Ramai yang pernah melihat hukuman rotan dijalankan ke atas pesalah sivil. Pakar akan merotan dengan tepat dan pada tempat yang ditentukan. Ada ahli perubatan yang memantau perlaksanaan hukuman tersebut.
Setiap pukulan pasti meninggalkan kesan fizikal, emosi dan mental ke atas pesalah. Jelas sekali dari segi fizikalnya, raungan kesakitan dan kesan luka disebabkan rotan begitu mengerikan. Ramai yang tidak sanggup untuk melihatnya, apatah melaksanakan. Perotan benar-benar ahli dan tega mendengar raungan, rintihan kesakitan dan kesan luka akibat rotan.
Tidak ramai yang dapat mengambil pelajaran daripada peristiwa tersebut walaupun beberapa sebatan mungkin menimbulkan keinsafan dan jera yang mendalam ke atas pesalah. Itulah hukuman buatan manusia dengan kaedah dan tata caranya yang begitu rigid namun gagal memberi kesan dan pengajaran ke atas khalayak ramai. Berapa ramai yang melihat hukuman rotan yang zalim dan melampau itu dan apakah kesan daripada kezaliman yang dikenakan ke atas pesalah berkenaan. Moralnya, hukuman sivil walaupun hukuman pancung sekalipun, tidak mempunyai roh untuk memberi pengajaran kepada umum.
Manusia yang sesat dan keliru melihat hukuman rotan dalam Islam sebagai zalim. Kekeliruan ini masih menyelimuti para pemimpin Umno yang kononnya membela Islam. Latar belakang pendidikan dan agama tidak memungkinkan mereka mendapat hidayat daripada Allah untuk melihat hukuman "had" yang ditentukan oleh Allah itu sebagai terbaik dan penyelesaian yang menyeluruh.
Dalam kes model sambilan, Kartika Sri Dewi Sukarno yang didapati bersalah kerana meminum arak dan keputusan sebat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan mengundang pelbagai kekeliruan kepada orang Islam dan bukan Islam. Lebih malangnya ialah penundaan hukuman sebat ke atas Kartika amat memalukan kerana dilihat sebagai kelemahan undang-undang Islam itu sendiri.
Persoalannya, apakah hukuman ke atas Kartika benar-benar berdasarkan hukum Islam bagi kesalahan sedemikian. Mengikut hukum Islam, setiap pesalah kerana meminum arak dikenakan minimum 40 kali sebatan atau 80 sebatan bagi kesalahan berulang. Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan amat tidak bertepatan dengan kehendak agama. Amat malangnya jika keputusan itu dikatakan sebagai hukuman mengikut hukum Islam.
Keputusan yang mengelirukan ini disebabkan Islam adalah kosmetik dalam pemerintahan Umno di Malaysia. Tuntutan majoritai rakyat Malaysia beragama Islam dipersendakan dengan pelbagai bentuk hukuman yang bukan berdasarkan Quran, haditah, ijmak ulama' dan qias. Kegagalan pemerintah Umno yang menjadi tulang belakang pemerintahan di Malaysia memahami dan memenuhi tuntutan Islam begitu ketara didedahkan dalam kes sebatan terhadap Kartika Sri Dewi Sukarno.
Jika sebatan itu tidak dapat dijalankan, ada benarnya. Hukuman itu adalah keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang bukan berdasarkan hukum sebenar yang diperuntukkan oleh Islam bagi kesalahan yang sepertinya. Begitu pula jika hukuman sebat dikenakan berdasarkan peruntukan undang-undang sivil, maka ianya tidak bertepatan dengan peraturan sebat yang dikehendaki oleh Islam. Sebatan dan tatascara perlaksanaannya itu amat tidak wajar kerana keputusan itu dikeluarkan oleh mahkamah syariah.
Rakyat sepatutnya bersetuju dengan usaha yang dibuat oleh Kerajaan Pas di Terengganu yang memerintah dari 1999 hingga 2004 dan Kerajaan Pas di Kelantan yang berusaha mendaulatkan hukum Islam dalam pemerintahan. Perlaksanaan hukuman ini adalah penyelesaian terbaik bagi kes yang melibatkan umat Islam. Paling penting ialah kehebatan berhukum dengan suatu hukuman yang hidup dan mendapat keridhaan Allah.
Sudah sampai masanya rakyat memberi mandat kepada Islam untuk mentadbir Malaysia dengan susun atur perundangan yang lebih adil berdasarkan tuntutan Allah. Malaysia perlu diselamatkan daripada belenggu hukuman yang bukan daripada agama dan keyakinan rakyat negara ini.
Tuesday, September 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment