Mahathir diminta memberi komen berkenaan keghairahan negeri-negeri yang dikuasai pembangkang yang terjerat dengan persoalan Islam dan hukum hudud, khususnya Kelantan. Penyoal bagaikan belum mengenali Mahathir yang pernah menulis surat kepada Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz supaya hudud tidak dilaksanakan di Kelantan. Begitu juga terlalu banyak komen Mahathir terdahulu yang mempertikaikan hudud dan keadilan hukum dari Quran itu.
Terbaru Mahathir menolak kewujudan hudud sebagai hukum dari Quran. Makanya Mahathir bersikap lebih bijak daripada ulama-ulama fiqah yang bersepakat bahawa hudud merupakan hukum Allah dan terdapat dalam al Quran. Mahathir yang mengakui bahawa beliau tidak mengerti bahasa Quran berani mempertikaikan pendapat ulama mujtahid yang memahami dan amat alim dalam bahasa itu. Itulah kelebihan Mahathir, berani mempersoalkan hukum Islam walaupun beliau sendiri belum tentu benar-benar faham dengan Quran dan agamanya, Islam.
Mahathir berpendapat melalui contoh-contohnya bahawa hukum hudud tidak dapat memberi keadilan kepada penganut Islam dan bukan Islam. Maka hudud adalah bukan daripada Islam dan tiada dalam Quran. Mahathir lebih berkeyakinan bahawa hukum-hukum yang dibuat oleh manusia yang pakar pasti mengatasi hukum hudud dari sudut keadilannya. Misalnya, dalam kes manipulasi sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia, Mahathir berpendapat ianya dapat memberi keadilan terutama kepada musuh politiknya, walaupun ianya satu eksploitasi kuasa keatas musuhnya yang lemah.
Mahathir telah melampaui batas pendapat umum orang Umno Islam yang mengatakan bahawa hudud tidak wajar dilaksanakan di Malaysia kerana pelbagai alasan dan tidak pernah seberani Mahathir untuk mengatakan hudud tiada dalam Quran. Bukankah kenyataan Mahathir terkini berkenaan hudud adalah kenyataan sebenar beliau setelah dulunyam kenyataan yang dibuat agak berlapik? Kita tidak tahu tahap yang membolehkan seseorang itu dikelaskan sebagai menghina Islam? Atau Mahathir sudah tidak layak untuk diberi perhatian kerana sudah terlalu tua kalau tidakpun semasa bergerak dan memimpin Umno dan BN, Mahathir sentiasa memperalatkan Islam untuk berkuasa tetapi terlalu geli dengan pendagan Quran dan Islam. Kalau tidak masakan pelbagai tindakan beliau menunjukkan kecenderungan sedemikian.
Terima kasih Mahathir kerana tuan berani menjelaskan pendirian sebenar terhadap Islam.