Tuesday, April 21, 2009

Syabas Ahmad Said

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said telah membatalkan lawatan ke luar negara. Dipercayai tindakan beliau ada kaitan dengan kemelut politik Terengganu ekoran tindakan 10 Adun memulaukan sidang Dun kerana ancaman bunuh. Ahmad Said masih diterima oleh Umno Terengganu kecuali oleh Umno Besut yang dipimpin oleh bekas Menteri Besar, Idris Jusoh. Amat dipercayai bahawa Idris yang merencana kemelut berkenaan untuk menjatuhkan Ahmad Said.

Sebagai Menteri Besar, Ahmad Said bukanlah orang paling layak tapi paling munasabah buat masa kini. Selepas Idris tidak mendapat restu Istana, Ahmad Said bertindak tepat menerima tawaran sebagai Menteri Besar walaupun mendapat cemuhan daripada Umno di semua peringkat. Ada yang menjangka Ahmad Said akan jatuh sebagai nangka buruk kerana undi tidak percaya. Seatakat ini kita boleh yakin dengan suara hati Ahmad Said bahawa beliau akan dapat menyelasikan setiap kemelut dan kemenangan sentiasa berpihak kepadanya.

Agenda politik Idris untuk menjatuhkan Ahmad Said semakin jelas bila beliau gagal menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ahmad Said walaupun 7 ketua Umno bahagian menyatakan kesetiaan mereka. Hasrat Idris untuk mendominasi politik Terengganu mengalami masa sukar. Perencanaan beliau semasa menjadi Menteri Besar Terengganu dengan dasar politik "cantas" telah meninggalkan kesan buruk kepada Umno Terengganu.

Paling utama ialah Umno Terengganu kehilangan tokoh yang berwibawa kerana Idris yang sentiasa mencemburui akan segera mencantasnya. Hal ini terbukti bilamana beliau sendiri, Rasul Wahid dan Din Adam yang dikatakan tidak mendapat perkenan Istana, Umno Terengganu gagal mengemukakan tokoh yang berwibawa untuk menjadi Menteri Besar kecuali Datuk Ahmad Said.

Dasar politik Idris juga membawa impak yang teruk kepada Umno Terengganu di peringkat nasional. Setelah ketiadaan Datuk Razali Ismail dan tokoh yang hampir lupus tarikh dari Parlimen Besut, Umno Terengganu hanya memiliki Ahmad Sabri Chik sebagai tokoh yang boleh diketengahkan di peringkat nasional.

Agak janggal bagi Umno untuk berbangga dengan Datuk Mohd Jidin Syafie, Datuk Rahin Ibrahim Fikri atau Matulidi ditonjolkan di peringkat nasional walaupun ada suara yang cuba mengetengahkan mereka. Maka itulah pola sebenar politik Umno Terengganu, mereka sanggup menyembelih Wan Ahmad Farid di Kuala Terengganu daripada menonjolkan Zubir Embong, seorang tokoh pendidik yang dikatakan hampir menyamai ketokohan Datuk Razali.

Apapun, Umno Terengganu dan pemainnya jarang mengambil teladan daripada sejarah yang mereka cipta. Mereka yang menafikan royalti untuk Terengganu tapi kini mereka terkulat-kulat berusaha untuk mendapatkannya. Jikapun dapat, berapa jumlah yang mereka telah korbankan demi kebodohan mereka merencanakan politik Umno di Terengganu.

Bagi saya, Ahmad Said lebih tepat untuk mencorak politik Terengganu berbanding Idris yang tidak malu-malu memboroskan dan membazirkan wang rakyat.

No comments: