalah bersih dan mampu membebaskan parti itu daripada politik wang.

Andainya Melayu mudah lupa, maka mereka akan memilih Umno dan berbangga dengan kepulangan Mahathir kepangkuan Umno. Sekali lagi rakyat akan menyokong Umno dan untuk tempoh yang agak lama kejahatan yang sedia bersarang dalam parti itu berjaya ditutup rapat sebelum ianya menjadi pekung yang membusuk dan berjaya dihidu oleh rakyat. Ketika itu barangkali Mahathir sudah tidak mampu berperanan mencorak warna-warna politik tanah air. Ketika itu, barangkali Melayu sudah tidak ada apa-apa untuk dibanggakan.

Selamatkan Malaysia daripada segala kejahatan.

Sunday, April 5, 2009

Bila Pas, DAP dan Keadilan menjadi Pakatan Rakyat.

Satu laporan polis telah dibuat terhadap AP Taiping yang juga Adun Pantai Remis kerana mempersendakan Islam. Laporan ke atas Nga Kor Meng , Setiausaha DAP Perak telah dibuat oleh Presiden Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar yang hadir bersama 15 penyokongnya di ibu pejabat polis Taiping.

Osman mendakwa Nga Kor Meng telah mempersendakan Islam kerana memetik ayat al Quran dari surah al A'raf untuk tujuan kempen di PRK P59, Bukit Gantang. Kor Meng tidak mampu menyebut surah al-A'raf dengan tepat dan menyebutnya sebagai al-Anrah.

Nga Kor Meng seorang China Kristian yang mula mengkaji al Quran. Untuk memelihara hubungan baik dengan ahli dalam Pakatan Rakyat, Kor Meng cuba mendekati Melayu, budaya dan agama yang dianuti oleh orang Melayu. Beliau akan merujuk al Quran bila MB Pakatan Rakyat Nizar Jamaludin pada setiap kesempatan memetik ayat-ayat dari al Quran dalam ucapannya. Kebiasaan ini tidak pernah ditegur oleh Pas atau anggota Keadilan lain yang beragama Islam. Kor Meng sendiri sebagai seorang berpelajaran memahami Islam sebagai agama sejagat dan sesiapa boleh mengkaji Islam, al-Quran untuk bersetuju atau tidak dengan agama itu. Begitu juga ahli yang beragama Islam dalam Pakatan Rakyat, baik ahli Pas atau Keadilan, tidak menegah malah menggalakkan ahli daripada DAP yang tidak beragama Islam untuk mengkaji Islam dan al Quran. Islam bukan lagi milik mutlak orang Melayu sehingga orang lain tidak boleh mendekatinya.

Pemikiran sempit, jumud dan keliru orang yang jahil seperti Osman Abu Bakar telah menyebabkan Islam dianggap sebagai ajaran yang tidak mampu mempertahankan kemuliaannya dengan hujjah dan kebenaran, maka ia perlu dipertahankan oleh pelbagai peraturan dan kawalan. Maka Islam itu menjadi sekadar amalan ritual yang makin jauh daripada orang Melayu dan asing daripada bangsa lain. Itulah Islam yang diperjuangkan oleh Umno.

Sebagai Presiden Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar septutnya lebih cakna dengan sebutan orang China rakyat Msalaysia yang tidak mempu menyebut bahasa Melayu dengan baik. Kenapa beliau tidak peka dengan keganjilan sebutan dalam bahasa Melayu yang yang dituturkan oleh sesetengah penduduk negara ini seperti "olang" bagi "orang", "iblis" bagi "Idris", "silat" bagi " sedap" dan seumpamanya. Siapa Kor Meng untuk menyebut perkataan Arab dengan lidah yang fasih kalau Osman sendiri belum tentu dapat membaca al Quran secara bertajwid apa lagi secara bertaranum.

Nga Kor Meng yang baru mengenali Islam semenjak bersahabat dengan Pas dan Keadilan "diherdik" oleh Badan Bertindak Perpaduan Melayu kerana sebutan beliau tidak tepat, maka sebaiknya beliau lebih peka dengan kesalahan ejaan perkatan "amalan" menggunakan tulisan jawi yang digunakan secara meluas oleh Umno /BN dalam kempen mereka di Bukit Gantang. Salah cakna orang seperti Osman Abu Bakar menyebabkan tulisan jawi telah dibunuh oleh bangsanya sendiri. Kini bahasa Melayu itu sendiri sedang terpinggir dan dipinggirkan oleh Umno, maka sadarkah orang Melayu yang cakna seperti Osman.

Siapa Osman sebenarnya dalam PRK P59 Bukit Gantang apabila membuat laporan bersama 15 ahlinya dengan memakai baju berlambang Umno dan BN. Sebaiknya beliau memilih idea yang lebih baik, lebih rasional untuk memberi sokongan kepada mana-mana parti dalam pilihan raya itu, tetapi menggunakan isu yang yang begitu bodoh serta bertindak membuat laporan polis adalah kebodohan yang melampau. Belum tentu Osman yang membut laporan itu faham aspek perundangan yang tepat untuk mebolehkan beliau membuat laporan itu.

Teringat kata Karpal Singh bahawa yang terpekik terlolong marah kepada beliau atas sesuatu isu, belum tentu baca dan faham peraturan dan undang-undang yang berkaitan isu berkenaan. Rata-rata kita kurang baca. Selamat membaca.