Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menjadi tumpuan serangan kelompok sekular Umno. Nik Aziz melontarkan pandangannya terhadap Umno dan cara beragama penyokongnya yang tidak selaras dengan kehendak Islam sebenar. Nik Aziz membanding Islam Umno sama dengan Islam Fatah di Palastin. Jika hendak dibandingkan, Islam Umno sama dengan mana-mana Islam yang dianuti oleh kelompok sekular yang bertebaran diseluruh dunia. Islam penyokong Golkar di Indonesia juga sejenis dengan Islam anutan Umno. Agama suku daripada urusan kehidupan. Agama sekadar hubungan Manusia dengan urusan ibadat khususiah seperti sembahyang, puasa, zakat, haji nikah kahwin dan yang sepertinya sahaja. Mengambil pandangan agama dalam urusan berpolitik, berekonomi, bersosial ditolak oleh Umno sejak belum menetas lagi.
Peluru dan persenjataan yang digunakan oleh Umno dikenal benar oleh Nik Abdul Aziz. Begitu juga para pahlawan yang cuba menjuarai pesta bodek setiap kali Nik Aziz melangkah ke gelanggang tempur cukup dikenali. Nik Aziz belum pernah tumpas malah amat mengerti dibahagian mana setiap pembodek itu perlu dijentik. Keuzuran tidak pernah menghalang Nik Aziz berhadapan dengan keghairan pahlawan Umno yang baru kelmarin mengenal medan tempur.
Nazri Aziz merasakan cukup cerdik dengan mengatakan isu yang dibawa oleh Nik Aziz adalah lapuk. Pandangan sebeginilah yang menyebabkan Umno dan orangnya tidak akan faham Islam. Mana ada isu lapuk dalam Islam. Tentu Nazri Aziz tidak sanggup mengatakan Islam sebagai ajaran agama yang lapuk. Nik Aziz amat faham bahawa ajaran Islam akan terus releven dengan segala masa dan zaman. Maka Nik Aziz juga tidak merasa isu yang ditimbulkan itu sebagai lapuk. Jika ajaran Islam yang syumul dan usaha merealisasikan setiap aspek ajarannya dalam kehidupan menjadi teras perjuangan Pas yang didokong oleh Nik Aziz, maka sanggahan Nazri dilihat begitu kaku dan bodoh. Siapa orang Pas akan tertarik dengan sanggahan beliau terutama pengundi di N11 Permatang Pasir nanti.
Sememangnya menyokong Umno tidak menjamin seseorang masuk syurga. Syurga hak Allah dan tidak seorangpun termasuk Nik Aziz yang boleh menentukan mendapat syurga hatta untuk dirinya sendiri. Tetapi sebagai Ulama dan Tok Guru, Nik Aziz lebih arif kriteria penghuni syurga syarat-syarat untuk menjadi penghuni syurga daripada Muhyiddin Yasin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sesiapapun akan lebih percayakan Nik Aziz daripada TPM itu jika berbicara tentang Islam termasuk orang Umno sendiri. Lantaran itu, ulasan Jamil Khir lebih lunak dan munasabah daripada mana-mana menteri Umno.
Penyokong Umno jika nak masuk syurga perlu bertanya kepada sumber hukum tuan punya syurga iaitu al Quran dan hadith. Jika ingin bertanyakan Nik Aziz mungkin untuk mendapat kefahaman kerana beliau lebih arif daripada mana-mana pemimpin Umno berkenaan Islam. Orang Umno kena faham bahawa syurga bukan boleh dicapai dengan sejarah pembangunan yang dibuat untuk rakyat. Syurga juga bukan boleh dicapai dengan menekan dan menindas musuh politik dan berusaha mempertahankan kuasa walaupun jelas bertentangan dengan Islam. Maka bilakah matlamat antara Pas dengan Umno boleh disatukan walaupun Najib ghairah dengan cita-cita 1 Malaysianya. Pas akan tetap mengatakan pemahaman Umno terhadap Islam adalah keliru dan karut selagai Umno menolak untuk bersatu di atas Quran dan hadith. Pas tidak akan merasa bersalah untuk mengatakan sah menyokong Umno adalah salah dan tidak dapat masuk syurga dan pasti masuk neraka. Pas juga faham bahawa menyokong Pas juga belum pasti masuk syurga kecuali dengan syarat yang tertentu, tetapi menyokong Umno dan berjuang di atas dasar Umno sudah melanggar syarat untuk masuk syurga.
Maka jujurkah para pemimpin Umno yang menyeru kepada penyatuan rakyat Malaysia jika sedari awal menentang hasrat majoriti rakyat Malaysia untuk bersatu di atas dasar Islam. Hari ini rakyat akan menjadi lebih faham terhadap Islam setiap kali Nik Aziz di serang. Bukankah Nik Aziz itu amat faham uslub berdakwah, maka kata-kata kesat kepada Umno yang bebal dan tebal dengan fahaman kebangsaannya itu merupakah usaha berhikmah Nik Aziz untuk menyedarkan Umno daripada lena yang panjang. Moga Allah akan memberi petunjuk kejalanNya yang lurus.
Amanah Kedah bangkit melupai kekhilafan
6 hours ago
No comments:
Post a Comment