Saturday, February 28, 2009

Peraturan ialah kuasa.

Najib belum pun menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sentuhan persediaannya ke Putrajaya mengundang pelbagai masalah yang kian membelit kesejahteraan rakyat. Rakyat dipaksa berkrisis dan semua pihak cuba dilibatkan dalam kemelut "ketidakpastian".


Di saat negara menghadapi krisis ekonomi global, bukan keharmonian dibawa oleh Najib kepada rakyat, sebaliknya krisis demi krisis untuk membawa lari rakyat dari persoalan utama, kesejahteraan dunia dan akhirat.


Di Perak "ketidakpastian" kian membelit selepas Najib memulakan rampasan kuasa. Usaha terkini masih lagi gagal menjelaskan siapa MB Perak sebenar. Mahkamah akan menentukan keputusan pertindihan kuasa antara Nizar yang dipilih oleh rakyat dan mendapat perkenan Sultan dengan Zambry yang ditaja oleh Najib melalui rampasan kuasa. Namun Umno/BN telah bertindak melampaui bidang kuasanya dan mengabaikan peranan mahkamah.


Najib dilihat sebagai seorang yang tega memperjudikan nasib rakyat perak dengan mencipta pertelagahan yang tidak wujud antara rakyat dengan istana. Anggota Umno dan BN mendapat sokongan padu media untuk memburukkan keadaan. Setiap firkah sanggup menolak kewajaran etika demi satu konflik yang direka supaya berpanjangan. Siapa yang untung, Najib yang akan jadi PM atau nasib rakyat yang harus dibela.


Nizar dan Pakatan Rakyat nampaknya lebih berhati-hati dan cuba bergantung kepada setiap peruntukan dalam menghadapi krisis. Dalam banyak keadaan, Umno/ BN terperangkap dengan peruntukan peraturan yang sedia ada, tapi meraka memiliki kelebihan. Kelebihan utama ialah kesanggupan dan keupayaan mereka "mengeksplotasi" segala elemen, baik atau buruk, sah atau batal, halal atau haram, legal atau tidak kerana kemaruk kuasa.


Speaker DUN Perak telah memanggil sidang yang akan bermula 3 Mac nanti. Umno/BN dari awal akan bertindak memulaukan persidangan kerana tidak mendapat perkenan sultan. Apa pun, jika 21 wakil rakyat Umno/BN hadir setelah Zambry dan 6 Exconya digantung untuk berhadapan dengan 27 orang wakil Rakyat Pakatan, maka apa yang bakal terjadi. Wakil lompat parti tidak diundang setelah dianggap mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat perletakan jawatan mereka. Apa helah Najib untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan dalam sidang itu nanti. Berapa lagi laporan polis akan dibuat, dan berapa lagi "sembah derhaka" akan menyusul.


Daripada ulusan pelbagai pihak setakat ini, benarlah kenyataan Karpal Singh bahawa kebanyakan mereka bertindak tidak berdasarkan peraturan. Mereka tidak baca peraturan dan perlembagaan sekalipun. Beratus laporan polis adalah gimik politik dan para pelapor ialah pengamat dan pengamal undang-undang yang tidak pernah memahami peraturan dan peruntukan yang sedia ada.

Wednesday, February 25, 2009

Malaysia Tanah airku.

Malaysia berada dalam kelasnya tersendiri. Telah menjadi target, Malaysia akan menjadi negara maju mejelang tahun 2020. Wawasan itu dipahat di merata tembok dan diratib dengan tekun para nasionalis yang tumpul otak tapi tajam nafsu. Biarkan lah, sekurang-kurang ada yang yakin "Malaysia Boleh."


Bagi tujuan bersantai, melalui ruangan ini saya ingin mengajak khalayak menyoroti beberapa peristiwa lucu yang berlaku di negara yang tercinta ini.

1) Lunas kemerdekan dicetuskan dan tekuni oleh pelbagai firkah sama ada golongan agama, nasionalis, sosialis malah komunis. Golongan cendikiawan berjaya mengerak dan memimpin rakyat melalui golongan tersebut untuk satu matlamat, kemerdekaan.

2) Selepas kemerdekaan, proses pembentukan negara bangsa disemarakankan oleh pelbagai lapisan dengan jujur dan ikhlas. Malaysia menjadi negara bekas tanah jajahan yang dikagumi. Dalam apa keadaan Malaysia lebih unggul berbanding negara-negara lain yang juga baru mencapai kemerdekaan.

3) Pemimpin datang dan pergi. Kepimpinan negara mula dipimpin oleh golongan yang berfikir menggunakan dengan perut dan syahwat. Perjuangan adalah demi memenuhi tembolok. Amanah diperdagangkan. Kehebatan ialah keupayaan mendapat kuasa. Akhlak dan moral untuk golongan lemah dan tertindas.

4) Pilihan raya umum ke 12, rakyat mengajar para pemimpin erti kesombongan dan penyalahgunaan kuasa. Banyak peristiwa pelik dan anih yang berlaku.

5) Demi menyelamatkan kuasa, golongan yang bodoh sombong ini membawa lari sejumlah MP yang tidak diyakini kredebiliti dan integriti kerana hanya satu tarikh; 16 September. Tarikh berlalu, dan para nujum yang yakin dengan tarikh keramat itu hilang gah.

6) Demi menyelamat pengaruh dan kuasa juga mereka merancang pelan peralihan kuasa. Peangasas Islam Hadhari yang dikagumi oleh seluruh warga mufti bersabda peralihan kuasa akan diberi kepada timbalannya sebgai pengganti.Dari pencari Syafie dan al Ghazali kepada pengumpul tragedi misteri dan penagih royalti.

7) Mac nanti segala yang membusuk dan bernanah akan segera sembuh di bawah kepimpinan baru yang penuh harapan dan tanda tanya. "Symptomatic" segala penyakit mula nampak, dan pemimpin baru persis "vektor" yang akan membawa penyakit seperti lalat membawa taun.

8) Di Perak bakal pemimpin memula langkahnya (tak pasti kanan ke kiri). Pertama kali dalam sejarah negeri itu mempunyai 2 orang Menteri Besar, kedua-duanya boleh jadi sah dan boleh tidak sah. Laporan demi laporan telah dibuat kepada polis oleh kedua belah pihak. ( Polis itu juga yang mat rempit tonggeng punggung tapi hebat di merata tempat ceramah pembangkang. Dalam apa keadaan Umno/Be End banyak mendapat bantuan dan kerjasama polis).

9) Istana juga hendak di saman dan rakyat mula faham bahasa istana, "sembah durhaka". Pemimpin yang diharap dapat mengeluarkan Malaysia dari belenggu masalah kini menyepi bagaikan tidak mampu manangani masalah yang dicipta sendiri. Cuba melagakan istana dengan rakyat, lempar batu sembunyi tangan dan bertindak sebagai seorang pengecut, mendiamkan diri tanpa sebarang ulasan sekurang-kurangnya untuk meredakan ketegangan. Inikah "bangsa" pemimpin yang dapat di harapkan.

10) Menjadi sejarah dalam demokrasi di Malaysia, rampasan kuasa melalui istana. Majoriti belum tentu memberi hak dan kemenagan. Segala peraturan dewan tidak di pakai. Suruhanjaya pilihan raya menjadi komponen parti memerintah. Paling anih bila PM Abdullah suruh Dr Zambry membuat laporan polis terhadap Speaker DUN Perak kerana menggantung Dr Zambry dan rakan-rakannya daripada menghadiri sidang Dun. Itulah taraf PM Malaysia. Karpal Singh dan Lim Kit Siang yang pernah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat barangkali tidak sebodoh PM Abdullah untuk mempertikaikan kuasa seorang Speaker. Tapi di Malaysia PDRM boleh bertukar kepada PRDM (Polis raja di Malaysia).

11) Sedikit berita dari Terengganu, negeri orang beriman dan pernah dirancang oleh bekas MB Idris Jusuh dengan pembangunan yang tidak pernah didengar oleh telingat, tidak pernah dilihat oleh mata dan tak pernah terlintas dihati. Hebat seperti disyorga loka. Ahmad Said menjadi MB Terengganu tapi bukan untuk orang Besut. Gambar MB diraja itu tidak dapat diterima oleh orang Idris Jusoh yang terkenal dengan kain pemidang yang berbunyai , "Kami nak Idris natang". Di Besut sekarang terdapat kain rentang yang terdapat gambar Idris Jusoh dan kata-kata berbunyi , "Perak hak Umno". Maknanya politik Umno menyebabkan semua peringkat warga Malaysia menjadi keliru.

Sunday, February 22, 2009

Tak kompromi kes pelajar samseng.

Dilaporkan, pelajar yang koma seminggu selepas dipukul oleh 24 remaja telah meninggal dunia. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi itu cedera parah di kepala dan meninggal dunia semalam di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin dalam kenyataannya menyatakan bahawa beliau sedih dan marah terhadap kejadian yang berlaku terhadap Mohd Hadzrin. Beliau tidak akan berkompromi dalam isu seperti ini. Menurutnya lagi, "Jawatankuasa terbabit dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) akan menyiasat perkara ini sehingga ke lubang cacing."
Kita tidak mempertikai ketegasan kementerian Pelajaran di bawah Hishamuddin kecuali beliau sendiri merasakan bahawa beliau tidak begitu tegas dalam menangani masalah disiplin berat di sekolah. Peristiwa sedih seperti ini bukan lagi asing dalam sistem pendidikan negara kita. Kini budaya samseng di sekolah-sekolah menyebabkan para pendidik bukan orang yang layak untuk menangani kes disiplin di sekolah.
Persoalannya, setakat mana ketegasan Kementerian dapat mengurangkan kalau tidak pun menghapuskan kejadian buruk seperti ini berulang lagi. Sudah banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak, tapi tindakan penyudah nampaknya tidak ada. Kes disiplin berat di sekolah kian bertambah. Mereka yang menjadi sasaran dan sandaran kritikan ialah para pendidik. Dengan bidang kuasa yang amat terbatas, pendidik dibiarkan menangani masalah disiplin yang layak dikendalikan oleh anggota keselamatan. Tidak ramai para pendidik yang sanggup memperjudikan keselamatannya untuk berurusan dengan masalah disiplin di sekolah. Jika ada guru yang diugut oleh pelajar kerana menegur salah laku mereka, di mana kementerian pelajaran untuk membela guru mereka.
Kita mendengar banyak keluhan para pendidik berkenaan kegagalan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk mengawal disiplin di kalangan pelajar. Pelajar yang terlibat dengan kejadian mencuri motorsikal, penyalahgunaan dadah, buli, pergaduhan, mengandung anak luar nikah dan sebagainya bila sampai ke pihak polis tidak ada tindakan yang berkesan dikenakan. Kita tidak tahu setakat mana undang-undang juvana yang sedia ada mampu mengawal salah laku disiplin pelajar.Kecuali kes pembunuhan, pelajar-pelajar ini biasanya akan digantung, di tukar atau dibuang sekolah. Dalam kes melibatkan buang sekolah, ibu bapa pelajar akan merayu kepada Jabatan Pendidikan Negeri supaya anak mereka dapat bersekolah semula. Biasanya permohonan mereka diterima.
Dalam keadaan sistem pendidikan kita makin kehilangan arah, apa maksud bila Menteri Pelajaran bertempik tunjuk ketegasan. Kalaulah setiap menteri yang menerajui Kementerian Pelajaran bersungguh-sungguh untuk menangani masalah disiplin pelajar di sekolah, barangkali sudah ada garisan panduan yang jelas yang dapat diguna pakai oleh semua pihak. Masalah disiplin pelajar yang berlarutan sehingga kini barangkali dapat di atasi. Sayangnya menteri-menteri sibuk dengan agenda politik, maka perancangan Kementerian Pelajaran adalah lebih mantap untuk mengawal anggota di bawah kementerian daripada terlibat dengan anasir pembangkang.
Apapun, saya rasa loya amat bila Hishamuddin mengatakan bahawa " Jawatankuasa terliabt dan JPN akan menyiasat perkara ini sehingga ke lubang cacing." Pada saya pernyataan itu sendiri keluar daripada para pendendam bersikap samseng dan bukan daripada ketegasan peneraju Kementerian Pelajaran yang bijaksana dan berhikmah.

Friday, February 20, 2009

Kegelisahan Tun Mahathir.

Tun Mahathir Mohamad masih bimbang dengan budak Tingkat empat. Jaminan PM Abdullah untuk menyerahkan teraju pemerintahan Mac nanti tidak meredakan kegelisahan matan PM Mahathir. Kemungkinan PM Abdullah berubah hati tidak boleh dipandang sepi, semua boleh jadi dalam politik Malaysia. Tun barangkali terkenang ketika beliau pura-pura meletakkan jawatan, dan menarik balik setelah melihat air mata buaya lakonan para MP Umno. Lakonan Rafidah Aziz paling berkesan. Bagaimana jadinya jika PM Abdullah ulang perangai Tun dulu, budak Tingkat Empat pasti akan terus merencaranakan politik negara.
Tun memberi alasan kelemahan PM Abdullah yang menyebabkan budak Tingkat Empat naik toncang. PM Abdullah juga dikatakan gagal mengawal keharmonian hubungan antara kaum dan melayan pelbagai tuntutan yang bukan-bukan. Tun tidak yakin PM Abdullah berupaya menangani krisis ekonomi yang dikira lebih teruk daripada 1987 lalu. Maka PM Abdullah mesti diganti.
Orang yang paling layak ialah Najib. Najib juga dilihat lemah malah suka berpolitik secara selamat. Barangkali susah untuk melihat Najib angkat muka jika PM Abdullah terlatah untuk tidak menyerahkan kuasa Mac nanti. Lagipun PM Abdullah mempunyai banyak alasan untuk tidak melepaskan jawatan tersebut kepada Najib. Kekalahan Umno/ BN dalam 2 pilihan raya kecil baru lalu adalah kelemahan Najib. Najib juga bukan memp[unyai akhlak dan moral yang baik. Skandal-skandal yang Najib ciptakan cukup kuat untuk dijadikan alasan PM Abdullah melepaskan jawan kepada beliau.
Di Perak, campur tangan Najib menyebabkan negeri itu menghadapi krisis berpanjangan. Usaha Najib mengheret Istana dan Mufti Kerajaan Negeri Perak dalam kancah politik menambah koleksi kelemahan dan kegagalan Najib. Najib sehingga hari ini membisu seribu bahasa berkenaan krisis yang diciptanya di Perak. Rakyat Perak khususnya ingin melihat kuasa dan kebijaksanaan Najib menyelesaikan kes tersebut dan Umno/ BN dapat merampas Perak dengan bergaya.
Saya melihat kelemahan ini yang sangat diharapkan oleh Tun Mahathir. Jika Abdullah lemah, kelemahan PM Abdullah tidak dapat dicabuli sewenang-wenangnya kerana ada budak Tingkat Empat, maka keghairahan Tun untuk melihat Najib berkuasa kerana diyakini beliau mempu merencana perjalanan politik Malaysia mengikut acuannya. Saya yakin bahawa Najib adalah ciri kepimpinan negara yang dicari oleh Tun Mahathir setelah beliau mencipta krisis dengan para Timbalannya terdahulu. Lihat bagaimana Tun Mahathir melayan Musa Hitam, Allahyarham Tun Ghafar dan Anwar Ibrahim. Sebagai negarawan yang pintar dan licik, para timbalannya terpaksa tunduk dengan kemahuannya. Apapun rakyat amat menghormati kepintaran Tun Mahathir berpolitik.
Anwar disingkir oleh Tun Mahathir tapi rakyat dapat diyakini bahawa Anwar mempunyai akhlak yang buruk. Kejahatan Anwar lebih menjijikkan apabila Tun Mahathir berjaya memperlihatkan tokoh yang berkarisma itu menenbunyikan kebejatan moral disebalik imej Islamiknya. Rakyat menjadi lebih benci bila Anwar dikaitkan sebagai boneka Yahudi Amerika. Anwar terpaksa bangun untuk menghadapi segala itu dengan kudrat dan segala upayanya dibelenggu. Apakah ini faktor utama Tun menghendaki Najib mengganti PM Abdullah setelah dilihatkan PM Abdullah agak lembut dan membuka banyak ruang kepada Anwar untuk merungkai belenggu yang dipasang ke atasnya. Kononnya jika Anwar jadi PM Malaysia, Tun akan berhijrah ke luar negara.
Jika Anwar dikaitkan dengan akhlak yang jijik, maka bagaimana dengan Najib pada pandangan Tun Mahathir. Jikalah Najib tokoh yang akan disingkirkan, alangkah mudahnya mencari medan konspirasi bagi menjatuhkannya. Tapi orang yang seumpama Najib diperjudikan oleh Tun Mahathir untuk memimpin negara. Dalam bahasa mudahnya, untuk mejatuhkan Anwar Tun Mahathir terpaksa mencipta "skandal" tapi Najib yang sedia banyak "skandal" itu amat diharapkan oleh beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Pada saya Tun Mahathir seorang negarawan yang hebat tetapi masa pemerintahannya tidak pernah melahirkan tokoh pelapis yang berkasisma. Satu demi satu tokoh-tokoh dalam kerajaan dan Umno dikembiri atau diketepikan sehingga kabinet negara dianggotai oleh badut-badut yang tidak cukup kelakarnya. Hari ini, siapakah tokoh dalam hati kecil Tun Mahathir yang benar-benar layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kerana sayangkan Umno, tentunya tokoh itu bukan Anwar Ibrahim atau Haji Abdul Hadi Awang.

Thursday, February 19, 2009

Tuan Speaker V.Sivakumar

Dr Zambry dan 6 Exco yang baru di lantik di gantung serta merta dan dilarang menghadiri sesi DUN Perak menjadi cerita lucu. Kehadiran Dr Zambry dan 6 Exco tampil di hadapan jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN membolehkan Speaker V. Sivakumar mengumumkan tempoh penggantungan 18 bulan ke atas Dr Zambry selaku MB Perak yang baru dilantik dan 6 Exconya pula selama 12 bulan. Apa pasal lambat sangat hang lantik speaker baru? Yang hang pi kat hadapan jawatankuasa tu apa pasai?
Peristiwa menakjubkan ini menyebabkan beberapa pemimpin Umno kelihatan lebih tolol dan menjadi bodoh sombong. Setakat ini hanya Dr Zambry sendiri seakan terkedu seketika dengan tindakan luar jangka itu dan cuba mencari ruang undang-undang sebagai penyelesaiannya, tetapi bagaimana? Kalau itu lah jalan yang dicari sejak mula, tentu Dr Zambry belum lagi merasa menjadi MB Perak.
Dr Zambry adalah percaturan bodoh Najib untuk menunjukkan gah setelah menerajui Umno Perak. Najib sendiri merasakan kerjanya itu pukulan maut untuk Pakatan Rakyat. Setakat ini kita tidak tahu di mana Najib setelah membuang najis di istana Raja Perak. Kalau dikira sembah durhaka yang di bawa oleh MB Perak dari Pakatan Rakyat Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai mewakili majoriti pengundai di Perak, sewajarnya Najib di haramkan masuk ke Perak kerana telah mencemar imej baginda Sultan Perak. Setidak-tidaknya, usaha Najib menjejaskan imej Baginda Sultan sebagai orang yang arif berkenaan undang-undang dan perlembagaan. Atas usahanya juga suasana politik Perak bergolak dan kehidupan rakyat tidak tenteram.
Persoalannya apa yang Dr Zambry boleh lakukan jika penggantungan 18 bulan itu tidak menemui jalan penyelesaian yang memihak kepada Umno. Apa yang terjadi bila Pakatan Rakyat dengan majoriti di DUN mengemukakan undi tidak percaya dan memihak kepada Pakatan Rakyat? Apa perasaan baginda Sultan jika sekali lagi Mohamad Nizar Jamaluddin dikemukakan oleh Pakatan Rakyat sebagai MB ( kenyataan ini jika didasarkan kepada cabaran Pakatan Rakyat di mahkamah memihak kepada Umno).
Rakyat akan terus menanti hasil kerja bodoh orang yang menyangka diri mereka bijak dan merasakan boleh mempermainkan undang-undang dan kehendak rakyat. Setakat ini istana cuba bertindak cemerlang kerana tidak melatah dengan perkembangan politik. Walau apapun rakyat bukan hamba yang mentaati tuanku secara mutlak. Hamba adalah hubungan manusia dengan penciptanya manakala rakyat adalah hubungan manusia dengan dipertuannya.

Wednesday, February 18, 2009

MB Klon dan Daulat.

Kenyataan meloyakan berkaitan kemelut pentadbiran peringkat akar umbi di Perak telah dibuat oleh "MB klonnya". Beliau menjamin penyelesaian masalah ini dibuat secara baik dan tidak menggunakan kaedah konfrantasi. Kenyataan meloyakan dan memualkan itu sepatutnya tidak dikeluarkan atas beberapa sebab.
1) Beliau menyandang jawatan itu melalui konfrantasi yang sarat dengan penipuan, salah guna kuasa dan tidak mengikut perlembagaan.
2) Kewujudan JPPP (jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Persekutuan) setelah Pakatan Rakyat menguasai Perak adalah usaha Umno untuk mencabar dan berkonfrantasi dengan kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat.
3) Tindakan Pengerusi-Pengerusi JPPP yang dilantik oleh kerajaan pusat di Perak , telah mempertikaikan kesahan perlantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik oleh Kerajaan Pakatan rakyat dan sah sehingga 31 Disember 2009, adalah tindakan 'berkonfrantasi' dan tak reti menghormati peraturan.
Perlantikan Dr Zambry sendiri mengundang pelbagai konfrantasi dan sarat dengan kontravesi. Jika benar-benar beliau jujur untuk melihat rakyat di peringkat akar umbi hidup akan damai, beliau sepatutnya;
1) Malu menjadi MB Perak yang penuh kontravesi dan berkonfrantasi dengan rakyat.
2) Malu untuk berada di pejabat MB Perak dan menjalankan tugas-tugasnya sebagai MB Perak sehingga mahkamah memutuskan perlantikannya adalah sah di sisi undang-undang.
3) Sehingga kini, majoriti BN sebagaimana dicanang oleh Najib serta mendapat perkenan Sultan Perak diselubungi tanda tanya dan keraguan serta mengundang bantahan rakyat. Umno/BN secara sadar mencetuskan dan mengundang konfrantasi dengan rakyat.
Maka apa ertinya seorang penjenayah yang berlagak alim. Wajarkah rakyat diminta ketaatan kepada penjenayah yang memperkosa mandat yang telah diberikan kepada Pakatan Rakyat. Apa ertinya "sembah derhaka" jika institiusi yang diharap menjadi payung keadilan rakyat diperalatkan oleh penjenayah untuk berkuasa. Umno pastinya akan terus mencabuli kedaulatan institusi raja berpelambagaan demi memenuhi keserakahan politik jahatnya. Kerana ketagih politiklah menyebabkan Umno memasyurkan perlantikan "sultan baru" di Kelantan. Maka adakah raja-raja lain seperti sultan Selangor yang terkilan dan berdukacita dengan sikap celupar dan jahat Umno di Kelantan? Alahai tuanku, apakah maksud daulat itu?

Sunday, February 8, 2009

Ketaatan : Hamba dan Rakyat

Ketaatan adalah kepatuhan dari satu pihak kepada pihak lain. Hamba taat kepada tuannya, kuli patuh kepada majikan, isteri dan anak-anak patuh dan taat kepada suami/ayah, dan rakyat taat kepada rajanya. Ketaatan yang mutlak ialah hamba terhadap khaliqnya. Beberapa versi ketaatan.

Cerita ketaatan versi I

Hang Tuah adalah lambang ketaatan hamba kepada raja dalam sejarah Melayu Melaka. Banyak peristiwa dipaparkan menunjukkan betapa taatnya Hang Tuah kepada Raja.

Hang Tuah menculik Tun Teja untuk dijadikan permaisuri raja. Dikatakan Hang Tuah membuat guna-guna menyebabkan Tun Teja jatuh hati dan sanggup lari bersama Tuah meninggalkan tunangan dan negerinya ke bumi Melaka.

Di Melaka Hang Tuah menyerahkan Tun Teja untuk menjadi permasisuri Raja.

Hang Tuah juga dikatakan sanggup terjun kedalam kolam najis untuk menyelamatkan kuda raja. Kemuncak ketaatannya, Hang Tuah sanggup membunuh Hang Jebat sahabat karib seperguruan dan sepermainannya. Pembelaan Hang Jebat ke atas kekejaman raja terhadap Hang Tuah, bukan alasan bagi Hang Tuah untuk mendurhaka kepada raja.. Melalui tipu muslihat, sahabatnya itu dibunuh oleh Hang Tuah. Raja mesti gembira kerana Hang Tuah begitu taat setia.

Cerita ketaatan versi 2.

Diceritakan seorang sahabat nabi yang suka bergurau. Gurauannya kadang kala agak keterlaluan. Untuk mendapat perhatian nabi, sahabat itu pernah melonggarkan ikatan pelana kuada nabi sehingga baginda hampir terjatuh ketika menunggangnya.

Nabi melarang sahabat yang memarahi sahabatnya bergurau secara tidak senonoh itu. Baginda tahu sahabat itu bergurau walaupun agak keterlaluan.

Suatu peristiwa nabi melantik sahabat itu mengetuai satu misi ketenteraan. Sahabat itu memang berkebolehan, tapi sikap suka bergurau berterusan ketika beliau mengetuai tugas ketenteraan tersebut. Sahabat itu merasa seronok kerana segala perintahnya ditaati.

Sekembalinya dari medan perang dengan kemenangan, sahabat itu memerintah supaya parajurit yang bersamanya mengumpul kayu api dan menyalakannya. Setelah api marak beliau menyuruh parajurit di bawah kuasanya terjun kedalam api yang sedang marak itu. Tidak ada sahabat yang patuh.

Peristiwa itu diceritakan kepada nabi. Baginda menyatakan bahawa benar perbuatan parajurit tidak mengikut arahan ketuanya itu. Jika mereka terjun ke dalam api, semua masuk neraka.


Cerita ketaatan versi 3.

Allah memerintah Nabi Ibrahim supaya menyembelih anaknya Ismail. Perintah ini benar-benar menguji ketaatan dan kepatuhan Ibrahim kepada Tuhannya. Anak kecil yang masih memerlukan kasih saying seorang ayah, tiba-tiba disuruh supaya disembelih/dikorbankan.

Nabi Ibrahim mendapat persetujuan daripada anak yang akan disembelihnya. Kerana perintah Allah, perintah yang tidak masuk akal dan diluar batas kemanusiaan itu dilaksanakan.

Kepatuhan dan ketaatannya yang mutlak itu menyebabkan Allah mengganti mangsa korban ( anaknya itu ) dengan seekor kibas. Ketaatan di sini adalah mutlak.

Realiti

Puak yang gila kuasa di Perak menggunakan isu ketaatan dan kepatuhan ahli Pakatan Rakyat dan penyokong Ir Nizar Jamaluddin untuk mewajarkan tindakan bacul mereka membentuk kerajaan baru. Bukan menjadi hasrat penyokong Pakatan Rakyat untuk menghina raja Berpelembagaan. Sebagai rakyat kepada ke bawah Duli al Sultan, ketaatan adalah tidak mutlak tidak seperti ketaatan dan kepatuhan hamba kepada Tuhannya. Rakyat dapat merasakan baginda tidak berlaku adil dalam keputusannya dalam isu ini.

Barangkali Datuk Mufti negeri Perak dapat membezakan dengan jelas kerelatifan dan kemutlakan sesuatu ketaatan. Sebagai ulama, Datuk Mufti Kerajaan Negeri Perak dapat memberi nasihat yang baik kepada baginda al Sultan berkenaan had dan batas ketaatan rakyat terhadap raja dalam konteks agama Islam dan tidak secara membuta tuli menuduh rakyat yang menyatakan perasaannya sebagai penderhaka.

Saturday, February 7, 2009

Umno di usia senja.

Umno yang merampas kuasa Pakatan Rakyat secara biadab didalangi oleh puak yang bacul, pengecut dan tidak diterima oleh rakyat. Mereka mencemarkan institusi raja berbelembagaan dan bertindak diluar peraturan yang ditetapkan.


Laporan polis dibuat ke atas pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat berhubung dakwaan "menghina titah sultan" adalah usaha dayus yang mereka terpaksa gunakan untuk berkuasa. Rakyat menjadi loya dan meluat, dan untuk memenangi hati sultan mereka mencadangkan "perhimpunan menjunjung kasih".


Mereka cuba menyekat kebangkitan rakyat dan menguci mulut mereka . Rakyat tidak dibenarkan berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap kezaliman Umno. Ketakutan Umno terhadap kebangkitan rakyat menyebabkan mereka menggesa polis menyisat Laman-laman web pembangkang. Jika mendapat sokongan rakyat, kenapa Umno memaksa polis bertindak kejam terhadap rakyat. Kenapa istana perlu dijadikan perisai untuk mewajarkan tindakan jahat mereka membunuh sebuah kerajaan yang di pilih oleh rakyat.

Kuasa Rakyat versi Umno?BN

Apakah maksud Kuasa Rakyat.

“Demo Kera Kasi” – demokrasi disanjung kerana mendaulatkan kuasa rakyat. Kuasa Rakyat , kuasa daripada rakyat kembali kepada rakyat. Pilihan raya merupakan saluran untuk mendaulatkan kuasa rakyat. Maka apakah sebenarnya kuasa rakyat dalam konteks pemerintahan negara Malaysia merdeka dan versi kerajaan baru tajaan Umno Perak?

1) Kuasa rakyat ialah kuasa yang digunakan untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat melalui satu pilihan raya yang sah.

2) Kuasa rakyat ialah usaha merasuah, menculik, mengugut dan sebarang bentuk konspirasi jahat untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya yang sah.

3) Kuasa rakyat ialah kuasa menafikan kesahan peruntukan yang diberikan kepada speaker Dewan Undangan Negeri untuk mengadakan membubarkan Dun dan mengembalikan hak rakyat untuk menentukan wakil yang dipilirkan layak.

4) Kuasa rakyat ialah kuasa memberi rasuah kepada mana-mana adun yang tidak berakhlak dan tidak ada harga diri untuk mengkhianati mandat yang diberi oleh rakyat melalui pilihan raya yang sah.

5) Kuasa rakyat ialah kuasa untuk mengeksploitasi segala hak rakyat untuk memungkin seseorang yang paling tidak berguna untuk terus mengekalkan kuasa.

6) Kuasa rakyat ialah kuasa menyalahgunakan semua institusi – kehakiman, raja berpelembagaan dan semua agensi kerajaan untuk mengekang kesedaran dan kehendak rakyat majoriti.

7) Kuasa rakyat ialah kuasa seseorang yang berkeupayaan untuk menjatuhkan pemerintahan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya yang sah.

8) Kuasa rakyat ialah kuasa yang cuba dipertahankan secara tidak jujur seperti dengan merasuh, penipuan, pembunuhan oleh seseorang yang tidak disenangi oleh rakyat melalui undi popular dalam pilihan raya yang sah.

9) Kuasa rakyat ialah tindakan ganas dan kejam pihak keselamatan, FRU kepada rakyat yang menyatakan bantahan ke atas ketidakadilan pihak berkuasa.

10) Kuasa rakyat ialah ketakutan rakyat untuk berhimpuan, berdemonstrasi dan unjuk rasa terhadap penyalahgunaakn kuasa dan ketidakadilan penguasa.

Rakyat diharap akan faham mereka dan menggunakannya sebaik mungkin. PRU 13 bakal menjelma. UMNO/BN pasti hancur.

Friday, February 6, 2009

Dari hal kuasa.

Kuasa direbuti. Ramai yang berangan-angan untuk mendapat kuasa. Kuasa adalah hak untuk menentukan segala-galanya. Siapa yang mendapat kuasa akan mempertahankan.

Orang akan menggunakan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa. Setengahnya berlindung disebalik demokrasi atau undang-undang yang diolah untuk mendapatkan dan melindungi kuasa.

Sejarah silam menhendaki seseorang memperagakan keperkasaan untuk mendapatkan kuasa. Sistem perhambaan yang dihapuskan oleh Islam sejak lebih 1400 tahun lalu adalah lambang keinginan seorang untuk berkuasa. Kuasa membolehkan manusia memperhambakan saudaranya.

Setiap era dalam sejarah jahiliah di sepanjang zaman memperlihatkan segolongan mengeksploitiasi apa sahaja untuk mendapatkan kuasa. Pada zaman moden, kecanggihan media membolehkan gila kuasa dan perebutan kuasa diwajarkan . Rakyat dipaksa mempercayai pihak yang mempunyai lebih kuasa sentiasa benar. Kuasa rakyat adalah dongeng dan penipuan oleh pihak yang mendominasi kuasa. Kebodohan dan kejahatanlah yang membutakan mereka hakikat kuasa dan amanah.

Hari ini sejarah kejahatan manusia yang gila kuasa sekali lagi terukir. Pilihan rakyat dipesendakan . Apakah kebaculan dan kecelakan yang dibawa oleh 3 orang yang dipilih oleh rakyat berdasarkan satu pengharapan politik boleh digadaikan demi keserakan untuk berkuasa. Kenapa sibacul takut untuk menyerahkan kepada rakyat untuk memperbaharui mandat? Layakkah mereka bercakap tentang mandat yang mereka peroleh dari rakyat.

Gembirakah rakyat kini setelah amanah yang mereka beri dijadikan modal untuk membeli kuasa. Kehinaan ini rupanya menjadi kebanggaan manusia yang pengecut dan hilang harga diri. Manusia bacul.

Hari ini ramai rakyat yang mempertikaikan . Sultan yang sepatutnya menjadi penaung keadilan dilihat oleh rakyat berpihak dalam memberi keadilan. Sungguh memalukan institusi yang begitu dihormati perlu diadili oleh mahkamah. Dalam konteks ini terima kasih Mahathir kerana anda telah berjaya mengembalikan hak rakyat dan tentunya raja dan institusinya adalah tidak mutlak dalam berkuasa dan bertindak. Tentunya baginda tidak tentu benar dalam semua perkara kerana baginda tertakluk kepada statusnya sebagai hamba.

Sesungguhnya raja adil raja disembah, raja zalim pasti disanggh. Jangan basahi istana tuanku dengan linangan air mata rkyat jelata kerana hasrat seorang penjenayah dan para perasuah politik untuk berkuasa.

Islam menjernihkan konsep jahiliah terhadap kuasa. Kuasa dituntut untuk mengembalikan fitrah semulajadi manusia yang bebas dari sisrtem perhambaan. Manusia dalam bentuk apa sahaja tidak berhak untuk memperhambakan manusia lain. Manusia hanya menjadi hamba Allah yang mutlak. Hanya manusia yang buta mata, buta hati dan pekak sahaja yang tidak tersentuh citra fitrah kemanusiaan..

Thursday, February 5, 2009

Daripada Rakyat Untuk Rakyat...?

Menteri Besar Perak yang digulingkan masih bertahan di kediamannya. Ribuan rakyat yang memberi sokongan akan berhadapan dengan satu lagi tindakan, mereka boleh ditahan kerana mengadakan perhimpunan haram. Musa Hasan dengan tegas mengatakan, rakyat tak berhak untuk membuat unjuk rasa/ perhimpunan.


Dr Zambry abdul Kadir dikatakan akan dinobatkan sebagai Menteri Besar yang baru. Pertama kali dalam sejarah pejabat Menteri Besar mendapat dua orang Menteri Besar untuk menjalankan tugas bersama mentadbir Perak. Atau Mohamad Nizar Jamaludin akan diusung oleh pihak keselamatan bagi memberi laluan kepada Dr Zambry. Politik Malaysia semua boleh jadi.


Perdana Menteri sekurangnya dapat menunjukkan kehebatannya disaat akhir sebuah perjalanan dalam usia pemerintahannya yang hambar. Najib pula akan disahkan sebagai proxi yang taat. Kerosakan moral kerajaan yang dipimpin Umno/Be End berada di kemuncak.


Ketentuan pasti berlaku.Kalaupun kesilapan, Pakatan rakyat ghairah menggunakan kejahatan musuh untuk menjatuhkan musuh mereka. Namun Pakatan Rakyat tidak cukup jahat untuk menggunakan kejahatan dan kurang sokongan . Kejahatan itulah kehebatan Umno/Be End dan dan pemimpin mereka, bukan kerana kebijaksanaannya.


Kejahatan itu segera diiktiraf oleh proses mewajarkannya sebagai suatu yang bijak, hebat dan menarik. Esok nasib rakyat terus diperjudikan. Demi kepentingan rakyat, adakah kerajaan di bawah pimpinan Nizar Jamaludin terlalu korup dan 50 tahun memerintah Umno telah menabur terlalu unggul untuk ditandingi oleh Nizar. Maka apakah ukurannya sehingga Nizar perlu dikorbankan dengan merasuah beberapa banjingan yang diberi kepercayaan oleh rakyat? Rakyat akan sentiasa dinafikan haknya.

Wednesday, February 4, 2009

Iakah kuasa rakyat?

Umno/Be End hampir membentuk kerajaan baru di Perak. Najib akan menggunakan apa cara untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan rakyat yang diketuai Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin. Perkembangan terakhir cukup bermakna bagi Najib setelah mengetuai Umno negeri Perak .

Walaupun bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, Najib sudah hampir berjaya berada di kemuncak kerjayanya sebagagai orang politik. Maka lengkaplah perancangannya untuk berjaya. Kejayaan yang akan menutup setiap rona kejahatan yang pernah dilalui.

Kejayaan Najib menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa menerima dengan berat hati. Kejayaan mengumpul penyangak dalam dalam kerajaan baru Perak yang bakal dibentuk meyakinkan kita bahawa Najib akan menggunakan apa cara dan siapa sahaja untuk berjaya.

Senarai panjang tuduhan kejahatan yang dilontar dihadapinya melayakkan beliau mengetuai sebuah kerajaan yang diungguli oleh mereka yang tidak bermaruah. Perasuah dan penipu. Rakyat akan menunggu masa untuk membilang kecelakan yang bakal diterima daripada kejahatan kerajaan yang diperintah oleh pemerintah yang zalim.

Apa yang mungkin dibuat oleh para perasuah untuk rakyat. Amanah yang mereka samun melalui tipu muslihat yang licik dan tidak bermaruah akan menjadi penerus kepada kebejatan sebuah kerajaan. Apa yang rakyat akan dapati daripada mereka yang hilang maruah dan harga diri itu. Rakyat akan sentiasa menjadi mangsa dan hak rakyat tidak pernah terbela.

Tuesday, February 3, 2009

SPRM @ BPR, Injin lama kerangka baru.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas penjenamaan semula dilihat tidak banyak berupah dari model asalnya BPR.

Berita terbaru dakwaan yang dibuat oleh Ketua PKR bahagian Ipoh Barat, Fauzi Muda dalam akuan bersumpahnya telah mendakwa Datuk Seri Najib Razak telah menawarkan RM 50 juta kepada adun Pakatan Rakyat yang melompat ke Umno/Be End.

Setakat ini kita belum mendengar sebarang maklum balas daripada SPRM berkenaan dakwaan tersebut. Rakyat belum lupa bagaimana cekapnya BPR yang bersegera menemui Tok Guru Nik Abdul Aziz, yang dalam satu ceramahnya mengalui bahawa beliau pernah ditawarkan rasuah sebanyak RM 1 juta ketika mula menjadi MB Kelantan.

Rakyat juga amat bersetuju bila Tan Sri Khalid Ibrahim di soal siasat oleh pegawai SPRM berkaitan dakwaan salah guna kuasa dalam pemberian 46 ekor lembu korban sempena perayaan Aidiladha lalu. Rakyat juga terharu dengan kecaknaan Khir Toyo melalui Gerak telah membuat laporan salah laku tersebut.

Maka tidak salah jika rakyat mengharapkan SPRM mengenakan tindakan melalui peruntukan yang sama terhadap Fauzi Muda atau lain-lain dakwaan yang dibuat ke atas Najib atau Dr Khir Toyo sendiri.

Rakyat ingin kepastian, tuduhan-tuduhan liar terhadap Najib adalah tidak benar dan Najib akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang benar-benar bersih.Beliau diharap tidak akan membawa “bangkai berulat” rasuah dalam Umno/Be End kedalam kerajaan yang bakal dipimpinnya.

Rakyat mahu dipimpin oleh orang yang benar-benar bersih. Para perasuah pastimya tidak mampu berlaku adil, telus dan bertanggung jawab. Kita tidak mahu melihat Umno yang memimpin Malaysia adalah parti yang disifatkan oleh Tok Guru MB Kelantan; “Bagi Umno, beri rasuah salah, tak beri rasuah kalah, Umno serba salah.

“BERSATU MENGHAPUSKAN RASUAH MELALUI PAKATAN RAKYAT”

“Aduan polis juga telah dibuat oleh Adun Bukit Selambau – V Arumugam berkenaan ancaman dan tawaran di buat oleh pihak tertentu supaya beliau menyertai Be End.” Rakyat mengharapkan supaya kerajaan akan segera bertindak.
Siapa yang akan bertindak?

Monday, February 2, 2009

Strategi siapa lebih mantap?

Perkara ajaib telah berlaku. Kegemparan politik Perak yang diselubungi tanda tanya menjadi kebah apabila 2 adun yang digembar gembur melompat parti menafikannya. PM Abdullah Badawi yang lena panjang terkejut dan terlatah kononnya mungkin,4,6,8,10 atau 12 orang adun di Perak akan melompat parti, masuk Umno/Be End. Hebat Umno/Be End, seorang adunnya melompat parti ke Pakatan Rakyat, 10 yang akan menyertai parti itu. Maknanya, jangan cuba-cuba nak pancing adun Umno/Be End, silap gaya kerajaan Pakatan Perak yang di ketuai oleh Mohammad Nizar akan tumbang.

Apapun suasana sudah agak tenang setelah ribut dan badai melanda negeri Perak Darul Ridzuan itu. MB Perak boleh menarik nafas lega, sekurang-kurangnya 2 adun berkenaan menafi lompat parti dan meletakkan jawatan. Kedua-duanya masih akan meneruskan khidmat sebagai adun dan Exco kerajaan Negeri Perak.

Namun rakyat yang memberi undi kepada mereka berdua agak kecewa kerana tiba-tiba mereka menghilang tanpa berita. Suasana menjadi lebih kalut bila mana lokasi di mana mereka berada tidak dapat dikesan. Biarlah, mereka berada dalam keadaan selamat setelah cuti sakit?

Hebat dan serasinya mereka, kedua-duanya sakit ketika mengambil cuti hujung minggu di Pahang. Sakit tu barangkali tenat kerana tidak mampu membuat panggilan atau mengarahkan sesiapa memaklumkan kepada ketua mereka. Lain kali tak usahlah mereka berdua ke Pahang lagi, nanti demam.

Barangkali MB Perak, Mohamad Nizar boleh merangka format cuti sakit kepada mana-mana adun Pakatan Rakyat yang ingin bercuti ke Pahang supaya tidak timbul salah faham dan kelam-kabut di seluruh negara.

Selamatkan negara, TOLAK UMNO/BE END.
Selamat kembali bertugas Exco kerajaan Perak, Jamaluddin Mat Radzi, Adun Behrang dan Kapten (B) Mohd Osman Jailu, Adun Changkat Jering. Anda sepatutnya bersyukur kerana Allah memilih anda menjadi wakil rakyat. Jangan pula anda tidak syukur dengan anugerahNya dan tamak dengan daki dunia.

Sunday, February 1, 2009

Adun Hilang - Umno, Be End.

Police report to be lodged over missing PKR men (updated)

Perang psikologi antara 2 kem politik di Perak tidak terhenti dengan pengunduran Pengerusi Perhubungannya Datuk Seri Tajul Roslidan diganti dengan Najib Tun Razak Kemasukkan Datuk Nasirudin Hashim menjadi anggota Parti Keadilan Rakyat minggu lepas mengingatkan kita kepada “counter attack” yang di buat oleh kepimpinan baru Umno/Be End Perak.

Yang jelas Datuk Seri Tajul Rosli menjadi kelu bila tarikh 31 Ogos 2008 berlalu tanpa seorang anggota Pakatan bertukar parti. Beliau kemudiannya dikaitkan dengan konspirasi rasuah ke atas 2 adun Pakatan Rakyat yang kebetulan hilang sehingga tarikh ini. Kita tidak pasti adakah rakyat Perak percaya beliau tidak terlibat setelah beliau juga bersumpah.

Sebagaimana peringatan Penasihat Keadilan Datuk Seri Anuar Ibrahim, Umno/Be End yang bakal diterajui oleh Najib Tun Razak akan menjadi lebih agresif dengan tindakan dan provokasinya terhadap lawan. Ingat, Najib belum lagi bersih dengan isu pembunuhan Altantuya dan Sumpah laknat Saiful Bukhari.

Maknanya, Najib sanggup melakukan apa saja untuk berkuasa. Bukankah Najib baru mengambil alih teraju Umno Perak. Adakah kehilangan 2 orang adun PKR sebagai sulung tangan Najib di Perak?

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang diketuai oleh Datuk Seri Nizar wajar melihat kehilangan 2 orang adun berkenaan adalah permainan Umno/Be End kerana mereka ada pengalaman . Perkembangan terkini juga adalah ke arah itu. Maka kita tunggu dan lihat perkembangannya. Kita yakin satu perlawan yang lebih seru dan menarik akan terjadi.