Monday, December 22, 2008

Nak Lok Lagi Ke...

Bandaraya Kuala Terengganu akan menanti dengan penuh debar tanggal 6 Januari, tarikh penamaan calon P36 setelah penyandangnya kembali menemui Yang Maha Berkuasa. Denyutan dan getaran nadi dan urat saraf Bandaraya Pesisir Laut China Selatan itu menjadi lebih kencang dan mencapai kemuncak pada 17 Januari. PRK itu mempunyai makna tersendiri dalam menentukan rona politik negara.

Umno mendahului pihak lain mengumumkan calonnya. Najib Tun Razak yang dikatakan akan menerajui kepimpinan Malaysia mulai Mac 2009 memberi keyakinan kepada Datuk Wan Ahmad Farid bin Datuk Wan Salleh sebagai calon terbaik untuk mengekalkan dominasi parti itu dalam PRK P36 nanti. Secara tradisinya pertandingan menjadi seru di antara Umno dan Pas yang dikatakan mewakili Pakatan Rakyat.
Segala-galanya terserah kepada pengundi P36 Kuala Terengganu. Mereka berhak memilih sesiapa sahaja yang berkenan di hati seperti Tok Maimun yang berumur atau calon-calon lain yang didatangkan dari luar Terengganu. Adalah dijangaka, akan terdapat calon-calon yang ditaja untuk mengurangkan gemuruh Umno, tapi rakyat akan berfikir secara bijak untuk membazirkan undi mereka sebagaimana 628 undi yang pernah diberi kepada Tok Maimun dalam pilihan raya Mac lalu.
Walau bagaimanapun, pengundi Kuala Terengganu akan bertindak bijak untuk membuat penilaiandan memilih calon yang berwibawa. Mereka seharusnya memilih calon yang dapat membawa kesejahteraan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat. Jangan sekali-kali memilih golongan yang sedang berkuasa dan terbukti sering menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan suku sakat dan puak semata-mata. Rakyat Terengganu seharusnya bijak bertindak dan tidak terpesona dengan perhiasan dan pelbagai kosmetik di hari persandingan. Kononnya puluhan juta diperuntukkan oleh Umno untuk mengekalkan kerusi parlimen Kuala Terengganu. Pengundi yang bijaksana tidak akan memperjudikan sentimen kepartian, kenegeriaan, kekeluargaan atau habuan beberapa ringgit untuk terus membiarkan negara ini terus diterajui oleh puak yang zalim. Barangkali penafian Wan Ahmad Farid bahawa beliau bukan perancang Peristiwa Batu Buruk perlu dipertikaikan. Konspirasi yang dirancang oleh kerajaan sejak akhir-akhir kini mudah diterjemahkan oleh rakyat.

Buktikan Pengundi Kuala Terengganu juga matang seperti pengundi Permatang Pauh. Selamat berjuang.

No comments: