Friday, November 23, 2012

Doa

Allah menyuruh umat Islam berdoa. Doa merupakan senjata orang Islam. Doa merupakan tanda kelemahan dan ketidakupayaan seorang hamba kecuali apa yang diberi oleh Tuhannya. Alah tidak suka kepada mereka yang tidak berdoa kerana sifat angkuh dan sombong makhlukNya itu. Solat yang difardhukan oleh Allah lima kali sehari semalam itu juga merupakan himpunan doa yang  diprogram khusus oleh Allah supaya hambaNya sentiasa mengingatiNya. Maka apa salahnya doa jika hajat setiap manusia itu mempunyai kepelbagaian. Misalnya Abu Jahal juga berdoa untuk menghancurkan Islam begitu juga Nabi berdoa supaya golongan kufar dihancurkan dan orang Mukmin mendapat kemenangan ke atas orang kafir.

Adik Nik Abdul Aziz MB Kelantan merupakan orang Pas. Apa masalah Nik Razi berdoa pada muktamar parti itu di Kota Bharu baru-baru ini supaya Allah menghancurkan Umno. Kita tidak tahu ada orang Umno yang mendoakan kehancuran Pas, tetapi jika mengukur tahap kebencian orang Umno terhadap Pas, mereka amat gembira jika Pas itu hancur buat selama-lamanya sebagaimana mereka ingin kekal dalam Umno, dulu, kini dan selamanya. Kita juga tidak pernah mendengar ada sebarang report polis dibuat oleh orang Pas kerana kebencian orang Umno terhadap mereka, tapi kita tahu ada report polis telah dibuat oleh penyokong Umno kerana Nik Razi (orang Pas) mendoakan kehancuran mereka.

Nik Razi diminta memimpin solat hajat untuk meminta kemenangan yang erti sebenarnya meminta Allah memenangkan Pas dan menghancurkan Umno. Seperti juga orang Umno yang mengadakan majlias baca Yasin, solat hajat untuk kemenangan mereka dan menghancurkan(?) Pas. Kita tidak yakin majlis yang seumpama itu dibuat oleh orang Umno supaya Allah memenangkan Pas atau sekurang-kurangnya meminta Allah memberi petunjuk kepada orang Pas. Umno yang tidak berjuang di atas dasar Islam tidak begitu komited untuk mengikut sunnah Allah dalam seluruh aktiviti kehidupan mereka kecuali dalam konteks ibadat khususiah. Titik perbezaan antara dua kelompok Melayu Islam, Pas dan Umno ialah kerana perbezaan tangapan dan pemahaman terhadap Islam. Tidak terlalu pelik jika dalam berdoapun mereka bertelingkah. Cuma Umno mempunyai ruang untuk mempromosi tangapan mereka yang dikira salah dalam memahami Islam oleh orang Pas. Umno juga mempunyai kuasa dan senang memanipulasi segala jabatan yang ada urusan dengan agama atau kedudukan Raja-raja Melayu itu sendiri. Banyak sangat Umno menunjukkan sifat kurang sopan bila bertelingkah dengan orang Pas, yang juga Melayu lagi Islam sebagaimana mereka meminta kesopan daripada Nik Razi supaya mendoakan mereka supaya mendapat petunjuk Allah.

Sesungguhnya Allah akan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki dan menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya. Sesiapa yang memilih sesat, mereka tidak akan mendapat petunjuk sebagaiman Abu Jahal yang tidak mendapat petunjuk dan makbul doa Nabi  dan sebaliknya Umar mendapat barkat doa Nabi itu. Umno tidak halangan untuk memilih petunjuk Allah dan tidak culas mentafsirkan Quran dan Sunnah Nabi Allah mengikut kehendak nafsu dan kepentingan kehidupan yang sekejap didunia.

Dalam konteks doa Nik Razi, orang Pas adalah orang Melayu Islam yang tertindas. Lebih 55 tahun hak orang Pas, hak Melayu dan hak Islam mereka dinafikan oleh Umno. Mereka didiskriminasi kerana pentafsiran dan pemahaman terhadap ajaran agama Islam yang mereka yakini. Apa salahnya seketika mereka mengadu kepada Allah terhadap Umno yang sering menzalimi dan menindas mereka sebagaimana Nabi Musa mendoakan kehancuran Firaun. Orang Umno tidak pernah mengetahui doa orang Pas yang sejak puluhan tahun, bermunajat kepada Allah supaya diberi petunjuk dan kefahaman mereka sepertimana dikehendaki oleh Islam sebenar. Orang Umno dan pemimpin mereka sebaliknya galak dengan amanah Allah dalam bentuk kuasa dan pemerintahan untuk menindas Melayu dan Islam. Mungkin mereka, orang Pas tidak sesabar nabi Nuh atau nabi -nabi yang lain, masa 50 tahun lebih adalah jangka masa yang panjang untuk melihat dan membiarkan kesesatan saudara mereka dalam Umno. Maka adalah wajar sekali jika Umno dihancurkan dan orang-orang yang berada dalam Umno akan mempunyai ruang lain untuk lebih memahami Islam. Sesungguhnya mereka tidak mampu memahami Islam selagi bersama Umno. Begitu juga Umno lebih tidak mampu memberi kefahaman tentang Islam kepada sahabat mereka yang bukan Islam. Selagi Umno tidak hancur selagi itu khurafat yang ditanam oleh Umno bahawa hanya parti itu yang mampu menjaga Melayu dan Islam. Kekeliruan rakyat bukan Islam terhadap Islam juga akan sentiasa berterusan jika negara ini berterusan dipimpin oleh Umno.

Nik Razi pada pandangan Pas dan Islam yang dianutinyanya yakin bahawa mereka tidak keliru dalam berdoa. Mereka hafal akan kaedah, adat dan tujuan sesuatu doa. Mereka juga menjaga adab-adab berdoa supaya doa mereka dimakbul sebagaimana mereka yakin doa mereka tidak akan dimakbul jika gagal menjaga adab-adab berkenaan. Antara adab-adabnya ialah menjaga ketaatan dan ketahuhan dalam beragama, membuat segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Nik Razi dikira oleh orang Pas paling layak memimpin doa berkenaan kerana akhlak beliau dan tahap ketaqwaan. Sekurang-kurangnya Nik Razi telah berjaya membuat penampilan sehingga kelompok muktamar parti itu di Putik memberi amanah kepada beliau untuk memimpin solat hajat dan berdoa. Orang pas dengan penuh keyakinan doa beliau insya Allah akan makbul. Jikalah Umno yakin dengan Islam dan pendekatan Islam yang dipegangnya, tentu mereka tidak gelisah dengan doa Nik Razi kerana mereka yakin doa tersebut tidak akan makbul kerana tidak mencukupi syaratnya kecualilah mereka berpendirian sebaliknya. Apakah Umno was-was dengan pegangan Islam yang ditafsir, dipegang dan diamalkan sekarang betul?. Doa kita pula ialah supaya Allah sentiasa memberi petunjuk dan kefahaman Islam hakiki semoga Islam berkuasa dan bukan dikuasai, hukum Allah dan syariat agamaNya dilaksanakan dan bukan dihina. Insya Allah. Amin.



Sunday, October 14, 2012

Bodohnya akan ketara.

 Pendapat yang paling menarik ialah pandangan Zulkifli Yahya dalam Harakah keluaran terbaru (15 Okt 2012). Beliau berpandangan bahawa individu (bekas pemimpin) yang meninggalkan Pas sering mengeluarkan pendapat dan pandangan yang tidak cerdik (bodoh). Pendapat beliau menyebabkan kita yang dah tua-tua mula berfikir, kalau pandangan atau pendapat yang diberi itu jika pun tidak sebodoh pemikiran orang-orang Umno, ianya lebih teruk lagi. Sekurang-kurangnya ia pasti diperalatkan oleh Umno/BN untuk menyerang Pas kerana kononnya bekas pemimpin berkenaan lebih maklum kelemahan Pas. Sedangkan tidak akan wujud kelemahan itu kerana sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, kelemahan ialah ketidakmampuan pemimpin mereka untuk memberi penjelasan terbaik berkenaan kehebatan Islam. Sekurang-kurangnya, pemimpin yang mundur meninggalkan perjuangan merupakan mereka yang lagi daripada perjuangan.

Terbaru ialah keceluparan pemimpin Jati yang ditolak oleh Majlis Syura Ulama Pas meminta Nika Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas untuk melepaskan jawatan kerana kerjasama Pas dengan DAP. Nampak sangat beliau menjadi alat Umno dan mencabar Nik Aziz berbuat demikian adalah tidak tepat kerana keputusan tersebut adalah kesepakatan jemaah. Bukan semata-mata keputusan Nik Aziz. Beliau yang dikira terlalu bodoh kerana setelah dipecat daripada Pas, bercakap mula merapu. Umno nak benar orang yang cakap merapu kerana lebih mudah untuk memperbodohkan penyokong mereka yang buta hati dan gelap mata. Semakin tidak betul fakta, maka semakin laku sesuatu fitnah yang direncanakan. Tanya kepada media utama Umno, betul atau tidak.

Bagi penyokong Umno yang penting ialah Pakatan biar nampak hodoh supaya kecacatan kekal dan teruk mereka tidak ketara. Perhatikan kes Soros, Mat Indera, bantuan dana asing, bajet Pakatan dan sebagai-bagainyalah, Umno tenggelam punca. Apapun Najib kian kecut untuk mengadakan pilihanraya Pru 13 sehingga sampai habis tempoh.

Sunday, August 12, 2012

DAP atau MAC, siapa harbi dan dzimmi

Kerajaan sepatutnya berperanan menjaga keharmonian rakyat. Kepelbagaian bangsa, agama dan budaya masyarakat sepatutnya bukan penghalang untuk membina sebuah masyarakat ideal.

Malangnya keghairahan Umno-BN untuk memenangi PRU ke 13 datang menghalang segalanya. Kerajaan dilihatkan cuba memanipulasi kepelabagaian dan perbezaan rakyatnya untuk keuntungan politik. Umno/BN walau dengan apa cara sekalipun, mesti berada dipuncak kuasa.

Terkini ialah peranan lidah rasmi Umno, Utusan dan seorang ulama pondok, Abdullah Saamah secara terang-terangan menuduh DAP sebagai kafir harbi. Kafir yang dihalalkan darah oleh ulama Islam silam. Kafir yang berada dalam suasana permusuhan dengan Islam. Kafir yang secara terang-terang cuba memerangai dan menjatuhkan kerajaan Islam. Orang kafir yang mengudang perseteruan dan pemusuhan daripada penganut Islam. Tuduhan liar yang mengudang permusuhan kaum dan agama di Malaysia.

Melebelkan DAP dan pengykongnya sebagai kafir harbi keterlaluan dan bangang. Pendapat seorang ulama yang kurang cerdik dan jahil dengan suasana politik dalam tanah airnya sendiri. Ulama yang gagal memberi penjelasan yang baik berkenaan persoalan harbi yang beliau bicarakan. Ulama yang diperalat dan diperkudakan oleh Umno melalui lidah rasminya, Utusan. Suatu kerja jahat yang menghalang ulama Islam yang jujur, ikhlas dan taat. Mereka dipekakkan, dibutakan dan dibisukan oleh UMBO/BN. Kenapa perlu pendapat seorang seperti Abdulah Saamah? Kenapa tidak daripada Majlis fatwa?

Rakyat yang ikhlas, terutama mereka yang bukan Islam perlu diberi penjelasan sebenarnya supaya Islam tidak dipandang serong. Abdullah Saamah dan Utusan Malayia amat tidak layak untuk kerja yang besar itu.

Persoalannya, kenapa Cina DAP sahaja yang harbi dan bukanya, MCA atau MIC. MCA yang menolak hudud dan mengistiharkan menentang negara Islam itu tidak pula menjadi harbi. Kenapa DAP dan tidak boleh berpakat dengannya?.Apakah Dap menjadi harbi kerana menentang Umno/BN.Bagaimana pula dengan pemimpin Umno sendiri yang menolak hudud dan negara Islam? Abdullah Saamah semestinya seorang  guru pondok yang bodoh untuk memahami politik jahat Umno.

Rakyat Malaysia perlu memberi peranan kepada ulama yang jujur untuk menerangkan konsep bernegara dalam Islam dan hubungannya dengan mereka yang bukan Islam. Dap boleh memahami Islam lebih baik daripada pemimpin China BN. Maka kita dapat melihat sebuah masyarakat yang harmoni jika Pakatan diberi mendat untuk mentadbir Putrajaya. Salam perubahan.




Sunday, July 8, 2012

Benci

Apa ertinya sebuah kebencian.

1) Tun Abdullah Badawi benci sangat kepada Tun Mahathir.

2) Anwar Ibrahim sememangnya patut bencikan Mahathir.

3) Lim Guang Eng dianggap  anti Melayu dan sangat benci kepada Tun Mahathir ultra Melayu.

4) Bapaknya si Lim Kit Siang terlalu amat bencinya kepada Melayu, Mahathir dan Islam.

5) Adakah semua Melayu, China dan India bencikan Mahathir?

6) Siapakah sebenarnya bencikan Tun Mahathir sehingga ketika usia senjanya beliau seakan-akan merajuk sakan bagaikan semua orang bencikannya.

Mahathir sebenarnya bencikan kejahatan dirinya sendiri terhadap Abdullah Badawi, Anwar Ibrahim, Lim Guang Eng, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Melayu, China dan India.

Mahathir bencikan dirinya  kerana onar beliau merosakkan sistem kehakiman di Malaysia.

Mahathir terlalu benci kerana kegagalannya memastikan kejayaan DEB dan ketidakupayaannya merealisasikan WAWASAN  2020.

Mahathir amat bencikan kegagalannya menyekat kemaraan Islam. Lebih menjadi-jadi bila beliau melihat Mesir kembali kepangkuan Ikhwan Muslimin. Mahathir turut menjangkakan Malaysia akan memihak kepada Pakatan Rakyat. Benci beliau kerana yakin Pakatan akan menyiasat segala salah urus beliau selamat 22 tahun memerintah Malaysia.

Mahathir amat bencikan keserakahannya memperkenalkan dasar pengswastaan yang songsang untuk kepentingan kroni dan suku sakatnya semata-mata. Rakyat menjadi mangsa keserakahan kapitalis yang lapar dan menindas rakyat kononnya kerana pembangunan. Dasar Mahathir yang menyebabkan jurang antara kaya miskin bertambah-tambah luas lagi dalam.

Mahathir yang kecewa kerana ada Adun Umno yang meroyan untuk menjalankan hudud sedangkan beliau mengatakan hudud tiada dalam Quran. Apa jenis Adun Umno setelah beliau tidak memimpin Umno. Najib tidak boleh diharap, mengendalikan Rosmah pun Najib tak mampu.

Bencinya Mahathir kerana agenda fitnah keatas musuh politiknya satu demi satu terserlah dan terbongkar. Penipuanya dalam pilihanraya telah pecah mentol. Orang kampung semuanya dah tau.

Mahathir teramat sangat bencinya kerana sifat kebapaanya yang penyayang menyebabkan anak-anaknya mendapat habuan yang istemewa tetapi cuba dinodai dan dipintas oleh anak menantu Tun Abdullah Badawi. Hai sakitnya hati.

Sakitnya hati kerana anak perempuannya tidak ikut kata, menyokong bersih dan mempersoalkan beberapa dasar beliau.

Siapakah sebenarnya yang dibenci oleh Mahathir ketika orang lain merestui pengunduran beliau melainkan dosa-dosa beliau menyebabkan beliau tidak boleh tidur lena dan sering cakap meracau. Mahathir bencikan dirinya sendiri.


Thursday, June 28, 2012

Anwar tidak boleh saman.

Indahnya hidup sebagai Mahathir. Semunya senang. Semua tutur katanya mudah diterima. Mahathir masih menjadi sumber rujukkan pendapat dan pandangan. Mahathir tetap menjadi sumber berita. Kelemahan 2 Perdana Menteri selepasnya, Abdullah dan Najib, menjadikan Mahathir begitu sempurna ketika atau selepas menjadi PM Malaysia. 

Hebatnya Mahathir, seseorang boleh menjadikan beliau idola setelah jelas dan ketara kesilapan beliau semasa menerajui Umno dan Malaysia. Paling bijak Mahathir ialah mencantas setiap induvidu yang berwibawa daripada memimpin Umno/kerajaan, menyebabkan mereka mudah dikawal selia. Para perasuah yang diberi kepercayaan memudahkan beliau menjaga reputasinya sebagai PM paling korup dan mudah dilindungi. Pencacai dan juru angguk akan sentiasa memuja Mahathir menjadikan beliau bagaikan dewa yang tidak mungkin melakukan kesalahan.

Kebijaksanan beliau mengawal reputasi pemimpin pelapis menyebabkan Anwar Ibrahim hampir musnah bersama gerakan reformasi menentang Mahathir. Barua yang cuba bertenggek dibawah ketiak idealisma reformasi Anwar tersungkur seorang demi seorang kecuali sememangnya mereka yang terlepas daripada jerat Mahathir - Budaya rasuah dalam Umno/kerajaan. Atau yang sanggup mengadai idealisma perjuangan seperti Ezam Mohd Nor.

Anwar sendiri mampu melawan Mahathir kerana keupayaan beliau menghindarkan diri daripada terjerumus ke dalam perangkap yang dipasang. Fitnah akaun RM 3 billion melalui akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid terhadap Anwar 12 tahun lalu jika benar-benar wujud sudah cukup mematikan karear politik Anwar. Sebagaimana kata Anwar, " Ingat Mahathir boleh bagi peluang saya hidup jika akaun itu betul-betul wujud?".

Setelah 12 tahun,( kumpulan pengarah strategik Najib?) cuba menjadikan akaun RM3 billion sebagai senjata untuk menghalang sokongan rakyat terhadap Pakatan. Terlalu bodoh dan amat kelakar. Senjata yang Mahathir tidak mampu untuk membunuh politik Anwar cuba dikitar semua. Kerananya juga semua MP Umno/BN menikus diparlimen apabila Anwar mencabar dan membuka peluang untuk menjelaskannya di parlimen. Bacul dan amat memalukan.

Segalanya tidak begitu menjadi bagi Najib dan kumpulan pengarah strategiknya. TPM Muhyiddin Yassin yang gatal mulut cuba mengaitkan Anwar dengan akaun RM3 billion bagaikan pandir kematian anak apabila satu demi satu sejarah lampau beliau sebagai pemimpin Umno Johor dan Malaysia dibongkar atau akan dibongkar? Mengikut Saifuddin Nasution, TPM mengingatkan beliau kepada jenaka orang Johor, ".. kecuali tanah kubur dan angin sahaja yang tidak dijual." Mengaibkan.

Tetapi semua itu bukan jika Mahathir. Mahathir selamanya kelihatan lebih cerdik daripada gerombolan pelapis Umno yang beliau bentuk. Ulasan beliau lebih mudah diterima jika pun tidak betul. Anwar sering terkejut beruk dengan logik bodoh Mahathir. Penyokong tegar Umno wajib percaya. Anwar mengemukakan saman-saman terhadap pemfitnah ke atas beliau kerana hendak menutup mulut "rakyat" daripada membicarakan salah laku beliau.

Ingat bahawa Anwar berjaya dan menang sama RM60 juta ke atas S. Nallakarupan. Nalla dan Utusan yang memfitnah Anwar akan disaman RM 100 juta lagi. Kerana itukah Mahathir tampil dengan ulasan logik merapunya?

Adakah orang Umno yang merasakan logik gila Mahathir itu salah? Adakah lebih bijak Anwar membiarkan musuh politik beliau sewenangnya memfitnahkan beliau? Tidak cukupkah Anwar dimalukan, dihina, disisih dan dipenjarakan oleh Mahathir kerana kesalahan yang tidak dilakukannya.

Itulah Mahathir, yang dijadikan idola dan diberi pelbagai keistimewaan oleh Tuhan. Moga Mahathir tidak mati sebelum kemenangan Pakatan Rakyat untuk membuktikan bahawa Anwar tidak pendendam sepertinya.


Saturday, June 9, 2012

Tun Mahathir boleh untuk tidak menjawab pelbagai persoalan rakyat Malaysia yang diperintah lebih 22 tahun. Beliau juga tidak perlu hadhir di mana-mana mahkamah Malaysia untuk memberi jawapan kepada pelbagai persoalan termasuk dalam kes fitnah Liwat 1 yang melibatkan timbalannya yang disingkirkan, Anwar Ibrahim. Semasa mentadbir dan memerintah Malalaysia, Mahathir tidak perlu menjelaskan banyak persoalan apalagi beliau dilindungi oleh pelbagai akta, akta yang sengaja dicipta untuk tidak bersikap telus terhadap persoalan yang berlegar didalam fikiran rakyat. Mahathir ada hak untuk tidak menjawabnya dan beliau benar-benar telah lakukannya.

Mahathir masih mendominasi politik Malaysia terutama ketika Najib dan penasihatnya, Rosmah berhadapan krisis kepercayaan. Mahathir masih dikerumuni pencacai Umno untuk meneruskan penguasaan parti itu yang kian tenat. Menonjolkan karekter penasihat tua yang kian nyanyok itu di harap boleh mengembalikan kegemilangan Umno yang gagal cemerlang dalam PRU 12 lalu. Mahathir juga cuba dijadikan penawar mujarab untuk mengubat segala penyakit Umno ketika Presiden bonekanya, tercari-cari tarikh keramat PRU ke 13 nanti.

Mahathir juga manusia biasa. Mahathir yang akan berhadapan dengan sunnah alam dan beliau akan mati. Saat beliau seperti orang lain juga akan diminta bertanggung jawab di atas segala amal diatas dunia ini. Mahathir perlu menjelaskan banyak perkara supaya soal jawab dimuka pengadilan Allah yang pasti tidak terlalu rumit untuknya. Paling perlu diingat, tiada lagi sebarang akta atau imuniti untuk melindungi beliau daripada apa yang beliau ingin lindungi.

Namun Mahathir perlu menjawab surat MB Kelantan kenapa beliau membenarkan minyak yang dijumpai diperairan Kelntan didaratkan di Songkhla, Thailand sedangkan jaraknya 227 km berbandingkan 140 km jika didaratkan di Bachok, Kelantan. Mahathir perlu memberi penjelasan yang baik supaya rakyat Kelantan dan Malaysia boleh terima dan beban beliau di mahkamah Allah lebih ringan. Beliau tidak boleh berkecil hati untuk mempertikaikan keputusan mahkamah Allah diatas tindakannya yang dilihat mendiskriminasi majoriti rakyat Kelantan yang Melayu lagi Islam. Begitu juga beliau tidak boleh marahkan jika rakyat Kelantan yang lebih 95 peratus Melayu lagi Islam jika membuat bertangapan sendiri terhadap keputusan Mahathir itu. Bolehkah beliau marah jika semua rakyat Kelantan merasakan Mahathir bertindak demikian kerana:-

1) Mahathir mendapat habuan yang banyak dengan membenarkan pendaratan emas hitam itu di Songkhla. Sebagai seorang Islam dan Melayu campuran, beliau tidak mungkin mendiskriminasi bangsa dan rakyatnya sendiri kecuali mendapat "habuan" yang besar. Jangan beliau membiarkan rakyat membuat tangapan berdosa terhadap strategi beliau yang dikira "tolol" itu. Jangan rakyat berprasangka bahawa beliua ada "perasuah" yang menjahnam Malaysia sebagai hari ini.

2) Mahathir bukan pejuang Melayu sebenar. Beliau dan salsilah keturunannya dari benua India menyebabkan beliau sanggup mendiskriminasi hak orang Melayu Islam Kelantan dan menghukum mereka hanya kerana tidak memberi sokongan kepada Umno. Maka amat tepat tindakan PM pertama Malaysia Tungku Abdul Rahman yang dapat "menghidu" niat Mahathir yang songsang itu dan memecat Mahathir daripada Umno. Tindakan yang tepat untuk menyelamatkan parti orang Melayu yang terbesar itu.

3) Mahathir gagal menjelaskan beliau sebagai seorang Islam yang baik kerana mendiskriminasi orang Melayu Islam Kelantan dan mengutamakan Songkhla, Thailand yang tidak Islam. Dimana tanggung jawab beliau sebagai ketua negara orang Islam untuk memelihara dan mengutamakan Islam apabila beliau terlalu mudah mengutamakan negara luar dan bukan Islam pula.

4) Mahathir membenci ulama dan orang Islam yang memerintah Kelantan dengan tindakan biadapnya itu.

5) Mahathir adalah pemimpin yang terlalu lemah sehingga tunduk kepada desakkan jirannya Thailand supaya mendaratkan emas hitam di negara itu.

Atau bolehkah Mahathir menahan berjuta "telahan" jahat terhadap beliau dalam kes pendaratan minyak yang sepatutnya menjadi hak rakyat Kelantan yang majoritinya Melayu lagi Islam. Mahathir perlu menjawabnya sebagai mana kata Datuk Husam Musa, sebelum beliau nyanyok atau menyelesaikannya sebelum menjadi beban dosa yang terpaksa beliu menjawabnya di mahkamah Allah. Sekian.




Wednesday, May 16, 2012

Kecelaruan fokus pemimpin negara.

Tun Mahathir menyifatkan tindakan peserta Bersih 3.0 sebagai samseng dan polis telah menjalankan tanggungjawab dengan baik. Lojik mudah beliau ialah polis perlu mengawal keadaan dan perlu bertindak, pastinya tindakan polis adalah wajar dan bertepatan. Polis tidak perlu tunggu dan dibelasah oleh samseng peserta bersih. Beliau bersetuju tindakan polis Malaysia adalah lembut berbanding kaedah kawalan anggota keselamatan setengah negara yang  terkadang mereka membunuh peserta perhimpunan sebagaimana bersih 3.0 baru lalu.

Pastinya Tun Mahathir tidak berada ditapak himpunan bersih dan segala maklumat lisan, bertulis atau bergambar adalah dari sebelah pihak. Maka adalah tepat jika Mahathir berpandangan demikian kecuali sememangnya pandangan beliau itu dengan niat  memburukkan situasi Bersih 3.0. Tindakan Mahathir terhadap Anwar misalnya, belum tentu kerana kesalahan Anwar sebagaimana difitnahnya tetapi atas niat yang beliau dan Allah sahaja yang tahu. Begitu juga terhadap himpunan Bersih 3.0, Mahathir tentu mengeluarkan kenyataan dan atas niatnya.

Menteri Besar Kelantan mewajibkan orang Pas menyertai Bersih 3.0 juga dengan niat dan pandangannya terhadap himpunan tersebut. Sekurang-kurangnya keyakinan Nik Aziz amat jelas sebagai ditulis dalam blognya,  "... Berarak berakar di Kuala Lumpur, akar ini pula bermula sebagai aktiviti keduniaan. Namun setiap aktiviti di dunia, Islam mengajarnya, pasti pengakhirannya di akhirat. Oleh sebab itu, tingkah lalu manusia perlu selari dengan prinsip agamanya  yag membolehkannya sampai ke syorga. Sama sekali ia tidak boleh selari dengan kehidupan yang menjurus ke neraka." Nik Aziz sandarkan segala aktiviti dunia kepada dosa dan pahala walaupun ianya sekadar janji dan harapan.

Peserta Bersih 3.0 yang hadir kerana diwajibkan oleh Nik Aziz amat sadar dan di pesan dengan nilai akhlak sewajar, Duduk Dan Bantah. Kerana niat barangkali Mahathir mudah menerima pelbagai gambaran daripada penentang Bersih 3.0 dan menolak selainnya. Niat dan pandangan Mahathir ini juga menyebabkan segala teori keganasan Bersih 3.0 adalah tidak benar kecuali yang datang daripada Umno dan polis. Malah beliau gagal menunjukkan penyesalan tindakan ganas dan  biadab beliau terhadap pembunuhan kejam di Memali oleh anggota keselamatan. Hingga hari ini Mahathir tidak mewajarkan tindakan beliau kecuali tuduhan melulu, bersifat samseng dan sombong. Nyata Mahathir tidak sandarkan kenyataannya kecuali kepada kesombongan dan samseng pihak penguasa.

Kalau Mahathir sedar masa beliau untuk membetul keadaan kian suntuk, beliau tidak perlu sibuk membantu Umno memusnahkan negara. Tuduhan Mahathir bahawa rasuah dalam Umno terlalu parah ketika merajuk dengan kepimpinan Abdullah Badawi, maka bagaimana beliau boleh aman dengan rasuah yang melampau dizaman Najib. Kita amat bimbang bahawa sejarah 22 tahun Mahathir sebagai Perdana Menteri akan terpahat sebagai sejarah paling durjana dalam negara dan kerakusan Umno dan elit mereka menzalimi khazanah negara akan membawa kemusnahan total.

Maka rakyat yang bimbang menganjurkan Bersih 3.0 supaya kecelaruan SPR dan kecelaruan fokus pemimpin negara yang dikembiri sifat amanah mereka boleh diperbetulkan. Saya tidak suka menyalahkan tindakan ganas polis atau kedegilan peserta Bersih 3.0 kerana segalanya bermula di sini: Umno sudah tidak releven.




Tuesday, May 8, 2012

Bersih itu Haram

Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan kenyataan HARAM menyertai himpunan Bersih 3. Sarjana yang menganggotai Majlis Fatwa Kebangsaan mengambil kesepakatan bahawa himpunan yang disertai lebih 300 ribu orang itu haram. Menteri Besar Kelantan yang mewajibkan oanggota Pas menyertai bersih telah menganjurkan anggota partinya membuat kemungkaran, mewajibkan anggotanya melakukan sesuatu yang haram. Ulama-ulama dalam Pas dan Keadilan (jika ada) menikus berkenaan pengharaman oleh majlis fatwa berkenaan. Hanya TGNAZ merasakan anggota Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia melihat persoalan Bersih 3.0 dengan sebelah mata dan menggunakan cermin mata yang kabur. Nurl Izzah Anwar mengemukakan 6 persoalan kepada majlis fatwa berkenaan untuk diperhalusi buat dikeluarkan kenyataan.

Autoriti Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia sesungguhnya tidak perlu dipertikaikan dari sudut perkhidmatan sebagai satu badan yang bertanggungjawab bagi pihak kerajaan Barisan Nasional /Umno untuk meleraikan sebarang kekusutan permasalahan umat Islam di Malaysia. Timbalan Presiden Pas, Haji Mohamad Sabu selalu sinis ketika membuat komen terjadap majlis fatwa berkenaan. Begitu juga dengan anggota pembangkang, yang merasakan majlis itu merupakan terompah kayu Umno untuk ke jamban. Jadinya fatwa yang dikeluarkan oleh majlis yang begitu berautoriti kelihatan hilang wibawa. Dalam kes perdana Menteri menghadiri majlis perayaan agama Hindu atau bertafakur di Tugu Peringatan Negara, menampakkan "air liur" majlis fatwa tidak masin. Fatwa-fatwa yang dikemukakan jarang diikuti hatta oleh pemimpin kerajaan sehndiri.

Bukan tujuan tulisan ini untuk mempertikaikan autoriti Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia untuk terus mengemukakan fatwa. Malah kerana keyakinan kita terhadap majlis itu maka kita berharap pengharaman Bersih 3 dan lain-lain himpunan yang dirasakan oleh Umno sebagai haram diperkukuhkan dengan fatwa-fatwa terhadap isu berkaitan.

1) Apakah fatwa majlis terhadap SPR yang dipertikaikan ketelusan, keadilan dan penyalahgunaan amanah yang diberi kepada mereka dalam melaksanakan pilihan raya Malaysia yang betul-betul bersih. Dakwaan dan penemuan penyelewengan yang nyata dilakukan oleh SPR tidak pernah diselesaikan dan tuntutan Bersih tidak pernah diberi perhatian. Dimana pendirian majlis fatwa dalam isu ini kerana ianya bukan desakan pihak parti yang memerintah.

2) Kerajaan Malaysia dengan sebab penipuan licik SPR membolehkan kerajaan dipimpin oleh pemimpin yang korup, rasuah, mengutamakan fitnah, meninggalkan hukum Allah dan mengutamakan kepentingan parti pemerintah walau bercanggah dengan agama, maka apakah kerajaan berkenaan bukan kerajaan haram, dan petut dikelurkan fatwa berkenaan haramnya kerajaan sedemikian.

3) Apakah pula fatwa terhadap Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri yang mengetahui akan segala bentukan penyelewengan oleh kerajaan dan SPR tetapi gagal mengeluarkan fatwa terhadapnya. Begitu juga majlis perlu berfatwa terhadap kelengahan badan berautori itu dalam mengemukakan fatwa-fatwa (banyak sangat fatwa terutama apabila diminta oleh Umno) sehingga menimbulkan suasana gelisah dikalangan umat Islam. Jangan sampai umat Islam lebih mempertikaikan kewibawaan dan menolak fatwa oleh majlis.

Banyak yang majlis fatwa perlu membuat fatwa tetapi biarlah fatwa itu mampu menampakkan majlis tidak memihak. Seperti badan kehakiman,SPRM, SPR, Peguam Negara, atau  Polis Diraja Malaysia yang kian tersasar, maka jangan pula Majlis Fatwa Kebangsaan bersama dalam kelompak itu. Kita tidak pernah mempertikaikan ilmu ahlis majlis tetapi sebagai individu, anggota majlis mempunyai kecenderungan bukan dari ilmu.




Friday, April 13, 2012

Bangkrap pikiran.

Hutang negara sudah hampir RM500 billion. Pemimpin BN/Umno sudah diberi peringatan bahawa negara berada diambang bangkrap. Idris Jala pernah mengejutkan khalayak dengan kenyatan berkenaan. Pemimpin Umno/BN bersikeras menafikan bahawa negara akan bangkrap. Peringatan pemimpin pembangkang terutamanya menjadi bahan sendaan. Mereka tidak pernah memimpin sebuah negara mana tahu sifir kebangkrapan sebuah negara yang kaya hasil bumi seperti Malaysia.

Pemimpin Umno/BN juga boros berbelanja dan mempamirkan hidup mewah dan bermewah-mewah. Kuasa beli rakyat kian merudum namun pemimpin masih berbanga dengan rekod pemerintahan Umno/BN yang dikatakan terbaik. Mereka adalah arkitek pembangunan negara sejak lebih 50 tahun merdeka.

Hari ini Pakatan Rakyat mengemukakan pelan kebajikan jika mereka memerintah. Negara berkebajikan dan Buku Jingga. Pemimpin Umno gelisah, mana mungkin melaksanakan pelan Buku Jingga dan Negara Berkebajikan - Pas, Dap dan Keadilan, negara akan BANGKRAP. Pulak dah. Anwar bekas Menteri Kewangan Malaysia yang bersama merangka Buku Jingga, dinafikan kemampuannya memikirkan pelan ekonomi terbaik untuk Malaysia. Terbaik tetap Umno/BN yang mencari setiap kesempatan mengikis kekayaan negara. Jika keluarga Shahrizat mendapat RM250 juta, rakyat tidak akan tahu bagaimana dan apa yang Nazri Aziz dapat. Rakyat hanya mendapat maklumat anak remaja beliau mampu memiliki kereta mewah dan siap dengan pengawal peribadi. Kalau Jamil Khir yang reti agama mampu memiliki rumah berharga berjuta ringgit, kita tidak dapat bayangkan keluarga Anifah Aman dan Musa Aman yang dipertikaikan cara pemerolehan harta dan kekayaan mereka.

Budak-budak yang belajar di institusi pengajian tinggi perlu dikenakan pinjaman -PTPTN. Pinjaman dan siap dengan bunganya sekali. Yang liat bayar disenarai hitam dan dihalang keluar negara. Hutang daripada pelajar dituntut jingga kelubang cacing. Pemimpin Umno/BN menegaskan, PTPTN jika dihapuskan negara akan bangkrap.

Pemimpin Umno/BN sentiasa senada. Juak-juak pemimpin menjadi risau dengan cadangan Pakatan untuk menghapuskan PTPTN. Negara akan bangkrap. Pinjaman pelajar diperbesarkan daripada sekitar RM25 billion kepada RM41 billion. Tanya Najib kenapa beliau tidak mampu mengemukakan jumlah hutan pelajar yang lebih tepat dan cuba memperbesarkannya. Jika bermurah hati dengan pelajar negara akan bangkrap. Bagaikan Najib terlupa SATU rakan baiknya Razak Baginda yang mendapat mendapat keuntungan RM500 juta dalam satu urusan pempelian peralatan keselamatan negara. Berapa orang rakan baik Najib dan Rosmah. Mana rakyat tau.

Kesian budak cerdik yang belajar diinstitusi pengajian tinggi. Tak ramai yang mendapat biasiswa. Rata-rata ditawarkan pinjaman dan orang miskin perlu berterima kasih kerana pinjaman anak mereka dangan bunga yang relatif tinggi. Pemimpin Umno/BN merasakan rakyat perlu menyokong Umno/BN kerana kebaikan kerajaan mengenakan pinjaman dengan kadar bunga tersebut. Tegasnya diatas pengorbanan dan beban hutang anak mereka, rakyat perlu berterima kasih kepada Umno. MELAMPAU.

Kita tidak cemburu dengan budak penagih dadah yang menghuni pusat serenti seluruh negara. Berapa ramai mereka dan berapa bilangan pusat pemulihan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan tidak kita ketahui. Setiap pelatih menghuni pusat pemulihan selama 2 tahun. Katakan perbelanjaan setiap pelatih selamat 2 tahun lebih kurang RM 18,000.00. Apakah mereka juga perlu membayar kembali yuran kursus dipusat serenti dan berapa pulak bunganya. Berapa billion pula kerajaan telah berbelanja untuk memulihkan dan mengembalikan mereka kepangkuan masyarakat. Kita tidak merasa bajet kerajaan untuk memulihkan mereka boleh menyebabkan negara bangkrap.

Pelajar sesungguhnya golongan yang cerdik dan bukan penagih dadah yang emosi mereka kurang mantap. Pelajar amat memahami hak mereka untuk merencana sebuah kerajaan yang baik dan berjaya. Kejayaan Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor sepatutnya telah membuka persepsi yang lebih kondusif untuk membolehkan rakyat membuat pilihan. PRU ke 13 adalah yang terbaik untuk mengubahkan segalanya. Membiarkan negara dikuasai oleh kelompok perasuah mempercepatkan negara kita bangkrup dan membelanjakan dan mkenguruskan kewangan dengan berhemat adalah terbaik menyelamatkan Malaysia. Kita perlu memberi peluang kepada mereka yang lebih beramanah dan reti konsep dosa dan pahala. Rakyat akan mendapat banyak kebaikan daripadanya.

Saturday, March 17, 2012

Pengkhianat

Raja Petra Kamarudin mendakwa Anwar sebagai pengecut kerana enggan berdepan dengannya dalam satu forum di Kent, England. Bekas penyokong tegar Anwar dan penggerak roformasi itu turut melemparkan pelbagai tuduhan berat terhadap Anwar ketika ketua pembangkang itu masih dalam kerajaan. Pusingan "U" oleh Raja Petra menyebabkan perubahan tidak pernah dijangka, segala tentang Anwar adalah buruk dan hodoh.

Raja Petra bukan seorang penggertak utama "reformasi" tetapi beliau sebenarnya digerakkan oleh "reformasi" menyokong Anwar. Siapa Raja Petra untuk menjadi terkenal jika tidak disokong oleh penyokong "reformasi" yang berjuang menentang dominasi tirani elit politik Umno. Jika pun tidak sama, Raja Petra ialah Hassan Ali yang diangkat oleh penyokong Pas sehingga beliau boleh berbangga dengan puluhan ribu mendengar ceramahnya.

Malang sekali jika kini Hassan Ali cuba mencapai kegemilangan dihadapan khalayak bersama "sangkar" barunya, ianya sesuatu kemungkinan yang mustahil. Begitu Raja Petra yang diangkat oleh penyokong reformasi, berpaling menentang Anwar adalah zaman suram Raja Petra. Tubuh badan Raja Petra bukan dilahirkan untuk menjadi terkenal kecuali terpaksa berteduh pada rimbunan orang lain.

Ketua pembangkang yang berkarisma itu bukan hina untuk menjadi ahli penal bersama mana-mana tokoh termasuk Raja Petra. Ular yang menyusur akal tidak bakal hilang bisanya, tetapi untuk bersama pengkhianat yang tidak mempunyai prinsip perjuangan dalam satu forum adalah sikap "pelacur". Haji Hadi pun belum tentu suka bersama Hassan Ali dalam mana-mana forum kerana pengkhianatan yang dilakukan kepada perjuangan. Kiasnya mudah, Islam memberi pilihan "kembali" atau "bunuh" kepada sesiapa yang murtad walaupun bersikap terbuka kepada bukan Islam. Maka apakah status Raja Petra kepada Anwar dan perjuangan Pakatan Rakyat.

Raja Petera boleh bertempik betapa jaguhnya beliau dan betapa ayam betinanya Anwar, tetapi jika seorang pejuang yang sebenar tidak akan mengutamakan perut dan syahwat lebih daripada matlamat perjuangan. Ramai yang suka tengok siapa sebenarnya anak raja itu dalam perjuangan. Mungkin orang mula percaya yang anak raja itu sudah kekeringan fulus yang bermewah-mewah di luar negara sebagaimana digambarkan oleh media utama Umno suatu ketika dulu.

Wednesday, February 29, 2012

Pendirian

Mahathir bercakap kepada khalayak disebuah Universiti di Malaysia. Bekas perdana Menteri yang dianggap paling bijak itu cuba membuat penampilan yang terlebih bijak. Kita tidak tahu apa tujuan sebenarnya pengajur meminta pandangan bekas Perdana Menteri itu terutama berkaitan dengan soal hukum dan agama Islam. Barangkali dalam bidang perubatan sendiri, tidak ramai yang yakin dengan cadangan Mahathir walaupun beliau benar-benar bekas pengamal perubatan.

Mahathir diminta memberi komen berkenaan keghairahan negeri-negeri yang dikuasai pembangkang yang terjerat dengan persoalan Islam dan hukum hudud, khususnya Kelantan. Penyoal bagaikan belum mengenali Mahathir yang pernah menulis surat kepada Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz supaya hudud tidak dilaksanakan di Kelantan. Begitu juga terlalu banyak komen Mahathir terdahulu yang mempertikaikan hudud dan keadilan hukum dari Quran itu.

Terbaru Mahathir menolak kewujudan hudud sebagai hukum dari Quran. Makanya Mahathir bersikap lebih bijak daripada ulama-ulama fiqah yang bersepakat bahawa hudud merupakan hukum Allah dan terdapat dalam al Quran. Mahathir yang mengakui bahawa beliau tidak mengerti bahasa Quran berani mempertikaikan pendapat ulama mujtahid yang memahami dan amat alim dalam bahasa itu. Itulah kelebihan Mahathir, berani mempersoalkan hukum Islam walaupun beliau sendiri belum tentu benar-benar faham dengan Quran dan agamanya, Islam.

Mahathir berpendapat melalui contoh-contohnya bahawa hukum hudud tidak dapat memberi keadilan kepada penganut Islam dan bukan Islam. Maka hudud adalah bukan daripada Islam dan tiada dalam Quran. Mahathir lebih berkeyakinan bahawa hukum-hukum yang dibuat oleh manusia yang pakar pasti mengatasi hukum hudud dari sudut keadilannya. Misalnya, dalam kes manipulasi sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia, Mahathir berpendapat ianya dapat memberi keadilan terutama kepada musuh politiknya, walaupun ianya satu eksploitasi kuasa keatas musuhnya yang lemah.

Mahathir telah melampaui batas pendapat umum orang Umno Islam yang mengatakan bahawa hudud tidak wajar dilaksanakan di Malaysia kerana pelbagai alasan dan tidak pernah seberani Mahathir untuk mengatakan hudud tiada dalam Quran. Bukankah kenyataan Mahathir terkini berkenaan hudud adalah kenyataan sebenar beliau setelah dulunyam kenyataan yang dibuat agak berlapik? Kita tidak tahu tahap yang membolehkan seseorang itu dikelaskan sebagai menghina Islam? Atau Mahathir sudah tidak layak untuk diberi perhatian kerana sudah terlalu tua kalau tidakpun semasa bergerak dan memimpin Umno dan BN, Mahathir sentiasa memperalatkan Islam untuk berkuasa tetapi terlalu geli dengan pendagan Quran dan Islam. Kalau tidak masakan pelbagai tindakan beliau menunjukkan kecenderungan sedemikian.

Terima kasih Mahathir kerana tuan berani menjelaskan pendirian sebenar terhadap Islam.


Friday, February 3, 2012

Siapa Tipu Rakyat Kelantan/Malaysia?

Cukuplah Kelantan di tipu oleh Pas. Amanat TPM Muhyiddin Yassin kepada rakyat Kelantan ketika PRU ke 13 kian hampir. Sebagai orang politik, TPM berasal dari Johor yang tidak pernah tertipu oleh Pas. Johor negeri tempat Umno bertelur, menetas, membesar, dewasa dan mungkin mati disana.

TPM dengan kenyataannya boleh difahamai sebagai:-

1) Orang Kelantan bodoh dan senang ditipu dan diperkudakan oleh Pas. Bangangnya orang Kelantan, berpuluh tahun ditipu oleh Pas masih selesa dengan penipuan itu.

2) Pas parti yang menipu rakyat Kelantan makanya parti itu diketuai oleh segerombolan para penipu yang kini diketuai oleh Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Amnya, Haji Abdul Hadi Awang ssebagai Presidennya dan sejumlah ulama dan profesional dari pelbagai bidang yang menerajui pertubuhan penipu itu.

3) Pas yang menipu menggunakan Islam sebagai wadah penipuan, maka TPM merasakan bahawa agama Islam telah dieksploitasi oleh Pas, sebuah organisasi politik yang sah disisi perlembagaan Malaysia melaksanakan missi penipuan bersandarkan agama Islam, agama bagi persekutuan.

4) Kononnya jika Pas yang dipimpin oleh Ulama dan profesional yang komitted dengan Islam menjadi glombolan penipu, apa pula status UMNO dan Barisan Nasional yang terlibat dengan segala penipuan dan penyalahgunaan kuasa dan telahpun disahkan oleh pelbagai Mahkamah. Malah Umno pernah menjadi pertubuhan haram yang dihidupkan oleh gerombolan penipu dan pemfitnah.

5) Tpm sepatutnya memperkemaskan Umno yang begitu sendat dengan keburukan dan kejelekan. Kes NFC, keborosan Rosmah, fitnah ke atas Anwar, kes zakat oleh Menteri yang jaga agama, dan lain-lain yang tidak termampu disenaraikan supaya Umno dan BN tidak tersungkur dalam PRU ke 13 nanti.

Nampaknya yang bakal menjadi PM Malaysia yang seorang ni juga tidak boleh diiktiraf sebagai layak memimpin. Kenyataannya selalu ngawur dan "gelecoh". InsyaAllah Malaysia diselamatkan oleh pemimpin yang amanah dan taqwa.

Thursday, January 26, 2012

HARTA

Penjawat Awam dikehandaki mengistiharkan harta. Menteri-menteri Umno/BN sepatutnya menjadi teladan mengistiharkan harta. Exco-exco kerajaan Pulau Pinang yang dikendalikan oleh Pakatan Rakyat telahpun mengistiharkan harta. Ramai yang ternganga melihat harta depa. Relatifnya, reta mereka amatlah banyak berbanding reta penjawat awam kecuali kepada beberapa orang di bawah skim SBPA yang banyak mengundang kontrversi itu.

Kesedian Tok Guru Nik Aziz Menteri Besar Kelantan untuk mengistiharkan harta jika peraturan menghendaki beliau berbuat demikian menakjubkan. Berapa banyak harta Tok Guru tua yang menjadi Menteri Besar lebih 20 tahun itu. Barua Umno ada yang mencabar Tok Guru tua itu mengistiharkan harta dengan harapan beliau keberatan . Congak orang Umno, tentu Tok Guru tua MB itu pasti banyak harta. Timbang taranya ialah pendapatan orang politik Umno sendiri. Jika Pengerusi JKKK atau Ketua Bahagian ada yang memiliki harta berjuta ringgit tentunya Nik Abdul Aziz sebagai MB lebih lumayan.

Lebih menakjubkan ialah kenyataan Menteri Umno yang bernama Nazri Abdul Aziz. Menteri-menteri mengelak mengistiharkan harta kerana takut "bahaya" bakal menimpa. Pendapat kurang cerdik seorang Menteri dan konteks bahaya yang dimaksudkan menjadi tanda tanya. Sekiranya Nazri melihat dari sudut keselamatan diri atau keluarga, bodoh sangat rakyat Malaysia tidak tahu Menteri dan kerabatnya rata-rata berstatus jutawan. Beberapa kejadian menunjukkan para penyangak tahu benar kekayaan mereka. Mungkin penyangak di Malaysia belum setaraf mafia antarabangsa untuk menyebabkan Nazri melihat bahaya dalam konteks keselamatan diri atau keluarga. Nazri sebagai Menteri yang mempunyai tahap kawalan keselamatan yang lebih baik daripadan jutawan yang tidak bertaraf menteri tidak perlu menjadikan keselamatan sebagai "bahaya" yang perlu dibimbangi.

"Bahaya" sebenar ialah ketidakmampuan Menteri untuk mewajarkan kekayaan adalah milik mereka secarah sah dan wajar kepada rakyat. Kini bukan lagi rahsia atau tuduhan tanpa asas jika kerabat menteri yang berbelanja ratusan ribu di luar negara. Terbaru Rosmah bini PM Najib sebagai didedah oleh Sydney Morning Herald berbelanja lebih RM325,000 disebuah butik di Sydney. Rosmah masih mempunyai ruang untuk menafikan selagi lakinya tidak mengistiharkan harta. Begitu dalam kes cincin Rm24 juta, Rosmah mampu menyembunyikannya dengan pelbagai kenyataan lojik atau tidak kerana harta suaminya sebagai Perdana Menteri tidak diistiharkan. Ruang bagi para menteri dan kerabat menafikan pemilikan harta yang luar jangka masih ada bila berhadapan dengan rakyat.

Rakyat mudah memahami siapakah pemimpin mereka kerana sanggup mengistiharkan harta. Puak Menteri Umno/BN perlu membina tembok untuk menghalang rakyat memahami segala realiti kehidupan dan harta mereka. Tembok ini makin hebat jika semakin tinggi dan asing daripada rakyat jelata. Umno dan pemimpin BN selamanya mewarisi tembok feudal yang diwarisi dan pengistiharan harta adalah meroboh sebahagian dinding tembok yang selamanya dipertahankan. Nazri makin menjelaskan bahawa sememangnya Umno/BN adalah "elit" yang sengaja dibentuk untuk memisahkan daripada rakyat. Mereka perlu mempunyai seribu wajar untuk sesekali menjenguk rakyat jelata. Mereka amat memerlukan sokongan rakyat untuk meperkukuhkan tembok feudal yang mereka warisi dan miliki.

Kita tidak suka melibatkan Pakatan rakyat dalam krisis perjuangan kelas, namun Umno adalah satu kelas yang dibina oleh British dan amat tidak sesuai untuk sebuah Malaysia yang majmuk. Umno /BN adalah elit yang terlalu licik untuk melondeh keburukan musuhnya dalam kes pengistiharan harta serta selamanya membayangkan bahawa mereka cukup terbuka dan telus. Sayangnya rakyat sudah faham dan Pakatan Rakyat berbangga dengan DAP dan kesediaan Tok Guru Tua Nik Aziz untuk mengistiharkan harta.

Saturday, January 14, 2012

Kerana Masa

Najib berbangga dengan prestasinya merangka dan mengerakkan transformasi 1 Malaysia. Di Perak kekaguman beliau terhadap prestasi 3 tahun sebagai Perdana Menteri menyebabkan beliau meminta mandat rakyat untuk memerintah 5 tahun lagi. Beliau berharap untuk menjadi PM dan menguasai Putrajaya selepas PRU ke 13 nanti.

Barangkali rakyat/pengundi boleh memikirkan mandat untuk beliau setelah menilai beberapa perkara:-

1) Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah lebih kurang 2 tahun 6 bulan. Sejarah mencatatkan kehebatan beliau sebagai khalifah Islam dan meletakkan sebagai khalifah Islam kelima selepas Abu Bakar, Umar, Othman, dan Ali. Umar Abdul Aziz yang adil itu diracun oleh kaum keluarganya sendiri. Umar Abdul Aziz menangis siang dan malam memikirkan apakah soalan yang akan ditanya oleh tuhannya selama memerintah.

2) Husni Mubarak memerintah Mesir moden lebih daripada 30 tahun. Beliau diberi kepercayaan oleh rakyat Mesir begitu lama. Beliau berjaya mengumpul kekayaan lebih daripada AS60 billion dollar. Ketika rakyat Mesir menjerit supaya beliau berundur, Mubarak cuba bertahan dengan janji melakukan transformasi. Beliau digulingkan dan dibicarakan kerana salah guna kuasa.

3) Tok Guru Menteri Besar Kelantan diberi mandat oleh partinya Pas memerintah Kelantan lebih daripada 20 tahun. Umno terlalu kecewa dan cemburu dengan kegigihan orang tua itu. Beliau selamanya disayangi dan dihormati oleh rakyat Kelantan. Beliau bercadang untuk bertanding sehingga akhir hayat atau selagi dikehendaki oleh rakyat Kelantan. Rakyat Kelantan dan orang Pas masih memerlukan khidmatnya walaupun Umno kecewa dengan situasi berkenaan. Rakyat belum dengar Tok Guru tenggelam dengan kemewahan dan salah guna kuasa. Tok Guru keluarganya hidup amat sederhana.

4) Rakyat belum tentu memikirkan Najib mampu berbuat seperti Nik Aziz. Najib dengan Nik Aziz bagaikan bumi dengan langit. Terlalu kontras. Rosmah tidak sama dengan Tuan Sabariah. Anak-anak Najib amat berbeza dengan anak-anak Nik Aziz. Kalau Rosmah sanggup beli cincin berlian RM24 juta, apa yang Tuan Sabariah fikir dengan duit sebanyak itu. Kalau Nik Aziz makan nasi bungkus berharga RM3.00, rakyat belum tentu yakin Najib mampu dan sanggup berbuat demikian.

5) Apakah Perdana Menteri anak bekas Perdana Menteri Malaysia ke 2 itu mengerti erti kesengsaraan rakyat hanya dengan mempamirkan sikap mesra rakyat, walaupun dalam keadaan terlalu asing dan rimas. Maka apakah makna masa yang lama untuk Najib sebagai perdana Menteri kepada rakyat Malaysia jika Najib tidak mampu menyekat tabiat boros bininya, Rosmah.

Agaknya kemana hala tuju Najib dengan masa pemerintahan yang lama, adakah cenderung menjadi Umar Abdul Aziz atau Hosni Mubarak. Untuk jadi seperti Nik Aziz tentu beliau tidak sanggup kerana MB Kelantan itu seteru politiknya. Mari pakat pikir kerana jika pun tiada Najib dan tiada Umno/Barisan Nasional, takkan mentari tidak akan terbit pagi.

Monday, January 9, 2012

2 Keputusan yang bijak.

Dua keputusan yang tepat telah dibuat dalam negara kita Malaysia:-

1) Keputusan Pas memecat Dr Hassan Mohd Ali daripada parti itu. Kepimpinan bertindak tepat dan berhati hati. Tempoh masa yang panjang telah diberi kepada Hassan Ali untuk membetulkan keadaan. Hassan Ali dilihat menongkah arus dan merasa dirinya bertindak betul dan terlalu cerdik. Hassan melawan Anggota Syura Ulamak yang sentiasa mengawal dan mengawasi pergerakan parti dan selalu membuat keputusan berdasarkan kesepakan berpandukan al Quran dan Hadith. Hassan Ali dan ulasan terbaru pemecatan menyandarkan kepada kecerdikan dan tokoh beliau sebagai profesional yang ada PHD.

Penyakit Hassan Ali dengan Phdnya itu jika wujud dalam umat Islam terdahulu maka kita tentunya tidak akan ketemu dengan al Khawarizmi, atau al Farabi, atau Ibn Khuldun, Ibnu Sina dan lain-lainya. Iman al Ghazali berjaya mengarang kita Ihya Ulumuddin kerana beliau tidak memiliki Phd macam Hassan Ali. Jika Iman Ghazali terperangkap dengan kemegahan dan berbangga dengan diri sendiri seperti Hassan Ali kerana Phdnya itu, maka anda boleh fikirkan dimana Ihya Ulumuddin oleh al Ghazali jika pada masa itu sudah ada penyakit Phd dan al Ghazali dendiri ada Phd. (bukan lagi Penyakit Hasad Dengki).

Tahniah TGNAZ dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Pas kerana bertindak tepat.

2) Pembebasan Anwar Ibrahim daripada tuduhan dan konspirasi Fitnah Liwat II. Kita melihat keputusan ini bukan dibuat kerana kebijaksanan Hakim Zahidin Mat Diah, tetapi ketakutan beliau untuk meletakkan dirinya dalam situasi "kebodohan" dan "kejahatan" yang melampau. Kebijaksanannya sebagai yang arif mungkin tidak dipertikaikan jika beliau membebaskan dan melepaskan Anwar sejak dari mula kes dibawa kehadapan beliau. Walau apapun beliau membuat satu keputusan yang bijak walaupun pahati untuk dirinya.

Apapun rakyat Malaysia perlu membuat keputusan yang lebih baik dengan menolak Umno dan Barisan Nasional dalam PRU ke 13 nanti. Sama-sama kita tunggu dan buktikan rakyat Malaysia bukannya mudah ditipu dan digula-gulakan oleh pentadbiran Najib/Rosmah. Rakyat Malaysia perlu mencontohi keputusan yang dibuat oleh hakim Zahidin Mat Diah(dalam ke Liwat II Anwar) dan Pas(dalam kes Hassan Ali).

Ustaz Nasharuddin Mat Isa lebih bijaksana dan terima kasih Ustaz. Kami perlu orang macam Ustaz dan Pas.