Saturday, August 15, 2009

Toleransi beragama atau kurang beragama?

Kehidupan beragama dikaitkan dengan perjalanan kehidupan yang teratur. Semua agama menjelaskan peraturan, suruhan dan larangan kepada penganut masing-masing. Kehidupan beragama merupakan fitrah walaupun ada yang menafikan kepentingan kehidupan beragama kepada manusia. Golongan komunis dan fahaman anti agama masih memerlukan peraturan dan undang-undang untuk mengurus kehidupan yang teratur di dunia. Manusia tidak boleh berada di luar peraturan.

Para ahli membahagikan peraturan beragama dikalangan manusia kepada 2 kelompok iaitu peraturan/agama samawai dan peraturan/agama duniawi. Kedua-dua kelompok agama menaja hukum-hakam dan peraturan yang bertujuan mengawal perlakuan kehidupan penganut agama masing-masing.

Agama samawi atau agama langit dikaitkan dengan wahyu dengan perantaraan para rasul untuk memberi panduan hidup manusia di dunia dan kehidupan selepas mati. Semua agama langit seperti Yahudi,Kristian dan Islam mempunyai kitab suci masing-masing yang jelas berperanan sebagai perlembagaan hidup yang murni penganut masing-masing di dunia dan di akhirat. Lantaran itu peraturan agama berkenaan amat jelas menerangkan mana yang halal atau yang haram. Kegagalan penganut agama langit mematuhi setiap suruhan dan larangan dikaitkan dengan dosa dan azab neraka.

Islam melalui kitab suci al Quran dan hadith rasulnya telah mengariskan peraturan yang meliputi semua aspek kehidupan penganutnya; hubungan mereka dengan tuhannya, hubungan mereka sesama Islam, hubungan mereka dengan bukan Islam, hubungan mereka dengan alam dan hubungan mereka dengan segala kehidupan dunia dan akhirat. Tidak ada yang terlepas daripada cakupan peraturan agama Islam. Semua penganutnya tahu atau sepatutnya tahu.

Apakah ada ruang-ruang tertentu yang membolehkan penganut agama Islam menceroboh hak orang lain sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam. Apakah boleh orang Islam mencela kepercayaan, amalan, budaya dan adat resam orang bukan Islam. Bukankah dalam Quran sendiri melarang orang Islam mencela dan mencemuh kepercayaan orang bukan Islam. Bukankah sikap berlapang dada yang begitu hebat ditunjukkan oleh agama Islam terhadap bukan Islam.

Persoalannya dalam masyarakat yang tidak faham kepercayaan agama masing-masing. Bukankah minuman keras, berjudi dan berzina menjadi tegahan hampir semua agama di dunia. Kenapa persoalan menjadi punca persengketaan jika masing-masing penganut agama menghormati dan beramal dengan pegangan agama masing-masing.

Islam mengharamkan arak tetapi tidak pernah melarang orang bukan Islam minum arak. Arak adalah ibu segala dosa mengikut Islam, tetapi tidak menyekat sesiapapun meminumnya kecuali bagi penganut Islam. Maka apa alasan untuk tidak senang hati dengan orang Islam yang melarang penjualan arak secara bebas kepada orang Islam sendiri. Bukankah langkah ini patut disokong kerana perbuatan minum arak kegiatan tidak bermoral bagi semua agama?

Kita merasa kecewa bila pandangan mereka yang jauh dari agama masing-masing sering diberi keutamaan. Kegagalan mereka untuk beramal dengan taat menikut agama masing-masing telah mendorong mereka untuk mempengaruhi orang lain. Karenah golongan yang menyeleweng ini sebenarnya merosakkan kehidupan bermasyarakat dalam konteks masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Kebanyakan pemimpin adalah teridiri daripada mereka yang memuja nafsu dan menolak agama. Anda tidak perlu bimbang dengan jerat fitnah untuk mengakui ramai pemimpin Umno yang Islam begelumang dengan arak dan rasuah. Anda juga tidak perlu risau untuk mengakui bahawa banyak program Umno/BN yang membawa rakyat jauh daripada pegangan agama akan melahirkan masyarakat yang memuja nafsu dan kepentingan diri.

Rakyat Malaysia tidak mampu bersatu dibawah Umno/BN kerana jlas mereka tidak suka kepada kegiatan beragama dan berperaturan. Mereka sering melanggar agama mereka dan peraturan yang mereka buat sendiri. Di bawah Umno/BN semua akan jadi kacau tanpa peraturan - agama yang dicerobohi dan peraturan yang tidak dihormati.

Thursday, August 13, 2009

Siapa menghina Islam?

Orang bukan Islam selamanya tidak akan percaya dengan kesempurnaan ajaran agama suci Islam . Hanya hidayah Allah yang membuka tutupan yang menyelimuti hati mereka untuk memandang baik ajaran Islam. Mereka dengan tindakan tidak mempercayai ajaran Islam tidak boleh dikatakan menghina Islam. Pandangan dan perbuatan mereka selamanya yang menentang Islam adalah hak mereka. Orang Islam jangan pula tersentuh dengan keingkaran mereka tidak menerima Islam. Apa yang boleh mereka lakukan ialah menerangkan dengan cara penuh hikmah dan bijaksana berkenaan kemurnian ajaran Islam. Orang Islam tidak boleh pula memaksakan mereka menerima ajaran agama Allah itu walaupun mereka meyakini bahawa ajaran Islam satu-satunya yang dapat menyelesaikan permasalahan manusia demi kebaikan mereka dunia dan akhirat.

Namun sikap Islam bukan terlalu pasif dan depensif dalam menyatakan kehebatan agama Allah itu. Malah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam menyatakan dan menyampaikan ajaran Islam kepada seluruh manusia. Hari ini, orang Islam rata-rata mengabaikan tanggungjawab menyatakan dan menyampaikan Islam kepada saudara mereka yang masih tidak Islam. Beberapa sikap yang jauh daripada tuntutan ajaran Islam diamalkan menyebabkan agama yang Allah turunkan untuk seluruh manusia berlegar dalam kelompok tertentu. Malah terdapat tembok dan halangan yang memisahkan Islam daripada orang bukan Islam.


Kejahilan orang Islam menyebabkan mereka sentiasa keliru berkenaan hubungan dengan orang bukan Islam. Pandangan seorang terhadap golongan yang berhak mendapat cahaya Iman dan Islam menyebabkan mereka terus terpinggir daripada Islam. Tindakan menyalahkan orang bukan Islam kerana membuat pandangan keliru terhadap Islam tidak tepat. Kekeliruan meraka kerana kegagalan orang Islam beramal dengan ajaran Islam.

Orang Islam sepatutnya berhenti mempersoalkan tindakan orang bukan Islam membuat pandangan seorang terhadap Islam. Mereka berhak untuk berpandangan tidak baik terhadap Islam kerana kegagalan kita menerangkan ajaran sebenar Islam kepada mereka. Mereka juga tidak mendapat contoh terbaik penghayatan sebenar Islam dalam kehidupan seharian orang Islam. Pemerintah dari kalangan orang Islam tidak pernah menjelaskan ajaran Islam kepada anggota komponen mereka yang bukan Islam. Sebaliknya mereka gembira menunjukkan sifat toleransi agama yang songsang dengan berkompromi dalam hal-hal yang dilarang oleh Islam itu sendiri. Selamanya orang bukan Islam tidak akan memahami Islam dengan usaha Umno yang kononnya berjuang untuk bangsa dan agama.

Sesungguhnya Umno sepatutnya dihukum kerana menghina Islam. Umno selama memerintah teloh menolak Islam dan ajaran Islam. Umno mempersendakan Islam dan memisahkan orang Islam dan bukan Islam daripada agama Islam. Islam telah dipinggirkan oleh Umno dan pemimppin Umno daripada berfungsi sebagai agama dunia dan akhirat.

Umno adalah tidak layak untuk bercakap tentang penghinaan orang bukan Islam terhadap Islam kerana mereka sebenarnya menghina Islam. Pemimpin mereka menjuarai gerakan menghancurkan Islam. Sesiapa yang cintakan Islam sepatutnya menghukum pemimpin Umno dengan menolak mereka daripada barisan kepimpinan negara.

Umat Islam suadah memiliki ruang yang baik untuk menjelaskan kekeliruan saudara mereka yang bukan Islam. Ketika pemimpin Umno sibuk dengan undang-undang rimba untuk menutup kekeliruan orang bukan Islam, orang Islam yang cerdik perlu membawa keluar persoalan ini dengan siri penerangan yang menarik dan berhikmah. Malah kita tidak perlu terkejut jika Dr. Ridhuan Tee Abdullah lebih berjeya mendekatai orang bukan Islam daripada Umno.

Monday, August 10, 2009

Siapa pengkhianat?

Menuntut dan mendapatkan kemerdekaan negara tercinta bukan perbutan seorang penderhaka dan pengkhianat . Siapa dan berapa ramai yang mendapat laba daripada usahanya menuntut dan memperjuangkan kemerdekaan jarang diperkatakan oleh pejuang tulin. Mereka juga tidak pernah merasa kecewa bila pengkhianat menjuarai usaha menuntut laba setelah negara mencapai kemerdekan. Lumrah para pejuang yang sanggup meleburkan kepentingan diri dan jarang memperagakan kehebatannya dalam perjuangan.

Hari ini bila anak kemarin yang masih hingusan terpekik menunding jari kepada si anu dan anu sebagai penderhaka dan pengkhianat. Mereka tanpa sedar berada dalam wadah perjuangan yang mengkhianati bangsa. Bersegkongkol menghina martabat kemanusiaan kerana kuasa dan kedudukan. Anak yang belum pernah merasa getir pahitnya garam perjuangan tanpa silu berimajinasi sebagai pejuang besar bangsa Melayu.

Pejuangkah jika had sokongan tidak pernah melampaui daerah antara pusat dengan lutut kamu? Pejuangkah yang akan membeli setiap kebodohan rakyat untuk kehidupan hari esok bangsa yang belum pasti? Pejuangkah yang mengadai setiap pusaka dan maruah bangsa yang masih tersisa? Pejuangkah yang malu dengan setiap tinggalan yang masih tersisa? Bukankah mereka sebenarnya pengkhianat yang tidak pernah mengenal keperibadian sendiri.

Sesungguhnya Umno itulah pengkhianat yang semestinya dihalang dan dinafikan peluang untuk terus mempertaruhkan maruah bangsa ini demi keserakahan nafsu mereka.

Para pejuang berlu bangkit menonjolkan diri bahawa sesungguhnya kamu ikhlas berjuang untuk membeli maruah bangsa ini yang kian terhakis. Berdirilah kamu dengan prinsip perjuangan, sesungguhnya mereka tidak boleh dibiarkan berleluasa.

Sunday, August 9, 2009

ISA - HAPUSKAN.

Kehadiran khalayak yang ramai menjadi idaman setiap peniaga. Para peniaga melalui promosi secara sengaja berusaha menarik seramai mungkin manusia kelokasi perniagaan mereka. Pesta yang padanya terdapat pelbagai ragam manusia diberi layanan yang baik oleh penguasa yang mesra pengusaha. Anggota pasukan keselamatan lazimnya tidak seramai anggota FRU yang menjadi penghalang kehadiran ramai ke Ibu Kota untuk menyertai perhimpunan aman untuk menuntut ISA dihapuskan.

Jika pemimpin Umno tidak takut dengan bayangan kejatuhan kuasa, anggota keselamatan untuk mengawal demonstrasi itu tidak seramai mana. Kedai-kedai dan jalan-jalan tidak perlu ditutup. Peniaga pasti tidak menang tangan dengan kehadiran begitu ramai pelanggan. Bayangkan sesekali ke Ibu Kota, banyak wang belanja yang dibawa. Peniaga kaki lima akan mendapat durian runtuh.

Pemimpin Umno biasanya kurang cerdik dalam sifir pengurusan ekonomi tidak mampu menghidu peluang membuat duit untuk rakyat Kuala Lumpur. Sekatan dan suasana rusuh yang dicipta oleh Umno dengan kerjasama pihak keselamatan menjadikan suasana sebaliknya. Peniaga menutup premis perniagaan masing-masing kerana terpengaruh dengan suasana gelisah yang dicipta dan diperbesarkan. Media yang menjadi barua Umno sengaja menabur garam pada luka bagi menambahkan ragam keperitan. Ada yang membuat laporan polis untuk menuntut ganti rugi kerana perniagaan mereka ditutup.

Siapa yang suruh mereka tutup perniagaan? Siapa sebenarnya yang menyebabkan keadaan menjadi tidak tenteram. Pihak keselamatan yang menjadi alat Umno sejak awal pagi menghalang, menghambat, membelasah dan menangkap secara rambang sesiapa yang difikirkan akan ke lokasi perhimpunan aman itu. Jika pasukan keselamatan bertindak secara profesional, aliran trafik pasti berjalan lancar kerana Kuala Lumpur biasa dengan kehadiran khalayak yang ramai. Umno dan pasukan keselamtan perlu menerima tanggungjawab sepenuhnya keatas setiap kesulitan ketika perhimpunan aman itu.

Premis perniagaan yang lantang menjuarai suara Umno sepatutnya diberi perhatian. Pembeli yang banyak memberi sokongan kepada premis berkenaan perlu membuat penilaian semula kerana mereka tidak begitu suka dengan kehadiran pelanggan yang ramai. Malah beberapa kali premis berkenaan dengan sengaja melukai hati penyokong parti pembangkang. Pengguna boleh bayar lebih untuk kepuasan hati dan untuk memberi satu ingatan jika pun premis berkenaan terkenal dengan harga murah?

Rakyat adalah pengguna yang bijak. Kerajaan kian gagal dengan tugasnya untuk memberi keselesaan kepada pengguna. Rakyat perlu mengubah kerajaan dalam PR Umum ke 13 nanti.

Friday, August 7, 2009

SPRM (BUKAN SKUAD PEMBUNUH RAKYAT MALAYSIA)

SPRM bukan Skuad Pembunuh Rakyat Malaysia. Ianya sebuah suruhanjaya yang ditubuh oleh kerajaan untuk mengawal dan membenteras kegiatan salah laku rasuah yang diyakini berleluasa di Malaysia. SPRM yang diharap dapat berperanan lebih telus, lebih cekap, lebih berkesan dan bukan sekali-kali alat mana-mana parti untuk membuli pihak lawan. Kerajaan yang dipimpin oleh Umno/BN merasakan BPR, sebuah badan yang ditubuhkan sejak negara mencapai kemerdekaan gagal bergungsi dengan baik, lalu ianya perlu diganti dengan SPRM.

Rakyat sedang memerhati telatah pemimpin Umno/BN yang kelemasan menggunakan SPRM untuk menekan Pakatan Rakyat. Setakat ini, SPRM menepa banyak kejayaan, terutama peranannya membantu menjatuhkan kerajaan Nizar Jamaludin di Perak. Projek SPRM di negeri Pakatan lain belum menampakkan kesan yang ketara walaupun serangan terhadap Selangor dikirakan paling kencang.

Dibimbangi rakyat menjadi terlalu bosan dengan cara SPRM di peralatkan oleh Umno. Setakat seorang adun Umno dari Kemaman yang ditahan, persepsi buruk rakyat terhadap kepandiran badan itu bertindak terhadap adun-adun Pakatan Rakyat tidak mampu dipulihkan . Rakyat belum tentu sebuta pemimpin Umno/BN untuk menilai kebenaran. Pembohongan demi pembohongan pemimpin Umno/BN mempertahan SPRM akan menambahkan kebencian rakyat.

Pemimpin Umno/BN tidak perlu menunggu ratusan ribu rakyat terkorban untuk membetulkan setiap kezaliman untuk mempertahankan politik rakus mereka. Pemimpin yang bodoh-bodoh itu senang menyangka bahawa mereka berjaya menyekat kebangkitan rakyat seperti dalam peristiwa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Anuar Ibrahim atau dalam peristiwa PPSMI dan GMI, tetapi kebencian rakyat bila-bila masa menjadi lahar yang memuntahkan api kemarahan yang membakar.

Pemimpin yang bodoh itu juga menyangka mereka bertindak betul dengan menggunakan polis atau SPRM untuk menghalang kehendak rakyat tetapi mereka gagal membaca statistik kejahilan rakyat kian meruncing untuk terus membenarkan mereka dipimpin oleh segolongan manusia yang jahat.

Jika anda seorang pengamat yang baik, kini Malaysia dipimpin oleh segolongan pembohong yang paling tidak beramanah sepanjang sejarah kemerdekaannya. Jika anda yang sayangkan Malaysia, anda tidak seharusnya bersatu mempertahankan konsep rapuh cauvanis kaum yang menjadi elemen utama 1 Malaysia yang ditaja oleh Umno/BN. Kegilaan ini perlu ditamatkan.
Najib dan salam 1 Malaysia. Rakyat menjadi keutamaan. Jika bapanya Tun Razak, Bapa Pembangunan, maka Najib pasti lebih hebat. Najib Bapa 1 Malaysia. Jika Tun Razak mendapat sokongan padu, kenapa tidak Najib. PM yang melalui detik 100 hari pertama tanpa sebarang kehebatan kecuali kenyataan yang kian mengah untuk mendapat simpati dan sokongan rakyat. Setiap sentuhan berbau hanyir dengan dosa lalu dan dosa lampau BN/Umno setelah lebih separuh abad menerajui Malaysia.


Najib kian ghairah mempamirkan wajah cuak seorang anak bekas PM yang tidak pernah hidup susah. Najib juga kian terkeliru dengan suara hati rakyat yang membesar di bawah sinar mentari khatulistiwa. Sesekali PM terkeliru, keliaru antara hasrat rakyat dengan khazanah minda yang dipunggut negara bekas penjajah. Keliru antara adat, budaya dan agama. Keliru antara pilihan rakyat dengan rampasan kuasa. Kekeliruan yang menyebabkan Najib terpaksa muncul dengan pelbagai warna muka.


Najib membilang banyak kekalahan dalam pilihan raya kecil, beliau masih berbangga menjaja sokongan rakyat kian berganda. Darah rakyat kian banyak yang tumpah, Najib masih tega mencium hanyirnya yang melampaui sempadan antarabangsa. Najib yang mencucuk sehingga buta segala mata media, tapi rakyat kian jilah hati nuraninya.


Wednesday, July 1, 2009

Pemikiran Tok Guru

Datuk Nik Abdul Aziz Menteri Besar dari kalangan ulama, orang yang arif berkenaan politik dan agama. Masa berlalu dalam hidup beliau sebagai hamba Allah sama ada ketika beliau berpolitik atau melaksanakan tuntutan agamanya. Beliau tidak membenarkan adanya pemisahan agama dengan politik. Beliau beriman dengan tujuan penciptaan makhluk jin dan manusia adalah untuk beribadat kepada Allah dalam apa jua keadaan. Beliau juga mengharapkan keridhaan dan keselamatan dirinya dan seluruh kaum Muslimin di dunia dan akhirat.

Orang politik sekular mudah keliru dengan kenyataan Nik Abdul Aziz. Mereka menilai Nik Aziz dengan neraca sekular yang memisahkan agama dengan kehidupan duniawi. Sampai kiamat mereka akan gagal menyelami pemikiran MB Kelantan yang kontrovesi itu.

Bila MB Kelantan itu menyamakan perjuangan Umno sesat seperti sesatnya komunis, orang Umno terkilan amat. Umno tidak merasa sesat dalam perjuangannya sepertimana para pejuang Melayu/Islam yang berjuang bersama komunis untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah. Rashid Maidein, Abdullah CD, Shamsiah Fakih Sultan dan lain-lain tidak merasa komunis sebagai sesat sepertimana Umno yang mengekalkan undang-undang penjajah dalam sistem pemerintahan dan menolak sistem Islam tidak merasa mereka tidak sesat.

Nik Abdul Aziz mempelajari Islam, mengajar ajaran Islam dan menerapkan amalan ajaran Islam kedalam kehidupan sehariannya. Nik Abdul Aziz tidak menolak usaha-usaha untuk menolong Bangsa Melayu sepertimana beliau tidak menolak untuk berlaku adil kepada kaum lain yang tidak Islam selaras dengan tuntutan agamanya. Malah Nik Abdul Aziz menolak perangai jahiliah Umno yang memperjuangkan assabiyah Melayu kerana segala perjuangan berbentuk assabiyah dan perkauman ditolak lama oleh Islam, sejak tahun 610 M. Umno yang tidak reti agama mempertahankan konsep perjuangan mereka sebagai selaras dengan Islam. Kedegilan ini amat liat sekali bila pada bila-bila masa sekalipun Umno akan menolak untuk bermuzakarah dan berdebat dengan Pas. Bila Umno akan mendapat kefahaman sertai menghayati kefahaman yang dipegang oleh Nik Abdul Aziz dengan menolak muzakarah, perbincangan dan perdebatan.

Kita tidak menafikan bahawa Umno ada biro agamanya. PM daripada Umno ada penasihat agamanya. Mufti-mufti bagi setiap negeri di Malaysia ada peranannya. Sebaik-baik peranan adalah untuk memberi nasihat yang baik kepada pemerintah dalam melaksanakan pentadbiran dan pemerintahannya. Maka jika mufti berperanan selayaknya sebagai mufti, Umno mudah menerima fahaman Nik Abdul Aziz.

Persoalannya, kenapa Nik Abdul Aziz mempertikaikan pandangan mereka. Mempertikaikan pandangan mufti bererti tidak akur dengan kebolehan mereka dalam bidang agama atau sememangnya pengetahuan agama mereka tidak mampu mentafsirkan pola kehidupan yang rencam sehingga para mufti hanya mampu menjadi juru bicara Umno/BN. Kita tidak mampu menafikan Nik Aziz sebagai ulama yang aktif mengajar dan menyebarkan ilmunya dan pada masa yang sama menjadi ahli politik sepenuh masa. Ahli politik yang beragama dan mengamalkan agamanya dalam kehidupan.

Maka siapa mufti di Malaysia yang mampu menyaingi Nik Abdul Aziz. Mungkin Harrusani memiliki pengetahuan lebih daripada Nik Abdul Aziz, tapi beliau terlalu mentah untuk menyaingi Nik Abdul Aziz dalam bidang politik. Malah beliau tidak mampu mempamirkan sikap ulama yang memberi nasihat kepada Umno dalam segala urusan. Pastinya beliau terlalu geli untuk mengharungi petaka yang terpaksa dilalui Nik Abdul Aziz kerana tidak sefahaman dengan Umno.

Sebagai manusia biasa Nik Abdul Aziz terdedah kepada kesilapan, tapi buruk sangat jika orang Umno yang tidak reti agama, liat untuk beramal dengan agamanya, serta tebal dengan faham kebendaan itu galak menegur apa lagi memperlekehkan ahli politik dan ulama tua itu dalam perkara yang amat difahamainya dan telah diterjemahkan dalam kehidupan sehariannya. Tok Guru ada dalam kelasnya yang tersendiri.