Monday, November 9, 2009

Bai'ah

Borang N, undang-undang Pentadbiran Hukum Syarak Tahun 1955 (Bilangan 4 tahun 1955) Pejabat Agama Terengganu, borang taklik menyatakan bahawa, " Tiap-tiap kali saya tiada bersekedudukan dengan isteri saya ( nama isteri) yang tersebut itu bagi selama tempoh 4 bulan dengan tidak putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggal akan saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala mengadu ia kepada kadi atau naib kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya ( nama isteri ) itu dengan satu talak". Lafaz ini diungkapkan sebaik sahaja aqad nikah selesai dijalankan.

Pendedahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Sdr. Zulkifli Nordin bahawa terdapat isteri calon wakil rakyat Pas yang menangis dan mengeletar pada majlis bai'ah apabila mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi kepentingan politik kepartian yang sempit dan jumud. Isteri-isteri di Terengganu pula tidak merasa terhina yang ikatan pernikahan mereka dicagarkan oleh peraturan yang tidak pernah diajar oleh Islam. Jumud atau sempitkah mereka yang mempertahankan peraturan itu?

Media yang didominasi dan diterajui oleh golongan yang tidak bermaruah mula bertempik mempersoalkan kesahan tindakan tersebut dan membayangkannya sebagai tindakan biadap dan tidak berakhlak. Ditampilkan tokoh-tokoh untuk menguatkan dan mengesahkan kerja keji mereka. Bukan maksud kita menghalang kerja nahi mungkar mereka, tapi cara mereka bertempik dan menerjah musuh politik "tuan" mereka dengan kerja meneropong kuman di seberang lautan dan buta untuk melihat bangkai gajah di depan mata menimbulkan pelbagai persoalan? Apa lagi, tindakan bai'ah masih pada tahap kekeliruan, sebagaimana ditegaskan oleh Prof Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid (UIAM ) yang menegaskan bahawa, " ... memang dalam politik Islam, adalah perlu untuk seseorang itu memperdagangkan nilai keluarganya sendiri sekiranya berhadapan dengan perkara yang sangat jelas iaitu "ijtihadi". Namun Pas hanya sebuah parti politik dan bukan ijtihadi, maka kita tidak boleh untuk mengorbankan keturunan dan keluarga kerana sebuah parti."

Sejarah mengesahkan tokoh-tokoh ternama yang mengorbankan bapak,anak, harta benda dan jiwa mereka kerana Islam. Begitu juga sejarah menjelaskan bahawa ada tokoh yang mengadaikan maruah mereka di atas nama Islam.

Prof Dr. Mahmood Zuhdi tidak ada yang akan mempertikaikan keilmuan beliau. Seorang tokoh ilmuan Islam yang dihormati. Tidak kedengaran orang Pas atau apa lagi orang Umno yang mempersoalkan pendirian dan keilmuan beliau. Dr. Mahmood Zuhdi mempunyai pandangan dan pendekatannya sendiri dalam soal politik dan itu hak beliau. Kita menghormatinya sebagaimana mengormati kealiman beliau dalam doktrin Islam.

Persoalannya, adakah ulama dan cerdik pandai dalam Pas harus diperlekehkan kerana pendirian mereka terhadap perjuangan politik yang tidak mereka pisahkan daripada agama mereka, Islam. Bukankah politik sebahagian cara hidup beragama yang diamalkan oleh Pas, maka tidakkah tindakan mereka mengorbankan segala-galanya kerana parti bererti kerelaan mereka berkorban kerana Islam.

Mungkin bai'ah yang ditetapkan oleh Pas bertentangan dengan kaedah pemikiran Islam, maka apakah kaedah terbaik untuk berba'iah atau untuk menjadikan ianya jelas atau "ijtihadi". Bagaimana pula lafaz taklik sebagaimana yang terdapat dalam "Borang N" Undang-undang Pentadbiran Hukum Syarak Tahun 1955, Pejabat Agama Terengganu, apakah bertepatan dengan hukum Islam atau tindakan yang tidak jelas itu perlu untuk mempertahankan institusi rumah tangga daripada dipermainkan oleh golongan yang tidak berilmu. Apakah Majlis Fatwa juga perlu diminta supaya menjelaskan perkara taklik yang berleluasa di Malaysia atau bai'ah yang dibuat oleh Pas sebagai bertepatan atau tidak dengan Islam. Atau Majlis Fatwa mestilah terlebih dahulu menyatakan pendiriannya apakah perjuangan Umno atau Pas yang bertepatan dengan Islam atau kedua-duanya tidak islamik.

Pandangan penasihat Persatuan Peguam Muslim Malaysia berkenaan isu ini lebih haru. Datin Paduka Zaiton Othman mengatakan bahawa konsep bai'ah itu tidak adil kerana wanita tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri ketika talak dijatuhkan? Soalnya, sudah berapa ramaikah isteri wakil rakyat Pas yang tertalak dengan talak tiga kerana melanggar bai'ah yang dibuat oleh suami mereka ? Atau sakit sangatkah pemimpin perasuah dalam Umno yang gagal memujuk wakil rakyat Pas untuk bertindak bacul melompat parti. Atau sekiranya tindakan Pas itu tidak betul, silalah mana-mana pihak berkuasa agama untuk mengeluarkan fatwa bahawa bai'ah yang dibuat oleh Pas tidak bertepatan dengan hukum Islam maka tindakan itu tidak sah dan wakil rakyat Pas yang memasang bai'ah boleh lompat dan isteri mereka tidak tertalak.

Usaha jahat Umno untuk membeli maruah wakil rakyat dan penyokong Pas terlalu lama dan Pas berjaya mengawal wakil rakyat mereka daripada melacurkan amanah yang diberi oleh rakyat dalam pilihan raya. Maka kegilaan mereka mempromosi nama tokoh-tokoh dan ilmuan tertentu memudahkan kita faham tujuan sebenar di sebalik setiap isu yang diketengahkan.

Secara mudahnya, kerja jahat Umno untuk menghancurkan perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas adalah seperti syaitan yang tidak pernah letih memadamkan kebenaran yang dibawa oleh setiap rasul Allah. Maka menjadi kewajipan setiap Muslim untuk menentang Umno dan menyokong perjuangan Pas kerana perjuangan Pas ada untuk Islam.

No comments: