Najib pemimpin Umno/BN yang dekat dihati rakyat. Majoriti 26,464 dalam Pilihan Raya Umum ke 12 adalah bukti beliau diterima oleh rakyat khususnya di Pekan. Berbanding Pilihan Raya Umum ke 10 pada 1999, Najib yang dikatakan terselamat dengan undi pos hanya menang dengan majoriti 241.
Najib yang menjadi Perdana Menteri ke 6 pastinya berusaha memenangi hati rakyat bukan sahaja di Pekan tetapi di seluruh Malaysia. Pendekatan mesra rakyat telah dan sedang ditunjukkan. Barangkali semua pendekatan yang pernah dibuat oleh Tun Razak, bapaknya dulu sedang dikaji dan cuba diterapkan dalam pentadibrannya. Tun Razak sememangnya dekat dengan rakyat dan pemergiannya ditangisi oleh kawan dan lawan.
Sememangnya Najib ke Putrajaya bersama imej yang buruk, tuduhan terlibat dengan kes bunuh model Mongolia. Najib yakin rakyat Malaysia boleh berbangga dengan Perdana Menteri mereka yang mesra rakyat walaupun rekod lampaunya terlalu suram.
Kini Najib terpaksa memadam angka majoriti kekalahan Umno/BN dalam beberapa pilihan raya kecil setelah setahun Pilihan Raya Umum yang lepas. Kecuali di Batang Ai, Umno/BN kalah dengan majoriti yang lebih besar. Maka apakah sifir matematik PPSMI yang dipertahankan oleh Najib mampu membuktikan penerimaan rakyat terhadap kepimpinannya setelah beliau menang dengan majoriti yang besar di Pekan. Ataukah semua calon yang ditonjolkan dalam setiap pilihan raya kecil itu di tolak oleh rakyat dan bukannya kepimpinan Najib? Andainya benar, Umno/ BN menghadapi masalah untuk mendapat pemimpin yang berwibawa dan dekat dengan rakyat. Pemerintahan Umno/BN lebih 50 tahun telah membina jurang yang ketara antara rakyat dengan pemimpin. Pemimpin Umno/BN berada dalam kelas tersendiri dan sukar diterima oleh rakyat kecuali Najib dan mereka yang menang dalam Pilihan Raya Umno ke 12 lalu.
Apapun, Najib akan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat. PR kecil Dun Penanti, Pulau Pinang yang dikosongkan oleh Muhammad Fairus bakal dipulau oleh Umno/BN kerana membazir wang rakyat. Rakyat pastinya terpegun dengan komitmen Najib, sedangkan sebelumnya mereka didedahkan dengan pemborosan pentadbiran Umno/BN. Rakyat akan menanti dengan yakin, Najib mampu bertahan dengan prinsip mesra rakyat dalam pengurusan pentadbirannya walaupun mungkin menerima desakan kuat daripada para pelahap yang masih dominan dalam kabinetnya.
Kita akan menunggu sikap Najib terhadap Jambatan Bengkok. Kita juga mengharapkan rakyat sudah cukup bijak membaca langkah awal setiap pemimpin. Kita boleh yakin bahawa Bukit Tinggi sudah berubah tapi jangan mudah percaya perangai yang buruk seseorang mudah diubah.
Monday, April 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment