Taniah dan syabas kerana telah menghabiskan lebih dua dekad daripada usia tuan mempertahankan Muslim dan imej Islam. Itulah selayaknya yang seharusnya diterima oleh Dr Farish Noor. Pastinya beliau berbangga dengan usahanya yang tidak jemu-jemu untuk mempertahankan Islam dan imej Islam terutama di ruang lingkup yang amat mencemuh Islam. Walaupun agak kelelahan dan sedikit kecewa dengan tindakan sebahagian orang Islam sendiri yang mencalar reputasi hasil pembentukan Imej Islam yang beliau usahakan, kita berharap beliau tidak akan berputus asa. Sikap berputus asa ini bukan dari ajaran Islam.
Namun kita agak kecewa dengan Tuan Dr. Farish Noor yang tidak mampu mempertahankan tindakan sebuah badan berwibawa yang dilantik oleh kerajaan untuk menjaga kesucian Islam dari sudut aqidah, muamalat, syariat dan akhlaknya. Mereka yang dilantik sememangnya tidak pernah diundi oleh Tuan Dr. Farish Noor untuk berada di situ, apalagi oleh majoriti rakyat Malaysia, tetapi bukan bererti wibawa mereka perlu dipertikai dan kesahan fatwa yang dikeluarkan tidak boleh diterima pakai khususnya oleh orang Islam yang taat.
Barangkali Tuan Dr. Farish Noor tidak sekali-kali terkeliru dengan bidang fatwa itu sendiri yang terkhusus untuk orang Islam. Orang bukan Islam sepatutnya tidak berkecil hati. Bila Islam mengharamkan Lotri Kebajikan Masyarakat, ini bukan bermaksud mereka tidak boleh membeli tiket lotri berkenaan sebabnya mereka tidak Islam. Jika ada orang Islam yang mengamalkan Yoga umpamanya seperti tuan, adalah menjadi tanggungjawab tuan membetulkan kekeliruan Majlis Fatwa Kebangsaan tapi bukan dengan kenyataan dan contoh-contoh kampungan. Saya sepatutnya berhujah kampungan sebab tidak bersekolah tinggi. Tetapi tindakan tuan memasukkan kenyataan seperti makan kari, duduk bersila, bertafakur, urut-urutan , kung fu, tai chi dan yang seumpama untuk membidas Majlis Fatwa Kebangsaan saya kita tidak tepat. Nampak sangat tuan tidak dapat membezakan antara ajaran agama, budaya atau riadah itu sendiri. Apalagi pernyataan tuan yang mengaitkan amalan berkenaan dengan peningkatan bilangan penganut agama Hindu di Eropah atau di Malaysia sendiri dari kalangan pengamal Yoga. Tuan Dr. Farish Noor,telitinya dan murninya tauhid dalam Islam menyebabkan seseorang tidak perlu mengistiharkannya kafir untuk menjadi kafir.Banyak perkara dari aspek amalannya, perkataanya atau keyakinannya yang menyebabkan seseorang boleh terpesong dari landasan ajaran Islam yang murni. Peranan Majlis Fatwa Kebangsaan sebenarnya untuk mengelakkan fenomena ini berlaku. Barangkali banyak kelemahan Majlis Fatwa Kebangsaan, tapi mempersoalkan peranan dan kewibawaannya adalah tidak tepat.
Saya kira usaha tuan yang berdekad itu tidak bakal menjernihkan keadaan sebaliknya kemurnian ajaran Islam yang tuan cuba sederhanakan itu menyebabkan Islam kian hilang seri dan identiti. Tuan sepatutnya berbangga dengan kemurnian Islam berdasarkan puncanya yang asli dan tidak perlu berusaha untuk membuat modifikasi supaya Islam lebih terbuka, lebih moden dan lebih diminati ramai. Tidak perlu itu semua tuan, kerana Nabi sendiri ketika diperintahkan menyampaikan ajaran ini tidak pernah mendapat perkenan daripada majoriti jahiliah rakyat Arab masa itu.
Tuan Dr Farish Noor yang di hormati, sesungguhnya reaksi marah Muslim Malaysia yang tuan gambarkan itu adalah fakta yang celaru. Siapa mereka yang tuan maksudkan. Betulkah Majlis Fatwa Kebangsaan memerlukan izin daripada mereka untuk mengeluarkan sebarang fatwa. Persoalan pangkid umpamannya, saya kebetulan melihat kelompok yang membuat tunjuk perasaan kononnya membantah fatwa pengharaman pangkid. Adakah usaha beberapa kerat anak muda yang tidak senonoh, yang belum tahu sebenarnya apa yang mereka lakukan dan untuk apa itu dilakukan sebagai gambaran majoriti kehendak orang Islam? Saya terkadang keliru apakah sebenarnya yang tuan Dr. Farish Noor perjuangkan?
Tuan Dr Farish Noor, saya kira Islam yang moden, libral dan progresif selalunya membenih kemelut yang tidak berkesudahan. Mencuba menjenamakan semuala Islam adalah perlakuan yang khilaf dan terpesong. Ajaran Islam sewajarnya dijernihkan dengan bermujahadah bagi membolehkan ianya diamal dalam segenap lapangan hidup. Tuan tidak akan cukup masa untuk beriadah, bertafakur, untuk menjadi maju dan progresif jika Islam yang syumur diaplikasikan secara mutlak dalam masyarakat. Tuan sebenarnya seorang yang begitu berbakat.
No comments:
Post a Comment