Tuesday, October 6, 2009

Beretikakah Umno?

Najib sebagai PM Malaysia dan Presiden Umno beranggapan kes rasuah Isa Samad yang bertanding dalam PRK Bagan Pinang tidak menyalahi undang-undang negara tetapi melanggar etika parti. Menurut Najib lagi, Isa selesai menjalani hukuman dan hilang jawatan dalam parti maka Isa perlu diberi peluang kedua. Najib bercakap ketika di Paris dan bersikap lunak terhadap pesalah atau sememangnnya Umno/BN sudah terlalu muflis untuk mendapatkan calon bersih.

Khalayak tidak mempersoalkan peluang yang diberikan kepada Isa kerana sebelumnya ramai tokoh Umno yang mendapat peluang yang serupa. Mohamad Taib pernah diberi peluang kedua setelah tragedi wang 19 kilo di Australia. Rahim Tamby Chik pula pernah diberi peluang selepas peristiwa budak sekolahnya walaupun masa depan politiknya kian bantut.

Begitu pula dengan Najib sendiri. Walaupun tidak pernah menemui jalan sukar, sejarah Najib begitu kelam dan berliku. Beliau terus diberi peluang walaupun diselimuti pelbagai skandal termasuk tuduhan pembunuhan dan penzinaan.

Dalam konteks ini, ramai sangat pemimpin Umno yang bodoh sombong masih berada dalam saf kepimpinan walaupun pernah atau sedang terlibat dengan pelbagai skandal yang meloyakan. Standard moral untuk terhadap pemimpin Umno adalah berbeza dengan mana-mana nilai moral di dunia apa lagi dengan akhlak Islam.

Hakikatnya, Umno dipimpin, disokong dan didokong oleh sekelompok rakyat Malaysia yang keliru "standard moralnya". Piawaian khusus diguna pakai dan tidak selari dengan agama, adat resam dan budaya rakyat Malaysia. Ianya begitu eksklusif.

Selamanya kita yakin dengan taubat sebagaimana dikehendaki oleh Islam. Maka apakah Isa sudah bertaubat daripada pelakuan buruknya sedangkan beliau terjun dalam kencah politik Umno yang tegar dengan amalan rasuah dan politik wang. Atau pencalonan Isa sendiri merupakah strategi Umno untuk merasuah pengundi di Bagan Pinang selaras dengan status Isa sebagai persuah yang terbukti melanggar etika partinya.

Isa diyakini menang oleh Umno di Bagan Pinang. Umno dikira akan mendapat kekuatan baru daripada kemenangannya itu. Kemenangan Isa atau perasuah yang sekiranya berlaku, apakah bentuk masa depan rakyat dan negara Malaysia yang akan terus dipimpin oleh Umno dan pemimpin yang bejat moralnya.

Slogan 1 Malaysia Najib begitu naif untuk mengubah Umno/BN dari kemelut yang sedia ada. Begitu juga komponen BN yang lain akan terus gagal untuk membela kaum yang diwakili. Umno, MCA dan MIC sesungguhnya berpadu dalam "kejahatan" yang serupa. Jurang antara juak pemimpian dengan rakyat dipimpin akan terus melebar. Malaysia sedang menuju kehancuran dan Malaysia perlu diselamatkan daripada kerakusan mereka.

Umno perlu memahami konsep taubat sebagaimana dikehendakai oleh Islam. Jika rasuah dianggap sekadar melanggar etika parti, bagaimana Umno akan menghapuskan rasuah yang begitu berleluasa dalam masyarakat dan negara. Jelas sekali Umno terlalu keliru dan bercelaru dalam "berakidah", maka bagaimana pula ia mampu membendung kejahatan ahlinya tanpa konsep dosa pahla yang jelas. Umno perlu ditunjukkan jalan keluar dari kemelut politik tanah air dan Bagan Pinang diharap menambah garam pada lukanya.

No comments: