Sunday, May 31, 2009

Tahniah Mansor Othman.

Penanti milik mutlak PKR -Pakatan Rakyat. Dr Mansor Othman bakal menjadi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. 6052 undi pengundi Penanti daripada 46.15% tidak terpengaruh dengan kehadiran 3 calon bebas yang kesemuanya hilang wang pertaruhan. Itulah seronoknya pilihan raya, rakyat mendapat peluang untuk menyatakan rasa hati dan sokongan mereka. Tidak menghampakan apabila semua mendapat undi - Kak Min (Aminah Abdullah) mendapat 392 undi, Khan Ari mendapat 494 undi dan Kamarul Ramizu Idris mendapat 56 undi.

Beberapa perkara menarik daripada keputusan PRK Penanti.

1) Rakyat Malaysia berminat dengan pilihan raya walaupun Umno memulau PRK Penanti dengan alasan-alasanyang kurang cerdik.

2) Majoriti lebih besar dan kemenangan berturut-turut beberapa PRK selepas Pilihan Raya Umum 2008 merupakan trend pemulauan rakyat terhadap Umno/BN.

3) Najib yang mengharapkan pelbagai tindakan lunak yang cuba ditonjolkan dan program pemulihan imej Umno belum menampakkan kesan positif.

4) Media adalah badi kepada Umno. Kak Min yang ditonjolkan dengan pelbagai isu untuk meraih simpati rakyat bertukar menjadi kebencian, rakyat memberi undi lebih banyak kepada Khan Ari daripada Kak Min.

5) Pakatan tidak harus mengabaikan kecenderungan pengundi Siam yang memilih Khan Ari walaupun mereka pasti undi mereka tidak akan memberi pengaruh yang besar kepada keputusan di Penanti.

6) SPR seharusnya mengeluarkan kenyataan rasminya berkenaan peraturan baru yang diperkenalkan di Penanti.

7) Umno seharusnya berhati-hati untuk menaja calon bebas kerana setiap calon bebas merupakan seseorang yang bertanding tanpa kerangka perjuangan yang konkrit. Barangkali tindakan Pas memberi Parlimen Pasir Mas kepada Ibrahim Ali adalah contoh terbaik, menyakitkan hati semua pihak.

8) Umno boleh bangga kerana sekitar 35% penyokong Umno setia dan dengar kata untuk tidak terlibat dalam PRK Penanti atau mungkin ada 5 % daripadanya adalah para pengundi Pakatan Rakyat yang tidak keluar mengundi kerana yakin Dr Mansor Othman akan menang besar. Berapa sangat undi Bn/Umno jika menyertai PRK Penanti?

9) Kes model Mongolia sudah terkunci di Penanti, maka bagaimana di Manik Urai nanti, adakah kunci akan terbuka kembali? Najib pasti susah hati. Lebih susah jika Umno terus kalah. Najib kena jumpa sami Hindu untuk buat upacara tolak bala. Bagusnya Najib kerana tidak melalut dengan pelbagai slogan islamik untuk menyaingi pengaruh Pas.

Monday, May 25, 2009

Malaysia: MB/PM bukan Melayu...

Profesor Dr. Ahmad Atory Hussin pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan USM tidak perlu dipertikaikan, ianya seorang ilmuan. Kewibawannya sebagai cendikiawan dan penganalisis politik akan sentiasa mendapat perhatian. Ketokohan beliau sering digunakan sebagai modal memperlekeh musuh politik pemerintah atau penebat tsunami politik yang banyak merobek kemetaan Umno/BN.

Kenyataan beliau berhubung tawaran jawatan Menteri Besar yang dibuat oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada kaum bukan Melayu sebagai helah atau permainan politik Pas, telah mempamirkan wajah sebenar "kekangkongngan" sebahagian ilmuan diinstitusi pengajian tinggi di Malaysia. "Kekangkongngan" yang ditaja oleh media "lacur" untuk mendokong dan mempertahankan sebuah kerajaan yang "korup".

Ilmuan semestinya bebas berfikir dan bertindak selaras dengan disiplin keilmuannya dan bukan menjadi "terompah kayu" untuk maksud dan matlamat sesat penguasa yang terbukti zalim.

Apakah salahnya tawaran Pas kepada bukan Melayu yang beragama Islam, warak, bertakwa, zuhud dan berpendidikan agama untuk menjadi MB atau Perdana Menteri? Kejujuran tidak memungkinkan seseorang ilmuan mempersoalkan tawaran tersebut walau dari aspek apa sekalipun.

Kita menjadi keliru ketika Najib mempromosi konsep 1 Malaysia, masih ada nasionalis "jumud" yang mempertahankan suku/puak/bangsa yang tidak mampu membawa seseorang keluar dari cengkerang "keakuan" yang sempit dan menidakkan hak orang lain. Kita menjadi lebih keliru dengan golongan ini yang gagal melihat Islam sebgai doktrin yang lebih terbuka pada satu buhulan yang utuh iaitu "aqidah" yang mampu menyatukan segala perbezaan dengan nilai persaudaraan yang digambarkan oleh Nabi sebagai; " Tidak sempurna iman seseorang yang tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia kasih kepada dirinya sendiri".

Kemuncaknya, manakah bangsa, bahasa, budaya yang perlu dipertahankan, jika kelebihan dan keutamaan seseorang di sisi Allah ialah "ketakwaannya". Bukan maksud menafikan kebijaksanaan Allah mencipta manusia dengan pelbagai bangsa, bahasa dan budaya, namun mempertahankan "keakuan" yang sempit adalah kebodohan dan kejumudan yang akan membunuh bangsa itu sendiri.

Menelusuri sejarah keagungan Islam, manakah suatu bangsa paling unggul bila bangsa-bangsa yang berpegang teguh dengan Islam diangkat oleh Allah menjadi penguasa dan pemimpin umat Islam. Bangsa Arab, Turki, Parsi, India malah puak gasar dari pendalaman Mongolia pernah diangkat oleh Allah untuk mengetuai umat Islam. Maka tidak pelik untuk kita menerima sesiapa sahaja etnik dan suku bangsa yang berada di Malaysia untuk menjadi MB atau PM jika mereka benar-benar bertakwa kepada Allah.

Kita amat meyakini bahawa sesiapa sahaja yang beriman, bertakwa, zuhud dan berpendidikan Islam daripada bangsa apa sekalipun lebih layak menjadi MB atau PM daripada perasuah, penyangak, penipu, pembunuh berbangsa Melayu. Masihkah Datuk Nik Aziz yang secara tekal memperjuangkan Islam dan beramal dengan ajaran agama Islam secara jujur dan ikhlas dianggap sebagai "pelacur politik" yang akan mengadai maruah bangsa dan agamanya?

Monday, May 18, 2009

UMNO MEMAHAT SEJARAH DI PENANTI.

Perdana Menteri Najib Razak mengesahkan bahawa Umno/BN tidak akan menentang PKR dalam PRK Penanti 31 Mei 2009 nanti. Pengerusi Barisan Nasional dengan pengistiharan itu mengesahkan bahawa:-

1) Umno bukan dikuasai oleh pejuang sejak awal. Umno ditaja oleh penjajah untuk meneruskan kesinambungan dasar Inggeris di Tanah Melayu.

2) Para pemimpin Umno berbangga dengan hadiah Inggeris dan mencanangkan bahawa hadiah itu sebagai kebijaksanaan mereka sebagai pejuang kemerdekaan. Mulut disuap pisang, buntut dikait onak.

3) Di bawah pimpinan Umno/BN, satu demi satu bumi Malaysia terlepas dari gengamannya, seperti Singapura dan yang terakhir Pulau Batu Putih juga telah menjadi milik Singapura.

4) Tidak ada setetes darah pejuang Melayu seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Rosli Dobi, Tok Gajah dan lain-lainnya mengalir dalam pembuluh darah Umno. Mereka dilahirkan bukan untuk berjuang tetapi untuk menerima sesuatu tanpa susah payah walaupun terpaksa mengadai maruah bangsa dan agama mereka.

5) Umno memberi 3 alasan yang terlalu remeh untuk menutup kebaculan mereka setelah mengalami kekalahan demi kekalahan yang memalukan sejak Pilihan Raya Umum lalu.

6) Najib sebenarnya takut menghadapi realiti umum kerana kegagalan beliau menjernihkan kekusutan isu model Monggolia/Altantuya yang dibunuh secara kejam di bumi Malaysia. Penanti tidak akan dibuka dan diharap akan menjadi penampang untuk menjarakkan Najib daripada isu yang sentiasa menghantuinya.

7) Umno sebenarnya dipimpin oleh sekelompok manusia hilang harga diri tapi masih kaya dengan keserakahan nafsu dan keinginan untuk terus berkuasa.

Kehidupan ialah perjuangan tanpa akhir.
"MEMBANGUN BERSAMA ISLAM"

Sunday, May 17, 2009

Kecaknaan seorang ulama.

Teguran Mat Iraq, Ketua Dewan Ulama Pas mendapat perhatian Umno dan media yang memihak kepada Umno. Digambarkan oleh Umno dan media seolah-olah Pas sama teruk dengan Umno. Budaya rasuah dan beli undi untuk sesuatu jawatan dalam parti bukan milik Umno sahaja, Pas pun sama. Pas yang kononnya memperjuangkan Islam, lebih tidak bermoral daripada Umno. Sekurang-kurangnya Umno tidak memperalatkan Islam untuk cita-cita politik mereka. Dalam bahasa mudah bukan anak kita sahaja yang mati, orang orang pun mati jugak. Sepandir itulah mereka yang melihat kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas itu sebagai gambaran sebenar perjalanan politik Pas.

Tun Mahathir sebagaimana biasa akan dirujuk sebagai orang paling arif berkenaan politik Pas. Kenyataan beliau amat jahat untuk realiti sebenar dalam Pas. Mahathir tidak merasa bersalah menuduh Pas berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Mat Iraq sedangkan beliau sendiri belum tentu mendapat kenyataan tepat daripada Ketua Dewan Ulama Pas itu. Kata Mahathir, " Nampaknya rasuah berleluasa sehingga sesiapa saja terbabit, (Tun Mahathir juga terbabit) kita tak kata Pas tidak lakukan jenayah ... dia lakukan macam orang lain juga, jadi tak hairan dia buat benda bertentangan ajaran Islam". Bukankah kenyataannya itu berbaur fitnah yang keji?

Itulah Mahathir yang menjadi penasihat Najib, matan Perdana Menteri yang pernah mewarnai sejarah pemerintahan beliau dengan licik sehingga rakyat mengambil masa lebih 20 tahun untuk memahaminya kejelekan permainan politik beliau. Tun Mahathir wajar berbangga kerana akan ada yang keliru dengan kenyataan beliau terhadap Pas, tapi beliau jangan terkejut jika majoriti rakyat akan berpendapat bahawa:-

1) Mahathir dan media milik Umno selamanya menjadi juara menyebarkan fitnah terhadap musuh politik mereka terutama Pas.

2) Mahathir dan media sanggup mengadai maruah Islam dan bangsa Melayu kerana cita-cita politik.

3) Kenyataan Mat Iraq adalah kenyataan ulama yang selamanya bersifat pendidik yang mewarisi pusaka para nabi. Ulama selamanya akan sentiasa menegur, memberi peringatan, memberi nasihat, mengajar, mendidik, mengasuh dan berpesan supaya budaya jahat/punah yang berakar umbi dalam Umno jangan sampai ke teratak Pas.

4) Sebagai ulama ( * Mahathir mengaku bahawa beliau juga seorang ulama kerana mempunyai pengetahuan mendalam dalam perubatan, politik dan segalanya, maka beliau juga ulama pewaris para nabi) budaya amal makruf dan nahi mungkar menjadi keutamaan bila ada kesempatan. Peringatan Mat Iraq adalah gambaran kecaknaan seorang ulama yang sentiasa berniat baik.

5) Kecenderungan yang berterusan daripada golongan sekular tegar untuk memberi pandangan negatif terhadap ulama dan pergerakan Islam.

6) Ada pihak yang cuba mencipta kewujudan golongan ulama/profesional dalam Pas dan ada pertentangan dan perebutan pengaruh antara mereka.

7) Usaha secara terancang untuk memperlekehkan golongan ulama sebagai orang yang tidak bijak berpolitik, sering mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan boleh merosakkan parti. Keuntuhan kepimpinan ulama dalam Pas terbukti selama 18 tahun memerintah Kelantan. Kejayaan kepimpinan ulama dan slogan MEMBANGUN BERSAMA ISLAM amat mendukacitakan musuh Islam dan mereka yang ada penyakit dalam hati mereka.

Persoalannya, mengapa Pas perlu menari dengan rentak yang dimainkan oleh Umno atau sememangnya setiap serangan musuh ke atas Pas menjadikan parti itu lebih bijaksana. Terima kasih kepada semua Tok Guru yang memimpin politik Islam.

Saturday, May 16, 2009

Najib tidak terliat...

Perdana Menteri Najib Tun Razak berpandangan bahawa beliau dan Sultan Perak tidak harus dipersalahkan dalam kemelut politik di Perak. Beliau mempertahankan BN menguasai majoriti dalam pilihan raya Umum 2008 sedangkan Pakatan Rakyat yang tidak berdaftar memerintah Perak kerana perkenan Sultan. Sepatutnya Menteri Besar Perak daripada BN. Berpandukan logik Najib, hanya Kelantan yang Pas menang dengan selesa dan Pas berhak menjadi Menteri Besar.

Namun Najib adalah Perdana Menteri. Kemelut di Perak di bawah tanggungjawab Najib sebagai Perdana Menteri kerana Najib Perdana Menteri bagi rakyat BN dan juga Pakatan Rakyat. Tidak ada peruntukan dalam Perlembangan Malaysia, anggota Pakatan Rakyat untuk menolak Najib sebagai Perdana Menteri walaupun mereka tidak sukakan Najib menjadi Perdana Menteri.

Najib tidak boleh membiarkan kemelut di Perak sebagaimana beliau membiarkan segala tohmahan dan tuduhan yang lemparkan terhadap beliau. Mungkin tindakan beliau membiarkan kemelut di Perak banyak memberi keuntungan kepada BN, tetapi sebagai Perdana Menteri Najib perlu mengutamakan rakyat. Jika rakyat sentiasa didahulukan, maka bagaimana rakyat Perak yang menolak BN mengikut perkiraan majoriti dan menyokong Pakatan Rakyat tidak perlu diberi keutaman dan perlu didera. Atas perkiraan apa Najib tidak dikirakan berdosa dan bertanggungjawab di hadapan Tuhannya kerana mengabaikan dan mendera rakyat Perak, yang juga rakyat Malaysia.

Tabiat Najib adalah amalan biasa para BN yang terlalu mendera rakyat yang menolak keangkuhan dan kebiadaban mereka. Kaedah menjerut dan mendera pembangkang dilihat sebagai kekuatan BN maka ia terus dipertahankan. Tabiat ini akan menjadi senjata yang akan membunuh BN kerana rakyat tidak selamanya takut dengan ancaman dan deraan. Kebangkitan rakyat akan menjadi pasti. Rakyat akan menjadi muak dengan telatah para pemimpin mereka dan bila masa Umno/BN akan dapat memenangi hati rakyat.

Kehilangan 5 buah negeri kepada Pakatan Rakyat menyebabkan Umno/BN semakin kehilangan penghormatan rakyat. Hanya golongan yang sentiasa dapat mengisi kotak tahinya sahaja yang akan terus menyokong parti itu. Maka dalam keadaan serba kesempitan seperti sekarang, apakah rakyat akan terus menyokong parti itu. Biarlah Najib berlepas tangan daripada segala dosa-dosanya kerana barangkali beliau sudah tidak ada Tuhan yang akan menilai segala amalanya di dunia ini kerana beliau sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia. Jika Najib masih ada Tuhan, beliau disoal tentang kemelut politik di Perak kerana Pakatan Rakyat hilang kelayakan memerintah Perak setelah Najib "membeli" 3 adun Pakatan Rakyat yang bermasalah.

Najib juga mengambil kesempatan untuk menasihati Sultan Perak melantik Zambry sedangkan status ketiga-tiga adun itu sedang dipertikaikan. Begitu juga setelah mahkamah Tinggi memutuskan Nizar adalah menteri Besar Perak yang sah, maka Najib tidak dapat menerimanya dengan dada lapang dan terbuka. Mahkamah Rayuan dengan mudah menerima rayuan "stay of execution" terhadap pengistiharan Nizar sebagai Menteri Besar yang dibuat oleh Zambry sedangkan keputusan rayuan Nizar untuk membatalkannya ditunda dari 18 Mei kepada 21 Mei depan. Apa muslihatnya dan apakah Najib tidak campur tangan?

Najib akan mengembalikannya kepada Mahkamah, dan sekali lagi beliau akan menolak untuk bertanggungjawab. Sebagai Perdana Menteri Najib tidak mampu memisahkan dirinya daripada menjadi Presiden Umno dan Pengerusi BN. Maka siapa yang begitu tolol untuk mempercayai bahawa Najib begitu bersih untuk tidak memihak kepada Umno/BN dalam kemelut politik di Perak.

Rakyat akan sentiasa melihat dan menterjemahkan kemelut pilitik Perak sebagai usaha Najib untuk mengembalikan kegemilangan Umno/BN walaupun tindakan itu tidak bermoral. Maka bilakah masanya Najib boleh dikaitkan dengan moral yang baik dan akhlak mahmudah. Kita yakin rakyat sudah cukup bijak setelah lebih 50 tahun merdeka.

Monday, May 11, 2009

Tahniah Nizar Jamaludin.

Kemelut politik Perak boleh diatasi jika undang-undang dipatuhi, kata Najib. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mengumumkan Nizar sebgai Menteri Besar Perak yang sah.

Najib sebagai PM pasti mengotakan kenyataannya untuk melihat kerajaan dan pembangkang saling menghormati serta sentiasa mematuhi undang-undang. Benar sekali keyakinan Najib bahawa kemelut di Perak berlaku kerana tidak ikut peraturan dan tidak menghormati undang-undang.

Kemelut di Perak juga kerana campur tangan Najib setelah menerajui Umno Perak. Elok sangat Najib membasuh kotoran yang terpalit dan meningkatkan imej badan kehakiman mula kembali ke landasan sebenar.

Bahasa lunak dan tindakan yang bijaksana kepada semua pihak menjadi ukuran kesungguhan Najib jika mahu berkhidmat kepada rakyat semua kaum yang menjadi keutamaan beliau.

Najib tidak akan membiarkan reputasinya merudum kerana politik Perak.

Sunday, May 10, 2009

Terima sajalah...

Masa Hamid Albar jadi Menteri Dalam Negeri, polis dikatakan tidak mempunyai kuasa dalam dewan/parlimen. Polis tidak boleh campur tangan dalam dewan sekalipun terdapat pergaduhan. Hanya petugas dewan yang mempunyai kuasa, mengawal dewan tegas Hamid Albar dan Musa Hasan bila mengulas kekasaran ke atas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Karpal Singh di parlimen Mac lalu.

Rakyat boleh akur walaupun agak sukar menerimanya tetapi bila kita tak reti peraturan ikut sajalah.
Masa Hishamuddin, polis sudah ada kuasa untuk campur tangan dan bertindak di dalam dewan atau parlimen.Musa Hassan barangkali belum tahu peraturan terbaru yang diwartakan oleh Hishamuddin. Sivakumar sebagai Speaker dan orang paling berkuasa dalam dewan telah diseret keluar oleh polis atas arahan Zambry Menteri Besar Perak yang belum sah jawatan. Zambray mengakui beliau menghubungi polis untuk mengawal keadaan bukan petugas dewan.

Bagaimana rakyat boleh menerima campur tangan polis menyeret Sivakumar keluar dari dewan? Umno/BN daripada bangsa yang tidak menghormati peraturan. Matlamat Umno akan menghalalkan cara.

Berdasarkan ulasan,pendapat dan pandangan, tidak seorang dari kalangan pemimpin Umno/BN yang mempertikaikan tindakan adun mereka di sepanjang sidang Dun Perak 7 Mei lalu. Semua menyalahkan anggota Pakatan termasuk Najib sendiri, Najib yang mencetuskan segala kemelut dan kecelaruan berpanjangan di Perak.

Salahkah jika rakyat meyakini, kaedah ini mungkin digunakan pada bila-bila masa ke atas mereka. Tindakan pemimpin Umno/BN di Perak adalah cermin sebenar kepimpinan yang mengutamakan rakyat atau mengutamakan kepentingan peribadi pemimpin tertentu terutama Najib.

KATAKAN TIDAK KEPADA UMNO/BN UNTUK MALAYSIA YANG LEBIH HARMONI.

Saturday, May 9, 2009

Kekecohan Dun Perak, imej siapa sebenarnya?

Perdana Menteri Najib bercakap berkenaan keluhuran perlaksanaan dan imej demokrasi di Perak. Beliau kesal dengan kekecohan di Dun Perak dan menyifatkan kejadian itu sebagai tidak matang, tidak demokratik . Pastinya pembangkanglah yang tidak matang dan memperlihatkan imej buruk dan tidak menghormati hak kerajaan Umno untuk memerintah Perak.

1) Adakah Najib sendiri menghormati hak Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Nizar mentadbir Perak dengan baik selama hampir setahun sebelum dinafikan haknya oleh Najib dengan perencanaan jahat dan mencabul lunas demokrasi.

2) Apakah Najib menghaormati hak Pakatan Rakyat dengan mencolek, mengurung, mengugut calon-clon Pakatan rakyat yang bermasalah dengan SPRM untuk belok dan khianat kepada Pakatan. Apakah 3 Adun Pakatan Rakyat ( kini adun bebas) menghormati suara rakyat yang memilih Pakatan Rakyat.

3) Apakah Najib menghormati prinsip demokrasi dengan memperalatkan segala institusi yang mungkin termasuk pasukan keselamatan untuk menafikan hak Sivakumar sebagai Speaker yang mempunyai kuasa mutlak untuk mengendalikan sidang dun Perak.

4) Bukankah sebagai Speaker dun Perak, Sivakumar telah dengan tegas dan jelas melarang Dr Zambry, 6 orang Exco yang dilantik oleh Zambry dan 3 anggota bebas supaya keluar daripada dewan. Kenapa mereka gagal mengikut perintah Sivakumar yang masih berkuasa penuh ke atas persidangan dewan ketika itu. Kenapa Najib sebagai Perdana Menteri gagal menjelaskan sikap "neuteral" kepada sebuah kerajaan negeri yang didominasi oleh Pakatan Rakyat.

5) Tanpa arahan dan perancangan daripada pihak Umno/BN, apakah pihak polis akan menjadi begitu keliru dalam melaksanakan tugas mereka. Kenapa polis tidak segera mengheret Zambry, 6 Exconya dan 3 Adun bebas setelah Sivakumar memerintahkan supaya mereka keluar dewan. Kenapa pula polis reti untuk bertindak menyeret Sivakumar keluar dewan. Bukankah sebagai sepupu Najib, Hishamuddin juga turut terlibat menjaga imej Najib sebagai Ketua Perhubungan Umno Perak dengan mengeluarkan arahan songsang terhadap anggota keselamatan yang sepatutnya bertugas memastikan kelancaran sidang Dun Perak 7 Mei lepas.

6) Najib sepatutnya malu untuk bercakap berkenaan imej dan akhlak yang baik. Katanya, malu beliau kepada masyarakat antarabangsa terhadap kekecohan yang berlaku di Perak. Sebagai Perdana Menteri yang sentiasa berhadapan khalayak dari seluruh dunia, Najib sepatutnya lebih malu terhadap dakwaan isu model Mongolia yang menemui ajal di bumi Malaysia dan dikaitkan dengan Perdana Menteri.

7) Sesungguhnya petanda imej Najib yang cemar tersingkap di Dun Perak. Anda perliu memerhati untuk membilang urutan sejarah cemer dan huduh bakal dilukis oleh Najib semasa pemerintahannya. Jika Raja Muda terpaksa berehat lebih 5 jam sebelum merasmikan persidangan Dun Perak, apalagi institusi yang dihormati di negara ini yang belum dicabul di bawah pentadbiran Najib.

Friday, May 8, 2009

Cara melantik Speaker Dun

Bila V.Sivakumar sebagai Speaker Dun bagi negeri Perak dibawa ke mahkamah maka ada asas untuk Gobind Singh Deo yang digantung daripada menghadiri sidang parlimen bertindak menyaman Speaker parlimen. Peraturan terhadap Speaker mula dilihat dari sudut pandangan perundangan yang baru. Tidak pelik kerana manusia membuat undang-undang, manusia juga mematuhi atau tidak mematuhinya atau boleh bersifat selektif untuk siapa undang-undang itu sepatutnya.

Peraturan manusia tidak mutlak, malah ianya untuk siapa diciptakan dan siapa yang dilindungi,dipertahankan atau yang menjadi mangsanya. Jika hari ini Umno berkuasa, apa sahaja jentera kerajaan diperalatkan semaksima mungkin untuk mempertahankan hayatnya dan membunuh lawan.

7 Mei menyaksikan Umno/BN mencipta kaedah baru untuk memecat speaker. Dr Zambry bercakap mempertahankan tindakan kelompok Umno/BN itu dan menyifatkan Pakatan Rakyat mengamalkan hukum rimba, pastinya tidak bertamadun. Jadinya dengan melantik speaker baru dan menarik serta mencampakkan keluar Sivakumar dari dewan maka sahlah perlantikan speaker dun yang baru. Zambry dapat menguasai dewan dan berkuasa mutlak walaupun jawatannya sebagai Menteri Besar masih lagi dipertikai di mahkamah.

Zambry akan sentiasa benar dalam konteks demokrasi di Malaysia. Dalam apa jua tindakan beliau akan sentiasa bersandarkan kepada istana, pasukan keselamatan, mahkamah, SPR , SPRM dan pelbagai agensi yang patut. Mana mungkin beliau melakukan kesilapan terutama PM Najib sendiri mengambil alih Perak daripada Pakatan Rakyat. Dr Zambry tidak boleh salah apalagi untuk kalah.

Zambry tidak perlu bertanya rakyat kerana rakyat bukan kelompok elite yang faham kepentingan Umno/BN untuk meneruskan pembangunan negara. Bukti amat jelas, rakyat menjadi keliru dengan dakyah Pakatan Rakyat dan menolak Umno/BN dalam pilihan raya Umum lalu dan pola penolakan makin jelas dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang.

Zambry tidak akan memperjudikan nasib rakyat Perak dengan membubarkan Dun Perak. Rakyat Perak khususnya sudah tidak boleh dipercayai untuk membuat pilihan yang terbaik untuk Umno/BN. Zambry dan Umno/BN hendaklah memastikan bahawa rakyat tidak menjadi terlalu muak dengan para bahlol yang menjadi pemimpin mereka. Rakyat perlu cepat bertindak sebelum segalanya punah ranah.

Monday, May 4, 2009

Jika anda pembayar cukai ...

Menjelang 30 April 2009, talian menjadi sibuk dengan pembayar cukai bagi taksiran 2008. Diberitakan lebih daripada 1 juta menggunakan perkhidmatan e-Filing menyerahkan borang taksiran cukai pendapatan. Sebagai pembayar cukai, rakyat sepatutnya tidak keberatan untuk membayar cukai pendapatan atau sebarang cukai tidak langsung. Cukai merupakan antara sumber pendapatan negara terbesar, dipunggut oleh kerajaan yang jika diurus secara berhemat dan beramanah boleh meningkatkan rasa bertanggungjawab pembayar cukai untuk melunasinya.

Keculasan pembayar cukai melunasi tanggungjawab mereka kepada negara sangat dipengaruhi oleh salah urus dan tidak amanah pihak berkuasa. Rakyat tidak kedekut untuk menyumbang kepada negara tetapi jika kepercayaan dikhianati, dan penyalahgunaan kuasa, rasuah, pembaziran amat berleluasa menyebabkan mereka melakasanakan tanggungjawab itu secara terpaksa. Malah ada yang menipu untuk mengalak membayar cukai sedangkan mereka sanggup mengeluarkan sebahagian kekayaan dan lebihan pendapatan mereka untuk bersedekah atau berderma.

Pengkhianatan dan sikap tidak amanah pihak berkuasa kian bertambah jelas. Keputusan mahkamah memerintahkan kerajaan Umno/BN di bawah pimpinan Adnan Yaakub membayar lebih RM 60 juta kepada sebuah syarikat begitu memedihkan dan memilukan. Jika dikumpul segala salah urus yang melibatkan kerajaan pimpinan Umno/BN yang begitu banyak dan berleluasa, bolehkah kita meyakini bahawa rakyat tidak akan berusaha untuk menipu dalam urusan pembayaran cukai? Kita meyakini akan wujud unsur penipuan dan alangkah banyaknya sumber yang dapat dikutip oleh kerajaan jika rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka membayar cukai dengan jujur dan ikhlas.

Barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kepercayaan rakyat kepada kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Tok Guru Haji Abdul Hadi sebagai MB, menyebabkan punggutan zakat meningkat berganda dan menampakkan penurunan yang ketara setelah pimpinan kembali ke tangan Umno.

Selamanya kita berkeyakinan bahawa rakyat tidak lokek untuk berderma dan bersedekah. Lihat sahaja institusi pendidikan, rumah-rumah ibadat dan pelbagai dana kebajikan akan segera mendapat sambutan rakyat tetapi segera menjadi kendur bila melibatkan kerajaan. Rakyat amat berhati-hati untuk menyumbang walaupun yang membuat seruan itu isteri Perdana Menteri sendiri.

Tanggapan rakyat terhadapat reputasi buruk kerajaan mengendalikan urusan kewangan sukar diperbetulkan bila Umno/BN dikuasai oleh para perasuah. Maka kita seharusnya akur dengan perubahan kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan wibawa sebuah kerajaan.