" Wahai manusia sembahlah Tuhan yang telah mencipta kamu dan mereka yang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa" ( al-Baqarah ayat 21)
" Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam" ( Maksud al- Hadith)
Mufti Kerajaan negeri Perak Datuk Harussani Zakaria mempersoalkan hak Nga Kor Ming kerana membaca ayat al Quran dari Surah al A'raf. Teguran beliau tentunya tidak sama dengan teguran Datuk Rezal Marican atau Osman Jailu. Teguran mereka bermotif politik dan tidak perlu diberi perhatian oleh mereka yang cakna dengan kesucian Islam. Apabila teguran itu daripada Datuk Harussani, kita menjadi bimbang kerana tidak menegah/menghalang Kor Meng membaca ayat-ayat Quran boleh mencacatkan keislaman kita.
Sebagai seorang ulama, Datuk Harussani perlu memberi penjelasan berserta nas kenapa Nga Kor Ming atau sesiapa yang bukan Islam tidak boleh membaca, mempelajari atau menyentuh al Quran. Sekurang-kurangnya beliau perlu menjawab beberapa persoalan asas berkaitan isu tersebut, antaranya ialah:-
1) Adakah dalam al Quran itu mana-mana ayat yang melarang orang kafir membaca/mempelajari al Quran.
2) Adakah hadith yang melarang perkara yang sama atau para sahabat Rasulullah yang melarangnya.
3) Bagaimana cara terbaik untuk memperkenalkan ajaran Islam kepada bukan Islam dari kalangan cerdik pandai jika tidak boleh membenarkan mereka membaca dan mengkaji kandungan al Quran.
4) Siapa yang dapat menentukan dan menyekat hidayah jika Allah menghendaki seseorang itu mendapat hidayahNya.
5) Siapakah yang dapat menentukan seseorang itu menemui Allah dalam keadaan beriman atau sebaliknya dan siapakah mereka yang mendapatkannya.
6) Mengapa Nga Kor Ming tidak berhak mendapat atau berusaha mendapatkan hidayah dan petunjuk Allah.
7) Adakah ayat yang khusus menyatakan bahawa al Quran itu untuk orang Melayu Umno orang lain tidak berhak untuk beramal dengannya.
8) Tidak cukupkah orang yang jahil menguasai dan menghina Islam dengan beriman dengan sebahagian isi al Quran dan menolak sebahagian yang lain sehingga para ulama perlu bersama berkongsi fahaman sempit yang begitu lama menjerut Islam.
9) Hebat sangatkah perkembangan Islam semasa pemerintahan kerajaan sekarang sehingga sebarang pendapat yang bertentangan dengan pemikiran jumud perasuah, penjenayah yang mendominasi parti pemerintah adalah fatwa dan mesti harus diikuti.
Kewibawaan Datuk mufti Kerajaan Negeri Perak pada pandangan rakyat seluruh negara tidak pernah dipertikaikan. Jangan hendaknya kehendak dan kerakusan mereka yang jahil memaksa rakyat memandang serong kepada beliau. Kami akan sentiasa mengharapkan pandangan yang baik daripada tuan.
No comments:
Post a Comment