Tuesday, April 14, 2009

Koleksi Perdana

Menteri Besar Kelantan Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat meembuat ulasan berkenaan kepimpinan Umno di bawah Najib sebagai kereta sama( kereta buruk dan bermasalah) dengan pemandu yang baru. Bijak sangatkah pemandu baru( Najib) dengan kondisi kereta yang serba teruk dan sarat pula dengan penumpang untuk selamat sampai ke destinasi?

Tanpa menoleh masa silam, permulaan Najib sebagai peneraju mengundang tanda tanya. Kepada ahli Umno yang jujur, sentuhan awal Najib diiringi dengan doa dan harapan, tetapi lakaran yang dibuat belum tentu mampu membawa Malaysia keluar dari kandang masalah yang sedang dihadapi.

1) Jika pembentukan kabinet dijadikan ukuran, tokoh-tokoh yang diketengahkan belum tentu bersih daripada sampah sarap yang mencemarkan imej Umno. Sandaran pemilihan anggota kabinet tidak mampu membebaskan Umno daripada kepentingan puak/kelompok. Penyingkiran dan pengekalan daripada puak tertentu akan memastikan pertelagahan yang sedia ada akan berkekalan.

2) Umno masih tebal dengan kaedah pembenaran dan penafian seolah-olah rakyat tidak mampu berfikir. Mungkin juga parti itu beranggapan, rakyat akan terima apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Terlalu banyak kenyataan kerajaan yang memperbodohkan rakyat.

3) Kerajaan menafikan konsep "Satu Malaysia" sebagai pengesahan konsep "Malaysian Malaysia" yang diperjuangkan oleh DAP. Umno perlu mencari kekuatan lain untuk memenangi kaum China dan India dan bukan dengan memperjudikan konsep dan teras perjuangan Umno iaitu nasionalisma Melayu.

4) Umno tidak pernah rasa terkilan di atas setiap kehilangan jati diri bangsa dan bahasa Melayu. Mungkinkah pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga merupakan petanda awal penjelmaan "Satu Malaysia" dan membiarkan 'meritokrasi' bersaing secara bebas dalam setiap bidang untuk semua rakyat Malaysia.

5) Bayangan tekanan daripada luar gagal dipadamkan daripada kabinet Najib. Jika Tingkat 4 menjadi duri dalam daging dalam kabinet Tun Abdullah, maka apakah Tun Mahathir atau pihak lain akan menentukan keputusan Najib.

6) Umno masih belum berubah, dasar masih sama. Ketuanan Melayu merupakan slogan kosong dan parti itu sentiasa bermuka-muka untuk mendapat sokongan daripada orang Melayu dan bukan Melayu. Hakikat bahawa dasar ini sudah begitu difahamai oleh rakyat pelbagai kaum tidak diberi perhatian oleh Umno. Bagaimana mereka perlu pertahankan dasar lapuk itu sedangkan sokongan yang diterima parti itu kian mengecil.

Banyak ramalan dan pengamatan yang dibuat tetapi sokongan yang mula goyah daripada komponen utama BN, menyebabkan Najib belum tentu dapat tidur lena. Banyak cabaran yang bakal ditempuhi. Kegagalan pertama Najib diperingkat antarabangsa bukan di Sidang Kemuncak ASEAN KE 14, tapi akhbar dan media gagal menyiarkan ucapan tahniah dan penghargaan daripada pemimpin luar negara terhadap Perdana Menteri baru Malaysia.

No comments: