Thursday, November 27, 2008

Kewibawaan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa amalan Yoga adalah bertentangan dengan Islam , dan orang Islam haram mengamalkannya. Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan terdiri daripada tokoh-tokoh berwibawa dan setelah mendapat pandangan semua pihak termasuk profesional, fatwa berkenaan sesuatu perkara di keluarkan untuk panduan umat Islam di Malaysia. Setiap fatwa yang dikeluarkan, ianya bertujuan menjaga kemurnian umat Islam dari aspek aqidah, syariat, muamalat dan akhlaknya. Ahli majlis fatwa ini pula membuat kesimpulan berkenaan sesuatu perkara berdasarkan sumber Islam yang autentik iaitu al Quran, hadith , ijma’ ulama dan qias. Orang Islam yang taat tidak akan membantah kecuali dalam persoalan furu’ yang memungkinkan mereka ada pendapat dan pandangan lain

Pengeluaran fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bukan perkara baru malah banyak sudah fatwa yang dikeluarkan. Semua rakyat boleh faham bidang kuasa majlis fatwa dan sasaran fatwa yang dikeluarkan. Misalnya fatwa haram bertafakur di Tugu Peringatan Negara. Tentunya fatwa ini bercanggah dengan amalan orang bukan Islam kerana amalan tersebut tidak ditegah oleh agama mereka. Begitu juga jika ada orang Islam sendiri yang keliru bertafakur di tugu peringatan tersebut, ia dianggap melakukan dosa dalam Islam. Perkara haram atau tegahan penganut bukan Islam ditentukan oleh agama mereka sendiri . Mereka boleh melakukan atau tidak melakukan sesuatu mengikut tuntutan agama mereka masing-masing. Mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan untuk orang Islam oleh badan Islam yang autentik adalah peristiwa malang dalam konteks hubungan kaum di Malaysia..

Persoalan ini sepatutnya tidak menjadi asas yang boleh mengeruhkan keharmonian hubungan kaum. Apabila segolongan orang bukan Islam mempertikaikan fatwa ini, mereka sebenarnya mencalar dan mencabar nurani semua penganut Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Umat Islam tidak mahu sesiapa mempersoalkan keyakinan mereka dalam beragama sebagaimana mereka tidak pernah untuk mempertikaikan amalan agama lain. Islam mempunyai batas sempadan yang jelas untuk mencampuri urusan agama lain. Malah Islam mengharamkan penganutnya mencela agama lain kerana Islam tidak mahu orang lain mencela agama mereka. Kita menjadi keliru dan kecewa bila golongan cerdik pandai dalam beberapa pertubuhan – NGO yang celupar walau atas apa alasan sekalipun untuk mempertikaikan ajaran agama orang lain. Jelasnya, amat dangkal untuk mencari pengaruh di atas kegundahan dan kekecewaan sesuatu kaum dan penganut sesuatu agama, Lebih malangnya untuk mengadai keharmonian dan hubungan yang baik di antara kaum dan agama di Malaysia untuk sebuah kebebasan yang belum pasti.

Paling mengecewakan kita ialah kegagalan pihak pemerintah untuk mengawal situasi ini. Dalam sejarah lebih 51 tahun merdeka kita tidak pernah melihat kelemahan pemerintah yang di ketuai oleh Umno/Barisan Nasional untuk menangani masalah perkauman. Peristiwa 13 Mei 1969 yang agak kritikal dapat diselesaikan dengan cara yang agak baik. Kelemahan pemerintah menyebabkan orang yang berkepentingan cuba mengambil kesempatan. Kekecewaan pilihan raya umum ke 12, bukan alasan pemimpin untuk bertolak ansur dalam perkara yang boleh menyebabkan kemusnahan dan kehancuran total kepada Malaysia. Memenuhi setiap tuntutan sebelah pihak tidak menjamin pihak lain berpuas hati dan lazimnya senarai tuntutan akan sentiasa lebih panjang dan tidak pernah bertemu titik. Kebidaban dan kerakusan selalu mendesak rasional dan tolak ansur. Kebijaksanaan pemimpin adalah perlu untuk menentukan siapa mendapat apa, bila dan bagaimana. Pokoknya kesemua rakyat merasa dilayan secara lebih saksama.

No comments: