Thursday, December 4, 2008

Ketuanan Melayu vs Islam.

Malaysiakini 3 Disember melaporkan bahawa pada Khamis lalu, Dr Chua berkata , konsep perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) mesti diubah dan slogan ‘Ketuanan Melayu’, hubungan Tuan dan Hamba, tidak boleh di terima lagi. Beliau selanjutnya berkata, “Kita menerima kepimpinan Melayu, tapi bukan Ketuanan Melayu”.

Kenyataan Dr Chua telah menyebabkan segolongan pembela Melayu melatah. Terkejut beruk. Kononnya kenyataan Dr Chua berbau hasutan, menyebabkan Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) menghantar notis guaman menuntut timbalan presiden MCA itu memohon kemaafan kepada orang Melayu.

Apa-apa pun, diucapkan terima kasih dan tahniah kepada Dr. Chua tapi bukan kerana mampu menempatkan semula dirinya dalam arus politik perdana negara. Ucapan itu perlu kerana beberapa alasan:-

1) Dr Chua lebih faham penggunaan Bahasa Melayu, bahawa konsep ketuanan Melayu yang diterjemahkan oleh sominasi kuasa Umno tebal dengan 'konotasi feudal' dan tidak sesuai dengan konsep Raja Berpelembagaan yang di amalkan di Malaysia.

2) Menyedarkan para pemuka politik Melayu bahawa kuasa 'Ketuanan Melayu' itu bukan mutlak. Pemimpin seharusnya sadar bahawa perkongsian kuasalah yang membolehkan rakyat Malysia pelbagai kaum da agama dapat hidup aman dan damai. Kuasa bukan lesen untuk membuli, merampas dan membahagi-bahagikan khazanah negara secara tidak adil.

3) Menyedarkan pemimpin Melayu bahawa komposisi bangsa Melayu mengecut dari 80 peratus ketika menjelang kemerdekaan kepada lebih kurang 60 peratus setelah 51 tahun merdeka.

4) Menyedarkan pemimpin Melayu akan kegagalan mereka memertabatkan Bangsa Melayu, Bahasa Melayu, agama Islam yang menjadi anutan orang Melayu, penggunaan tulisan jawi, pemilikan ekuiti orang Melayu, kemantapan akhlak dan sahsiah orang Melayu, kekuatan politik orang Melayu, dan segala-gala yang berbau Melayu sebenarnya semakin lemah di bawah ‘Ketuanan Melayu’ Umno/BN.

5) Menyedarkan orang Melayu bahawa relevensi ‘Ketuanan Melayu’ makin tersisih dari arus perdana politik Malaysia dan rakyat Malaysia umumnya perlu melihat Islam sebagai alternatif penyelesaian segala pertikaian dalam ‘kontrak sosial’ di Malaysia.

6) Menyedarkan seluruh rakyat Malaysia, sewajarnya mereka menerima kewujudan masyarakat pelbagai bangsa dan agama di bumi bertuah ini dan mempertahankan kedamaian sedia ada. Peristiwa menjulang keris, mempersoalkan hak orang Melayu sebagai penduduk asal di bumi bertuah ini seharusnya dilihat sebagai kebebalan dominasi ‘Ketuanan Melayu’ Umno/BN mempertahankan hayat politik mereka.

7) Rakyat seharusnya melihat alternatif perkongsian kuasa yang ditawarkan oleh ‘Pakatan Rakyat’ untuk menyelesaikan persoalan masyarakat majmuk di Malaysia. Rakyat tidak perlu terlalu sentimental untuk melihat Umno berkubur dengan segala keangkuhannya walaupun sekali ia pernah berjasa kepada mereka. Biarlah Umno/BN hanya dipertahankan oleh para penyangak dan pembuli yang pernah hidup dalam kandang kemewahannya.


No comments: