Sunday, February 8, 2009

Ketaatan : Hamba dan Rakyat

Ketaatan adalah kepatuhan dari satu pihak kepada pihak lain. Hamba taat kepada tuannya, kuli patuh kepada majikan, isteri dan anak-anak patuh dan taat kepada suami/ayah, dan rakyat taat kepada rajanya. Ketaatan yang mutlak ialah hamba terhadap khaliqnya. Beberapa versi ketaatan.

Cerita ketaatan versi I

Hang Tuah adalah lambang ketaatan hamba kepada raja dalam sejarah Melayu Melaka. Banyak peristiwa dipaparkan menunjukkan betapa taatnya Hang Tuah kepada Raja.

Hang Tuah menculik Tun Teja untuk dijadikan permaisuri raja. Dikatakan Hang Tuah membuat guna-guna menyebabkan Tun Teja jatuh hati dan sanggup lari bersama Tuah meninggalkan tunangan dan negerinya ke bumi Melaka.

Di Melaka Hang Tuah menyerahkan Tun Teja untuk menjadi permasisuri Raja.

Hang Tuah juga dikatakan sanggup terjun kedalam kolam najis untuk menyelamatkan kuda raja. Kemuncak ketaatannya, Hang Tuah sanggup membunuh Hang Jebat sahabat karib seperguruan dan sepermainannya. Pembelaan Hang Jebat ke atas kekejaman raja terhadap Hang Tuah, bukan alasan bagi Hang Tuah untuk mendurhaka kepada raja.. Melalui tipu muslihat, sahabatnya itu dibunuh oleh Hang Tuah. Raja mesti gembira kerana Hang Tuah begitu taat setia.

Cerita ketaatan versi 2.

Diceritakan seorang sahabat nabi yang suka bergurau. Gurauannya kadang kala agak keterlaluan. Untuk mendapat perhatian nabi, sahabat itu pernah melonggarkan ikatan pelana kuada nabi sehingga baginda hampir terjatuh ketika menunggangnya.

Nabi melarang sahabat yang memarahi sahabatnya bergurau secara tidak senonoh itu. Baginda tahu sahabat itu bergurau walaupun agak keterlaluan.

Suatu peristiwa nabi melantik sahabat itu mengetuai satu misi ketenteraan. Sahabat itu memang berkebolehan, tapi sikap suka bergurau berterusan ketika beliau mengetuai tugas ketenteraan tersebut. Sahabat itu merasa seronok kerana segala perintahnya ditaati.

Sekembalinya dari medan perang dengan kemenangan, sahabat itu memerintah supaya parajurit yang bersamanya mengumpul kayu api dan menyalakannya. Setelah api marak beliau menyuruh parajurit di bawah kuasanya terjun kedalam api yang sedang marak itu. Tidak ada sahabat yang patuh.

Peristiwa itu diceritakan kepada nabi. Baginda menyatakan bahawa benar perbuatan parajurit tidak mengikut arahan ketuanya itu. Jika mereka terjun ke dalam api, semua masuk neraka.


Cerita ketaatan versi 3.

Allah memerintah Nabi Ibrahim supaya menyembelih anaknya Ismail. Perintah ini benar-benar menguji ketaatan dan kepatuhan Ibrahim kepada Tuhannya. Anak kecil yang masih memerlukan kasih saying seorang ayah, tiba-tiba disuruh supaya disembelih/dikorbankan.

Nabi Ibrahim mendapat persetujuan daripada anak yang akan disembelihnya. Kerana perintah Allah, perintah yang tidak masuk akal dan diluar batas kemanusiaan itu dilaksanakan.

Kepatuhan dan ketaatannya yang mutlak itu menyebabkan Allah mengganti mangsa korban ( anaknya itu ) dengan seekor kibas. Ketaatan di sini adalah mutlak.

Realiti

Puak yang gila kuasa di Perak menggunakan isu ketaatan dan kepatuhan ahli Pakatan Rakyat dan penyokong Ir Nizar Jamaluddin untuk mewajarkan tindakan bacul mereka membentuk kerajaan baru. Bukan menjadi hasrat penyokong Pakatan Rakyat untuk menghina raja Berpelembagaan. Sebagai rakyat kepada ke bawah Duli al Sultan, ketaatan adalah tidak mutlak tidak seperti ketaatan dan kepatuhan hamba kepada Tuhannya. Rakyat dapat merasakan baginda tidak berlaku adil dalam keputusannya dalam isu ini.

Barangkali Datuk Mufti negeri Perak dapat membezakan dengan jelas kerelatifan dan kemutlakan sesuatu ketaatan. Sebagai ulama, Datuk Mufti Kerajaan Negeri Perak dapat memberi nasihat yang baik kepada baginda al Sultan berkenaan had dan batas ketaatan rakyat terhadap raja dalam konteks agama Islam dan tidak secara membuta tuli menuduh rakyat yang menyatakan perasaannya sebagai penderhaka.

No comments: