Wednesday, January 27, 2010

Pasir

Banyak perkara misteri di sebalik tembok kepimpinan negara. Sumpah menjaga rahsia negara tersimpul dan terbungkus kemas dalam lipatan pengetahuan pemimpin yang silih berganti. Maklumlah yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti. Lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, sudah 6 Perdana Menteri menerajui Malaysia. Ada antara mereka membawa rahsia negara kepusara mereka. 2 bekas PM masih hidup bersama kita dan Tun Abdullah seperti selalu, beliau tidak gemar bercakap. Beliau meninggalkan Putrajaya dengan 1001 rahsia yang tersimpan kukuh dalam lipatan sanubarinya.

Berbeza dengan Tun Mahathir yang mengetahui dan menyimpan terlalu banyak rahsia negara terkadang gagal mengawal emosi ketika melihat kepincangan pentadbiran dan pengurusan negara. Sesekali beliau yang tersasul pasti memberi impak kepada pemimpin terkini, Najib.

Peristiwa penyeludupan pasir yang kini menjadi agenda utama SPRM menyerang Kerajaan Pakatan di Selangor bukan perkara baru. Sebelumnya Tun Mahathir ada menyebut lebih 500 buah lori pasir menyeberag Selat Teberau setiap hari. Maklumat daripada kawannya mengatakan ianya 700 buah. Biar berapapun Tun Mahathir seakan mempercayainya.

Biarkanlah kerana ianya bukan cerita baru. Mungkin TPM, Muhyidin Yasin tahu hakikat sebenarnya di sebalik kes penghantaran pasir tersebut. Atau Syed Hamid yang telah meninggalkan kabinet sejak zaman Tun Mahathir juga ada rahsianya sendiri.

Persoalannya, apakah pemungahan pasir ke luar Malaysia fenomena baru dan tidak pernah berlaku di zaman Tun Mahathir. Kalau berlaku kenapa rakyat tidak mengetahui sebarang tindakan untuk menghalangnya. Barangkali kecekapan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, telah menjadikan Malaysia cukup mewah untuk memperdagangkan hasil buminya. Pemunggahan pasir tidak berlaku dizamannya. Apapun rakyat gagal diyakinikan dengan warisan terkini tiada kaitan langsung dengan zaman silam Tun Mahathir yang gemilang.

Apakah Najib juga akan gagal menyelamatkan Malaysia daripada warisan yang merosakkan itu setelah Tun Abdullah gagal melaksanakannya dengan baik?

Rakyat juga gagal diyakinkan bahawa Tun Mahathir benar-benar naif untuk memahami kecelaruan masa kini adalah kerana kegagalan para pemimpin selepasnya memisahkan diri daripada kejelekan yang terbina sekian lama di bawah pemerintahan Tun Mahathir. Begitu juga rakyat tidak mungkin yakin beliau tidak faham erti royalti dan wang ihsan yang suatu ketika membelit pemerintahan Pas di Terengganu dan kini mula menular ke Kelantan. Banyak sangat untuk membilang kecelauran masa kini dan menghubungkannya dengan Tun Mahathir.

Kenyataan yang patut kita renungi ialah sudah tinggal berapa kerat pemimpin Umno seperti Tengku Razaleigh Hamzah masih tinggal dalam parti yang kian reput itu. Jika sudah tidak terlalu ramai apalagi yang dapat diharapkan dari parti itu. Ucapkanlah selamat tinggal kepada UMNO.

No comments: