Wednesday, December 17, 2008

Ilmu; keazaman dan budaya Melayu.

1) " Siapa yang dikehendaki baik oleh Allah s.w.t., maka Allah akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum hakam agama dan akan diilhamkanNya petunjuk di dalamnya."
2) " Menuntut ilmu itu adalah wajib di atas setiap Muslim."

3) " Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad."

4) " Maka tanyakanlah para ahli ilmu pengetahuan, kiranya kamu tidak mengerti."

Nilai ilmu bagi seorang Muslim mudah difahami. Selain hadith dan ayat di atas, di sana terdapat banyak ayat dan hadith nabi yang menjelaskan keutamaan, nilai dan kepentingan ilmu bagi seorang Islam. Menjadi seorang Islam bermaksud menjadi orang yang amat mengutamakan ilmu lantaran faham mereka kepentingan, kelebihan dan nilai ilmu kepada kehidupan mereka sama ada di dunia atau akhirat. Justru, mereka yang sewajarnya mendominasi ilmu dalam pelbagai bidang pada segala zaman.

Sememangnya, umat Islam pernah melalui zaman gemilang itu. Sejarah telah membuktikannya. Sepatutnya sejarah juga mampu merubah zaman malap ilmu di kalangan umat Islam. Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berusaha meningkatkan ilmu seperti sabdanya:

5) " Apabila datang kepadaku satu hari, sedang pada hari itu aku tiada bertambah ilmu pengetahuan untuk mendekatkan diriku kepada Allah, maka tiada diberkati bagiku terbitnya matahari hari itu."

Membandingkan maksud hadith-hadith dan ayat-ayat al Quran dengan keazaman dan budaya masyarakat Melayu terhadap ilmu, kita pasti menemui jurang pemisahnya. Ciri-ciri yang sepatutnya bagi seorang Islam tidak kedapatan dalam budaya Melayu.

1) Mereka gagal mengamalkan konsep pendidikan sepanjang hayat sebagaimana yang di tuntut oleh Islam.

2) Mereka gagal menghargai ilmu dan menilai kesarjanaan.

3) Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan, menyebabkan nilai ilmu hanya sekadar sekeping kertas. Mereka membaca untuk lulus periksa dan bukan untuk mencari dan meningkatkan kualiti ilmu. Apalagi untuk dimanfaatkan ilmunya.

4) Budaya menuntut ilmu orang Melayu yang masih bersifat kuno, mereka jarang mencatat penemuan yang didapati. Situasi sebegini boleh dilihat sesekali anda ke majlis ilmu , jarang kedapatan pelajar yang mencatat dan membuat koleksi catatan. Kebanyakan mereka adalah pendengar.

5) Konsep belajar dan menuntut ilmu masih lagi terikat dengan kepentingan melengkapkan
ilmu fardhu ain. Mereka jarang memberi persepsi yang wajar mengikut Islam terhadap ilmu yang budkan fardhu ain. Alternatif yang disediakan oleh pihak pemerintah untuk menjernihkan keadaan ini telah menyebabkan ramai orang Melayu yang mula buta agama. Yang dikejar kurang dapat dan yang dikendong keciciran.

Para cerdik pandai nampaknya dibuli oleh pihak penguasa yang bersifat bodoh sombong. Mereka jarang menjenguk bijak pandai dari pelbagai bidang untuk menjernihkan kelodak minda yang melanda masyarakat Melayu. Proses membawa balik konsep ilmu sebagaimana dituntut oleh Islam kedalam masyarakat Melayu perlu lakukan. Para penguasa yang selalu melihat segala perkara dari aspek kepentingan kuasa dan politik sempit perlu diketepikan sebelum bangsa Melayu menjadi lebbih punah. Orang Melayu yang insaf dan sadar akan sentiasa menanti kemunculan negarawan sejati yang akan merungkai segala kekusutan yang membelit bangsa Melayu Islam.

2 comments:

Mohd Shubhi said...

Saya membesar di kampung dan sering di ulang dengan ayat "membaca tanpa guru, bermakna berguru dengan syaitan".
Saya yakin itu berlaku juga di hampir kebanyakan masyarakat melayu, terutama masyarakat kampung yang mengakibatkan mereka lansung tidak membaca, dan tiada kecenderungan membuat kajian melalui pembacaan.
Lebih malang lagi apabila mencari guru untuk belajarpun tidak di buat.
Mungkin masyarakat kita lebih suka mendengar gossip dan menyebarkannya.

Singgah abbebakar said...

Terima kasih tuan,

Berburu kepadang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi