Saturday, January 3, 2009

Berkarismakah Wan Ahmad Farid?

"Istikharah Hadi dan karisma Wan Farid" dimainkan oleh kelompok manusia sekular yang jahil untuk memperlekehkan pemilihan bakal calon PAS/Pakatan Rakyat PRK P36. Mereka membayangkan pemilihan Presiden PAS itu sebagai tindakan yang tidak realistik dalam konteks dunia moden. Memilih bakal calon berdasarkan petunjuk dari alam ghaib yang belum tentu untuk berhadapan dengan karismatik seorang bakal calon yang berwibawa dikirakan sebagai tindakan pandir. Dengan kata lain, kaedah itu lapuk dan tidak sesuai dengan suasana politik moden. Pengundi kononnya perlu memilih calon yantg berwibawa dan bukannya mengharapkan karamah yang belum tentu daripada calon yang dipilih secara sembahyang istikarah. Mereka yang rasional dan realistik akan memilih Wan Ahmad Farid dan bukan Haji Mohd Abdul Wahid Endut.

Ulasan menjadi semakin bebal bila mereka beranggapan petunjuk itu menafikan kewibawaan calon-calon lain. Sukar sangat mereka berfikir bahawa Islam mensyariatkan sembahyang istikarah untuk membuat pilihan yang terbaik daripada yang baik-baik dan bukannya yang agak baik dari kalangan yang tidak baik. Apapun Umno sudah terlalu sekular untuk berada di atas landasan agama Islam yang syumul.

Kesempatan ini digunakan untuk merendah-rendahkan peribadi Haji Mohd Abdul Wahid Endut yang sudah 5 penggal menjadi wakil rakyat Dun Wakaf Mempelam sebagai seorang yang sombong, tidak dikenali ramai, tidak disenangi golongan muda dan sebagainya. Sebagaiman biasa juga Wan Ahmad Farid ditonjolkan sebagai calon yang paling layak dan diterima oleh semua. Mereka cuba menafikan bahawa Wan Ahmad Farid calon pilihan Perdana Menteri dan kurang mendapat restu Najib. Mereka cuba lenyapkan kenyataan bahawa betapa sukarnya Umno untuk membuat pilihan kerana di mana lagi untuk mencari calon Umno yang bersih dan kelihatan bersih. Kalaulah Umno yang beristikarah, mana lagi tokoh yang jujur yang masih tinggal dalam parti itu.

Apakah mereka fikirkan dengan menafikan dan memperlekehkan kewibawaan Haji Mohd Abdul Wahid Endut, pengundi Kuala Terengganu melupakan susur galur keluarganya yang semangnya terkenal di Kuala Terengganu. Akan cacatkah sikapnya yang mudah didekati dan malapkah jasa dan pergaulannya yang luas dengan penduduk di Kuala Terengganu bila berhadapan dengan Wan Ahmad Farid yang jarang berada di Kuala Terengganu.

Haji Mohd Abdul Wahid Endut belum tentu menang dalam pilihan raya kecil P 36 17 Januari nanti tetapi pilihan yang dibuat oleh Dato' Seri Presiden begitu menakjubkan. Tidak ada orang PAS merasakan itu pilihan yang tidak tepat malah merasakan itu benar-benar ilham daripada Allah menerusi Dato' Seri Presiden untuk merampas kerusi itu daripada BN.

Kita berharap pengundi pengundi di Kuala Terengganu lebih berhati-hati dengan kerja jahat Umno. Sebagai parti sekular, matlamat akan menghalakan apa jua cara. Tidak ada baik dan jahat pada mereka, kerana itu mereka boleh melakukan apa sahaja, rasuah, beli undi, penipuan, pengundi hantu, menyerang peribadi calon, dan sebagainya kerana sememangnya mereka telah memisahkan ugama daripada politik. Pada mereka agama sukur politik suku.

" Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersiap sedialah, serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu mencapai kemenangan"
(al-Imran: ayat 200)

No comments: