Monday, May 4, 2009

Jika anda pembayar cukai ...

Menjelang 30 April 2009, talian menjadi sibuk dengan pembayar cukai bagi taksiran 2008. Diberitakan lebih daripada 1 juta menggunakan perkhidmatan e-Filing menyerahkan borang taksiran cukai pendapatan. Sebagai pembayar cukai, rakyat sepatutnya tidak keberatan untuk membayar cukai pendapatan atau sebarang cukai tidak langsung. Cukai merupakan antara sumber pendapatan negara terbesar, dipunggut oleh kerajaan yang jika diurus secara berhemat dan beramanah boleh meningkatkan rasa bertanggungjawab pembayar cukai untuk melunasinya.

Keculasan pembayar cukai melunasi tanggungjawab mereka kepada negara sangat dipengaruhi oleh salah urus dan tidak amanah pihak berkuasa. Rakyat tidak kedekut untuk menyumbang kepada negara tetapi jika kepercayaan dikhianati, dan penyalahgunaan kuasa, rasuah, pembaziran amat berleluasa menyebabkan mereka melakasanakan tanggungjawab itu secara terpaksa. Malah ada yang menipu untuk mengalak membayar cukai sedangkan mereka sanggup mengeluarkan sebahagian kekayaan dan lebihan pendapatan mereka untuk bersedekah atau berderma.

Pengkhianatan dan sikap tidak amanah pihak berkuasa kian bertambah jelas. Keputusan mahkamah memerintahkan kerajaan Umno/BN di bawah pimpinan Adnan Yaakub membayar lebih RM 60 juta kepada sebuah syarikat begitu memedihkan dan memilukan. Jika dikumpul segala salah urus yang melibatkan kerajaan pimpinan Umno/BN yang begitu banyak dan berleluasa, bolehkah kita meyakini bahawa rakyat tidak akan berusaha untuk menipu dalam urusan pembayaran cukai? Kita meyakini akan wujud unsur penipuan dan alangkah banyaknya sumber yang dapat dikutip oleh kerajaan jika rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka membayar cukai dengan jujur dan ikhlas.

Barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kepercayaan rakyat kepada kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Tok Guru Haji Abdul Hadi sebagai MB, menyebabkan punggutan zakat meningkat berganda dan menampakkan penurunan yang ketara setelah pimpinan kembali ke tangan Umno.

Selamanya kita berkeyakinan bahawa rakyat tidak lokek untuk berderma dan bersedekah. Lihat sahaja institusi pendidikan, rumah-rumah ibadat dan pelbagai dana kebajikan akan segera mendapat sambutan rakyat tetapi segera menjadi kendur bila melibatkan kerajaan. Rakyat amat berhati-hati untuk menyumbang walaupun yang membuat seruan itu isteri Perdana Menteri sendiri.

Tanggapan rakyat terhadapat reputasi buruk kerajaan mengendalikan urusan kewangan sukar diperbetulkan bila Umno/BN dikuasai oleh para perasuah. Maka kita seharusnya akur dengan perubahan kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan wibawa sebuah kerajaan.

No comments: