Sunday, October 4, 2009

Bila Nik Aziz akan berundur?

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sememangnya seorang tua. Orang biasa seusianya lebih selesa di rumah ditemani cucu-cicit. Apalagi jika yang berharta, anak cucu mula berkira apa yang bakal menjadi miliknya daripada harta orang seusianya. Barangkali belum ada anak cucu yang sanggup berdoa untuk kematian orang tua sepertinya kerana harta yang bakal diwarisi. Begitu juga MB Kelantan itu cukup sihat untuk diminta supaya berundur, apalagi untuk melihat kematiannya.

Tetapi itulah yang diminta oleh musuh politik MB Kelantan itu. Ibrahim Ali menjadi begitu galak untuk melihat Nik Aziz berundur. Begitu juga Tun Mahathir, beliau merasakan Nik Aziz sudah terlalu lama dalam bidang politik dan menjadi MB Kelantan. Tun Mahathir sendiri berhenti setelah lebih 22 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia. Beliau tentunya merasakan lebih berhemah daripada Nik Abdul Aziz yang dirasakan terlalu liat untuk meninggalkan kerusi MB Kelantan itu walaupun tiada pembangunan yang dapat Nik Abdul Aziz buat?

Bukan sahaja Tun Mahathir, malah ada yang mengatakan kepimpinan Nik Abdul Aziz di Kelantan bagaikan makan gagi buta. Kedegilan Nik Aziz bukan begitu ketara jika disoroti satu persatu peristiwa yang direka oleh musuh politiknya untuk melihat beliau berundur. Malah ada yang merasakan mereka cukup berwibawa dan lebih berkemampuan mencorak hala tuju yang lebih gemilang bagi negeri Kelantan . Tanpa segan silu mereka mempromosi untuk jawatan MB Kelantan tapi rakyat masih menaruh kepercayaan kepada orang tua itu menjadi MB Kelantan. Dr Awang Adik dan Anuar Musa mungkin orang paling gembira jika dalam pilihan raya lalu Nik Aziz tidak bertanding, dan jika boleh ramai yang akan solat hajat supaya MB Kelantan itu berundur daripada arena politik.

Berbeza daripada Tun Mahathir yang insaf bahawa beliau mula ditolak oleh orang Umno sendiri selain pasti ditolak oleh semua penyokong pembangkang. Mahathir berundur adalah kena pada masa kerana jika tidak, Umno/BN bakal kehilangan hak memerintah Malaysia.

Persoalannya kenapa Nik Aziz mesti meletakkan jawatan. Teruk sangatkah pembangunan di Kelantan. Miskinkah rakyat negeri Kelantan. Mana stadium yang runtuh kerana salah urus Nik Aziz. Mana Kolam renang yang bocor kerana kecuaiannya. Mana masjid yang runtuh menaranya kerana kurang kawal sela beliau. Mana menara pusat telekomunikasi yang tumbang kerana rasuah beliau.

Rakyat yang tahu bersyukur akan bverbangga dengan MB tua yang jujur itu. lebih 18 tahun mengurus kelantan dengan sekatan dan tekanan daripada kerajaan pusat yang bagaikan berseteru dengan beliau, Kelantan tidak terlalu mundur berbanding dengan Terengganu atau Sabah dan Sarawak yang dikuasai oleh BN/Umno. Jikalah Kerajaan Pusat bertindak tidak diperintah oleh manusia yang bodoh sombong, tentu royalti minyak dan gas sudah menjadi milik rakyat Kelantan. Kerana bodoh sombongnyalah orang tertentu dalam Umno/BN merasakan Nik Aziz perlu letak jawatan sebagai MB Kelantan kerana dikatakan sudah terlalu tua.

Rakyat Kelantan bukan terlalu jumud dan tertutup. Rakyat Kelantan bersikap terbuka dan gemar merantau keluar. Lihat bila menjelang hari kebesaran, berduyun-duyun rakyat Kelantan akan pulang . Adakah rakyat Kelantan terlalu kedaerahan dan tidak dapat membandingkan Kelantan dengan negeri-negeri lain yang pernah mereka lawat dan diperintah oleh Umno/BN. Jika rakyat negeri lain bertandang ke Kelantan, apakah mereka merasakan rakyat Kelantan terlalu jakun kerana diperintah oleh Pas.

Supaya lebih adil, anda boleh membuat satu tinjaun mudah. Berapa gerai menjual daging disepanjang jalan dari Kuala Terengganu ke Bandar Jertih dan berapa pula gerai daging dari Jertih ke Pasir Putih di Kelantan. Jika anda ke Kota Bharu, berapa pusat membeli belah yang sentiasa sendat dengan pengunjung dan bandaingkan dengan kesepian di Kuala Terengganu. Malah ada cakap-cakap yang mengatakan Tesco Kota Bharu mencatat jualan tunai tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain.

Soalnya saya bukan orang Kelantan untuk berbangga dengan keharmonian negeri itu, tetapi membuat tuduhan bodoh terhadap Tok Guru Nik Aziz dan meletakkan kesalahan dan kejahatan pemimpin BN/Umno ke tas bahu orang tua yang jujur itu suatu yang amat celaka. Nik Aziz patut meletakkan jawatannya sebagai MB jika beliau tidak mampu menyampaikan kuliah mingguannya yang berupaya mendidik rakyat Kelantan dengan budaya yang begitu indah dan menarik.

Semoga pemerintahan Tok Guru mendapat keberkatan Allah jua.

No comments: