Sunday, February 22, 2009

Tak kompromi kes pelajar samseng.

Dilaporkan, pelajar yang koma seminggu selepas dipukul oleh 24 remaja telah meninggal dunia. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi itu cedera parah di kepala dan meninggal dunia semalam di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin dalam kenyataannya menyatakan bahawa beliau sedih dan marah terhadap kejadian yang berlaku terhadap Mohd Hadzrin. Beliau tidak akan berkompromi dalam isu seperti ini. Menurutnya lagi, "Jawatankuasa terbabit dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) akan menyiasat perkara ini sehingga ke lubang cacing."
Kita tidak mempertikai ketegasan kementerian Pelajaran di bawah Hishamuddin kecuali beliau sendiri merasakan bahawa beliau tidak begitu tegas dalam menangani masalah disiplin berat di sekolah. Peristiwa sedih seperti ini bukan lagi asing dalam sistem pendidikan negara kita. Kini budaya samseng di sekolah-sekolah menyebabkan para pendidik bukan orang yang layak untuk menangani kes disiplin di sekolah.
Persoalannya, setakat mana ketegasan Kementerian dapat mengurangkan kalau tidak pun menghapuskan kejadian buruk seperti ini berulang lagi. Sudah banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak, tapi tindakan penyudah nampaknya tidak ada. Kes disiplin berat di sekolah kian bertambah. Mereka yang menjadi sasaran dan sandaran kritikan ialah para pendidik. Dengan bidang kuasa yang amat terbatas, pendidik dibiarkan menangani masalah disiplin yang layak dikendalikan oleh anggota keselamatan. Tidak ramai para pendidik yang sanggup memperjudikan keselamatannya untuk berurusan dengan masalah disiplin di sekolah. Jika ada guru yang diugut oleh pelajar kerana menegur salah laku mereka, di mana kementerian pelajaran untuk membela guru mereka.
Kita mendengar banyak keluhan para pendidik berkenaan kegagalan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk mengawal disiplin di kalangan pelajar. Pelajar yang terlibat dengan kejadian mencuri motorsikal, penyalahgunaan dadah, buli, pergaduhan, mengandung anak luar nikah dan sebagainya bila sampai ke pihak polis tidak ada tindakan yang berkesan dikenakan. Kita tidak tahu setakat mana undang-undang juvana yang sedia ada mampu mengawal salah laku disiplin pelajar.Kecuali kes pembunuhan, pelajar-pelajar ini biasanya akan digantung, di tukar atau dibuang sekolah. Dalam kes melibatkan buang sekolah, ibu bapa pelajar akan merayu kepada Jabatan Pendidikan Negeri supaya anak mereka dapat bersekolah semula. Biasanya permohonan mereka diterima.
Dalam keadaan sistem pendidikan kita makin kehilangan arah, apa maksud bila Menteri Pelajaran bertempik tunjuk ketegasan. Kalaulah setiap menteri yang menerajui Kementerian Pelajaran bersungguh-sungguh untuk menangani masalah disiplin pelajar di sekolah, barangkali sudah ada garisan panduan yang jelas yang dapat diguna pakai oleh semua pihak. Masalah disiplin pelajar yang berlarutan sehingga kini barangkali dapat di atasi. Sayangnya menteri-menteri sibuk dengan agenda politik, maka perancangan Kementerian Pelajaran adalah lebih mantap untuk mengawal anggota di bawah kementerian daripada terlibat dengan anasir pembangkang.
Apapun, saya rasa loya amat bila Hishamuddin mengatakan bahawa " Jawatankuasa terliabt dan JPN akan menyiasat perkara ini sehingga ke lubang cacing." Pada saya pernyataan itu sendiri keluar daripada para pendendam bersikap samseng dan bukan daripada ketegasan peneraju Kementerian Pelajaran yang bijaksana dan berhikmah.

No comments: