Friday, February 20, 2009

Kegelisahan Tun Mahathir.

Tun Mahathir Mohamad masih bimbang dengan budak Tingkat empat. Jaminan PM Abdullah untuk menyerahkan teraju pemerintahan Mac nanti tidak meredakan kegelisahan matan PM Mahathir. Kemungkinan PM Abdullah berubah hati tidak boleh dipandang sepi, semua boleh jadi dalam politik Malaysia. Tun barangkali terkenang ketika beliau pura-pura meletakkan jawatan, dan menarik balik setelah melihat air mata buaya lakonan para MP Umno. Lakonan Rafidah Aziz paling berkesan. Bagaimana jadinya jika PM Abdullah ulang perangai Tun dulu, budak Tingkat Empat pasti akan terus merencaranakan politik negara.
Tun memberi alasan kelemahan PM Abdullah yang menyebabkan budak Tingkat Empat naik toncang. PM Abdullah juga dikatakan gagal mengawal keharmonian hubungan antara kaum dan melayan pelbagai tuntutan yang bukan-bukan. Tun tidak yakin PM Abdullah berupaya menangani krisis ekonomi yang dikira lebih teruk daripada 1987 lalu. Maka PM Abdullah mesti diganti.
Orang yang paling layak ialah Najib. Najib juga dilihat lemah malah suka berpolitik secara selamat. Barangkali susah untuk melihat Najib angkat muka jika PM Abdullah terlatah untuk tidak menyerahkan kuasa Mac nanti. Lagipun PM Abdullah mempunyai banyak alasan untuk tidak melepaskan jawatan tersebut kepada Najib. Kekalahan Umno/ BN dalam 2 pilihan raya kecil baru lalu adalah kelemahan Najib. Najib juga bukan memp[unyai akhlak dan moral yang baik. Skandal-skandal yang Najib ciptakan cukup kuat untuk dijadikan alasan PM Abdullah melepaskan jawan kepada beliau.
Di Perak, campur tangan Najib menyebabkan negeri itu menghadapi krisis berpanjangan. Usaha Najib mengheret Istana dan Mufti Kerajaan Negeri Perak dalam kancah politik menambah koleksi kelemahan dan kegagalan Najib. Najib sehingga hari ini membisu seribu bahasa berkenaan krisis yang diciptanya di Perak. Rakyat Perak khususnya ingin melihat kuasa dan kebijaksanaan Najib menyelesaikan kes tersebut dan Umno/ BN dapat merampas Perak dengan bergaya.
Saya melihat kelemahan ini yang sangat diharapkan oleh Tun Mahathir. Jika Abdullah lemah, kelemahan PM Abdullah tidak dapat dicabuli sewenang-wenangnya kerana ada budak Tingkat Empat, maka keghairahan Tun untuk melihat Najib berkuasa kerana diyakini beliau mempu merencana perjalanan politik Malaysia mengikut acuannya. Saya yakin bahawa Najib adalah ciri kepimpinan negara yang dicari oleh Tun Mahathir setelah beliau mencipta krisis dengan para Timbalannya terdahulu. Lihat bagaimana Tun Mahathir melayan Musa Hitam, Allahyarham Tun Ghafar dan Anwar Ibrahim. Sebagai negarawan yang pintar dan licik, para timbalannya terpaksa tunduk dengan kemahuannya. Apapun rakyat amat menghormati kepintaran Tun Mahathir berpolitik.
Anwar disingkir oleh Tun Mahathir tapi rakyat dapat diyakini bahawa Anwar mempunyai akhlak yang buruk. Kejahatan Anwar lebih menjijikkan apabila Tun Mahathir berjaya memperlihatkan tokoh yang berkarisma itu menenbunyikan kebejatan moral disebalik imej Islamiknya. Rakyat menjadi lebih benci bila Anwar dikaitkan sebagai boneka Yahudi Amerika. Anwar terpaksa bangun untuk menghadapi segala itu dengan kudrat dan segala upayanya dibelenggu. Apakah ini faktor utama Tun menghendaki Najib mengganti PM Abdullah setelah dilihatkan PM Abdullah agak lembut dan membuka banyak ruang kepada Anwar untuk merungkai belenggu yang dipasang ke atasnya. Kononnya jika Anwar jadi PM Malaysia, Tun akan berhijrah ke luar negara.
Jika Anwar dikaitkan dengan akhlak yang jijik, maka bagaimana dengan Najib pada pandangan Tun Mahathir. Jikalah Najib tokoh yang akan disingkirkan, alangkah mudahnya mencari medan konspirasi bagi menjatuhkannya. Tapi orang yang seumpama Najib diperjudikan oleh Tun Mahathir untuk memimpin negara. Dalam bahasa mudahnya, untuk mejatuhkan Anwar Tun Mahathir terpaksa mencipta "skandal" tapi Najib yang sedia banyak "skandal" itu amat diharapkan oleh beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Pada saya Tun Mahathir seorang negarawan yang hebat tetapi masa pemerintahannya tidak pernah melahirkan tokoh pelapis yang berkasisma. Satu demi satu tokoh-tokoh dalam kerajaan dan Umno dikembiri atau diketepikan sehingga kabinet negara dianggotai oleh badut-badut yang tidak cukup kelakarnya. Hari ini, siapakah tokoh dalam hati kecil Tun Mahathir yang benar-benar layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kerana sayangkan Umno, tentunya tokoh itu bukan Anwar Ibrahim atau Haji Abdul Hadi Awang.

No comments: